Hukum Simpan Daging Korban Melebihi 3 Hari. Ini Penjelasan Ustaz Azhar Idrus

Share

Hukum melaksanakan ibadah korban bagi mazhab Syafi’ie ialah sunat muakkad. Ini kerana ia merupakan syiar Islam yang wajib ke atas orang muslim yang berkemampuan demi untuk menjaga terhadap syiar tersebut.

Selain itu, daging korban itu wajib untuk disedekahkan kepada golongan fakir dan miskin dalam kalangan orang Islam berdasarkan firman Allah SWT:

فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْبَائِسَ الْفَقِيرَ

Maksudnya: Dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin.

(Surah al-Hajj: 28)

SOALAN:

Adakah harus kita simpan daging korban lebih dari tiga hari kerana ada dengar orang yang kata tidak boleh?

JAWAPAN:

Hukum menyimpan daging korban oleh peserta korban adalah harus samada kurang dari tiga hari atau lebih.Begitu juga orang yang menerima sumbangan daging korban boleh menyimpannya atau memakannya samada orang miskin atau lainnya.

Diriwayatkan dari Buraidah r.a. berkata :

قال رسول الله صلى الله عليه وآله وسلم كنت نهيتكم عن لحوم الأضاحي فوق ثلاثة لتسع ذوو الطول على من لا طول له فكلوا ما بدالكم وأطعموا وادخروا

Ertinya : “Dulu aku melarang kamu sekelian simpan daging korban lebih dari tiga hari supaya meluaskan untuk orang yang miskin akan tetapi sekarang ini makanlah bahagian kamu dan berilah orang makan dan simpanlah.” (Hadith Imam Muslim & Ahmad)

Yang afdhal ialah dimakan dengan segera akan daging korban kerana memakan daging korban itu adalah ibadah maka lebih cepat adalah lebih elok.

Akan tetapi harus hukumnya tuan korban menyimpan daging korban untuk dimakan pada masa yang dia kehendaki.

Ada pun daging yang akan dihadiahkan kepada saudara mara dan sahabat handai afdhal dia bahagikan dengan segera.

Dan daging yang hendak disedekahkan kepada orang miskin adalah tidak afdhal disimpan jika wujud orang miskin yang memerlukannya.

Oleh kerana itulah jika dia hendak menyimpan daging korban hendaklah disimpan akan bahagian dirinya sahaja.

Berkata Imam Nawawi :

وإذا أراد الادخار، فالمستحب أن يكون من نصيب الاكل، لا من نصيب الصدقة والهدية

Artinya : “Dan apabila seorang itu hendak menyimpan daging korban maka yang disunatkan ialah dari bahagian dirinya bukan daripada bahagian sedekah dan hadiah.” (Kitab Raudah At-Talibin)

KESIMPULAN:

Tujuan utama menyembelih korban ialah memakan dagingnya dan memberi orang lain makan.

Yang afdhal ialah makan daging korban dengan segera begitu juga yang afdhal ialah bersedekah dengan segara kerana makan dan sedekah daging korban itu termasuk ibadah yang afdhal disegerakannya.

Akan tetapi jika peserta korban hendak makannya pada masa yang lain maka harus ia menyimpannya walau pun lebih dari tiga hari daripada daging bahagian dirinya bukan menyimpan bahagian sedekah dan hadiah.

 

IKLAN