
Aktres yang dikenali menerusi filem Tentang Bulan, Fatin Afeefa atau nama penuhnya Nur Afifah Shamsudin mendedahkan dia pernah menghadapi fasa kemurungan sejurus pulang dari umrah baru-baru ini kerana kesemua pakaian yang dimilikinya seksi dan tidak menutup aurat.
Menurut Fatin Afeefa, suaminya Aliff Awang atau Opai begitu memahami dan banyak membantu dirinya mengatasi masalah tersebut.
Niatnya untuk berhijrah adalah kerana mahu menjadi seorang yang lebih baik berbanding sebelumnya!
Kemurungan Sampai Enggan Jumpa Sesiapa
“Masa pertama kali saya balik umrah, saya kemurungan sampai taknak jumpa siapa-siapa. Sebab semua baju yang saya ada semua seksi sampai rasa tak mahu keluar.
“Tapi suami saya cakap, tak apa lah jom kita shopping online. Jadi dia memberi galakkan dan sokongan hingga membuatkan saya rasa tersentuh,” katanya.
Tambahnya lagi, dia kini sedang berjinak-jinak untuk mengenakan hijab dan menutup aurat meskipun belum sepenuhnya.
“Kita mencuba sebenarnya, saya tak akan kata yang saya dah berhijab sepenuhnya. Tapi saya akui saya sedang cuba untuk menjadi seorang yang lebih baik luar dan dalam.
“Jadi, kita cuba perlahan-lahan lah. Tak berani nak cakap sebab iman sesorang turun naik. Sebab tu saya tak berani nak cakap yang saya dah sepenuhnya berhijab. Lagi pun nak gapai istiqamah itu tak mudah.
“Jadi bila saya dah keluarkan kenyataan yang saya dah berhijrah kerana perkara ini atau perkara itu. Orang dah expect yang saya kena jadi ustazah terus dan saya tak suka macam tu.
“Jadi saya nak penghijrahan saya ini adalah kerana nak menjadi individu yang lebih baik,” ujarnya.
Nyatakan Hasrat Mahu Berhijab Kepada Suami
Ketika disoal apakah reaksi pertama suami, ketika dia mengutarakan hasrat murninya untuk mengenakan hijab. Ini respon yang diberikan Opai kepada Fatin Afeefa.
“Suami saya sangat-sangat gembira bila tahu saya nak pakai tudung. Dia orang yang paling bahagia sekali. Sebab dia tak pernah paksa saya atau cakap “eh pakailah tudung, tak sayang laki ke.”
“Tapi dia sangat menyokong la. Masa saya cuba pakai tudung tu, suami cakap “baby nak beli jubah ke? Belilah..” jelasnya.
Perkara berkenaan dimaklumkan sendiri oleh Fatin ketika ditemubual oleh Media Hiburan, sewaktu menghadiri majlis resepsi perkahwinan rakan baiknya, Intan Najuwa pada 18 Ogos lalu.
Fatin Afeefa merupakan antara gadis dulang yang membawa hantaran bagi hari persejarah buat Intan Najuwa yang akhirnya membina mahligai cinta bersama jejaka pilihan hatinya, Datuk Ahmad Asraf.
Sumber: Instagram Fatin Afeefa & Media Hiburan
Tiga Kunci Utama Apabila Menghadapi Kesusahan Berserta Doa Dan Amalan

Ujian merupakan dugaan yang Allah S.W.T turunkan untuk menguji sejauh mana kekuatan iman hamba-hambaNya. Ujian diturunkan dalam dua jenis sama ada kesusahan ataupun kesenangan. Contoh bagi kesusahan adalah seperti sakit, ditimpa musibah dan sebagainya manakala bagi bentuk kesenangan pula seperti kekayaan, dikurniakan anak yang cerdik dan lain-lain.
Sememangnya dugaan berbentuk kesenangan adalah untuk melihat sejauh mana manusia bersyukur dengan nikmat Allah S.W.T yang tidak terhingga. Nikmat kesusahan pula diberikan untuk Allah meninggikan darjat iman seseorang itu.
Allah S.W.T. menurunkan dugaan kesusahan kerana merindui seseorang itu. Mungkin kerana faktor kesibukan kerja, seseorang itu telah terkurang ibadatnya. Jadi, Allah S.W.T. merinduinya untuk beribadat.
Apabila menghadapi sebarang masalah, mohonlah pada Allah SWT keringanan dengan membaca doa berikut :
إِنَّا جَعَلْنَا مَا عَلَى الْأَرْضِ زِينَةً لَهَا لِنَبْلُوَهُمْ أَيُّهُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا
Maksudnya : “ Wahai Tuhanku , tiada kemudahan melainkan apa yang Engkau jadikanmudah dan perkara yang susah boleh Engkau jadikan mudah , apabila Engkau mengkehendakinya” .[1]
Petua Beramal
Adalah menjadi sunnatullah dalam kehidupan, bahawa manusia itu menghadapi ujian berupa kelaparan, kematian dan kesulitan, kerana dengan ujian yang berbagai itu Allah swt dapat mengetahui tahap keimanan hambaNya.
Firman Allah swt dalam surah al-kahf ayat ke 7:
إِنَّا جَعَلْنَا مَا عَلَى الْأَرْضِ زِينَةً لَهَا لِنَبْلُوَهُمْ أَيُّهُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا
Maksudnya : “Sesungguhnya Kami telah jadikan apa yang ada di muka bumi sebagai perhiasan baginya, kerana kami hendak menguji mereka, siapakah di antaranya yang lebih baik amalnya”.
Walaupun Allah sebenarnya telah mengetahui tahap keimanan manusia sebelum berlaku ujian, namun ujian seperti kesulitan itu dapat mendedahkan kepada manusia itu sendiri keperluannya untuk mengambil langkah-langkah pemulihan kepada permasalahan imannya sendiri.
Dia perlu memuhasabah dirinya, memperbaiki sikapnya, mengikhlaskan amalannya untuk mencapai kualiti amalan yang dikehendaki Allah dan sebagainya. [2]
Dalam buku As’ad Imra`atan Fil Alam, Dr Aid Al-Qarni menjelaskan kepentingan memiliki semangat yang jitu dengan katanya yang bermaksud :
“ Jadilah manusia yang mempunyai cita-cita yang tinggi, melalui kesukaran untuk sentiasa mendaki kea rah kejayaan, secara istiqamah, elakkan dari kecundang. Ketahuilah bahwa hidup ini ibarat beberapa detik sahaja, jadilah seperti semut yang sentiasa sabar dan tabah…” [3]
Hanya orang kuat akan diduga oleh Allah S.W.T. Harus juga diingat bahawa segala ujian yang Allah S.W.T. berikan juga hanyalah mengikut kemampuan seseorang itu.
Allah berfirman dalam Surah Al-Baqarah ayat 286 mafhumnya: “Allah tidak membebani seseorang itu melainkan apa yang terdaya olehnya, dia mendapat pahala kebajikan yang diusahakannya dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang dilakukannya…”
Melalui ayat ini, jelaslah kepada kita bahawa ujian yang diturunkan kepada kita itu tidaklah terlalu berat sehingga kita tidak mampu untuk memikulnya. Allah Maha adil. Allah sesekali tidak akan membebankan hambaNya dengan sesuatu yang tidak mampu mereka hadapi.
Namun, realitinya pada hari ini amat menyedihkan. Tidak ramai dalam kalangan umat Islam yang benar-benar memahami konsep ujian yang Allah S.W.T. turunkan ini. Kebanyakannya berpendapat ujian Allah ini sebagai satu seksaan kepada mereka.
Beberapa langkah yang boleh kita ambil ketika menghadapi ujian Allah. Hal ini demi memastikan kita dapat menerima ujian itu sebagai sesuatu yang positif dan bukannya mengeluh serta mengaku kalah. Antara langkah tersebut ialah:
Sabar
“Orang yang kuat adalah orang yang mampu sabar dan menahan marahnya.’ Sifat sabar itu sememangnya nampak mudah tetapi amat sukar untuk kita milikinya. Oleh yang demikian, kuasailah sifat sabar ini dalam diri. Sentiasalah bersabar apabila diduga oleh Allah.
Berfikiran Positif
Perkara penting yang menguasai perlakuan kita adalah pemikiran kita sendiri ataupun dipanggil mindset. Tetapkanlah di dalam minda bahawa setiap ujian yang Allah timpakan itu adalah untuk meningkatkan darjat kita di sisiNya.Yakinlah juga bahawa setiap dugaan yang didatangkan itu akan ada bersamanya suatu hikmah. Sentiasalah berfikiran positif ketika menghadapi ujian Allah.
Beristighfar
Sebaik sahaja sedar kita ditimpa ujian, beristighfarlah dengan penuh keikhlasan. Sesungguhnya dengan beristighfar dapat menenangkan sedikit hati yang sedang lara. Cubalah yang terbaik untuk beristighfar. Andai kata terlalu sukar, mulakanlah dengan menyebut nama Allah setiap kali kita ditimpa masalah. Biasakan diri berbuat begitu sehinggalah diri kita sudah terbiasa. Yakinlah bahawa setiap masalah yang kita hadapi itu ada penyelesaiannya.
Hukum Swab Test Ketika Di Bulan Ramadan, Bagaimana Status Puasa, Batal Atau Tidak

Anda sedang berpuasa tetapi mengambil ujian saringan Covid. Apakah hukum swab test Covid 19 ketika sedang berpuasa? Adakah ianya membatalkan puasa atau tidak? Swab test atau ujian saringan Covid 19 yang menggunakan kaedah Nasopharyngeal swab (melalui hidung) dan Oropharyngeal swab (melalui hidung) yang dijalankan ketika sedang berpuasa adalah tidak membatalkan puasa.
Ini kerana calitan yang dijalankan melalui kedua-dua proses tersebut tidak sampai ke kawasan rongga dalam. Ujian saringan, pengesanan dan pengesahan Covid 19 terbahagi kepada dua jenis. Pertama adalah Reverse Transcritase Polymerase Chain Reaction (Rt-PCR). Manakala yang kedua pula disebut sebagai Antigen Rapid Test (RTK Ag).

Kedua-kedua ujian ini dijalankan menggunakan calitan melalui tekak ( Oropharyngeal swab) dan melalui hidung (Nasopharyngeal swab)[1]. Kedua-dua ujian ini dijalankan untuk mengesan jangkitan virus Covid 19.
Kaedah Nasopharyngeal swab ialah alat swab akan dimasukkan ke dalam rongga hidung individu sehingga ke kawasan nasopharynx (rongga hidung paling atas) dengan kedalaman 18. lebih kurang 4.8 cm bagi kanak-kanak dan 8-12 cm bagi orang dewasa untuk mengambil sampel mukus. Manakala kaedah Oropharyngeal swab pula ialah alat swab dimasukkan ke dalam mulut hingga ke kawasan oropharynx iaitu di belakang anak tekak bagi mengambil sampel mucus.

Antara perkara yang boleh menyebabkan puasa terbatal adalah memasukkan sesuatu ke dalam rongga melalui saluran yang terbuka seperti hidung, telinga, mulut, dubur dan kemaluan. Ibn Al-Naqib Al-Misri menyatakan :
وصولُ عينٍ وإنْ قلَّتْ منْ منفدٍ مفتوحٍ إلى جوف
“(Antara yang membatalkan puasa itu adalah) Sampai sesuatu benda ke dalam rongga melalui saluran yang terbuka walaupun sedikit.”[2]
Sheikh Zakariya Al-Ansari menyebut :
(فَرْعٌ يُفْطِرُ) الصَّائِمُ أَيْضًا (بِوُصُولِ عَيْنٍ) وَإِنْ قَلَّتْ كَسِمْسِمَةٍ وَلَمْ تُؤْكَلْ عَادَةً كَحَصَاةٍ (مِنْ الظَّاهِرِ فِي مَنْفَذٍ) بِفَتْحِ الْفَاءِ (مَفْتُوحٍ عَنْ قَصْدٍ) لِوُصُولِهَا (مَعَ ذِكْرِ الصَّوْمِ إلَى مَا يُسَمَّى جَوْفًا)
“Orang yang berpuasa terbatal puasanya dengan sampainya sesuatu benda walaupun sedikit seperti bijan dan walaupun yang masuk itu kebiasaannya benda yang tidak dimakan seperti batu kecil. Yang mana ianya masuk melalui saluran yang terbuka dengan sengaja. Ini kerana ianya sampai kepada apa yang dinamakan sebagai rongga yang terbuka.”[3]
Saluran yang terbuka itu termasuklah telinga, hidung, mulut, dubur dan kemaluan. Perkara ini dijelaskan oleh Ibn Al-Muqri’:
وَحُدِّدَ الظَّاهِرُ بِمَخْرَجِ الْحَاءِ الْمُهْمَلَةِ ثُمَّ دَاخِلُ الْفَمِ وَالْأَنْفِ إلَى مُنْتَهَى الْغَلْصَمَةِ وَالْخَيْشُومِ…
“Piawaian had zahir dihadkan dengan makhraj huruf Ha’, kemudian dalam mulut dan hidung sehingga penghujung anak tekak dan juga rongga hidung.”[4]
Justeru, menurut mazhab Al-Syafi’i, apa sahaja yang masuk melalui saluran tersebut boleh menyebabkan puasa seseorang terbatal. Tambahan lagi, jika prosedur swab test yang dijalankan masuk jauh ke dalam rongga hidung. Ia dikira boleh membatalkan puasa seseorang.

Sheikh Zakariya Al-Ansari menyatakan hal ini :
(ثُمَّ أَلْحلَقَ وَمَا وَرَاءَ الْخَيَاشِيمِ) جَمْعُ خَيْشُومٍ وَهُوَ أَقْصَى الْأَنْفِ (جَوْفَانِ) فَالْوَاصِلُ إلَيْهِمَا مُفْطِرٌ
“Kemudian halkum dan di sebalik rongga hidung yang mana ia adalah pangkal hidung merupakan bahagian rongga. Apa-apa yang masuk ke dalam kedua-dua bahagian tersebut boleh menyebabkan puasa terbatal.”[5]
Pandangan ini berbeza dengan mazhab Maliki yang berpendapat bahawa puasa hanya terbatal jika ada sesuatu yang masuk ke dalam rongga melalui mulut. Apa-apa yang masuk melalui bahagian yang lain.
Maka ianya tidak membatalkan puasa seperti mana yang dinyatakan oleh Sheikh Abu Abdullah Al-Maliki menyebut :
وَالْإِفْطَارُ بِمَا يَصِلُ إلَى الْجَوْفِ أَوْ الْمَعِدَةِ مِنْ الْفَمِ
“Puasa terbatal dengan sampai sesuatu ke dalam rongga atau tali perut melalui mulut.”[6]
Sheikh Abu Al-Barakat Al-Dardir juga menyebut :
وَأَمَّا غَيْرُ الْمَائِعِ فَلَا يُفْطِرُ إلَّا إذَا وَصَلَ لِلْمَعِدَةِ مِنْ الْفَمِ
“Adapun selain cecair maka ia tidak membatalkan puasa melainkan jika ia sampai ke perut melalui mulut.”[7]
Berdasarkan keputusan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah MKI kali ke 3 tahun 2020, mesyuarat menetapkan:
“Prosedur saringan bagi mengesan penyakit COVID-19 adalah dengan mengambil sampel lender (mukus) yang berada di dalam rongga hidup sehingga ke kawasan nasopharynx (rongga hidung paling atas) dan rongga mulut sehingga ke kawasan oropharynx (anak tekak) adalah TIDAK MEMBATALKAN PUASA.”
Ianya selaras dengan keputusan Jawatankuasa Muzakarah Kebangsaan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) kali ke-87 pada 23 hingga 25 Jun 2009 yang telah memperakukan Panduang Berpuasa bagi Pesakit.”
Justeru, swab test atau ujian saringan COVID-19 yang menggunakan kaedah Nasopharyngeal swab (melalui hidung) dan Oropharyngeal swab (melalui mulut) yang dijalankan ketika sedang berpuasa adalah tidak membatalkan puasa. Ini kerana calitan yang dijalankan melalui kedua-dua proses tersebut tidak sampai ke kawasan rongga dalam.
Sumber kredit: Laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Top image: Photo by Mufid Majnun from Pexels
Panduan Untuk Wanita Jaga Kesihatan Luaran & Dalaman Ikut Cara Rasulullah SAW

Diberi nikmat kesihatan adalah salah satu kurniaan terbesar dari Allah SWT buat hamba-hambaNya di atas muka bumi ini. Rasulullah S.A.W bersabda: “Kejarlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Masa muda sebelum tua, masa sihat sebelum sakit, masa kaya sebelum miskin, masa lapang sebelum sibuk dan masa hidup sebelum tiba kematian.”
Dengan memiliki tubuh badan yang sihat kita dapat menjalani kehidupan dengan aman sentosa, dapat melakukan kerja-kerja harian dengan lancar dan tersusun. Selain itu dengan kesihatan yang baik juga kita dapat melakukan ibadah kepada Allah dengan sempurna.

Menyedari betapa tingginya nilai kesihatan ini, maka menjadi kewajipan kita sebagai umat Islam untuk menjaga ‘amanah’ ini dengan sebaik mungkin kerana ia berhubung rapat dengan keharmonian dan kehidupan manusia.
Dalam satu hadis Rasulullah bersabda: Kenikmatan pertama yang perlu dipertanggungjawabkan oleh hamba Allah pada hari akhirat adalah pertanyaan, ‘Bukahkah Kami menyihatkan tubuh kamu dan Kami hilangkan dahaga kamu dengan air yang dingin?’
Rasulullah menyambung: “Tidak seorang pun diizinkan bergerak daripada kedudukannya pada hari akhirat sehingga dia menjawab bagaimana dia menghabiskan hidupnya, bagaimana dia menggunakan pengetahuannya, dari mana dia memperoleh dan ke mana dia belanjakan hartanya dan bagaimana dia memanfaatkan kesihatannya.” (HR at-Tirmidzi)
SIHAT CARA RASULULLAH
Kesihatan boleh dikategorikan kepada dua bahagian iaitu kesihatan secara jasmani (luaran) dan kesihatan secara rohani (dalaman). Justeru, kesihatan tubuh badan secara luaran dan dalaman merupakan komponen penting dalam mendapatkan kesihatan yang optimum agar kekal aktif, fit dan bersemangat untuk mendepani hari-hari mendatang.
Hakikatnya bagaimana Islam memandang dari sudut kesihatan terutamanya golongan wanita dan apakah panduan yang boleh disarankan kepada wanita dalam menjaga kesihatan mengikut ajaran Islam yang sebenarnya?
Berikut dikongsikan beberapa panduan untuk wanita menjaga kesihatan secara luaran dan dalaman mengikut cara Rasulullah S.A.W.
1. BANGUN AWAL SEBELUM SUBUH
Rasulullah menganjurkan kita untuk bangun awal iaitu sebelum masuknya waktu solat Subuh bagi melaksanakan amal ibadah yang mana antara lainnya mendapat limpahan pahala dan kesegaran tubuh badan serta memperkuatkan akal fikiran.
2. TIDAK MAKAN BERLEBIHAN
Jangan bersikap berlebihan dalam makanan kerana ia merupakan perbuatan yang tidak dianjurkan dalam syarak. Allah SWT berfirman yang bermaksud: :Makan dan minumlah, tetapi jangan berlebihan. Sungguh Allah tidak menyukai orang yang berlebih-lebihan.” (Al-A’raf: 31)

Rasulullah sendiri mengajak umatnya agar tidak berlebihan dalam makan dan minum. Baginda menyarankan untuk makan dan minum dalam kuantiti yang sedikit, cukup beberapa suapan dengan kadar dapat menegakkan tulang belakangnya. Hal ini seperti yang dijelaskan dalam hadis:
“Memadai untuk anak Adam itu beberapa suapan makanan bagi menegakkan tulang belakangnya (bagi menahan kelaparan dan untuk berdiri beribadat). Namun jika itu tidak dapat dipertahankan, maka hendaklah bahagikan perut kepada tiga bahagian. Sepertiga perutnya diisi untuk makanan, sepertiga untuk minuman dan sepertiga lagi untuk bernafas.” (HR Ahmad dan Tirmizi)
3. SENTIASA MENJAGA KEBERSIHAN
Rasulullah sentiasa menjaga kebersihan diri. Setiap hari Khamis dan Jumaar baginda akan merapikan rambut, memotong kuku dan memakai wangi-wangian.
“Mandi pada hari Jumaat adalah sangat dituntut bagi setiap orang dewasa. Demikian pula menggosok gigi dan memakai harum-haruman.” (HR Muslim)
4. BERJALAN KAKI
Rasulullah gemar berjalan kaki untuk ke masjid, pasar dan mengunjungi rumah para sahabatnya. Apabila berjalan kaki, badan akan berpeluh, bulu roma terbuka dan peredaran darah akan berjalan lancar. Ini penting kerana apabila badan mengeluarkan peluh, tahap stamina kita berada di posisi yang baik. Justeru perbanyakkan aktiviti berjalan kaki atau bersenam mengikut kemampuan dan keupayaan masing-masing.

5. BUKAN PEMARAH
Rasulullah menyarankan kita agar jangan marah kerana perbuatan itu tidak disukai Allah. Betapa penting sikap ‘bukan pemarah’ sampaikan baginda nasihatkan sebanyak tiga kali. Ini menunjukkan bahawa kekuatan seorang Muslim bukan terletak pada jasad semata-mata sebaliknya pada kesihatan jiwa.
Terapi terbaik merawat perasaan amarah seperti mana yang dianjurkan oleh Nabi dalam sabdanya: “Marah itu berasal daripada Syaitan. Sementara Syaitan diciptakan daripada api dan api hanya dapat dipadamkan dengan air. Oleh itu, jika di antara kamu ada yang marah, maka segeralh berwuduk.
“Apabila ada di antara kamu yang marah dalam keadaan berdiri, maka duduklah. Sekiranya kemarahan itu belum juga reda, maka berbaringlah.” (HR Ahmad bin Hanbal)
6. POSITIF
Sentiasa bersikap positif kerana dengan memiliki keperibadian sebegini akan memberikan kesan emosional terhadap kelapangan jiwa selain perlu banyakkan sabar, istiqomah, berusaha bersungguh-sungguh dan berserah diri kepada Allah.

7. PEMAAF
Pemaaf adalah sifat yang sangat dituntut dalam Islam bagi memperoleh ketenangan hati dan jiwa. Dengan memaafkan orang lain membebaskan diri kita daripada dihantui rasa dendam. Apabila sudah hilang rasa marah pada seseorang, otak dan minda kita juga akan lebih ‘bebas’ dan sihat.
Sesungguhnya penjagaan kesihatan luaran dan dalaman itu sangat dititikberatkan kerana selain dapat mendidik jiwa, ia juga menjadikan kita insan yang lebih berakhlak mulia. Tentunya ‘perhubungan’ yang terjalin bukan setakat menjaga keharmonian dengan Allah tetapi juga dengan masyarakat sekeliling.
KESIMPULAN
Islam menyarankan umatnya sentiasa menjaga tubuh badan serta mengamalkan cara hidup yang sihat. Kehidupan yang sihat adalah satu amanah dalam menjaga hubungan manusia dengan Allah SWT, seperti mana yang terdapat dalam mutiara kata ‘Akal yang sihat berada pada tubuh badan yang sihat’. Ia selaras dengan tujuan Islam mendidik umatnya supaya sentiasa memelihara agama, akal dan jiwa.
Sumber kredit: Top image: Photo by mentatdgt from Pexels