Kisah penghijrahan Izara Aishah sebelum ini mengejutkan ramai pihak, tiba-tiba sahaja pelakon wanita popular ini mula memadam gambar tidak berhijabnya di laman sosial dan memuatnaik penampilan terbaharu dirinya yang sudah berhijab.
Disambut baik oleh keluarga, para peminat dan juga seluruh warganet, penghijrahannya mencuri tumpuan. Jika dilihat pada penampilan Izara yang terkini, dia memilih untuk mengenakan tudung labuh yang benar-benar menutup dada dan juga menggayakan busana longgar tanpa mengikut bentuk tubuh. Labuh lengan bajunya juga dimestikan sampai ke pergelangan tangan.
Memetik kata-kata ciapan di laman Twitternya, dia berkata, “Kalau anda tidak boleh bersembahyang dalam pakaian seperti itu, jangan pakai. Jika anda tidak mahu perkataan tersebut menjadi perkataan terakhir anda, jangan ungkapkan.”
Ads
Sebuah mesej yang sangat ringkas tetapi sangat mendalam. Sentiasalah kita berpakaian sebagaimana kita hendak bertemu tuhan, dan sentiasalah menjaga lidah dalam percakapan.
HIASI KEMPEN FESYEN
Ads
Menarik perhatian warganet baru-baru ini, Izara telah menghiasi kempen sebuah jenama fesyen tempatan, Shawl Publika, yang menampilkan rangkaian rekaan hijab yang sangat cantik. Koleksi yang diberi nama ‘Tudung Zara’ ini menyerlahkan corak rekaan geometri dan juga flora dalam limpahan warna-warna yang menaikkan seri sesiapa sahaja yang memakainya.
Ads
Paling penting, penataan gaya hijab yang dikenakan juga mengikut gaya Izara yang mana hijab menutup dada dan busana yang dipadankan juga longgar dan labuh lengan baju menutup sehingga ke pergelangan tangan.
Untuk pada hijabi yang mahukan gaya tudung baharu, mungkin anda boleh mencedok ilham dari stail penataan hijab yang digayakan selebriti popular ini. Tidak perlu penataan yang keterlaluan, cukup ringkas, namun mengikut syariat. Biarkan warna dan rekaan corak hijab yang menaikkan seri wajah.
Sumber: Twitter Izara Aishah Sumber gambar: Instagram Shawl Publika
Tampil #1 on top dengan fashion muslimah terkini di HIJABISTA!
Download sekarang di
Diam tak diam sudah hampir dua tahun pelakon tinggi lampai ini mengambil keputusan berhijrah. Ternyata Syarizah Ibrahim atau sinonim dengan panggilan Sherry Ibrahim kelihatan lebih cantik dan jelita dengan hijab yang dililit cukup kemas. Mengimbas perjalanan hijrahnya, hidayah muncul tatkala dirinya dibelenggu perasaan dendam kesumat terhadap seseorang. Kedengaran agak pelik namun demikianlah hakikat yang harus ditelan oleh bekas pramugari ini.
Ternyata perubahan terbesar yang dilakukan ini merupakan pengorbanan khusus buat kedua ibu bapanya tercinta. Demi kebahagiaan mereka, pengorbanan yang tinggi benar-benar diperlukan walaupun kedengaran agak mudah.
Begitu juga dengan apa yang dilalui pelakon serba boleh Sherry Ibrahim. Membuat keputusan untuk tampil berhijab meletakkan dirinya sebagai satu titik permulaan baharu sebagai wanita Muslimah yang lebih diredhai-Nya.
Penampilannya di khalayak ketika sambutan majlis ulang tahun kelahirannya yang ke-33 pada April tahun 2016 merupakan kemunculan pertamanya secara berhijab.
“Sebenarnya, saya sudah lama terdetik untuk berhijrah (dengan mengenakan hijab), tetapi pintu hati masih belum terbuka. Lorongan neon itu saya temui pabila pada satu hari itu saya iba-tiba terdetik untuk memakai tudung.
“Ibu bapa jadi insan pertama melihat saya berhijab. Kedua-duanya seakan terkejut dan sukar untuk mempercayai penghijrahan yang saya lakukan. Mereka sendiri tidak menyangka saat akhirnya saya mengambil keputusan untuk berubah,” ujar Sherry.
Tatkala diri terlalu mendambakan ketenangan, Sherry tekad melepaskan kesumat yang menghantuinya dengan memaafkan mereka dan memohon kemaafan daripada kenalan-kenalannya.
“Apabila diimbas masa lampau, memang saya akui banyak melakukan kekhilafan. ‘Nobody is perfect’. Saya juga pernah menyimpan dendam terhadap seseorang dan ia sebenarnya seperti beban yang sangat berat perlu saya pikul.
“Sehinggalah pada suatu malam, saya bermuhasabah diri seorang diri di kamar dan ‘flashback’ semula apa yang pernah saya lakukan sebelum ini. Terdetik di hati untuk memaafkan semua orang dan meminta maaf dengan mereka yang terdekat dengan saya.
“Tidak dinafikan, selepas saya melakukannya jiwa saya menjadi lapang dan merasai ketenangan yang tidak pernah saya kecapi sebelum ini. Saya rasa seperti menjadi Sherry yang baru. Lagi pula tarikh hari lahir saya sudah hampir pada ketika itu. Jadi, saya buat keputusan drastik untuk berhijab sekali gus dapat menggembirakan kedua orang tua saya,” ujarnya lagi.
Mengakui berhijab sebagai satu kewajipan sedia ada yang perlu dilaksanakannya sebagai orang Islam, sekurang-kurangnya Sherry masih punya peluang untuk disapa hidayah. Dia berasa bertuah kerana dipilih untuk merasai satu penghijrahan yang boleh disifatkan sebagai satu momen cukup indah dalam hidupnya.
Bergelar artis, isu bertudung mungkin kelihatan klise. Realitinya, dia tidak mampu menutup semua mulut. Biarpun ada yang mulut-mulut tepi yang mendakwa pelakon yang hit dengan drama Cinta Ibadah itu sekadar mahu meraih tumpuan media, Sherry punya pendirian dan pegangan sendiri.
Baginya, dia cukup ikhlas dengan perubahan imej baharunya itu. Apa yang penting nawaitu untuk berhijrah itu biarlah urusan dia dan Sang Pencipta. Justeru bagi Sherry, dia tidak mahu dilabel sekadar mahu bertudung sahaja. Baginya, dia mahu aspek sebenar pemakaian tudung itu dibuat secara sesempurna yang boleh mengikut syariat.
Sebagai orang baru berhijrah, dia mengakui agak kekok ketika mahu mengenakan tudung. Banyak perkara yang perlu dipelajarinya. Jika sebelum ini dandanan rambut menjadi perhatian, kini fokusnya tertumpu kepada teknik pemakaian hijab.
“Permulaannya memang agak kekok untuk menggayakan hijab. Saya cuba juga untuk membuat lilitan walaupun pada awal tu memang tidak kemas. Tetapi lama-kelamaan keselesaan mula dirasai.
“Jika ditonton tutorial di laman web dan mencubanya, saya rasa tidak selesa kerana tidak menjadi. Sebab itu, saya pakai tudung ‘instant’ yang banyak ada di pasaran sekarang. Tetapi saya terus belajar untuk lilit-lilit tudung ni,” jelas Sherry.
Biarpun masih baru, menurut Sherry, penampilan baharunya itu juga mahu diselarikan dengan imej penampilannya secara keseluruhan. Justeru, dia tidak mahu lagi mengenakan sebarang pakaian yang boleh disifatkan sebagai mencolok mata. Sebolehnya, biarlah ia menepati garis panduan pemakaian seorang Muslimah sebenar.
“Sekarang saya tidak mahu menggayakan busana yang ketat sehingga menampakkan bentuk badan. Memang saya cuba elakkan. Ada juga persalinan yang masih boleh dipakai. Cuma saya perlu suai padankan sahaja.
“Sekarang ini, kena banyakkan koleksi baharu, terutamanya skarf,” ceritanya yang juga merupakan pemenang tempat kedua program realiti Gempak Superstar musim lalu. Sherry juga kini sedang sibuk menguruskan perniagaan kosmetiknya.
Pelakon drama 7 Hari Mencintaiku, Zila Bakarin akui keputusannya untuk berhijab datang dari dirinya sendiri dan tidak dipaksa oleh sesiapa.
Mengimbas kembali detik tersebut, ujar Zila segalanya berlaku secara tiba-tiba sewaktu dia hendak mengambil anaknya pulang dari sekolah dimana dia merasakan seperti tidak memakai apa-apa walaupun berpakaian.
A post shared by Zila Bakarin (@zilabakarinofficial) on
“Semasa nak keluar ambik anak dari sekolah, saya rasa macam tiada seurat benang kat badan sedangkan saya pakai sweater dan jeans. Saya pergi kat kereta dan tiba-tiba rasa sejuk.
“Saya ulang alik keluar rumah pun rasa yang sama. Sampailah kali ketiga saya masuk rumah, dan terus terdetik untuk pergi ke laci dan ambik selendang dan terus pakai. Bila keluar rumah terus rasa macam selamat je,” jelas Zila,45.
A post shared by Zila Bakarin (@zilabakarinofficial) on
Kini aktif dalam program “Jom Celik Al-Quran” anjuran Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Institut Pengajian Al-Quran (IPAQ), Zila juga turut meluahkan rasa syukur kerana mendapat sokongan daripada para peminat dan mendoakan untuk penampilannya sekarang.
A post shared by Zila Bakarin (@zilabakarinofficial) on
Hijabista: Sememangnya diakui Zila memang nampak makin cantik dari hari ke hari. Mudah-mudahan dia akan terus istiqomah dan dapat menjadi inspirasi buat Muslimah di luar sana. Amin.
Tampil #1 on top dengan fashion muslimah terkini di HIJABISTA!
Download sekarang di
Setiap wanita mempunyai perjalanan hidup dan fasa perubahan yang berbeza. Ada yang menemui kekuatan melalui pengalaman, ada yang terbuka hati secara perlahan-lahan, dan ada juga yang tanpa sedar sedang dibimbing menuju kebaikan melalui jalan yang tidak disangka.
Begitulah kisah yang dikongsikan oleh pempengaruh dan personaliti media sosial, Maryam Younarae, apabila dia mengimbau kembali antara detik penting dalam perjalanan hidupnya sebelum memilih untuk berhijab.
Menerusi satu hantaran di Threads, Maryam Younarae mendedahkan bahawa dirinya pernah menjadi duta pertama sebuah jenama tudung ketika dia masih belum mengenakan hijab sepenuhnya.
“Tiba-tiba saya teringat… Saya sebenarnya merupakan duta pertama Hijabista Hub ketika saya masih belum memakai hijab lagi,” tulisnya.
Menurut Maryam Younarae, selepas itu dia turut menerima peluang menjadi model bagi jenama milik pempengaruh terkenal, Leeyanarahman.
Pada ketika itu, Maryam mengakui dia hanya melihat peluang tersebut sebagai rezeki dan pengalaman baharu dalam kerjayanya.
“Ketika itu, saya cuma rasa bersyukur dapat peluang-peluang tersebut,” katanya.
Baginya, setiap peluang yang hadir ketika itu hanyalah sebahagian daripada perjalanan kerjaya yang sedang dibina. Dia tidak pernah menyangka pengalaman yang dilalui tersebut sebenarnya menjadi antara titik penting yang memberi kesan kepada perubahan dirinya pada masa hadapan.
Namun apabila mengenang semula perjalanan hidupnya, Maryam percaya pengalaman itu sedikit demi sedikit telah mendekatkan dirinya kepada hijab.
“Tapi bila fikir balik, mungkin pengalaman-pengalaman itulah yang sedikit demi sedikit membawa saya lebih dekat kepada hijab.
“Siapa sangka, beberapa tahun kemudian saya menjadi Maryam yang anda lihat hari ini,” kongsinya lagi.
Perkongsian Maryam Younarae itu mendapat perhatian ramai warga maya yang tersentuh dengan cara beliau melihat setiap fasa kehidupannya sebagai sesuatu yang penuh hikmah.
Bagi sesetengah wanita, keputusan untuk berhijab bukan berlaku dalam sekelip mata. Ia mungkin hadir melalui proses panjang, pengalaman hidup, doa, persekitaran yang baik dan keinginan untuk menjadi lebih dekat kepada Allah.
Kisah Maryam ini turut memberi mesej bahawa hidayah boleh datang dalam pelbagai cara. Kadang-kadang melalui peluang kerja, pertemuan dengan orang baik, atau pengalaman kecil yang pada awalnya kelihatan biasa.
Ramai berpendapat bahawa perubahan yang berkekalan selalunya berlaku secara beransur-ansur. Setiap pengalaman yang dilalui mampu membentuk pemikiran dan membuka ruang untuk seseorang menilai semula kehidupan serta hala tuju diri.
Namun tanpa disedari, perkara-perkara itulah yang akhirnya membuka ruang dalam hati untuk berubah ke arah yang lebih baik.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen memberikan reaksi positif terhadap perkongsian tersebut. Ramai memuji keperibadian Maryam Younarae yang dilihat sentiasa bersyukur dan berpandangan baik terhadap setiap perkara yang hadir dalam hidupnya.
“Kita yang dari lahir memang Islam pun tak terfikir macam mana Maryam fikir,” tulis seorang netizen.
Kisah Maryam Younarae ini memberi inspirasi kepada ramai wanita, khususnya mereka yang sedang mencari kekuatan untuk memperbaiki diri.
Apa yang pernah dilalui pada masa lalu tidak semestinya perlu disesali. Sebaliknya, ia boleh menjadi sebahagian daripada perjalanan yang membentuk diri menjadi lebih matang, bersyukur dan lebih dekat kepada kebaikan.
Buat para hijabi, perkongsian ini juga menjadi peringatan bahawa perubahan setiap orang tidak sama. Ada yang cepat, ada yang perlahan, namun yang penting adalah niat untuk terus melangkah ke arah yang lebih baik.
Pengalaman hidup sering kali menjadi guru terbaik dalam membentuk seseorang. Walaupun ada perkara yang pada awalnya kelihatan biasa, ia mungkin sebenarnya menjadi jalan yang membawa kepada perubahan besar pada masa hadapan.
Semoga kisah Maryam Younarae menjadi inspirasi buat wanita di luar sana untuk terus menghargai setiap fasa kehidupan, kerana mungkin di sebalik sesuatu yang kelihatan biasa, tersimpan aturan Allah yang cukup indah.