Mahu Terus Perbaiki Diri, Sharifah Shahirah Mula Berhijab Sejak Hari Pertama PKP

Share

Pelakon, pengacara dan penyampai radio popular, Sharifah Shahirah berkongsi bahawa dirinya kini sudah berhijab sejak hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Sharifah Shahirah, 46, atau lebih mesra disapa Shiera berkata, niat bertudung itu timbul apabila menyedari wabak Covid-19 yang melanda negara dan seluruh dunia adalah dugaan Allah SWT.

“Ditambah pula apabila PKP dilaksanakan. Pada mulanya saya bernazar, jika wabak ini ada penawar saya nak pakai tudung. Terlalu banyak dugaan Allah berikan sekarang.

“Tapi, saya fikir semula kalau tak ada penawar, takkan saya tak pakai tudung. Jadi, saya bulatkan hati dan berniat untuk terus pakai.

“Lagipun, sebelum PKP saya memang pakai ‘on-off’ dan suka-suka saja. Sekarang, saya sudah pakai dengan betul. Tapi, saya tidak boleh terus menjadi sempurna. Saya masih dalam proses belajar dan memperbaiki diri,” katanya kepada Harian Metro

.

Menurut Shiera, keputusannya itu mendapat sokongan suami, anak-anak, ahli keluarga dan rakan.

“Suami tak cakap apa. Dia sentiasa menyokong saya. Walaupun ada ketika dia terlupa saya sudah bertudung. Macam anak perempuan pun, dia siap cakap nak pakai tudung juga.

“Begitu juga rakan-rakan yang sangat menyokong. Malah, ada siap bagi tudung. Azah pun siap tanya adakah betul saya sudah bertudung. Insya-Allah, saya tetap berkawan dengan semua orang.

“Saya masih Shiera yang sama dan saya tetap menjadi diri sendiri. Cuma, saya cuba untuk menjadi lebih lemah lembut. Kalau menjerit saya cepat-cepat beristighfar,” jelasnya.

kredit: Harian Metro

IKLAN