
Dalam kesibukan menguruskan kerjaya, keluarga dan pelbagai komitmen harian, ramai wanita sering merasakan masa untuk bersenam itu sukar dicari. Ada yang beranggapan aktiviti fizikal perlu dilakukan dalam tempoh lama, memerlukan rutin rumit atau hanya berkesan jika dilakukan di gim.
Hakikatnya, gaya hidup sihat boleh bermula dengan langkah yang sangat mudah. Brisk walking 15 minit sehari sudah memadai sebagai permulaan untuk membantu tubuh lebih aktif, bertenaga dan sihat.

Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr. Nurul Hidayah Amir, brisk walking merupakan senaman kardio yang membantu meningkatkan fungsi sistem kardiovaskular termasuk jantung dan saluran darah.
“Brisk walking ialah senaman kardio yang boleh dilakukan pada intensiti ringan hingga sederhana dan sesuai untuk hampir semua individu mengikut tahap kecergasan masing-masing,” katanya kepada Muslimah.
Jelas beliau, aktiviti ini membantu jantung mengepam darah dengan lebih cekap sekali gus membekalkan oksigen ke seluruh tubuh badan.
Brisk Walking 15 Minit Sehari Sebagai Permulaan Gaya Hidup Aktif
Bagi individu yang baru mahu memulakan gaya hidup aktif, tidak perlu terus menetapkan sasaran terlalu tinggi. Berjalan selama 10 hingga 15 minit sehari sudah cukup baik sebagai langkah awal sebelum tempoh tersebut ditambah secara berperingkat.
Dr. Nurul Hidayah berkata, perkara paling penting ialah mula bergerak terlebih dahulu. Sasaran yang terlalu besar boleh menyebabkan seseorang berasa terbeban dan akhirnya berhenti.
Ramai wanita gagal mengekalkan rutin senaman kerana terlalu fokus kepada sasaran yang sukar dicapai pada peringkat awal. Sebaliknya, memulakan aktiviti secara sederhana dan konsisten lebih mudah dijadikan tabiat jangka panjang.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), orang dewasa digalakkan melakukan aktiviti fizikal berintensiti sederhana antara 150 hingga 300 minit seminggu. Namun sasaran ini boleh dicapai secara perlahan-lahan mengikut kemampuan diri.

Senaman Praktikal Untuk Hijabi Yang Sibuk
Berjalan laju antara senaman paling mudah untuk diamalkan kerana tidak memerlukan peralatan khas. Cukup dengan kasut yang selesa, pakaian longgar, tudung yang kemas dan lokasi yang selamat.
Hijabi boleh melakukannya pada waktu pagi sebelum memulakan kerja, ketika rehat tengah hari, selepas pulang dari pejabat atau pada waktu petang bersama keluarga.
Walaupun hanya sekejap, aktiviti ini membantu mengurangkan tabiat duduk terlalu lama, melancarkan pergerakan tubuh dan membuatkan badan rasa lebih ringan.
Kelebihan lain ialah ia boleh dilakukan hampir di mana-mana. Sama ada di kawasan perumahan, taman rekreasi, trek berjalan kaki atau sekitar tempat kerja, aktiviti ini tidak memerlukan kos tambahan yang tinggi.
Manfaat Kesihatan Yang Boleh Dirasai
Amalan berjalan laju secara konsisten mampu membantu meningkatkan stamina, memperbaiki peredaran darah dan menyokong kesihatan jantung. Selain itu, aktiviti ini juga boleh membantu mengurus tekanan harian yang sering dialami oleh wanita yang mempunyai pelbagai tanggungjawab.
Apabila dilakukan secara berterusan, tubuh menjadi lebih cergas dan tahap tenaga harian turut meningkat. Ini membolehkan seseorang menjalankan aktiviti harian dengan lebih selesa dan produktif.
Tidak Semua Individu Sesuai Melakukan Brisk Walking
Walaupun berjalan laju dianggap senaman yang selamat dan mudah dilakukan, tidak semua individu sesuai melakukannya tanpa pertimbangan tertentu.
Dr. Nurul Hidayah menjelaskan, individu yang mempunyai penyakit kronik disarankan mendapatkan nasihat doktor terlebih dahulu sebelum memulakan sebarang aktiviti fizikal.
Mereka yang mengalami masalah otot, tulang atau sendi juga perlu berhati-hati. Contohnya, individu yang mempunyai osteoartritis pada lutut mungkin berasa tidak selesa atau sakit apabila berjalan laju.
Dalam keadaan tertentu, mungkin terdapat jenis senaman kardio lain yang lebih sesuai bergantung kepada tahap kesihatan individu tersebut.
Mendapatkan nasihat profesional sebelum memulakan rutin senaman baharu adalah langkah yang bijak, terutama bagi mereka yang mempunyai sejarah masalah kesihatan atau sedang menjalani rawatan tertentu.
Konsisten Lebih Penting Daripada Tempoh Yang Panjang
Manfaat kesihatan tidak akan datang dalam tempoh singkat. Ia memerlukan amalan yang konsisten dan berterusan.
Apabila seseorang kerap melakukan aktiviti fizikal, tubuh akan mula menyesuaikan diri dan menjadi lebih cekap menggunakan tenaga. Jantung juga tidak perlu bekerja terlalu kuat untuk membekalkan oksigen ke seluruh badan ketika melakukan aktiviti yang sama.
Keadaan ini menunjukkan tahap kecergasan semakin meningkat dan sistem kardiovaskular menjadi lebih cekap.
Jadi, buat hijabi yang sering merasakan diri terlalu sibuk untuk bersenam, brisk walking 15 minit sehari boleh menjadi permulaan yang realistik. Tidak perlu tunggu masa lapang yang panjang. Cukup mulakan dengan langkah kecil, lakukan secara konsisten dan jadikan ia sebahagian daripada rutin harian.
Kesihatan adalah amanah yang perlu dijaga. Walaupun hanya 15 minit sehari, usaha kecil ini mampu menjadi langkah awal ke arah tubuh yang lebih aktif, cergas dan seimbang. Dengan disiplin yang berterusan, perubahan positif terhadap kesihatan fizikal dan mental boleh dicapai sedikit demi sedikit.
BACA SINI : “Cut Gula, Makan Jangan Penuh Pinggan” KHIRIAH Kongsi Cara Selamat Kurangkan Berat Badan
Tampil #1 on top dengan fashion muslimah terkini di HIJABISTA!
Download sekarang di




