Sekarang ini seperti menjadi trend, setiap kali ada cuti panjang ramai antara kita terutama mereka yang bertugas sebagai guru mengambil peluang melawat beberapa tempat menarik di luar negara. Apatah lagi tiket tambang murah yang sering membuat promosi menyebabkan ramai yang mengambil kesempatan  bercuti sama ada secara group atau individu.

Tiada halangan atau alasan tiket mahal atau tidak tahu kerana sekarang semua maklumat kini hanya di hujung jari. Seperti perkongsian wanita ini yang juga merupakan seorang guru di sebuah sekolah menengah. Biarpun mengajar jauh di luar bandar demi anak bangsa, tetapi Haitun Kamarazaman tidak melepaskan peluang untuk berkembara di bumi asing setiap kali cuti persekolahan.

Momen percutian lalu ke Paris

Dan sebagai seorang wanita Muslimah, guru yang mengajar di Sekolah Menengah Koyan dalam subjek Bahasa Melayu ini tetap tidak meninggalkan sesekali kewajipan bersolat. Baginya, tidak kira walau di mana berada, SOLAT itu adalah kewajipan dan tiada alasan untuk tidak menunaikannya.

Oleh sebab itu, jika pergi bercuti di tempat yang sukar untuk berjumpa masjid, beliau akan mempersiapkan segala keperluan dirinya untuk menunaikan kewajipan fardu itu. Sebelum ini, banyak sudah tempat yang dilawati seperti Osaka, Jepun, Paris, Belgium, Amsterdam dan banyak lagi. Dan sempena cuti Deepavali tempoh hari, beliau telah mengambil kesempatan bercuti ke beberapa tempat menarik di India.

Kali ini meneroka bumi India.

Beliau pergi bersama rombongan guru dari Kuala Lipis dan turut membawa seorang anak lelakinya, Mohd Aidil Mukhreez. Memilih pergi ke India kerana mahu melihat sendiri  keindahan alam semula jadi di  beberapa kawasan terutama di Khasmir dan Taj Mahal yang merupakan satu daripada tujuh perkara ajaib di India. Beliau turut kagum dengan kegigihan saudara semuslim yang  mencari rezeki di sana. Juga Kashmir dikatakan mempunyai cuaca sejuk dingin yang menyenangkan.

IKLAN
Jauh perjalanan luas pemandangan.

Jika dilihat dalam facebook miliknya, Haitun berpakaian seperti wanita Muslimah lengkap berstoking dan tudung labuh di hadapan Taj Mahal walaupun dalam keadaan cuaca yang sangat panas sehingga mencecah 32 darjah selsius. Sebenarnya ada sebab kenapa beliau berpakaian begitu. Menurutnya, ini adalah untuk memudahkan dia bersolat dan perlu menunjukkan identiti sebagai wanita Muslim walau di mana sahaja berada. Tiada alasan panas dan dia cukup selesa dan rasa lebih selamat berpakaian demikian.

Tidak kekok berbaju kurung dan bertudung labuh di bawah panas terik, Taj Mahal.

“Saya memang dah banyak kali travel ke tempat orang. Memang setiap kali cuti sekolah saya akan berusaha untuk melihat negara luar kerana banyak pengalaman boleh kita peroleh sepanjang percutian itu nanti. Juga untuk tambah ilmu dan boleh kita kongsi kegembiraan itu dengan anak murid. Bukan setakat makan angin, tetapi sebelum menjelajah setiap inci saya akan membuat research terlebih dahulu. Misalnya daripada segi masyarakat, budaya, agama dan makanannya.

IKLAN
Salah satu tempat menarik di sini, Amber Fort.

“Bagi saya tiada masalah pergi bercuti sementelah tubuh masih kuat dan sihat ini. Dan setiap kali bercuti juga saya memang akan bawa seorang anak. Biasanya ikut turn masing-masing dan tidak timbul pilih kasih. Tujuan saya cuma satu supaya dapat create memory bersama anak-anak dan  mahu mereka menambah pengalaman melihat tempat orang. Namun sebelum pergi saya akan ingatkan anak-anak agar menjaga tingkah laku di tempat orang dan perlu ada sikap sabar sepanjang travel,” ujar Haitun juga seorang guru aktif yang bersukan.

Tidak lupa membawa anaknya setiap kali bercuti.

Menurutnya juga, sepanjang berada di Khasmir dia tidak menghadapi masalah makanan kerana masyarakat di sini majoriti adalah Muslim. Cuma ketika berada di Delhi, rombongan mereka telah membawa bekalan seperti sambal hitam Lipis dan sambal bilis. Namun mereka semua tidak ada masalah untuk makan makanan vege.

IKLAN

“Sebenarnya setiap kali bercuti, saya memang sangat particular bab SOLAT. Oleh sebab itu, saya tak kisah berbaju kurung, stoking dan tudung labuh kerana memang memudahkan untuk solat. Tak perlu cari telekung kerana pakaian kita sudah menutup aurat. Biarlah apa orang kata janji ia menyenangkan untuk bersolat.

“Dan segala gambar yang saya post dalam FB milik peribadi bukan tujuan menunjuk, cuma sekadar berkongsi pengalaman bersama rakan lain. Tidak ada maksud lain yang boleh membawa kepada riak. Tambahan pula ramai rakan yang request untuk berkongsi gambar-gambar menarik semasa di luar negara.

Bersama seorang teman, Faziah Jaafar (depan sekali) yang turut serta trip kali ini.

“Kita tahu jika pergi ke tempat orang, memang agak sukar untuk bersolat tetapi jangan jadikan ia alasan untuk elak daripada melakukannya. Nasihat saya kepada mana-mana wanita Muslimah yang pergi bercuti tempat orang, jangan lupa untuk SOLAT dan kalau boleh teruskan amalan yang kita sudah biasa buat di rumah misalnya mengaji.

Agra, Taj Mahal.

“Ini kerana dalam perjalanan ramai yang saya jumpa tidak menjaga SOLAT. Jadi kembara kita menjadi sia-sia andainya kita mengabaikan solat.  Namun ada juga sahabat-sahabat yang tetap tidak meninggalkan amalan mengaji dan juga BERTAHAJJUD  semasa berkembara”, jelasnya lagi yang tidak putus-putus mengingatkan kepada wanita agar memakai pakaian yang senang untuk bersolat jika TRAVEL.

Sebelum mengakhiri perbualan, ibu kepada 5 cahaya mata ini juga turut memberi tip bagaimana mengumpul duit secukupnya untuk pergi bercuti. Menurutnya, setiap bulan dia akan allocate sedikit wang gaji untuk keperluan pergi bercuti. Disiplin itu penting kerana nawaitu untuk melihat tempat orang sambil mengutip ilmu itu penting dan pasti segala urusan akan dipermudahkan Allah.

Akan berkongsi pengalaman menarik di India dengan pelajarnya nanti.

5 TIP PALING MUDAH KETIKA TRAVEL:

1. Set minda awal-awal sebab kita bukan berada di tempat sendiri.

2. Prepare ubat-ubatan.

3. Makanan kering dari Malaysia seperti serunding, sambal bilis dan sambal hitam sangat membantu selera. Bimbang jika perut tidak serasi dengan makanan luar.

4. Pakaian yang sesuai dan menutup aurat.

5. Bawa pen dan buku nota. Jangan lupa tulis segala catatan pengalaman.

Tampil #1 on top dengan fashion muslimah terkini di HIJABISTA!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI