Bila kita merancang aktiviti percutian, kita juga semestinya berharap dapat melakar seribu satu kenangan manis darinya. Aktiviti percutian pastinya menjadi  bertambah manis apabila insan tersayang juga turut serta bersama. Namun ada juga yang lebih selesa untuk merancang bercuti secara solo atau lebih dikenali sebagai ‘solo traveller’.

Seperti Zarith Atiqa,28, pernah terbang ke Thailand, Australia dan China, gadis ini ingin mencabar diri dengan menjadi solo traveller apabila menjejakkan kaki Korea Selatan pada November 2019.

Kenali Si Gadis Hijabi

Hello Hijabista! Nama saya Zarith Atiqa, berasal dari Perak dan sekarang sedap menetap di Kuala Lumpur. Saya merupakan seorang freelancer dalam bahagian pemasaran digital. Sewaktu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lalu, saya banyak tambahkan ilmu seperti membuat research and development (R&D).

Jadi seorang freelancer ini banyak naik turunnya dan ia bukannya mudah! Walaupun boleh tetapkan jadual waktu sendiri, namun semua itu harus ada ilmunya yang perlu dipelajari dan kaut sendiri. Membina networking itu paling penting!

Destinasi yang menjadi pilihan Zarith?

Semestinya Korea Selatan! Terasa seperti pulang ke kampung halaman sendiri apabila ke sana (ketawa). Australia juga menyeronokkan kerana ia merupakan sebuah negara yang tenang dan bersih untuk bersiar-siar dan bersantai.

IKLAN

Bagaimana Zarith merancang percutian?

Saya merupakan seorang yang sangat jimat Ketika berbelanja ataupun cheapskate! Namun, saya gemar merancang trip percutian di saat akhir. Pertama sekali, carilah tiket penerbangan dengan harga yang berbaloi.

Sebagai contoh, saya berjaya dapatkan harga tiket RM1018 pergi balik dari Kuala Lumpur-Hong Kong-Incheon. Saya dapat pergi ke dua negara sekaligus. Seronokkan! Saya juga akan melihat destinasi dan iklim lokasi yang hendak ditujui kerana saya sukakan musim luruh dan musim sejuk.

Seterusnya, saya akan lihat pula di aplikasi Airbnb atau Agoda untuk mencari tempat tinggal di sana. Semasa saya menggembara secara solo di Seoul, Korea, saya memilih untuk menetap di dorm yang semuanya perempuan bagi memudahkan untuk saya bergerak dan paling penting rasa selamat.

IKLAN

Mengenai makanan dan membeli belah, saya lebih memilih berbelanja untuk makanan kerana membeli belah merupakan perkara akhir dalam senarai saya. Selain itu, saya lebih banyak berjalan kaki atau menggunakan pengangkutan awam untuk bergerak. Jimatlah selagi boleh! Oh ya, travel insurance jangan dilupakan.

Kenangan yang tidak dapat dilupakan sewaktu bercuti?

Semestinya memori pada bulan November tahun lalu. Bayangkan, pertama kali saya pergi ke luar negara seorang diri. Saya merancang untuk ke sana dan membeli tiket dua minggu sebelumnya dan menguruskan segalanya sendiri.

Sampai sahaja di Korea, saya menangis kerana banyak kali sesat dan salah jalan sedangkan tempat yang ditujui itu hanya berada di sekeliling saya. Memori salah naik keretapi dan salah tempat ini membuatkan saya sedar yang saya tidak boleh mudah putus asa.

IKLAN

Perkara ini juga membuatkan saya lebih mengenali diri saya sendiri. Saya sebenarnya seorang mudah emosi jadi perkara kecil sebegini juga mudah buat saya tersentuh. Sememangnya memori ini akan terpahat sampai bila-bila di minda saya.

Saya juga berhadapan dengan detik cemas seketika apabila saya hampir terlepas penerbangan sewaktu berada di lapangan terbang di Hong Kong. Lapangan terbang di sana sangat besar dan saya berlari jauh untuk ke balai berlepas. Mujurlah saya sempat ‘mengejarnya’ dan sepanjang penerbangan itu saya hanya tidur saya sahaja gara-gara kepenatan. Terasa rugi pula kerana tidak sempat untuk melihat keindahan alam dari dalam kapal terbang.

Bagaimana Zarith mencari makanan halal di sana?

Saya akan cari awal-awal dan senaraikan segalanya di Malaysia lagi. Buat nota makanan yang saya mahu makan. Di Korea, anda bolehlah mengikuti Korean Tourism Organization (KTO) atau cari sahaja instagram @havehalalwilltravel kerana banyak info tentang makanan halal di luar negara di situ!

Kisah Zarith ini memang sangat menginspirasikan. Tidak semua yang berani mencuba pengembaraan solo. Ke mana pula destinasi yang ingin ditujui selepas ini?

InsyaAllah, saya berazam untuk melancong seorang diri pula ke Switzerland dan mahu bercuti bersama-sama keluarga ataupun teman rapat di New Zealand. Mudah-mudahan hajat saya ini akan terlaksana suatu hari nanti.

Tampil #1 on top dengan fashion muslimah terkini di HIJABISTA!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI