
Dahulu, apabila disebut tentang wanita ke gimnasium atau melakukan latihan beban wanita, pasti ada sahaja pandangan sinis yang kedengaran.
Ada yang menganggap senaman sebegitu hanya sesuai untuk atlet atau individu yang mahu membina tubuh berotot. Tidak kurang juga yang masih percaya kepada mitos bahawa angkat berat boleh menyebabkan ‘jatuh peranakan’ atau menjejaskan kesihatan wanita.
Namun, persepsi itu kini semakin berubah seiring peningkatan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan gaya hidup sihat dan kekuatan tubuh, khususnya dalam kalangan wanita.
Bagi pempengaruh kecergasan, Ain Ramli, perubahan tersebut amat ketara berbanding beberapa tahun lalu apabila ramai masih belum memahami kepentingan membina kekuatan otot.
“Kalau dahulu orang selalu tertanya-tanya, kenapa perlu bersenam? Apa gunanya bina otot? Ramai ingat otot hanya untuk nampak cantik atau berotot semata-mata.
Hakikatnya, otot sangat penting untuk fungsi harian tubuh, membantu kita bergerak dengan lebih baik, mengekalkan kekuatan apabila meningkat usia dan menyokong kesihatan untuk jangka masa panjang,” katanya.
Menurut Ain, menjaga kesihatan bukan bergantung kepada cara berpakaian atau gaya hidup seseorang. Sama ada bertudung atau tidak, setiap individu perlu memberi perhatian terhadap kesihatan diri.
Bagi wanita berhijab, tudung bukan penghalang untuk kekal aktif, kuat dan sihat. Apa yang penting ialah memilih rutin senaman yang sesuai dengan kemampuan diri, selesa dilakukan dan tidak memudaratkan tubuh.
Katanya lagi, antara salah faham yang masih sering didengari sehingga hari ini ialah tanggapan bahawa wanita tidak sesuai melakukan latihan beban.
“Ramai masih percaya angkat berat boleh menyebabkan jatuh peranakan atau merosakkan badan.
Kalau dilakukan dengan teknik yang betul, dipantau dengan baik dan disokong pemakanan yang seimbang, latihan beban wanita sebenarnya membantu membina tubuh yang lebih kuat dan sihat,” jelasnya.
Tambah Ain, matlamat utama melakukan senaman bukanlah untuk mengejar bentuk tubuh sempurna semata-mata. Sebaliknya, ia adalah usaha membina versi diri yang lebih sihat dari aspek fizikal dan mental.
Senaman bukan hanya tentang angka pada penimbang, saiz baju atau rupa tubuh di cermin. Lebih daripada itu, ia membantu tubuh lebih bertenaga, pergerakan lebih mudah, tidur lebih berkualiti dan emosi lebih stabil.
Bagi wanita, khususnya yang semakin meningkat usia, kekuatan otot amat penting untuk menyokong aktiviti harian seperti mengangkat barang, naik tangga, menguruskan rumah, bekerja dan kekal aktif tanpa cepat letih.
Selain meningkatkan kekuatan fizikal, latihan secara konsisten juga membantu meningkatkan keseimbangan badan, mengurangkan risiko kecederaan serta menyokong kesihatan tulang. Ini amat penting bagi wanita apabila usia semakin meningkat kerana kehilangan jisim otot dan kepadatan tulang boleh berlaku secara semula jadi.
Dalam pada itu, Ain mengakui antara cabaran terbesar yang sering dibangkitkan masyarakat ialah kos untuk mengamalkan gaya hidup sihat.
Menurutnya, ramai beranggapan pemakanan berkualiti atau produk kesihatan terlalu mahal sehingga sukar dijadikan rutin harian.
“Kalau ada pilihan yang sesuai dengan bajet dan mampu untuk mencubanya, teruskan. Yang penting, pilih apa yang terbaik untuk diri sendiri.
Setiap orang ada cara tersendiri dalam memilih makanan atau rutin kesihatan. Tidak semestinya semua orang perlu mengikut cara yang sama,” ujarnya.
Dalam erti kata lain, sihat tidak semestinya perlu bermula dengan keahlian gim mahal, makanan diet eksklusif atau peralatan lengkap.
Ia boleh bermula dengan langkah kecil seperti berjalan kaki, melakukan senaman ringan di rumah, mengawal pengambilan makanan dan memilih hidangan yang lebih seimbang. Pendekatan ini menjadikan amalan hidup sihat lebih mudah dikekalkan dalam jangka masa panjang.
Dalam masa sama, Ain mengingatkan bahawa perubahan gaya hidup tidak perlu dilakukan secara drastik.
Sebaliknya, amalan sihat perlu dibina sedikit demi sedikit agar lebih mudah dikekalkan dalam jangka panjang.
“Kita tak mungkin boleh berubah menjadi sihat dalam sehari. Mulakan perlahan-lahan, buat perubahan kecil setiap hari dan kekalkan konsisten.
Apabila usia semakin meningkat, risiko pelbagai penyakit juga bertambah. Sebab itu pemilihan makanan yang baik dan rutin senaman yang konsisten sangat penting,” katanya.
Nasihat ini penting kerana ramai wanita terlalu bersemangat pada permulaan sehingga memaksa diri melakukan perubahan besar secara mendadak. Akhirnya, tubuh menjadi terlalu letih, emosi tertekan dan rutin sihat sukar diteruskan.
Hakikatnya, gaya hidup sihat bukanlah tentang siapa paling cepat berubah atau siapa memiliki tubuh paling sempurna. Ia tentang bagaimana seseorang menghargai tubuh sendiri dengan membuat pilihan yang lebih baik setiap hari.
Latihan beban wanita bukan sekadar membantu membentuk tubuh, malah menjadi pelaburan jangka panjang untuk kesihatan fizikal dan mental. Dengan teknik yang betul, pemakanan seimbang serta konsistensi, wanita mampu menikmati kehidupan yang lebih aktif, bertenaga dan berkualiti.
Kesihatan bukan sekadar untuk hari ini, tetapi pelaburan berharga demi menikmati kehidupan yang lebih berkualiti pada masa hadapan. Seperti pesan Ain, mulakan perlahan-lahan. Slow-slow, jangan paksa.
BACA LAGI : Ekstra Cantik & Miliki Bakat Tersendiri, Selebriti Bertudung Ini Jadi Inspirasi Hijabi
Sumber : Sinarplus