Pernah merasa hidup susah dahulu menyebabkan juara Akademi Fantasia musim kelima, Mila Jirin, nekad berusaha bagi mengubah nasib dia dan keluarga.

Jelas Mila, hasratnya untuk menyambung pengajian di menara gading terpaksa dilupakan kerana keadaan keluarganya yang susah pada masa itu.

“Saya anak sulung dalam keluarga dan ibu bapa pula bekerja biasa dengan pendapatan kecil. Bapa saya bekerja sebagai pengawal keselamatan dan aktiviti lainnya, turut memungut tin di tepi jalan.

“Saya sendiri ada pengalaman ikut bapa pungut tin, memang kasihan. Ibu pula bekerja di kilang untuk bantu pendapatan bapa bagi menyara kami sekeluarga.

“Malah, pernah satu ketika atap rumah kami berlubang, bocor dan rosak akibat tak dapat diganti kerana tiada duit. Bila hujan, basah satu rumah dan itu sangat menyedihkan saya,”jelasnya yang merupakan pemilik syarikat Bizmilla itu.

IKLAN

Ujarnya, kehidupan yang susah itu banyak mengajarnya untuk bangkit dan berusaha memajukan diri. Dia juga pernah bekerja di kilang sebelum menyertai Akademi Fantasia pada tahun 2007.

“Namun, kejayaan menjulang trofi juara AF5 sangat membantu saya untuk mengubah nasib keluarga. Dengan populariti diraih ketika itu, saya dapat memberi keselesaan pada ibu bapa dan adik-beradik.

“Apapun, saya terfikir juga sampai bila akan jadi penyanyi dan terus popular. Justeru, sedikit demi sedikit melalui simpanan dibuat, saya mula berniaga.

IKLAN

“Alhamdulillah, mujur bertemu suami saya, Isz Mustapha, ketika itu yang bertindak sebagai pengurus dan dia banyak membantu dengan mengajar saya selok-belok berniaga,” katanya.

Pada mulanya, dia berniaga secara kecil-kecilan selepas menyertai AF5 dan empayar perniagaannya dalam industri perkahwinan pula mula dibina sekitar 2013 lalu.

Jelasnya, kini dia bersyukur selepas tujuh tahun perniagaan Bizmilla dibina, ia sudah dikembangkan kepada tiga cawangan iaitu di Selangor, Kuala Lumpur dan Johor Bharu.

IKLAN

Tambah Mila lagi, Bizmilla juga sekarang mempunyai 18 dewan yang boleh digunakan untuk majlis perkahwinan dengan menyediakan beberapa pakej menarik untuk pelanggan.

“Apapun, kejayaan dimiliki saya kini adalah atas doa ibu bapa dan usaha. Namun, saya juga berterima kasih kepada semua pekerja yang banyak membantu dan hingga kini masih setia bersama,” katanya.

Bukan itu sahaja, Mila juga sedang dalam proses mengembangkan lagi perniagaannya di bahagian perkhidmatan dan bakal memperkenalkan pembelian dan penghantaran makanan secara dalam talian tidak lama lagi.

kredit: Harian Metro

Tampil #1 on top dengan fashion muslimah terkini di HIJABISTA!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI