Meskipun Faruq Fadhullah Kamal Baharom, 32 seorang pramugara AirAsia, lelaki tampan, tinggi lampai dan bergaya persis seorang model ini tidak kisah beralih arah menjadi penghantar makanan.

Anak kelahiran Selangor itu berkata, industri penerbangan yang terjejas teruk akibat Covid-19 telah membuatkannya ‘terkaku‘ seketika.

“Jadual penerbangan dan pendapatan kami terjejas 90 peratus. Jadi untuk meminimumkan impak krisis itu, saya dapati cara paling mudah (untuk meraih pendapatan) adalah dengan menyertai keluarga penghantar makanan.

“Dengan kemudahan motosikal yang saya jarang gunakan, saya manfaatkannya untuk tujuan itu,“ katanya jujur.

TIDAK SEGAN JADI PENGHANTAR MAKANAN

Ketika ditanya, tidakkah dia segan bergelar penghantar makanan sedangkan selama ini dia selesa terbang tinggi di awan biru atas nama profesion glamor pramugara
tanpa keraguan, dia pantas mengatakan bahawa perasaan negatif itu tidak wujud sama sekali.

“Kalau nak diikutkan (segan), sebelum ini saya pernah bekerja sebagai pembantu bersihkan rumah orang pada hujung minggu. Bagi saya, semuanya berkisar tentang tanggungjawab. Ia lagi penting daripada tanggapan orang,“ tegasnya.

IKLAN

Faruq menambah, sokongan dan tanpa kata sindiran daripada keluarga mahupun rakan-rakan membuatkan dirinya tambah bersemangat melakukan kerja baharunya.

PERNAH DIMARAHI

Dia turut berkongsi pengalaman mengenai ragam manusia yang ditemuinya sepanjang menghantar makanan di sekitar Damansara dan pusat bandar Kuala Lumpur.

“Bila bercerita bab pengalaman manis memang menarik. Selain dapat rating tinggi, saya juga pernah ditawarkan kerja tetap sebagai penghantar makanan bersama syarikat lain, tetapi hal itu tak dibenarkan mengikut polisi Grab.

“Saya juga pernah dimarahi oleh seorang pemandu kereta mewah yang menuduh motosikal saya menghalang laluan keretanya sedangkan saya letak motosikal di petak khas yang betul.

IKLAN

“Tak mahu panjangkan cerita, saya terus berlalu namun sampai sekarang saya tertanya-tanya kenapa dia perlu bersikap begitu,“ ceritanya yang bekerja lima hingga enam hari seminggu dari tengah hari hingga malam bermula pada minggu pertama Perintah Kawalan Pergerakan, Mac lalu.

DUA KERJAYA YANG BERBEZA

Antara kerjaya pramugara dan penghantar makanan terlalu banyak perbezaannya, kata Faruq.

Ujar bapa kepada seorang cahaya mata itu, sekiranya berada di awan biru, keutamaannya adalah kepada keselamatan penumpang.

IKLAN

“Sebagai penghantar makanan pula, selain perlu jaga diri dan kena seiring dengan cuaca, pesanan makanan daripada pelanggan menjadi fokus saya. Namun, saya suka berkongsi tentang cara penghantar makanan ini bekerja.

“Cara kita bekerja bukan terima pesanan, terus ambil dan hantar. Adakalanya kita perlu tunggu giliran. Ada restoran yang terima banyak tempahan pada satu-satu masa. Jadi kalau lambat, janganlah terus marah kami, tanyalah secara baik,“ katanya.

Ditanya, dengan wajah kacaknya itu, adakah dirinya pernah diusik oleh pelanggan ketika menghantar pesanan? Tanpa ada reaksi kaget, sambil tertawa besar lelaki itu berkata: “Setakat ini belum ada pengalaman sebegitu.“

Faruq memberitahu, ada kemungkinan beliau kembali semula menyambung kerjaya di AirAsia, namun belum ada keputusan muktamad lagi.

“Apa pun yang terjadi, insya-ALLAH saya akan teruskan kerja sebagai penghantar makanan. Tiada sebab untuk saya berhenti,“ ujarnya.

Sumber kredit: Sinarplus.Sinar Harian dan Instagram Faruqfadhullah

Tampil #1 on top dengan fashion muslimah terkini di HIJABISTA!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI