
Dunia fesyen hijab sentiasa berubah mengikut trend semasa. Ada gaya yang ringkas, moden dan mudah digayakan, malah tidak dinafikan ramai hijabi menjadikan selebriti serta pempengaruh sebagai inspirasi dalam memilih gaya tudung.
Namun, dalam mengejar trend, wanita Muslim diingatkan supaya tidak terlepas pandang tujuan utama berhijab iaitu menutup aurat mengikut tuntutan syarak.
Mufti Pulau Pinang, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Sukki Othman melahirkan kebimbangan terhadap trend pemakaian tudung yang menampakkan bahagian telinga dan leher, selain tudung dililit ke belakang tengkuk sehingga bahagian dada tidak ditutup dengan sempurna.

Menurut beliau, perkembangan semakin ramai artis dan figura awam memilih untuk berhijab serta tampil lebih sopan sememangnya sesuatu yang wajar dihargai.
Bagaimanapun, timbul kebimbangan apabila sesetengah gaya bertudung mula menjadi ikutan walaupun tidak memenuhi tuntutan menutup aurat secara sempurna.
Tudung Tutup Aurat Bukan Sekadar Soal Fesyen
Mohd Sukki menjelaskan bahawa isu tersebut bukan semata-mata berkaitan gaya atau kreativiti berfesyen, tetapi turut melibatkan kefahaman masyarakat terhadap batas aurat wanita Muslim.
“Lebih membimbangkan apabila gaya sebegini menjadi trend dan mula ditiru anak muda. Persoalan ini bukan semata-mata soal fesyen, sebaliknya berkaitan kefahaman masyarakat terhadap tuntutan menutup aurat,” katanya.
Beliau turut merujuk firman Allah SWT dalam Surah al-Nur ayat 31 yang bermaksud:
“Dan hendaklah mereka menutupkan tudung kepala mereka ke bahagian dada mereka.”
Jelas beliau, pemakaian tudung bukan sekadar meletakkan kain di atas kepala, sebaliknya terdapat tuntutan syarak yang perlu dipelihara.

Bezakan ‘Pakai Tudung’ Dengan ‘Tutup Aurat’
Menurut Mohd Sukki, rambut, telinga dan leher termasuk bahagian aurat wanita yang perlu ditutup di hadapan lelaki ajnabi.
Tudung juga hendaklah dilabuhkan sehingga menutupi bahagian dada dengan sempurna. Prinsip tudung tutup aurat inilah yang perlu diberi perhatian meskipun seseorang mahu mengikuti perkembangan fesyen semasa.
“Kita tidak pertikai kreativiti dalam berfesyen. Islam tidak menghalang seseorang tampil kemas, cantik dan mengikuti perkembangan semasa tetapi fesyen hendaklah tunduk kepada syariat, bukan syariat diubah untuk menyesuaikan diri dengan fesyen,” katanya.
Selebriti & Pempengaruh Ada Pengaruh Besar
Dalam era media sosial hari ini, sesuatu gaya boleh menjadi trend hanya dalam tempoh singkat.
Apa sahaja yang digayakan selebriti atau pempengaruh mudah mendapat perhatian dan ditiru oleh pengikut, terutama golongan remaja.
Mohd Sukki mengingatkan bahawa figura awam perlu menyedari pengaruh besar yang mereka miliki.
“Apabila seorang artis menggayakan tudung dengan cara tertentu, esok mungkin ribuan remaja mengikutinya.
“Apabila sesuatu gaya dilakukan berulang kali oleh ramai figura terkenal, lama-kelamaan ia boleh dianggap normal dan diterima sebagai gambaran pemakaian Muslimah yang menepati syariat,” jelasnya.
Situasi ini dikhuatiri menyebabkan generasi muda semakin sukar membezakan antara trend fesyen dengan tuntutan sebenar menutup aurat.
Teguran Untuk Memperjelaskan, Bukan Menghukum
Dalam masa sama, teguran berkaitan aurat tidak seharusnya dianggap sebagai usaha mencari kesalahan atau menghukum individu tertentu.
Mohd Sukki menjelaskan bahawa tugas agamawan adalah menerangkan sempadan agama apabila sesuatu perkara semakin kabur dalam masyarakat.
“Tugas agamawan bukan menghukum manusia tetapi menjelaskan sempadan agama apabila ia semakin kabur.
“Kita bimbang jika perkara yang tidak menepati tuntutan menutup aurat dibiar tanpa penjelasan, generasi muda akhirnya tidak lagi dapat membezakan antara ‘memakai tudung’ dengan ‘menutup aurat’,” katanya.
Buat hijabi, setiap teguran boleh dijadikan ruang untuk bermuhasabah dan memperbaiki diri sedikit demi sedikit.
Tidak salah untuk tampil moden, kemas dan bergaya, tetapi dalam setiap pilihan fesyen, biarlah syariat terus menjadi panduan.
Kerana trend mungkin datang dan pergi, namun tuntutan menutup aurat tetap menjadi sebahagian daripada tanggungjawab seorang Muslimah.
BACA LAGI : Istiqamah Menutup Aurat Bukan Mudah, Luahan Jujur Syasya Rizal Buat Ramai Tersentuh
Sumber : Kosmo! Online

