
Wan Sharmila membuktikan bahawa lingkungan persahabatan yang baik mampu mengubah kehidupan seseorang ke arah yang lebih bermakna. Pelakon yang sudah lebih dua dekad berada dalam industri seni itu kini aktif memikul peranan baharu sebagai pembimbing jemaah umrah atau mutawifah selepas mula mengurangkan aktiviti lakonannya.
Bagi Wan Sharmila Wan Muhamed, 45, perjalanan tersebut bukanlah sesuatu yang dirancang sejak awal. Sebaliknya, ia bermula hasil pertemuan dengan seorang sahabat yang membuka ruang untuk beliau mendalami bidang pengurusan haji dan umrah.
Walaupun dunia lakonan dan pengurusan ibadah mempunyai perbezaan yang sangat besar, beliau tidak pernah malu mengakui bahawa dirinya bermula daripada titik kosong tanpa sebarang pengalaman.

Wan Sharmila Cari Aktiviti Baharu Selepas Kurangkan Lakonan
Menurut Wan Sharmila, pembabitannya dalam bidang tersebut berlaku ketika dia sedang mencari pekerjaan atau aktiviti baharu untuk mengisi masa selepas memperlahankan kerjaya seni.
“Macam mana saya boleh bermula belajar dalam bidang ini, sebenarnya saya pun tak sangka.
“Saya ‘zero’ dan jawapan paling tepat yang saya boleh kongsi ialah semua ini pengaruh rakan sebaya.
“Allah temukan saya dengan seorang kawan. Ketika itu saya sebenarnya tercari-cari sesuatu yang baharu sebab saya sudah mula mengurangkan lakonan,” kongsinya.
Menurutnya lagi, dia bukan sekadar mahu mengisi masa lapang, malah ingin mencari satu bidang yang boleh memberikan manfaat kepada diri sendiri dan orang lain selain menjadi sumber pendapatan yang halal.

Pertemuan Di Brunei Jadi Titik Permulaan
Ketika berada di Brunei, Wan Sharmila dipertemukan dengan seorang rakan yang merupakan alumni Sijil Profesional Haji dan Umrah (SPHU).
Pertemuan itu menjadi titik permulaan kepada perjalanan baharunya dalam memahami ilmu pengurusan jemaah haji dan umrah.
“Hamba Allah yang merupakan rakan saya ini berasal dari Brunei dan juga alumni SPHU. Dialah punca saya belajar walaupun saya rasa ‘zero’ ketika itu,” ujarnya.
Pada mulanya, beliau langsung tidak mengetahui bahawa terdapat program pengajian khusus berkaitan pengurusan ibadah haji dan umrah.
Malah, beliau mengakui pernah mempersoalkan sama ada dirinya benar-benar layak mengikuti pengajian tersebut memandangkan latar belakangnya sebagai anak seni.
“Saya berasa ragu-ragu dan tertanya-tanya sama ada saya layak untuk menyertainya, memandangkan latar belakang saya amat berbeza serta tidak pernah terdedah dengan industri baharu ini,” katanya.
Sahabat Jadi Inspirasi Wan Sharmila
Keraguan itu akhirnya bertukar menjadi keyakinan selepas Wan Sharmila melihat sendiri sikap rakannya yang sentiasa membantu orang lain.
Berada dalam lingkungan persahabatan yang positif membuatkan dirinya semakin terbuka untuk mempelajari ilmu baharu serta menyumbang kepada masyarakat.
“Apabila saya berkawan dengan ‘circle’ yang baik, saya nampak dia selalu membantu orang. Saya tanya kenapa dia mahu belajar bidang ini.
“Jawapannya mudah, dia cakap, ‘Saya nak menyantuni jemaah, saya nak menyantuni tetamu Allah’,” katanya.
Kata-kata tersebut benar-benar menyentuh hati Wan Sharmila kerana beliau sedar tugas menyantuni tetamu Allah memerlukan keikhlasan, kesabaran dan ilmu yang mencukupi.
“Masya-Allah, kenapa aku tak fikir benda itu? Nak membantu orang dan menyantuni jemaah ini bukan mudah,” tambahnya.

Pengalaman Umrah Beri Kesedaran
Wan Sharmila turut berkongsi pengalaman ketika menunaikan umrah yang membuka matanya tentang kepentingan membantu jemaah walaupun melalui perkara kecil.
Beliau pernah melihat seorang wanita berusia yang tidak mendapat tempat duduk ketika berada di Tanah Suci.
“Saya pernah pergi umrah dan nampak seorang mak cik tak dapat duduk. Kenapa kita hanya tengok sedangkan kita boleh mendapatkan kerusi dan berkata, ‘Nah mak cik, duduk’,” jelasnya.
Menurutnya, membantu jemaah tidak semestinya memerlukan pengorbanan besar. Kepekaan terhadap keadaan sekeliling dan kesediaan menghulurkan bantuan sudah cukup memberi makna kepada mereka yang memerlukan.
Wan Sharmila Buktikan Tidak Salah Bermula Dari Zero
Wan Sharmila memulakan kerjaya lakonan pada tahun 2005 dan dikenali menerusi pelbagai drama popular seperti Emil Emilda, Tari Tirana, Tipah Vavavoom, Debunga Lalang, Kusinero Cinta serta 7 Hari Mencintaiku.
Beliau juga pernah memenangi Anugerah Shine Pantene pada Anugerah Skrin 2008, sekali gus mengukuhkan namanya dalam industri hiburan tempatan.
Selepas hampir dua dekad bergelar pelakon, Wan Sharmila membuktikan bahawa seseorang tidak perlu takut untuk memulakan perjalanan baharu walaupun bermula daripada sifar.
Kisahnya memperlihatkan betapa besarnya pengaruh sahabat yang baik dalam membentuk pilihan hidup seseorang. Dengan niat yang ikhlas, kesungguhan menuntut ilmu serta keberanian keluar daripada zon selesa, setiap langkah kecil mampu membawa seseorang ke arah kehidupan yang lebih bermakna dan memberi manfaat kepada masyarakat.
Sumber : Facebook
Tampil #1 on top dengan fashion muslimah terkini di HIJABISTA!
Download sekarang di




