Hiburan

Zizi Kirana Reda Dengan Perceraian, Akui Tidak Pernah Menyesal Berkahwin

Share

Penyanyi Zizi Kirana mengakui tidak pernah menyesal dengan keputusan mendirikan rumah tangga bersama pelakon Yusuf Bahrin, meskipun hubungan mereka akhirnya berakhir dengan perpisahan.

Bagi Zizi atau nama sebenarnya Nur Fazelah Mad Tahil, 40, pengalaman tersebut bukan sesuatu yang perlu diratapi selama-lamanya. Sebaliknya, dia melihatnya sebagai sebahagian daripada ujian kehidupan yang diberikan Allah SWT untuk mengajar dirinya erti reda, sabar dan melepaskan sesuatu yang disayangi.

Menerusi satu temu bual dalam podcast Confession Bilik Gelap, Zizi berkata ujian itu membuatkan dirinya sedar bahawa segala yang dimiliki di dunia ini bukan hak manusia sepenuhnya, sebaliknya hanyalah pinjaman daripada Allah SWT.

Zizi Kirana Belajar Melepaskan Sesuatu Yang Disayang

Menurut Zizi Kirana, pengalaman itu menjadi titik penting yang mengubah cara beliau melihat kehidupan dan setiap ujian yang hadir.

“Saya tidak pernah menyesal berkahwin.

Sebab saya rasa, itu adalah separuh daripada ujian. Sikit ujian yang Allah bagi dekat saya untuk melepaskan sesuatu yang kita sayang.

Di situ juga saya belajar sebenarnya, apa sahaja dekat dunia ini bukan milik kita pun,” katanya.

Menurut Zizi, pengalaman tersebut membuatkan dirinya banyak bermuhasabah tentang hakikat kehidupan. Katanya, perkara yang paling disayangi seseorang kadangkala menjadi medan ujian daripada Allah SWT.

“Masa itu saya terfikir macam, benda yang kau paling sayang ini, Allah akan uji sebenarnya.

Bila Allah uji, saya kena belajar untuk melepaskan.

Itu sahaja yang saya fikir waktu itu, ‘Ini semua bukan saya punya, ini semua Allah punya’. Tak ada yang kekal,” luahnya.

Kata-kata itu memperlihatkan sisi matang Zizi Kirana yang memilih untuk menerima takdir dengan hati terbuka walaupun proses untuk sampai ke tahap reda bukanlah sesuatu yang mudah.

Zizi Kirana Pernah Menangis Selama Setahun Setengah

Dalam masa sama, Zizi Kirana turut mengakui pernah melalui tempoh kesedihan yang panjang ketika berdepan kemelut rumah tangganya.

Walaupun orang ramai melihat dirinya tenang ketika hadir ke mahkamah, Zizi menjelaskan bahawa ketenangan itu hadir selepas melalui proses emosi yang sangat berat.

“Jadi itulah saya cakap kenapa benda itu saya hadapi sampai orang cakap saya pergi mahkamah pun boleh tenang.

Sebenarnya tak mudah, saya ada menangis apa semua.

Setahun setengah saya menangis.

Jadi saya pernah menangis dan saya jujur saya melalui proses itu, sebab saya juga manusia,” ujarnya.

Luahan tersebut memberi gambaran bahawa di sebalik ketenangan yang dipamerkan, ada luka dan air mata yang pernah dilalui secara diam-diam sebelum akhirnya mampu menerima kenyataan.

@syoksyoksyok Dalam episod ini, Zizi membuka cerita tentang pengalaman menyertai Program Sumud, bagaimana perjalanan itu memberi kesan besar dalam membentuk dirinya sebagai seorang Muslimah, serta cabaran yang dihadapi dalam usaha untuk terus istiqamah. Turut dikongsikan bagaimana beliau menghadapi ujian daripada Allah SWT dengan penuh sabar, mencari kekuatan melalui iman, dan menerima setiap fasa kehidupan sebagai proses untuk menjadi insan yang lebih baik. #ConfessionBilikGelap
#ZiziKirana #PodcastMalaysia #SYOKPodcast #Penghijrahan#Sumud#Hijrah #fyp@sudyrtahir @zizikiranaofficial ♬ original sound – SYOK

Reda Dengan Ketentuan Allah SWT

Bagi ramai wanita, perpisahan bukan sekadar berakhirnya sebuah hubungan, tetapi juga proses untuk membina semula kekuatan diri. Begitu juga dengan Zizi Kirana yang memilih untuk tidak menyalahkan takdir, sebaliknya menerima segala yang berlaku sebagai sebahagian daripada perjalanan hidupnya.

Sikapnya yang tenang, tidak membuka aib dan terus menghormati fasa kehidupan yang pernah dilalui membuatkan ramai kagum dengan kekuatan dirinya dalam menghadapi ujian.

Terdahulu, Yusuf Bahrin dan Zizi Kirana sah bercerai talak satu secara raji’e di Mahkamah Rendah Syariah Petaling.

Untuk rekod, pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 19 September 2021 dan tidak dikurniakan cahaya mata sepanjang tempoh perkahwinan mereka.

Perkongsian Zizi Kirana menjadi peringatan bahawa tidak semua ujian perlu dilihat sebagai kehilangan semata-mata. Ada kalanya, ujian hadir untuk mengajar seseorang menjadi lebih kuat, lebih reda dan lebih dekat dengan Allah SWT.

Buat wanita yang sedang melalui fasa sukar, luahan beliau membuktikan bahawa menangis bukan tanda lemah. Sebaliknya, ia adalah sebahagian daripada proses penyembuhan sebelum seseorang kembali bangkit dengan hati yang lebih tenang dan menerima ketentuan-Nya.

BACA LAGI : Zizi Kirana Dedah Rahsia Kulit ‘Bebas Masalah’, Hijabi Perlu Jadikan 1 Bahan Ini ‘Sahabat’ Baik!

Sumber : TikTok

Related Post
Published by
Nana