Surah Al-Fatihah adalah ummul kitab dan menjadi rukun dalam solat. Tidak sah solat sekiranya bacaan Al-Fatihah tidak sempurna. Itu asas yang perlu kita tahu betapa pentingnya membaca al-Fatihah dengan betul.
Surah Al-Fatihah ialah surah pembuka dan permulaan Al-Quran sebagai surah yang pertama. Surah yang diwahyukan di Makkah ini mempunyai tujuh ayat.
Membaca Surah Al-Fatihah dalam solat, adakah sah solat jika bacaan di dalam hati atau bunyi sahaja. Berikut jawapan daripada Mufti Wilayah yang dipetik dari laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
Bacaan Al-Fatihah ketika solat adalah termasuk di antara rukun qauli (ucapan/perkataan) yang mana jika kita meninggalkannya maka tidak sah solat kita. Hendaklah bacaan Al-Fatihah itu dibaca dengan lisan iaitu dituturkan melalui lidah, bukannya di dalam hati.
Kata Imam al Syafi’e Rahimahullah :
وَلَا يُجْزِئُ الرَّجُل أَنْ يحْرِمَ لِلصَّلَاة بِقَلْبِهِ ، وَلَا يَقْرَأ بِقَلْبِهِ حَتَّى يُحَرِّكَ لِسَانَهُ
Maksudnya; Tidak sah bagi seorang lelaki mengangkat takbiratul ihram untuk solat melalui hatinya, dan tidak sah pula dia membaca (al-fatihah) melalui hatinya sehinggalah dia menggerakkan lidahnya. Rujuk Mukhtasar al Buwaithi (hlm. 244).
Pandangan Imam al-Syafi’e ini dikuatkan lagi dengan sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Khabbab R.anh bahawa beliau ditanyakan :
بِأَىِّ شَىْءٍ كُنْتُمْ تَعْرِفُونَ قِرَاءَةَ رَسُولِ اللَّهِ ـ صلى الله عليه وسلم ـ فِي الظُّهْرِ وَالْعَصْرِ قَالَ بِاضْطِرَابِ لِحْيَتِهِ
Maksudnya: Dengan cara apakah kamu mengetahui bacaan Nabi S.A.W pada solat zohor dan asar ? Kata Khabbab: Kami (mengetahui bacaan Nabi SAW) dari pergerakan janggut baginda. Riwayat Ibn Majah (826)
KESIMPULANNYA
Adalah tidak sah solat seseorang itu sekiranya bacaan Al-Fatihah dibaca melalui hati sahaja. Justeru, hendaklah bacaan Al-Fatihah dibaca dengan jelas melalui lidah sebatas pendengaran kita, dan tidak pula sehingga ke tahap mengganggu makmum yang bersebelahan. Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita dalam beragama.
HIJABISTA: Membaca al-Fatihah adalah wajib kepada imam dan makmum. Adapun makmum terbahagi kepada dua. Sekiranya makmum masbuk, bacalah sekadar sebelum imam rukuk. Apabila imam rukuk, walaupun bacaan belum habis, dia berhak mengikut imam berdasarkan nas hadis bermaksud: “Jika imam rukuk, maka rukuklah.” (Riwayat al-Bukhari – 733) dan Muslim – 411)
Sumber kredit: Laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Top image: Photo by Michael Burrows from Pexels
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Kirim Doa Kepada Mereka Yang Tunai Haji/Umrah Di Makkah, Boleh Atau Tidak & Hukumnya
Seringkali ada saudara atau rakan-rakan yang pergi menunaikan haji/umrah ramai di kalangan kita akan mengirimkan doa kepada mereka. Ada bermacam-macam doa dikirimkan dengan harapan moga-moga doa itu dimakbulkan oleh Allah.
Namun ada pendapat yang mengatakan tidak perlu mengirimkan doa kerana individu itu sendiri boleh berdoa sendiri tanpa mengirimkan doa. Sejauh manakah kebenarannya?
Berikut ulasan daripada Mufti Wilayah seperti yang dipetik dari laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
SOALAN:
Assalamualaikum Ustaz, sesetengah orang kirim supaya berdoa di tanah suci, yang manakah lebih baik sama ada berdoa sendiri di Malaysia atau minta orang doakan di tanah suci ?
JAWAPAN:
Alhamdulillah segala puji dan syukur kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami panjatkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat yang mulia, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.
Perbuatan berdoa adalah suatu ibadah yang sangat dituntut di dalam Islam. Terdapat banyak nas yang sahih daripada al-Quran dan juga al-Sunnah yang menerangkan tentang kepentingan berdoa kepada Allah S.W.T.
Di antaranya adalah sebuah hadis yang diriwayatkan oleh An-Nu’man bin Basyir R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
الدُّعَاءُ هُوَ الْعِبَادَةُ
Maksudnya: Berdoa itu adalah suatu ibadah.
Kemudian baginda membaca firman Allah S.W.T:
وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ
Maksudnya: Dan telah berkata Tuhan kamu: “Berdoalah kamu semua kepada-Ku nescaya Aku akan memustajabkan buat kamu”. Riwayat Abu Daud (1479)
Berdasarkan hadis dan ayat di atas, berdoa itu bukan sekadar suatu ibadah, bahkan ia merupakan suatu perintah dari Allah S.W.T buat sekalian para hamba-Nya untuk berdoa kepada-Nya. Bukan sekadar itu, Allah S.W.T turut memberikan jaminan bahawa Dia akan memustajabkan sebarang permintaan hamba-Nya. Hal ini secara jelas menggambarkan peri pentingnya ibadah doa, sehingga menjadi suatu arahan dan tuntutan kepada seseorang hamba untuk melakukannya.
Imam al-Hafiz Ibn Kathir Rahimahullah apabila menafsirkan ayat ini, beliau menukilkan kata-kata Imam Sufyan al-Tsauri: ‘’Wahai hamba-hamba yang paling dicintai-Nya, adalah mereka yang meminta kepada-Nya dan banyak permintaannya. Dan golongan yang dimurkai Allah dari kalangan hamba-Nya adalah mereka yang tidak meminta kepada-Nya’’.
Beliau juga turut menukilkan kata-kata penyair: ‘’Allah itu murka sekiranya kamu tidak meminta (berdoa) kepada-Nya. Manakala anak Adam (manusia) itu, berasa marah apabila diminta sesuatu (darinya)’’. Lihat Tafsir al-Quran al-Azhim, Ibn Kathir (7/156).
Berdoa juga turut mempunyai beberapa adab dan juga keadaan-keadaan tertentu yang membantu untuk ianya dimustajabkan Tuhan. Kami nyatakan perincian sebahagian daripada adab dalam berdoa seperti berikut:
Pertama: Berdoa Dengan Penuh Harap Dan Yakin
Di antara adab berdoa, seseorang itu perlulah meminta kepada Allah S.W.T dalam keadaan dirinya bersangka baik dengan-Nya agar permintaan itu dimustajabkan. Demikian juga, seseorang itu perlulah berdoa dalam keadaan penuh harap (agar doa dimustajabkan) dan juga perasaan takut (dari doa tertolak). Ini berdasarkan firman Allah S.W.T:
إِنَّهُمْ كَانُوا يُسَارِعُونَ فِي الْخَيْرَاتِ وَيَدْعُونَنَا رَغَبًا وَرَهَبًا
Maksudnya: Sesungguhnya mereka itu (para Nabi) sentiasa bersegera dalam melakukan perkara kebaikan. Dan mereka berdoa kepada Kami dalam keadaan penuh harap dan rasa takut. Surah al-Anbiya’ (90)
Ayat di atas ini sebelumnya menceritakan berkenaan beberapa orang para Nabi dan juga permintaan yang mereka lakukan. Nabi Ayyub A.S. berdoa kepada Allah S.W.T untuk memberikan kesembuhan kepada penyakit yang menimpanya, lalu Allah mustajabkan. Nabi Yunus A.S berdoa supaya diselamatkan dari musibah yang menimpa dirinya saat berada di dalam perut ikan nun, kemudian Allah mustajabkan doanya.
Berikutnya, Nabi Zakaria A.S juga berdoa supaya dikurniakan zuriat, lalu Allah S.W.T memustajabkannya dengan mengurniakan Nabi Yahya sebagai anak. Ketiga-tiga para Nabi ini dimustajabkan doa mereka kerana berdoa dalam keadaan penuh harap dan takut kepada Allah S.W.T.
Begitu juga berdasarkan sebuah hadis daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
ادْعُوا اللَّهَ وَأَنْتُمْ مُوقِنُونَ بِالإِجَابَةِ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ لاَ يَسْتَجِيبُ دُعَاءً مِنْ قَلْبٍ غَافِلٍ لاَهٍ
Maksudnya: Berdoalah kepada Allah dalam keadaan kamu yakin bahawa ianya akan dimustajabkan. Dan ketahuilah kamu bahawa Allah S.W.T tidak akan memustajabkan doa yang datang daripada hati yang lalai lagi alpa. Riwayat al-Tirmizi (3479)
Kedua: Memuji Tuhan Sebelum Berdoa
Di antara adab dalam berdoa adalah dengan memuji Allah S.W.T sebelum meminta sebarang hajat. Hal ini sebagai contoh mudahnya adalah dengan melihat kepada bacaan surah al-fatihah yang dibacakan oleh seseorang. Ia berdasarkan sebuah riwayat yang panjang daripada Abu Hurairah R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W menceritakan berkenaan bacaan al-Fatihah di dalam solat. Lalu Allah S.W.T membahagikan solat kepada dua bahagian, untuk diri-Nya dan untuk para hamba-Nya.
Jelas dalam surah al-Fatihah, terdapat 5 pujian daripada ayat pertama hinggalah ke ayat yang ke lima kepada Allah S.W.T. Kemudian pada ayat yang keenam, ia diikuti dengan permintaan atau doa yang pertama iaitu:
اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ
Maksudnya: Berilah kami hidayah kepada jalan yang lurus. Surah al-Fatihah (6)
Demikian juga seperti yang difirmankan oleh Allah S.W.T di dalam al-Quran yang menceritakan berkenaan doa Nabi Ibrahim A.S, baginda memulakan dengan katanya:
الَّذِي خَلَقَنِي فَهُوَ يَهْدِينِ (78) وَالَّذِي هُوَ يُطْعِمُنِي وَيَسْقِينِ (79) وَإِذَا مَرِضْتُ فَهُوَ يَشْفِينِ (80) وَالَّذِي يُمِيتُنِي ثُمَّ يُحْيِينِ (81) وَالَّذِي أَطْمَعُ أَن يَغْفِرَ لِي خَطِيئَتِي يَوْمَ الدِّينِ
Maksudnya: Dialah Tuhan yang telah menciptakan aku maka Dia jugalah yang memberikan petunjuk. Dialah Tuhan yang memberi makan dan minum kepadaku. Dan apabila aku sakit, maka Dialah yang memberikan kesembuhan. Dan Dialah Tuhan yang mematikan aku kemudian menghidupan semula (diriku). Dan Dia jugalah Tuhan yang sangat aku harapkan supaya Dia mengampunkan kesalahan-kesalahanku pada hari akhirat.
Surah al-Shu’ara (78 – 82)
Kesemua ungkapan di atas ini, jika diteliti ia adalah suatu puji-pujian seorang hamba kepada Tuhannya. Maka Nabi Ibrahim A.S tidak terhenti sekadar lima pujian ini, bahkan baginda menyambungnya dengan lima buah permintaan kepada Allah S.W.T melalui firman-Nya:
رَبِّ هَبْ لِي حُكْمًا وَأَلْحِقْنِي بِالصَّالِحِينَ (83) وَاجْعَل لِّي لِسَانَ صِدْقٍ فِي الْآخِرِينَ (84) وَاجْعَلْنِي مِن وَرَثَةِ جَنَّةِ النَّعِيمِ (85) وَاغْفِرْ لِأَبِي إِنَّهُ كَانَ مِنَ الضَّالِّينَ (86) وَلَا تُخْزِنِي يَوْمَ يُبْعَثُونَ
Maksudnya: Tuhanku, berilah hikmah kepadaku dan golongkanlah diriku bersama dengan orang-orang yang soleh. Berilah kepadaku lisan yang benar buat orang-orang yang terkemudian. Dan jadikanlah aku di antara mereka yang mewarisi syurga al-na’im. Dan ampunkanlah bapaku, sesungguhnya dia tergolong dalam kalangan mereka yang tersesat. Dan janganlah Kau hinakan aku pada hari kebangkitan. Surah al-Syu’ara’ (83-87)
Justeru, dapat kita fahami bahawa petunjuk qurani di dalam berdoa adalah dengan memulakannya dengan ucapan pujian-pujian kepada Allah S.W.T.
Berdoa Di Tanah Suci
Berdoa di tanah haram tidak dinafikan mempunyai beberapa kelebihan dan keutamaannya yang tertentu. Kami kongsikan kenyataan Imam Ibn Rajab al-Hanbali Rahimahullah di dalam kitabnya Lathaif al-Ma’arif (Hlm. 269) yang berkata:
Ketahuilah bahawasanya penggandaan pahala bagi setiap amalan itu berlaku dengan beberapa sebab seperti berikut:
Pertama: Kemuliaan tempat yang dilakukan padanya amalan tersebut, seperti tanah haram. Oleh kerana itulah solat di dalam dua masjid Makkah dan juga Madinah itu dilipatgandakan ganjarannya. Sebagaimana yang telah sabit di dalam sebuah hadis yang sahih daripada Nabi S.A.W baginda bersabda:
صَلاَةٌ فِي مَسْجِدِي هَذَا خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ صَلاَةٍ – أَوْ كَأَلْفِ صَلاَةٍ – فِيمَا سِوَاهُ مِنَ الْمَسَاجِدِ إِلاَّ أَنْ يَكُونَ الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ
Maksudnya: Solat di dalam masjidku ini (Masjid Nabawi) adalah lebih baik berbanding 1000 solat – atau menyamai 1000 solat – berbanding masjid-masjid selainnya, kecuali Masjid al-Haram. Riwayat Muslim (1394)
Justeru, hal ini jelas menunjukkan bahawa ibadah yang dilakukan di tanah haram itu dilipatgandakan ganjaran pahalanya, dan termasuklah dalam perbuatan ibadah itu adalah doa yang dilakukan oleh sesorang itu di dalam tanah haram.
Kesimpulan
Sebagai penutup, kami berpendapat bahawa perbuatan meminta orang lain yang terpilih di sisi Allah S.W.T untuk menunaikan ibadah di Tanah Haram agar mendoakan kebaikan kepada kita yang tidak berada di sana, yang lebih makruf di sisi uruf masyarakat kita dengan perbuatan mengirimkan doa, hukumnya adalah dibolehkan.
Kami kongsikan sebuah riwayat daripada Saidina Umar al-Khattab R.A bahawa beliau pernah meminta izin kepada Nabi S.A.W untuk menunaikan umrah, lalu baginda mengizinkannya dan berkata kepada Umar:
لاَ تَنْسَنَا يَا أُخَىَّ مِنْ دُعَائِكَ
Maksudnya: Jangan lupakan kami wahai saudaraku dari doa kamu. Riwayat Abu Daud (1498)
Kami juga menambah, dalam masa yang sama kita sendiri turut tidak mengabaikan doa sendiri di negara kita, dengan meraikan adab-adab berdoa yang telah kami nyatakan. Semoga dengan pencerahan ini sedikit sebanyak memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama.
Sumber kredit: Laman Web Rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dan Facebook Haramain
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Isteri Diuji Bila Suami Tiada Apa-apa, Suami Pula Diuji Saat Punya Segala, Bukankah Lebih Baik Terus Setia
Perkahwinan bukanlah sesuatu perkara yang remeh-temeh. Ianya melibatkan dua insan yang bersetuju untuk sentiasa bersama tidak kira susah atau senang. Termasuklah saling membantu satu sama lain.
Sedangkan lidah lagi tergigit inikan pula suami isteri. Adatlah dalam rumah tangga, adakalanya berselisih faham. Namun jangalah jadikan alasan untuk beralih arah. Jika dahulu sanggup hidup susah bersama-sama, apabila sudah mula berharta, ada suami yang sudah lupa dengan jasa dn pengorbanan seorang isteri.
Berikut perkongsian Imam Muda Hassan Adli di laman Facebooknya.
Kesolehahan isteri diuji di saat suami sudah tidak punya apa-apa lagi. Dan kesolehan suami diuji di saat dia punya segalanya.
Peristiwa ini memang berlaku dalam masyarakat pada hari ini. Dan tak kurang juga soalan-soalan yang teman dapat, “suami saya bila dah senang, dia mula main kayu tiga di belakang saya.”
Di sinilah ujian bermula:
1. Di saat suami memiliki kekayaan, pangkat, dan segala apa yang dia inginkan, di situlah ujian besar akan melanda hidup si suami. Dia mula mengabaikan tanggungjawabnya pada isteri dan anak-anak, dia mula melakukan perkara-perkara maksiat di belakang isterinya sebab dia merasakan dia boleh dapat apa saja yang dia nak.
2. Di saat isteri diuji dengan suaminya dibuang kerja, muflis, bisnes tak jadi, duit simpanan dah habis, di situlah ujian besar akan membadai si isteri. Dia mula merasakan yang suaminya tak berguna, suaminya menyusahkannya. Mula rasa menyesal berkahwin dengan dia.
Tapi, jika suami diikat dengan tali iman, biarpun dia sudah miliki kekayaan, dia tetap akan menjalankan amanahnya dengan baik sebagai suami, dan dia akan takut melakukan maksiat di belakang isterinya. Inilah tanda SOLEHNYA seorang suami.
Bila isteri diikat dengan tali iman, biarpun suaminya dibuang kerja, dia tetap setia berkhidmat untuk suaminya dan selalu membakar semangat suami untuk terus berusaha. Inilah tanda SOLEHAHNYA seorang isteri.
Cukuplah teman bawakan contoh Nabi Muhammad SAW dan Isterinya Saidatina Khadija R.ha.
Di saat Nabi SAW memiliki kekayaan sebelum zaman kenabian, Baginda tetap setia dengan Khadijah. Baginda tetap menjadi suami yang terbaik untuk Khadijah.
Di saat Baginda diangkat menjadi Nabi, Nabi sudah tidak memiliki kekayaan seperti sebelumnya, tetapi Khadijah tetap setia dengan Baginda. Di saat Baginda diuji dengan fitnah, dipulau, dihina, Khadijah tetap menjadi motivator terbaik untuk Baginda..
Wahai suami-suami sekalian (termasuklah teman ni), jadilah kita suami seperti Nabi SAW.
Wahai isteri-isteri sekalian, jadilah kalian seperti Saidatina Khadijah isteri Nabi SAW.
Setialah pada yang satu. Kukuhkan mahligai yang sedia ada dan bukannya sibuk membina mahligai baru tetapi mahligai lama diruntuhkan.
Sumber kredit: Facebook Hassan Adli
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Tolak Tiup Tapi Guna Tangan Padamkan Api Lilin, Sikap DS Siti Nurhaliza Dipuji Netizen. Ini Penjelasan Ustaz!
Tarikh 11 Januari 2019 cukup bermakna buat penyanyi kesayangan ramai Datuk Seri Siti Nurhaliza kerana menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke 40. Dalam satu video dimuat naik turun di mana beliau diraikan lebih awal oleh team #sitinuhalizaontour dalam studio ketika sedang berlatih pada hari ketika untuk persiapan konsert Siti Nurhaliza Tour 2019.
Membawa kek sambil menyanyikan lagu Hari Jadi khas buat penyanyi tersohor ini. Namun yang jadi perhatian netizen apabila Siti tidak meniup lilin pada kek berkenaan tetapi memadamkannya hanya menggunakan jari tangannya.
Perbuatan itu mendapat perhatian netizen yang memuji tindakan beliau tidak meniup kek berkenaan seperti kebiasaan yang sering dilakukan apabila menyambut hari jadi.
norhaliza90 Ija suka tengok Dato’ Siti padamkan api lilin pada kek tu.. BravoO.. Salah 1 cara yg betul utk mengelakkan diri drpd meniup api lilin tu..
odetsss_ Comel ja cara padam… like it..
hashomemade Alaaa..bertambah sukaa dgn cara tok ti xtiup lilin..pakai jari ja…org ada ilmu..gini aa..HB @ctdk..moga sentiasa dlm rahmat ALLAH selalu
the_izara18 Suke sangat cara dato die tau kalau sebetulnye tak di bolehkan tiup lilin die padam lilin guna tangan je.
therealamyrul Uiii..padam lilin guna jari mcm Tu je..dahsyatt..HB tokti !!
Siti juga kelihatan terkejut dengan sambutan awal sempena kelahiraannya itu dan tetap memberikan sporting meraikannya walaupun sedang sibuk membuat latihan.
Untuk pengetahuan Siti yang menyambut kelahiran ke 40 tahun ini bakal mengadakan konsert di tiga negara termasuk Malaysia sebagai permulaan kerjayanya di tahun 2019.
Hijabista ucapkan Selamat Ulang Tahun Kelahiran ke 40 buat Siti, semoga panjang umur dan murah rezeki. Pastinya juga sambutan tahun ini cukup bermakna dengan kehadirah si comel pipi Merah, Siti Aafiyah
Ekstra Info:
Berhubung perbuatan tiup lilin ini, menurut Ustaz Azhar Idrus tidak salah untuk membeli kek tetapi jangan berniat untuk tiru perbuatan orang kafir dengan meniup kek berkenaan.
KREDIT FOTO: INSTAGRAM CTDK & ROZI SANGDEWI
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI