Wanita memang gemar bersolek kerana ia mampu menaikkan lagi seri wajah seseorang wanita. Namun di sebalik keghairahan bersolek, ada wanita yang tergamak meninggalkan solat gara-gara sayangkan mekap pada wajah.
Mengapa sampai jadi begitu? Sedangkan boleh sahaja solekan pada wajah dibersihkan kemudian selepas solat, bolehlah memakai mekap semula.
Daripada Abi Hurairah r.a yang mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya, pada hari kiamat nanti umatku akan diseru dan mereka datang dengan wajah dan telapak kaki yang bersinar putih kerana bekas wudhuk. Sesiapa antara kamu yang mampu untuk memperluaskan cahayanya, maka kerjakanlah.” [Hadis Riwayat Bukhari, no.136]
Ads
Sedangkan berwuduk itu ganjarannya luar biasa hebat sehingga kiamat. Bersolek pula, hanya sekadar keindahan sementara. Tak sampai 10 jam pun.
Bahkan dosa besar tinggalkan solat itu kekal selagi tak bertaubat. Begitu juga dosa bertabarruj.
Abu Hurairah r.a, beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Amal yang pertama dihisab dari seorang hamba pada hari Kiamat adalah solat; jika solatnya baik maka beruntung dan selamatlah dia, dan (sebaliknya) jika solatnya buruk (kesempurnaannya), maka dia gagal dan rugi”. [Hadis Riwayat at-Tirmizi, no.411]
Meh kita duduk bersila di sejadah, bermuhasabah balik. Sampai bila nak buat dosa. Takkan nak tunggu sampai pencen baru bertaubat.
Bulan Muharam adalah salah satu daripada empat bulan yang dihormati serta memiliki kemuliaan di sisi Allah SWT. Memang tidak dinafikan ianya merupakan satu bulan yang mulia. Terdapat banyak nas-nas daripada Al-Quran dan juga al-Sunnah yang menyebutkan berkenaan kelebihan bulan ini.
Jumlah bulan dalam setahun yang ditetapkan Allah SWT ada 12 bulan semuanya. Ia diciptakan sejak Allah SWT menciptakan langit dan bumi lagi.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar larangan-Nya), dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya, dan ketahuilah sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang bertakwa.” (Surah at-Taubah, ayat 36)
Imam Ibnu Kathir menyatakan, orang yang melakukan kemaksiatan dan kezaliman pada bulan itu akan ‘dilipatgandakan’ dosanya oleh Allah SWT.
Antara hari yang dianjurkan berpuasa adalah pada hari ‘Asyura iaitu puasa hari ke-10 pada bulan Muharam.
Syukur bagi mereka yang mengambil peluang berpuasa pada 10 Muharam, sehari sebelum itu yang dipanggil sebagai puasa Tasu’a.
.
Orang mukmin digalakkan menambah puasa sunat sehari sebelum puasa ‘Asyura bagi membezakan puasa orang Yahudi.
Berikut huraian lengkap tentang kelebihab bulan Muharram dan berpuasa pada bulan Muharram.
KELEBIHAN BULAN MUHARRAM
Di antara kelebihan bulan ini seperti yang dinyatakan di dalam al-Quran adalah berdasarkan firman Allah S.W.T yang berikut:
Maksudnya: Sesungguhnya bilangan bulan di sisi Allah S.W.T adalah sebanyak dua belas bulan sebagaimana yang terdapat di dalam kitabullah (Lauh al-Mahfuz) pada hari diciptakan langit-langit dan juga bumi. Di antaranya (bulan-bulan tersebut) adalah empat bulan haram. Demikian itulah agama yang lurus maka janganlah kalian menzalimi diri kalian di dalam bulan-bulan tersebut. Surah al-Taubah (36)
Rasulullah S.A.W telahpun memberikan penjelasan berkenaan dengan empat bulan haram tersebut dengan sabda baginda:
Maksudnya: Dalam setahun itu ada dua belas bulan dan di antaranya adalah empat bulan haram. Tiga bulan yang berturut-turut iaitu Zulkaedah, Zulhijjah, dan Muharram serta bulan Rejab yang berada di antara Jamadil Akhir dan juga Syaaban. Riwayat al-Bukhari (184)
Justeru, dua nas di atas jelas menunjukkan bahawa bulan Muharram dimuliakan kerana ia termasuk dalam kalangan empat bulan haram yang mana diharamkan untuk berperang pada bulan-bulan haram serta ianya sangat dihormati dari sudut amalan soleh di dalamnya menjadi besar ganjarannya manakala dosa dan maksiat juga turut menjadi lebih besar di dalam bulan-bulan haram.
GALAKAN BERPUASA DALAM BULAN MUHARRAM
Di antara amalan soleh yang sangat digalakkan untuk umat Islam lakukan pada bulan Muharram adalah dengan memperbanyakkan berpuasa sunat. Ini dapat dilihat berdasarkan sebuah riwayat daripada Abu Hurairah R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
Maksudnya: Seafdhal-afdhal puasa setelah bulan Ramadhan adalah berpuasa pada bulan Allah al-Muharram dan sesungguhnya solat yang paling afdhal setelah solat fardhu adalah solat malam (Qiyamullail). Riwayat Abu Daud (2429)
Demikian juga terdapat sebuah hadis yang menceritakan berkenaan seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W tentang bulan apakah yang Rasulullah perintahkan untuk dirinya berpuasa setelah bulan Ramadhan ? Maka jawab baginda S.A.W:
Maksudnya: Sekiranya kamu hendak berpuasa setelah bulan Ramadhan maka berpuasalah kamu pada bulan al-Muharram kerana sesungguhnya ia adalah bulan Allah. Riwayat al-Tirmizi (741)
Berdasarkan kepada dua hadis di atas, terdapat dua kelebihan yang terdapat pada bulan Muharram. Ianya seperti berikut:
Bulan Muharram disebut sebagai bulan Allah yang tidak disebut pada bulan-bulan lain. Umum mengetahui jika sesuatu perkara itu disandarkan kepada Allah maka ianya menjadi suatu yang mulia. Sama seperti Baitullah, Abdullah, Rasulullah, dan seumpamanya. Bulan Muharram adalah bulan paling afdhal untuk berpuasa sunat setelah bulan Ramadhan.
GALAKAN BERPUASA HARI ASYURA
Walaupun berpuasa pada sepanjang bulan Muharram adalah digalakkan, akan tetapi terdapat nas khusus yang menceritakan berkenaan kelebihan berpuasa pada 10 Muharram iaitu hari ‘asyura. Ini adalah berdasarkan beberapa riwayat berikut:
Antaranya adalah sebuah riwayat daripada Abu Qatadah R.A. bahawasanya Rasulullah S.A.W bersabda:
Maksudnya: Berpuasa pada hari ‘Asyura sesungguhnya aku mengharapkan kepada Allah supaya ia dapat menghapuskan dosa-dosa setahun sebelumnya. Riwayat Ibn Majah (1738)
Begitu juga sebuah riwayat daripada Abdullah Ibn Abbas R.anhuma yang berkata;
Maksudnya: Rasulullah S.A.W datang ke Madinah dan kemudian baginda melihat golongan Yahudi berpuasa pada hari Asyura. Lalu baginda berkata: “Apakah ini ?”. Mereka pun menjawab: “Ini adalah hari yang baik. Inilah harinya Allah menyelamatkan Bani Israel daripada musuh mereka maka Musa pun berpuasa pada hari tersebut. Lalu baginda bersabda: “Aku lebih berhak ke atas Musa berbanding kamu”. Maka baginda pun berpuasa pada hari tersebut dan memerintahkan supaya umatnya berpuasa pada hari itu. Riwayat al-Bukhari (2004)
Kedua-dua hadis di atas jelas menunjukkan bahawa puasa pada hari ‘Asyura adalah diperintahkan kepada umat Muhammad S.A.W dan hukumnya adalah sunat.
PERINTAH SUPAYA MENYELISIHI YAHUDI
Walaupun kita digalakkan untuk berpuasa pada 10 Muharram, akan tetapi kita juga turut diperintahkan untuk mengikutinya dengan berpuasa pada hari sebelum ataupun hari selepasnya. Ini adalah bertujuan untuk menyelisihi golongan Yahudi yang hanya berpuasa pada 10 Muharram secara tunggal. Hal ini berdasarkan sebuah riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma beliau berkata bahawa Nabi S.A.W bersabda:
Maksudnya: Berpuasalah kalian pada hari ‘Asyura dan berbezalah dengan golongan Yahudi. Berpuasalah sehari sebelumnya ataupun sehari selepasnya. Riwayat Ahmad (2154)
Demikian juga sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Abbas R.anhuma, kata Nabi S.A.W:
Maksudnya: Sekiranya aku masih hidup pada tahun hadapan nescaya aku akan berpuasa pada hari yang ke 9 (Muharram). Riwayat Muslim (1134)
Demikian juga ketika Nabi S.A.W memerintahkan untuk berpuasa pada hari ‘Asyura, maka para sahabatnya berkata: “Wahai Rasulullah S.A.W, sesungguhnya ia adalah hari yang mana golongan Yahudi dan Nasrani membesarkannya”. Maka Rasulullah S.A.W menjawab:
Maksudnya: Apabila datangnya tahun hadapan Insha Allah kita akan berpuasa pada hari yang ke sembilan. Riwayat Muslim (1134)
Nas-nas di atas jelas menunjukkan bahawa Rasulullah S.A.W memerintahkan kepada kita untuk dilakukan juga puasa sehari sebelum 10 Muharram ataupun sehari selepasnya dengan tujuan untuk menyelisihi golongan Yahudi.
PENDAPAT PARA FUQAHA
Berikut dinyatakan beberapa pendapat para fuqaha berkenaan isu mengikuti puasa hari ‘Asyura dengan berpuasa sehari ataupun selepasnya. Sebahagian para ulama mengatakan bahawa cara mengerjakan puasa ‘Asyura itu ada tiga keadaan seperti berikut:
*Berpuasa sehari sebelumnya atau sehari selepasnya.
*Berpuasa padanya (10 Muharram) secara tunggal.
*Berpuasa sehari dan selepasnya.
Manakala cara terbaik serta paling lengkap untuk melakukannya adalah sebagaimana turutan yang disebutkan oleh Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah di dalam kitabnya Zaad al-Ma’ad (2/72) dengan cara seperti berikut:
*Berpuasa pada hari sebelumnya dan juga hari selepasnya.
*Berpuasa pada 9 dan 10 Muharram sahaja.
*Berpuasa pada 10 Muharram sahaja.
KESIMPULANNYA:
Disunatkan untuk berpuasa pada 9 Muharram atau pada 11 Muharram berserta dengan puasa hari ‘Asyura dengan tujuan untuk menyelisihi dan berbeza dengan golongan Yahudi. Semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua di samping merezekikan kepada kita semua untuk mengikut petunjuk Rasulullah S.A.W di dalam kehidupan seharian kita.
Bukan mudah untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya. Nabilah Bahrin atau lebih dikenali sebagai Kak Nab telah berkongsi mengenai pengalaman suka dukanya yang bermula dengan hanya menjual barangan melalui ‘car boot sales’
Pasti anda familiar dengan figura seorang ini yang sering tular dengan video makeup di laman media sosial iaitu ‘Mudahnya makeup-by kaknab’. Bukan sahaja video makeup, kini dia juga sering tular di TikTok dengan video-video makanan. Kak Nab juga sering menjadi kegemaran ramai dan terkenal dengan celotehnya (‘beletiaq’) dalam loghat utara. Suka betul dengar!
Berusia 31 tahun, Siti Nabilah Dol Bahrin atau Kak Nab ini telah memiliki empayar sendiri dalam bidang kosmetik iaitu Averly Cosmetics dan juga butik pakaian iaitu Nabella Butik. Mari dalami kisah usahawan ini dengan lebih lanjut!
Memetik perkongsiannya bersama Nona, usahawan wanita ini mendedahkan bahawa dia mula berniaga kira-kira lapan tahun lepas.
“Terdetiknya mahu berniaga sekitar tahun 2014. Dengan hanya berbekalkan modal RM500 dari kawan lelaki yang sekarang dah jadi suami, saya gigih jual tudung dekat Pasar Tani, Pasar Malam termasuk Car Boot Sale.”
“Sebelum ini saya pernah bekerja di sektor perbankan. Pagi kerja di bank, sebelah malam pula saya berniaga di pasar. Memang letih tapi puas. Alhamdulillah, saya sentiasa dapat sokongan daripada keluarga dan kawan-kawan.” ujar usahawan wanita ini.
Kak Nab juga telah meluahkan rasa syukur kerana melalui perniagaan ini dia belajar erti hidup susah.
“Sejak zaman universiti lagi saya dah mula berniaga kecil-kecilan. Saya jual barang-barang terpakai kepunyaan sendiri secara Door to Door. Ketuk pintu rumah orang untuk menjual sebab kawasan tersebut jauh dari kedai dan supermarket.
“Sebenarnya sejak awal berniaga, untung yang saya dapat tak adalah banyak mana. Lebih kepada kepuasan dan bantu tampung perbelanjaan yang kurang.” tambahnya lagi.
Kak Nab juga telah berkongsi mengenai keseronokan bekerja sendiri dan titik permulaan perniagaannya iaitu Nabella Butik.
“Seronoknya berniaga sebab kita boleh rancang masa sendiri, tambahan pula bila dah ada anak. Sebab itu jugalah saya berhenti kerja dan serius berniaga. Kira-kira dua tahun kumpul duit jualan tudung barulah saya mampu buka butik dengan kos RM15,000.”
Menurutnya, Nabella Butik ini pada awalnya berkonsepkan vendor, tapi bila dah ada modal lebih, dia mula membawa masuk barang sendiri seperti baju, tudung,
handbag, kasut dan macam-macam aksesori.
Setelah itu, apabila dia sudah dikenali dan mempunyai ramai pelanggan, dia cuba untuk mengembangkan perniagaannya dalam bidang kosmetik pula iaitu Averly Cosmetics. Produk kosmetiknya itu kini sudah pun memiliki empat produk iaitu Beauty Oil, Foundation, Krim Jerawat dan Magic Gloss.
Bak kata pepatah ‘bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian’. Perjalanan untuk mencapai kejayaan ini bukannya sesuatu yang mudah dan pasti ada dugaan tersendiri. Buat usahawan ini, dia juga pernah mengalami kerugiaan sebanyak RM20,000 akibat ditipu.
“Untung hasil jualan di butik, saya labur RM20,000 beli kain untuk koleksi raya. Waktu itu saya ambil khidmat orang tengah. Bila dapat sample, kain memang cantik dan kualiti pun ok. Sebaik saja kain sampai, saya terus hantar jahit tanpa periksa keadaan kain.
“Tailor pula tak maklumkan apa-apa. Hampir tiga puluh peratus dah siap dan dihantar kepada saya untuk cuba..Rupanya, material kain tersebut mudah koyak dan pecah. Sudahnya, saya terpaksa juga bayar kos jahit dan buang semua kain sebab dah tak boleh pakai” ujarnya lagi.
Walaupun pernah ditipu berpuluh ribu ringgit, ianya tidak mematahkan semangat usahawan ini untuk terus bangkit. Dengan hanya berbekalkan usaha dan bermula daripada bawah, kini sudah membuahkan hasil buat usahawan ini. Para hijabi boleh menjadikan kisah Kak Nab ini sebagai inspirasi dan pembakar semangat di masa hadapan.
Siapa tidak kenal dengan jurulatih kecergasan Kevin Zahri yang sering berkongsikan tips pemakanan sihat, senaman dan kecergasan badan di laman sosial.
Baru-baru ini Kevin yang juga pempengaruh media sosial itu, sekali lagi mencuri tumpuan netizen apabila berkongsikan perjalanan hijrahnya dari agama Kristian kepada Islam, hingga menjadi sorotan ramai pengguna media sosial sehingga kini.
Menurut Kevin, dia telah menganuti agama kristian selama 12 tahun. Memandangkan ibunya seorang Kristian dari German. Malah, ibunya banyak ibunya banyak mengajar Kevin tentang agama.
Tambah kevin lagi, dia mulai mengenal Islam setelah kedua ibu bapanya bercerai dan ayahnya memutuskan untuk berpindah ke Malaysia pada tahun 1991, ketika itu dia berumur 12 tahun.
“Dia (Ayah) mula mendapat hidayah dan membimbing kami tentang agama Islam dengan bantuan ustaz.
“Saya tidak menerima Islam secara langsung pada hari pertama. Saya ambil masa selama satu tahun untuk mengenal Islam,” dedahnya menerusi video yang dimuat naik di TikTok.
Jelasnya lagi, sepanjang tempoh satu tahun itu, dia banyak meluangkan masa mempelajari dan mendalami agama Islam. Serta membuat perbandingan di antara kedua agama, Islam dan Kristian.
Sehinggalah akhirnya, dia memutuskan untuk menganuti dan memeluk Islam di usia awal remaja, iaitu pada umurnya 13 tahun.
Lebih menarik perhatian adalah, Kevin turut berkongsikan doanya kepada tuhan, pada malam terakhir sebagai seorang Kristian.
Malah, pendedahan ini telah berjaya meruntuh hati netizen hingga ada diantaranya yang menitiskan air mata ketika menyaksikan video itu.
“Malam sebelum berhijrah, saya berdoa kepada Tuhan dan berkata, Tuhan, malam ini adalah malam terakhir saya berdoa kepada kamu sebagai Kristian. Esok saya akan berdoa kepada Allah sebagai seorang Muslim.
“Di mata saya, ia tetap Tuhan yang sama. Semestinya, ada perbezaan dari segi sejarah tapi dalam fikiran saya, Islam adalah agama yang menunjukkan kemuliaan para rasul yang telah dihantar ke dunia ini.
“Bermula dengan Adam, Musa, Isa dan Nabi Muhammad. Saya rasa macam ia sebuah windows edisi baru dan inilah mesej terkini daripada Tuhan. Oleh itu, saya membuat keputusan untuk menjadi seorang Muslim,” dedahnya.
Untuk rekod, meskipun hantaran video tersebut dimuat naik Kevin sejak bulan lalu, tetapi video berkenaan masih dikongsi dan menerima pelbagai respons daripada pengguna media sosial, berikut adalah sebahagian di antaranya.
“Perkongsian yang menarik, teruskan berkongsi bang!,” tulis satu komen.
“Menitik air mata saya, indah cerita ini,” kata komen yang lain.
“Ini pertama kali saya dengar kisah hijrah coach,” kata seorang pengguna.
Ketahui batas kecantikan Muslimah dalam berhias, solekan, tudung, minyak wangi, aksesori dan trend kecantikan agar penampilan kekal selari dengan syariat.