Penggal pertama musim cuti sekolah dan juga musim haji yang bakal tiba kerana tidak lama lagi seluruh umat Islam bakal menyambut ketibaan Hari Raya Aidiladha menyaksikan ramai daripada kita yang mengambil kesempatan ini untuk menjadi tetamu Allah dan mengerjakan umrah di Tanah Suci Mekah. Ketika dijemput jadi tetamu Allah ke tanah suci, pasti Hijabi mahu diberi peluang memasuki ‘Raudah’ lebih dari satu kali!

Walaupun tidak mengerjakan haji, dan hanya menunaikan ibadah umrah, namun pastinya jemaah atau Hijabi yang berkunjung ke sana tidak akan melepaskan peluang untuk melaksanakan ibadah dengan sebaiknya serta meluangkan masa mengunjungi beberapa kawasan istimewa dan penuh maghfirah.

Antara kawasan wajib kunjung adalah Raudhah atau lebih dikenali sebagai, ‘Taman-Taman Syurga’, ini kerana ia merupakan salah satu ruangan yang terletak di dalam Masjid Nabawi di antara rumah Rasulullah SAW (kini makam Rasulullah SAW) dengan mimbar yang beliau gunakan untuk berdakwah. Luas kawasan berkenaan adalah lebih kurang 330 meter persegi.

Raudhah Tempat Tumpuan Jutaan Jemaah, Ini Cara Agar Hijabi Raih Peluang Sama!

Oleh sebab ini, Raudhah dijadikan pusat tumpuan jutaan jemaah yang yang berebut-rebut mahu berada di situ dengan tujuan untuk berdoa dan bersolat di taman-taman syurga ini. Namun tidak semua diizinkan Allah berpeluang menjejakkan kaki di taman ini.

Justeru, Hijabista terpanggil untuk berkongsikan semula perkongsian penuh manfaat dari pengguna Facebook Suhaili Mohd Zain atau lebih mesra disapa sebagai Sally, mengenai beberapa tip yang boleh diaplikasikan oleh jemaah yang mahu mengerjakan ibadah di Raudhah. Jom baca perkongsiannya.

Cara Tunaikan Solat Di Raudhah ‘Bebas’ Gangguan

“Malam ini Sally nak kongsi pengalaman masuk ke Raudhah di mana anda boleh solat semahu-mahunya. Cara paling selamat, paling aman, tidak bertolak, tidak perlu berlari dan paling penting boleh berdoa dan bersolat tanpa ada gangguan dari Jemaah lain dan pengawal Arab wanita.

“Alhamdulillah.. Kali ini Sally berpeluang memasuki Raudhah sebanyak 4x. Itu pun sebab sehari Sally demam. Kalau tidak pastinya setiap hari sekurang-kurangnya 2x sehari pasti hendak mengunjungi makam Rasulullah saw,” ujarnya.

Mengulas lebih lanjut, Sally berkata dia banyak belajar daripada pengalaman  menunaikan Umrah terdahulu iaitu pertama kali dia menjejakkan kaki ke tanah suci. Namun, apa yang paling penting adalah kesabaran menunggu giliran memasuki Raudhah. Tak perlu tergopoh-gapah.

IKLAN

Ramai Tak ‘Cakna’ Masa Sesuai Kunjungi Raudhah

Menurut Sally, waktu yang paling sesuai untuk memasuki Raudhah bagi wanita adalah selepas Subuh dan selepas Isyak. Pastinya melalui pintu masjid no 25. Tidak perlu terburu-buru atau tunggu di masjid selepas solat.

“Sally nasihatkan anda balik dulu selepas solat. Selepas Subuh misalnya, balik ke hotel untuk sarapan dulu. Berehat, buang air, berwuduk dan sebagainya dan adalah lebih baik mengenakan jubah dan khimar berwarna hitam supaya tidak diganggu oleh pengawal Arab wanita kerana kita nampak serupa dengan orang Arab, Pakistan dan sebagainya.

“Dan kalau boleh beg umrah yang diberikan oleh travel agen tu digantung di dalam telekung. Kerana beg itu adalah pengenalan kita dan mudah dikenalpasti bahawa kita dari Malaysia.

Artikel berkaitan: 9 Tip ‘Berguna’ Untuk Jemaah Wanita Yang Bakal Mengerjakan Ibadah Haji Dan Umrah!

“Selepas berwuduk dan mengenakan pakaian serba hitam, kembali ke masjid Nabawi mengikuti pintu 25 sekitar pukul 8.00 pagi dan terus ke bahagian depan. Penghadang kayu antara ruangan wanita dan lelaki telah dibuka. Laluan ini adalah laluan menuju ke Raudhah.

“Waktu ini anda tidak perlu berebut dan tidak perlu bertolak dan berhimpit. Hanya perlu berjalan lemah lembut dan terus ke Raudhah. Mungkin kali pertama pergi, anda boleh mengikuti kumpulan mutawif tetapi untuk sekian kalinya, lebih baik pergi sendiri. Lagi kecil group lagi senang pergerakan kita dan sukar dicam oleh pengawal wanita arab. Kita boleh menyelit di mana-mana kumpulan,” jelasnya.

IKLAN

Cari ‘Port’ Yang Tepat Untuk Menunaikan Solat

Tambahnya, untuk mendapatkan tempat memasuki Raudhah harus bijak menyelit bersama kumpulan lain. Bila tiba giliran kumpulan yang kita menyelit tadi memasuki Raudhah, berjalanlah menuju ke Raudhah dan pastikan himpit rapat ke kiri bersebelahan makam Rasulullah saw. Jangan terus meluru ke karpet Hijau.

“Biasanya Sally duduk dahulu di karpet merah. Sampaikan salam sahabat dan sebagainya. Bila keadaan agak reda, Sally akan masuk terus ke karpet hijau, rapat ke dinding dan mula bersolat di situ.

“Oleh kerana keadaan kita di bahagian tepi dinding, jadi tiada siapa yang akan menolak. Jika ada 3-5 orang sekumpulan, beraturlah dan pastikan semua mendapat tempat di tepi dinding.

“Lakukan Solat taubat dahulu dan kemudian solat hajat. Satu solat hajat untuk satu hajat dan disambung lagi solat-solat sunat seterusnya. Doa dibaca ketika setiap sujud terakhir.

“Jangan sesekali berdoa mengangkat tangan dan duduk termenung menangis. Pengawal Arab wanita akan menghalau kita keluar secepatnya. Tapi jika kita kekal dalam keadaan solat, mereka tidak akan ganggu atau menyuruh kita berhenti dan keluar,” tegasnya.

IKLAN

Cadangan Waktu Sesuai Memasuki Raudhah

Antara waktu solat yang sesuai untuk memasuki Raudhah adalah sekitar pukul 11.30 malam selepas sejam setengah menunggu. Dan kami habiskan masa lebih kurang 1 jam di dalam Raudhah.

Kemudian, kawasan tengah Raudhah boleh dihampiri sekitar pukul 12.30 malam kerana pada waktu ini ia menjadi agak lengang. Dan kita boleh bersolat di mana sahaja. Pengawal Arab wanita sudah mula untuk meminta jemaah keluar dari Raudhah kerana pukul 1 pagi mereka akan menutup Raudhah bagi wanita dan buka peluang untuk jemaah lelaki pula pada pukul 2 pagi.

Semoga perkongsian Sally ini dapat dimanfaatkan oleh Hijabi dan anda juga berpeluang mengujungi Raudhah dan rebutlah peluang untuk beribadat di sana.

Semoga anda juga dapat mengunjungi Taman Syurga. Amin.

Sumber: Facebook Suhaili Mohd Zain & Detik.com

Artikel berkaitan: Adakah Boleh Titip Doa Kepada Jemaah Haji Atau Umrah? Apakah Hukumnya?

Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini.

Tampil #1 on top dengan fashion muslimah terkini di HIJABISTA!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI