‘Berdosanya Saya’- Datin Alyah Tak Mahu Lagi Rakam Lagu Kisah Cinta Terhadap Manusia

Share

Penyanyi terkenal iaitu Datin Alyah meluahkan rasa kesalnya kerana sering menyanyikan lagu cinta terhadap manusia dan bukan kepada Tuhan sepanjang 20 tahun beliau bergelar anak seni.

Sempena bulan mulia ini, beliau juga turut memohon maaf kepada semua kerana merasakan lagu nyanyiannya membawa pengaruh tidak baik kepada sesiapa yang mendengarnya.

“20 tahun saya berjalan sebagai seorang penyanyi, saya menyanyi lagu cinta,lagu sengsara,lagu sedih,lagu curang,lagu kecewa kebanyakan lagu-lagu saya semua berunsur cinta kepada manusia.

“Di bulan Ramadhan yang mulia ini, saya ingin memohon kemaafan atas pengaruh yang saya bawa selama ini. Nyanyian saya menitiskan airmata kamu dan menitis kerana kasih pada manusia bukan kerana kasih kerana Allah SWT, bukan kerana para rasul, bukan kerana para ilmuan agama.

“Bersalahnya saya pada kamu dan berdosanya saya pada kamu. Saya mohon ampun atas kekhilafan saya selama ini dalam mengejar populariti. Sayalah yang berdosa. Saya juga amat naif dan sayalah yang bersalah,” luah isteri kepada Dato Ramli M.S ini di laman instagramnya.

Tambahnya, beliau mengambil keputusan untuk tidak merakamkan lagi lagu berkisah cinta terhadap manusia selepas ini.

“Mulai saat ini, saya tidak akan merakamkan lagi apa-apa lagu cinta terhadap manusia dan lagu buat kekasih yang akan membuatkan kamu terbuai dan lupa pada Maha Pencipta. Mohon maaf atas keputusan ini. Selamat berpuasa semua,” jelas pelantun lagu Tak Mungkin Kerana Sayang ini.

 

IKLAN