Elak Terkena Covid-19, ‘Salam siku’ Ganti Berjabat Tangan

Share

Orang ramai digalakkan tidak lagi berjabat tangan sebaliknya disarankan ‘salam siku’ untuk mengelakkan penyebaran kuman berikutan kes jangkitan koronavirus (Covid-19) yang semakin meningkat di seluruh dunia.

Lapan negara telah mula mengaplikasikan salam siku ini iaitu China, Perancis, Australia, Brazil, Jerman,WHO, Romania dan Emiriah Arab Bersatu.

Cara baharu untuk menyapa antara sama lain itu mula menjadi ikutan selepas insiden Canselor Jerman, Angela Merkel menghulur tangan untuk bersalaman ditolak oleh Menteri Dalam Negeri, Horst Seehofer ketika kejadian pada Isnin lalu.

Bagi sesetengah pihak, ia mungkin kelihatan seperti satu tindakan biadab, namun Merkel berpendapat ia adalah perkara betul yang perlu dibuat.

Ketika berjabat tangan, individu memindahkan dua kali ganda jumlah bakteria berbanding ‘fist pump’ atau ‘high-five’.

“Kajian mendapati kita membawa 3,200 bakteria daripada 150 jenis spesies berbeza pada tangan kita dan secara purata kita akan bersalaman sebanyak 15,000 kali sepanjang hidup,” kata Pengarah Pendidikan Perubatan di Anglia Ruskin University di United Kingdom (UK), Nicky Milner.

Di Itali, Menteri Kesihatan, Olivier Veran juga menasihatkan orang ramai supaya tidak berpeluk atau bercium sebagai langkah membendung penularan wabak tersebut.

Sementara itu, Pengarah Penyakit Pandemik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Sylvie Brand cuba menyokong ‘salam siku’ menerusi Twitter ketika beliau mengulas tentang cara menyapa yang selamat.

Salam siku atau elbow bump mula diguna pakai oleh rakyat Liberia ketika serangan wabak Ebola selepas doktor mendakwa 80 peratus daripada selesema, demam dan jangkitan pernafasan disebarkan melalui tangan.

Sumber kredit: Sinar Harian dan Agensi

IKLAN