Datuk Seri Siti Nurhaliza antara selebriti popular yang menabur bakti dan berusaha membantu peniaga-peniaga kecil yang terkesan dek pandemik Covid-19 menerusi promosi di akaun media sosial miliknya. Berkongsi kisah tersebut kepada media ketika pelancaran Koleksi Lebaran Swarovski, penyanyi nombor satu negara ini sempat menitiskan air mata saat menceritakan kisah tersebut.

Pengacara majlis ketika itu bertanya, “Datuk Seri pernah tersenarai dalam Forbes Asia 100 Digital Star, senarai yang mempamerkan selebriti-selebriti hebat di rantau ini yang menggunakan sosial media untuk meningkatkan kesedaran dan inspirasi sewaktu pandemik ini. Mengapa Datuk Seri merasakan penting untuk menggunakan platform sosial media Datuk seri untuk tujuan ini?”

“Sampai Nak Menitiskan Air Mata,” – Cara Datuk Seri Siti Nurhaliza Kongsi Rezeki, Promosi Bisnes Peniaga Kecil Secara Percuma

“Soalan itu merupakan soalan yang bermakna bagi saya, kerana saya juga mengalami pandemik ini yang mana ia memberi kesan pada saya dan juga perniagaan. Dan saya percaya semua pihak terkesan dengan keadaan pandemik tidak kiralah bagaimana latar belakang mereka.

“Di atas rasa itu saya faham bagaimana pula dengan mereka yang bekerja makan gaji, yang berniaga di tepi-tepi jalan. Pastinya kehidupan mereka akan lebih terkesan. Dan atas rasa tangggung jawab sebagai manusia dan sesama insan, saya perlu bantu peminat saya,” jawab spontan ibu kepada dua cahaya mata ini.

Beliau juga berkongsi yang inisiatif ini merupakan satu cara membalas budi peminat yang tidak henti-henti menyokong perjalanan kerjaya seninya sejak dari dulu lagi.

“Sampai Nak Menitiskan Air Mata,” – Cara Datuk Seri Siti Nurhaliza Kongsi Rezeki, Promosi Bisnes Peniaga Kecil Secara Percuma

Kongsinya, “Kebanyakan mereka merupakan peminat saya yang selama ini memberi sokongan penuh kepada lagu-lagu, konsert dan album yang dihasilkan. Jadi saya beri peluang untuk mereka promosi secara percuma, sesiapa sahaja yang menghantar produk dan makanan ke rumah.

“Saya tidak beri mereka alamat rumah, tetapi mereka tahu di mana rumah saya. Oleh itu, saya ambil kesempatan membantu mereka dengan cara mempromosi secara percuma. Saya rasa bahagia sangat, dan rasa bahagia apabila mereka berkongsi kepada saya yang mereka mendapat tempahan yang sangat banyak.”

Saat berkongsi kisah ini, beliau menitikkan air mata dan suaranya bergetar. Rasa terharu dan gembira disimpul rapi sebagai tanda dia bersyukur dan juga tersentuh hati dengan kisah-kisah yang dikongsi peminat yang mengucap kata syukur apabila jualan mereka laku keras.

ARTIKEL BERKAITAN: Selepas Neelofa, Kini Giliran Datuk Seri Siti Nurhaliza Pula Diangkat Sebagai Wajah Jenama Terkenal Ini

“Sampai Nak Menitiskan Air Mata,” – Cara Datuk Seri Siti Nurhaliza Kongsi Rezeki, Promosi Bisnes Peniaga Kecil Secara Percuma

“Kak Siti, itu cara mereka memanggil saya. Ada yang berkongsi dan berkata Kak Siti saya dapat tempahan yang sangat banyak, saya tak boleh handle order sampai telefon pun hang. Jadi saya rasa sampai nak menitiskan airmata sebab dapat bantu mereka dengan cara sebegitu.

“Dan ada yang tamatkan pelajaran di peringkat Ijazah Sarjana dengan hasil jual kuih yang dipromosikan dan dia mendedikasikan Ijazah Sarjana tersebut kepada saya. Kebahagiaan itu adalah apabila kita tengok orang lain gembira dan orang lain berjaya. Saya bahagia untuk melakukan perkara itu, seterusnya saya serahkan kepada Allah SWT macam mana rezeki mereka,” ujarnya mengakhiri bicara.

Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini.

 

 

 

 

 

 

Tampil #1 on top dengan fashion muslimah terkini di HIJABISTA!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI