Diam tak diam sudah hampir dua tahun pelakon tinggi lampai ini mengambil keputusan berhijrah. Ternyata Syarizah Ibrahim atau sinonim dengan panggilan Sherry Ibrahim kelihatan lebih cantik dan jelita dengan hijab yang dililit cukup kemas. Mengimbas perjalanan hijrahnya, hidayah muncul tatkala dirinya dibelenggu perasaan dendam kesumat terhadap seseorang. Kedengaran agak pelik namun demikianlah hakikat yang harus ditelan oleh bekas pramugari ini.
Ternyata perubahan terbesar yang dilakukan ini merupakan pengorbanan khusus buat kedua ibu bapanya tercinta. Demi kebahagiaan mereka, pengorbanan yang tinggi benar-benar diperlukan walaupun kedengaran agak mudah.
Begitu juga dengan apa yang dilalui pelakon serba boleh Sherry Ibrahim. Membuat keputusan untuk tampil berhijab meletakkan dirinya sebagai satu titik permulaan baharu sebagai wanita Muslimah yang lebih diredhai-Nya.
Penampilannya di khalayak ketika sambutan majlis ulang tahun kelahirannya yang ke-33 pada April tahun 2016 merupakan kemunculan pertamanya secara berhijab.
“Sebenarnya, saya sudah lama terdetik untuk berhijrah (dengan mengenakan hijab), tetapi pintu hati masih belum terbuka. Lorongan neon itu saya temui pabila pada satu hari itu saya iba-tiba terdetik untuk memakai tudung.
“Ibu bapa jadi insan pertama melihat saya berhijab. Kedua-duanya seakan terkejut dan sukar untuk mempercayai penghijrahan yang saya lakukan. Mereka sendiri tidak menyangka saat akhirnya saya mengambil keputusan untuk berubah,” ujar Sherry.
Tatkala diri terlalu mendambakan ketenangan, Sherry tekad melepaskan kesumat yang menghantuinya dengan memaafkan mereka dan memohon kemaafan daripada kenalan-kenalannya.
“Apabila diimbas masa lampau, memang saya akui banyak melakukan kekhilafan. ‘Nobody is perfect’. Saya juga pernah menyimpan dendam terhadap seseorang dan ia sebenarnya seperti beban yang sangat berat perlu saya pikul.
“Sehinggalah pada suatu malam, saya bermuhasabah diri seorang diri di kamar dan ‘flashback’ semula apa yang pernah saya lakukan sebelum ini. Terdetik di hati untuk memaafkan semua orang dan meminta maaf dengan mereka yang terdekat dengan saya.
“Tidak dinafikan, selepas saya melakukannya jiwa saya menjadi lapang dan merasai ketenangan yang tidak pernah saya kecapi sebelum ini. Saya rasa seperti menjadi Sherry yang baru. Lagi pula tarikh hari lahir saya sudah hampir pada ketika itu. Jadi, saya buat keputusan drastik untuk berhijab sekali gus dapat menggembirakan kedua orang tua saya,” ujarnya lagi.
Mengakui berhijab sebagai satu kewajipan sedia ada yang perlu dilaksanakannya sebagai orang Islam, sekurang-kurangnya Sherry masih punya peluang untuk disapa hidayah. Dia berasa bertuah kerana dipilih untuk merasai satu penghijrahan yang boleh disifatkan sebagai satu momen cukup indah dalam hidupnya.
Ads
Bergelar artis, isu bertudung mungkin kelihatan klise. Realitinya, dia tidak mampu menutup semua mulut. Biarpun ada yang mulut-mulut tepi yang mendakwa pelakon yang hit dengan drama Cinta Ibadah itu sekadar mahu meraih tumpuan media, Sherry punya pendirian dan pegangan sendiri.
Baginya, dia cukup ikhlas dengan perubahan imej baharunya itu. Apa yang penting nawaitu untuk berhijrah itu biarlah urusan dia dan Sang Pencipta. Justeru bagi Sherry, dia tidak mahu dilabel sekadar mahu bertudung sahaja. Baginya, dia mahu aspek sebenar pemakaian tudung itu dibuat secara sesempurna yang boleh mengikut syariat.
Sebagai orang baru berhijrah, dia mengakui agak kekok ketika mahu mengenakan tudung. Banyak perkara yang perlu dipelajarinya. Jika sebelum ini dandanan rambut menjadi perhatian, kini fokusnya tertumpu kepada teknik pemakaian hijab.
Gemar Pakai Instan
“Permulaannya memang agak kekok untuk menggayakan hijab. Saya cuba juga untuk membuat lilitan walaupun pada awal tu memang tidak kemas. Tetapi lama-kelamaan keselesaan mula dirasai.
“Jika ditonton tutorial di laman web dan mencubanya, saya rasa tidak selesa kerana tidak menjadi. Sebab itu, saya pakai tudung ‘instant’ yang banyak ada di pasaran sekarang. Tetapi saya terus belajar untuk lilit-lilit tudung ni,” jelas Sherry.
Biarpun masih baru, menurut Sherry, penampilan baharunya itu juga mahu diselarikan dengan imej penampilannya secara keseluruhan. Justeru, dia tidak mahu lagi mengenakan sebarang pakaian yang boleh disifatkan sebagai mencolok mata. Sebolehnya, biarlah ia menepati garis panduan pemakaian seorang Muslimah sebenar.
“Sekarang saya tidak mahu menggayakan busana yang ketat sehingga menampakkan bentuk badan. Memang saya cuba elakkan. Ada juga persalinan yang masih boleh dipakai. Cuma saya perlu suai padankan sahaja.
“Sekarang ini, kena banyakkan koleksi baharu, terutamanya skarf,” ceritanya yang juga merupakan pemenang tempat kedua program realiti Gempak Superstar musim lalu. Sherry juga kini sedang sibuk menguruskan perniagaan kosmetiknya.
Sesungguhnya hidayah Allah itu datang dalam situsi yang tidak kita duga. Sebagainya hamba-Nya kita patut bersyukur dengan hidayah yang dikurniakan pada kita. Seperti perkongsian wanita mualaf ini yang dipilih untuk menerima hidayah dari Allah SWT. Tetapi dalam masa sama diduga dengan satu peristiwa yang memberi tamparan besar dalam hidupnya. Bekas pramugari Nur Amiraa Ann Lee Abdullah sangat bersyukur dipilih oleh Allah untuk mengenali Islam walaupun Tuhan menduganya apabila mengambil nyawa insan tercinta, suaminya di awal penghijrahan.
Perkongsiannya bergelar mualaf dalam laman sosial youtube ini begitu menyentuh hati. Menurut Amira, dia mengenali arwah suaminya pada tahun 2009 dan hubungan mereka jadi rapat hinggalah beberapa bulan menyuarakan hasrat untuk berkahwin.
“Ketika itu saya bagi tahu dia, kalau U bukan Islam, memang saya akan terus kata yesss. Namun saya beritahu perlukan masa dan belajar untuk mendalami Islam supaya boleh ikut untuk jadi seorang Muslim yang bagus atau tidak.
“Jadi kemudian saya mula belajar kursus untuk mualaf. Setelah lima hari hati saya benar-benar terbuka setelah mendengar ceramah yang disampai oleh seorang ustazah. Malam itu saya tak boleh tidur sebab takut bila saya tertidur tadi tak bangun dan tidak sempat ucap syahadah.
“Saya memang sangat takut ketika itu walaupun tak pasti ketika itu arwah suami betul-betul ajak kahwin atau tidak,” ungkap Amira yang kemudiannya selepas tiga hari terus mengambil keputusan mengucap khalimah syahadah.
“Pada tahun 2009 jugalah saya bergelar seorang mualaf. Dan sejak dari itu saya terus belajar dan pergi kursus untuk mendalami agama Islam. Namun tidak dinafikan saya juga turut berdepan dengan cabaran dan dugaan ketika awal-awal bergelar mualaf.
“Ketika itu saya masih tinggal dengan keluarga dan kita lihat penerimaan keluarga jadi lain sedikit. Maklumlah ketika itu kita tidak boleh makan sama dengan mereka. Malah kakak saya juga rasa sedih bila lihat perubahan diri saya.
“Katanya kenapa kena pakai hijab sedangkan orang lain tak pakai pun hijab. Namun saya terangkan padanya walaupun saya berhijab, hubungan kita sekeluarga tetap tidak akan berubah,” ceritanya lagi yang turut melihat ibunya juga seperti tidak gembira dengan penghijrahannya itu.
“Mak memang nampak tak happy pada mulanya. Setiap kali dia masak dan ajak makan saya akan cakap kenyang. Tetapi sebenarnya kerana saya memang tak boleh makan menggunakan kuali yang keluarga saya gunakan.
“Tapi saya tidak sampai hati nak beritahu pada mak. Emak cakap kenapa tak makan sebab ayam bukan haram. Lepas tiga bulan barulah saya beritahu emak sebab kenapa sering elak makan bersama.
“Saya bagi tahu saya tidak boleh makan menggunakan kuali yang sama dan ayam perlu dibeli yang disembelih terlebih dahulu. Emak kemudiannya membeli kuali baru untuk saya dan keadaan ini membuatkan saya terharu,” tambah Amira yang berkata keluarganya mengambil masa untuk menerima penghijrahan yang dilakukan.
Menurutnya dia juga turut berdepan pengalaman dalam menjalankan tanggungjawab sebagai seorang Muslim dan juga pekerja ketika bekerja dengan MAS.
“Saya akui pada mulanya memang tak pandai nak jaga solat. Saya tahu solat lima waktu dan saya kumpulkan semua solat itu dan melakukannya apabila balik rumah. Bayangkan saya solat sampai tertidur dalam rakaat. Masa itu saya masih lagi dalam proses belajar mengenal Islam.
“Kemudian baru saya sedar cara itu adalah salah dan kita perlu solat ketika masuk waktunya. Tahun kedua masuk Islam barulah saya tahu kita boleh solat jamak. Saya masih ingat lagi satu peristiwa di mana ketika itu flight delay dan saya nak solat jamak untuk Zuhur dan Asar.
“Saya pergi ke tandas untuk buang mekap dan segera ambil wuduk untuk sempurnakannya. Tetapi bila saya nak angkat takbir dengar suara azan Maghrib. Waktu itu saya rasa cukup bersalah pada Tuhan. Saya menangis tersedu-sedan.
“Saya fikir Allah beri saya segalanya tapi kenapa saya tak boleh nak sempurnakan arahannya yang satu itu, iaitu solat. Memang saya tak boleh tahan diri untuk menangis hinggakan orang dalam surau pun berpandangan melihat kelakuan saya itu. Waktu itu saya berdoa agar Allah bukakan jalan untuk saya,” ceritanya yang kemudian bertemu jodoh dengan arwah suaminya.
“Sebelum itu saya asyik bertanya pada diri saya. Kalau tak jadi kahwin pun saya still lagi jadi Muslim. Saya tanya diri masuk Islam sebab nak kahwin tapi tahu ke nanti berapa panjang jodoh kita. Saya tanya banyak kali persoalan itu kalau jodoh tak panjang, betul ke saya masih Islam, masih lagi berpegang pada Islam, betul ke tetap nak jadi Islam dan jawapannya memang Ya. Walaupun pelbagai cabaran saya tetap mahu jadi seorang Islam.
“Saya masih lagi bekerja walaupun ketika itu sudah berkahwin. Dan ditakdirkan pula mengandung dan saya melahirkan anak pertama kami pada hujung Disember 2012. Tapi siapa sangka tahun depannya itu arwah suami saya, Mohamad Norasyrul Nordin telah disahkan menghidap leukimia pada hari jadi saya.
“Setelah tahu dia sakit dan perlu jalani rawatan, saya ambil keputusan berhenti kerja sebagai pramugari. Saya jaga dia di hospital dan kami sama-sama melawan penyakit yang dideritainya. Saya sentiasa yakin Allah berikan seseorang itu penyakit kerana Allah sayang padanya.
“Walaupun saya sedih tetapi ada kalanya turut rasa down. Bukan senang untuk berhadapan dengan ujian maha hebat ini. Malah kalau diberi peluang biarlah saya yang tanggung segala kesakitannya tapi ia mustahil.
“Dan akhirnya memangf Allah lebih menyayanginya. Suami saya meninggal dua minggu sebelum ulang tahun kelahiran pertama anak perempuan kami,” ujarnya yang mengakui tidak mudah berhadapan dengan situasi berkenaan.
“Bagi saya itulah cabaran paling besar sepanjang bergelar mualaf. Saya tahu Allah tak akan uji jika kita tak mampu. Memang saya sangat down ketika itu. Malah hubungan dengan anak juga tidak begitu rapat kerana saya terpaksa meletakkan dia dalam jagaan keluarga mentua sepanjang saya menjaga suami yang sakit di hospital.
Tetapi kemudianya saya tahu saya perlu bangkit dari kesedihan ini. Saya bertemu saudara baru yang lain dan ketika itu barulah saya tahu ada lagi mualaf lain yang lagi susah situasinya berbanding saya. Misalnya tidak diterima keluarga atau perkara lain.
“Saya reda setiap yang berlaku ada hikmahnya. Saya tahu Allah bukakan pintu hati saya untuk memeluk agamanya yan suci. Saya sedar Allah telah pilih saya dan saya juga memilih Islam sebagai pegangan hidup. Inilah yang memberikan saya semangat,” tambah Amira yang turut dipuji ibunya kerana telah menjadi insan lebih baik dari sebelumnya.
“Hubungan saya dengan keluarga cukup baik. Saya akan bersama-sama mereka meraikan semua perayaan ataupun jika ada majlis babitkan sanak saudara lain. Saya tiada masalah ke arah itu dan mereka juga faham situasi saya sebagai seorang Muslim.
“”Saya tidak boleh pilih untuk dilahirkan sebagai bukan Islam tapi saya memilih untuk mati dalam Islam. Bila ada orang tanya kenapa kena pakai tudung panjang-panjang (labuh)? Saya akan jawab Kalau saya mau pakai tudung saya akan pakai tudung betul-betul.
“Arwah suami pesan, kalau awak nak pakai tudung kerana saya, bila saya sudah tiada awak akan pakai tudung, buka tudung..pakai tudung buka tudung! Tapi kalau awak pakai tudung kerana Allah SWT, awak akan pakai tudung sampai bila-bila,” tambahnya yang tidak pernah lupa akan pesanan arwah suaminya itu sampai bila-bila.
Menurut Amira juga salah satu anugerah terbesar dalam hidunya adalah menjadi seorang Muslim dan dapat merasai kemanian iman itu. Justeru dia berharap sekiranya dia meninggal nanti berharap agar ada orang yang akan uruskan jenazahnya kerana seluruh ahli keluarganya bukanlah beragama Islam.
Hijabista ucapkan semoga dia terus istiqomah dan kekal dengan cara hidup sebagai seorang Muslim.
Suatu ketika dulu dia antara penyanyi wanita yang amat disegani. Malah begitu berani beraksi dalam setiap persembahannya. Tetapi hidayah Allah datang tanpa diduga dan hari ini Mizz Nina yang kita lihat jauh dari bayangan lama. Ternyata personalitinya sudah jauh berubah dan menjadi insan lebih istiqomah. Kalau dulu dia banyak habiskan masa dengan menyanyi, tetapi kini rutin hariannya digantikan dengan membaca Al-Quran dan menghadiri kelas mengaji.
Isteri kepada penyanyi Noh Salleh ini tidak lagi memikirkan dunia seni sebaliknya seronok mempelajari minat barunya iaitu belajar, memahami dan melaksanakan Al-Quran.
Bercakap kepada Mstar Online, Mizz Nina atau nama betulnya Syazrina Azman memberitahu dakwah, kasih sayang untuk manusia dan kemusiaan itu yang memberikan dia ketenangan sebenar serta kepuasan dalam hati.
Mizz Nina berkata begitu ketika menjawab soalan rawak di laman Instagram yang bertanyakan kenapa dia tidak lagi menyanyi.
Dalam temubual terdahulu, Mizz Nina memberitahu pada setiap pagi dia akan membaca Al-Quran dan hujung minggu pula dihabiskan dengan menghadiri kelas mengaji. Amalan ini menjadikan dirinya rasa lebih tenang dan seronok menjalani hari-harinya.
“Walaupun kadang-kala ada juga perasaan malas tapi saya paksa juga. Lama-kelamaan sudah menjadi amalan setiap hari,” tambahnya lagi yang turut ditanya bagaimana dia boleh sentiasa berfikiran positif.
Menurutnya dia Allah, Al-Quran dan Sunnah bersamanya untuk terus kekal bermotivasi biarpun menempuh pelbagai dugaan hidup.
“Mempunyai Allah, Al-Quran dan Sunnah bersama saya merupakan semua yang saya perlukan untuk kekal bermotivasi, kalau dunia menentang saya.
“DIA (Allah) adalah pencipta tujuh syurga dan bumi dan semuanya, tiada yang lain sebelumNya dan selepasNya.
“DIA yang memelihara, menyediakan, melindungi, kita, kenapa perlu saya bimbang? Mempunyai iman dan tawakal pada Allah adalah kunci,” katanya yang mula memakai hijab pada 2013 dan kehidupannya turut berubah semenjak penghijrahan tersebut.
Satu demi satu kita lihat selebriti kita telah melakukan penghijrahan terutama daripada segi penampilan. Ternyata penghijrahan yang dibuat ini menggembirakan hati ramai peminat yang memang sentiasa mengikuti perkembangan artis kesayangan mereka. Salah seorang adalah bekas penyampai radio, Fara Fauzana yang berhijrah pada tahun 2014. Dia yang sebelum ini berpengalaman hampir 10 tahun bekerja pagi di stesen radio swasta HOT FM.
Sepanjang tempoh itu, dalam satu perkongsiannya Fara memberitahu ramai yang berkata ‘untungnya kerja pagi sebab, Subuh mesti tak tinggal’. Namun dia mengakui lima tahun pertama tidak menunaikan solat Subuh.
Ini kerana terikat dengan jadual kerja pagi yang memerlukan dia berada di studio seawal jam 6 pagi. Waktu itu sudah bermula siaran dan dalam masa sama juga waktu Subuh sudah masuk. Jadi dia terfikir bagaimana untuknya meninggalkan studio ketika itu, macam mana nak solat dan di mana mahu solat.
Lagipun pelbagai alasan seperti surau jauh dan masalah lain yang menyukarkan menyebabkan Fara langsung tidak menyempurnakan solat Subuh pada 5 tahun pertama.
Namun kesedaran untuk melakukan suruhan wajib Tuhan ini datang sedikit demi sedikit pada dirinya. Dia waktu itu melihat kenapa teman-teman lain boleh melakukan solat Subuh dengan mudah. Dan mereka juga tidak pernah memberitahu padanya, ‘eh tak solat ke’ atau ‘tak Subuh ke’ dan dia sangat respek pada teman-temannya yang memang tak pernah bertanya padanya soal itu.
“Seperti juga dalam radio, saya juga sebenarnya seorang yang banyak cakap. Jadi saya tidak mahu orang mengatakan saya ‘munafik’ dan saya cuba belajar awal-awal misalnya terpaksa solat secara bersembunyi kerana tidak mahu dikatakan menunjuk. Sebenarnya saya takut jika orang lihat apa yang saya buat itu tidak betul.
“Namun saya cuba buat (solat Subuh). Pada mulanya memang sukar kerana kekangan masa dan sebagainya, tetapi lama-kelamaan saya belajar dan rasa ada tanggungjawab untuk menjadi ‘a good Muslim’, ia menjadi mudah dan daripada situ saya mula berubah sedikit demi sedikit,” ujar Fara Fauzana dalam perkongsiannya itu.
Fara juga banyak bercerita pengalamannya ketika tidak bertudung sebelum itu dan perlu hadir dalam beberapa anugerah. Menurutnya kebanyakan anugerah bermula jam 8 malam dan perlu mekap seawal jam 5 petang.
“Dalam hal ini, secara jujurnya memang akan ada yang tanya ‘tak solat Maghrib ke’? Memang saya tak buat dan biasanya hanya akan qada sahaja. Tetapi apabila saya lihat benda itu sebenarnya mudah dan tahu untuk mengawalnya, saya belajar nak jadi yang baik.
“Ketika saya jadi pengacara anugerah berkenaan yang bermula jam 9 malam, setelah saya siap mekap dan sebelum memakai tudung, saya akan solat dulu. Sekarang ini rasanya lebih mudah kerana di ‘back stage’ ada disediakan ruang untuk kita menunaikan solat.
“Dan sekarang ini tiada lagi situasi di mana orang melihat solat itu hanya untuk menunjuk sahaja. Saya tak perlu segan jika ada yang kata menunjuk kerana solat depan orang. Ini kerana niat memang ikhlas kerana Allah,” jelasnya juga yang berubah sedikit demi sedikit dengan memakai selendang sebelum berhijab sepenuhnya. Ini kerana Fara Fauzara tidak mahu bila pakai dan akan buka nanti bila kerana belum bersedia sepenuhnya.
Sejujurnya ketika di awal penghijrahannya dia berkira-kira bagaimana mahu istiqomah dan menjadi Muslim yang lebih baik. Dia juga beruntung ketika itu kerana bekerja di bawah bossbukan Islam yang Amat memahami dan tidak mengalami masalah apabila memohon untuk mengelak daripada melakukan tugasan ‘Panggilan Hangit’ dan juga ruangan ‘Gosip’.
Admin terharu mendengar pengalaman Fara Fauzana yang berkongsi dalam satu majlis ilmu ‘Perjalanan Menuju Taqwa’, di Putrajaya awal Mei lalu. Ternyata hidayah Tuhan diberikan dalam pelbagai cara. Moga Fara terus istiqomah dalam memperjuangkan agama Islam.
Dulang girls Muslim dalam majlis bukan Islam mencetuskan persoalan. Mufti menjelaskan hukum perlu dilihat berdasarkan tujuan, konteks dan unsur ritual.