Sebelum ini model Muslimah antarabangsa, Amena Khan mengambil keputusan menarik diri dari menyertai kempen satu produk popular gara-gara tweet yang pernah dibuatnya beberapa tahun lalu. Dan terbaru penyanyi berhijab kacukan Perancis Syria, Mennel Ibtissem pula menarik diri dari rancangan realiti The Voice.
Mennel, 22 tahun dikatakan tidak tahan dengan cemuhan netizen selepas satu statusnya di twitter dua tahun dikaitkan seolah-olah dia menyokong keganasan.
Netizen mula memberi pelbagai reaksi terhadap status Mennel itu berkaitan dengan serangan keganasan di Nice pada 14 Januari 2016 yang mengakibatkan 86 orang maut dan ratusan tercedera.
“Perkara itu bagus kerana menjadi rutin, seminggu satu serangan! Dan sentiasa kekal setia ‘keganasan’ merupakan identiti dia. Apabila kamu merancang tindakan kotor, kamu pasti tidak akan lupa identiti kamu,” tulis Mennel di laman media sosial pada hari tersebut.
Peserta berhijab pertama yang menyertai pertandingan peringkat antarabangsa itu mengumumkan penarikan dirinya dari The Voice menerusi media sosialnya di Facebook.
Walaupun niatnya memasuki rancangan realiti itu hanyalah untuk menyatukan orang ramai dan membuka minda. Bukan bertujuan memecah belahkan atau menjadikan mereka insan yang jumud.
Menurutnya sebagai penyany dia percaya dengan nilai kemanusian dan kebaikan manusia. Mennel percaya juga masa depan harus dibina dengan cinta, keamanan dan toleransi.
Beliau yang tiada niat untuk menyakiti hati sesiapa, malah mesej dan tujuannya telah disalah anggap sehingga menyakitkan dirinya dengan begitu dahsyat.
Walaupun telah menarik diri, Mennel tetap akan membina karier muzik yang diminatnya biarpun dirinya berhijab. Dia akan terus manfaatkan peluang yang ada untuk terus menyebarkan mesej dan niat sebenarnya.
Hati mana tidak bimbang jika orang yang kita kasihi sanggup melakukan satu tugasan berat untuk satu pencapaian cemerlang sebagai rekod peribadi. Pastinya sebagai orang paling rapat akan memberi sokongan tidak berbelah bagi pada insan tercinta ini.
Begitu juga kasihnya penyanyi Siti Sarah yang melihat saat suaminya, pelakon dan pelawak Shuib melakukan aksi disengat lebih 340,000 ribu lebah dalam mencipta nama di The Malaysia Book Of Records.
Sebaik mengetahui suaminya berhajat melakukan proses itu, dia tidak putus berdoa dan turut melakukan solat hajat bersama ibu mentuanya bagi mempermudahkan urusan suaminya.
Bercakap kepada Sinar Harian, Siti Sarah pada mulanya dia langsung tidak mengetahui hasrat suaminya itu dan hanya mengetahui selepas lihat rakan artis memberikan kata semangat sedangkan tiada perbincangan antara mereka berdua pada awalnya.
Bagaimanapun dia bersyukur kerana cabaran itu berjalan lancar tanpa sebaran insiden buruk berlaku. Namun akuinya sepanjang duduk di kerusi penonton, pelbagai perasaan timbul.
“Alhamdulillah selesai sudah…terciptalah lagi satu sejarah Malaysia…saya sangat bersyukur… ini lah dia ‘beeman’ saya. Tahniah @shuibsepahtu saya simpan memori tercemas ini dalam hati saya.. saya sayang awak,” tulisnya di Instagram (IG) miliknya.
Selain Shuib yang berjaya melakar nama nama dalam ‘The Malaysia Book Of Records’ apabila menjadi ‘Most Numbers of Bees On Human Body (Male)’, seorang lagi pelakon Pablo Amirul yang turut mencipta rekod yang sama.
Majis penuh bersejarah ini adalah anjuran Madu Tiga Sdn Bhd yang berlangsung di Taman Botanikal, Ayer Keroh, Melaka.
Sementara itu, di laman sosial, netizen turut mengucapkan tahniah atas pencapaian Shuib di atas keberaninnya beraksi dengan beribu-ribu lebah di badan mereka.
Dunia yang semakin canggih dengan peralihan zaman makin buat kita tersasar dan lupa untuk dekat denganNya. Namun dengan teknologi yang serba canggih ini juga buka peluang untuk hijabi seluruh dunia tidak alpa dengan masa.
Lagi tinggi kemajuan dunia digital seharusnya makin meningkat ilmu yang perlu kita ada, perlu ada usaha untuk mendekatkan diri denganNya.
Dunia permodenan seiring dengan gaya hidup islamik untuk hijabi, Neelofa menerusi syarikat Noor Luminous Sdn. Bhd. melancarkan aplikasi TheNoor dengan rasminya dilancarkan pada 28 Januari dan rata-rata pengikut selebriti ini teruja memuat turun aplikasi ini sehari sebelum dilancarkan.
Menariknya, aplikasi yang dilengkapi dengan pelbagai ciri-ciri khas seperti waktu solat, arah kiblat, lokasi-lokasi masjid berdekatan ini turut menawarkan fungsi tafsir al-Quran dalam lima bahasa berbeza iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Mandarin, Bahasa Tamil dan Bahasa Indonesia.
Memilih untuk meneroka bidang pembangunan digital sebagai cabang bisnes baharu, Neelofa selaku Ketua Pegawai Eksekutif Noor Luminous Sdn. Bhd. berkata, aplikasi TheNoor, merupakan aplikasi semua-dalam-satu yang mampu memenuhi keperluan gaya hidup muslim di seluruh dunia.
“Kita tidak boleh nafikan tentang kerancakan pembangunan platform-platform digital sejak kebelakangan ini. Lebih-lebih lagi dengan kehadiran pelbagai peranti pintar dengan sambungan internet di hujung jari. Segala keperluan maklumat dapat diakses dengan cepat.
“Selain menggalakkan orang ramai untuk lebih celik IT, pembangunan aplikasi TheNoor yang dilengkapi dengan pelbagai ciri-ciri menarik untuk kaum muslimin ini juga dapat menjadi ‘pembantu’ maya untuk kita melaksanakan tugas harian dengan mudah dan cepat.
“Sebagai contoh, bahagian tafsir al-Quran didatangkan dengan lima bahasa termasuk tiga bahasa utama di Malaysia. Kami juga merancang untuk menambah bahasa-bahasa lain seperti Bahasa Turki, Perancis, Spanyol, Urdu dan Hindi pada masa akan datang.
“Alhamdulillah, setelah hampir lebih enam bulan, kami dengan bangganya melancarkan aplikasi TheNoor yang boleh dinikmati oleh semua umat Islam di seluruh dunia,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Noor Luminous Sdn. Bhd., Ahmad Tajuddin Idris berkata, aplikasi TheNoor juga bakal menjadi platform sehenti perniagaan dalam talian yang menawarkan pelbagai produk dan servis yang menepati Syariah.
“Kami merancang untuk memperkenalkan fungsi wasiat dan faraid yang membolehkan pengguna untuk mengelolakan wasiat mereka menerusi aplikasi TheNoor mengikut undang-undang Syariah.
“Selain itu, kami juga bakal melancarkan kad keistimewaan terhad yang membolehkan pengguna untuk membeli produk Takaful menerusi kerjasama dengan rakan kongsi seperti Zurich Takaful dan Etiqa Takaful.
“Sejajar dengan perkembangan jualan atas talian dan galakan pembayaran tanpa tunai, kami turut akan memperkenalkan dompet digital (e-wallet) yang hadir dengan fungsi Kad Prabayar Visa menerusi Fasspay, yang kini sedang menanti kelulusan daripada Bank Negara Malaysia,” katanya.
Hijabista juga sudah meneliti aplikasi ini ringkas dan mudah untuk diakses. Apalagi hijabi muat turun aplikasi ini yang bakal memudahkan anda menjalani aktiviti harian. Paling penting ‘turn on’ laungan azan ya!
Tampil #1 on top dengan fashion muslimah terkini di HIJABISTA!
Download sekarang di
10 malam terakhir Ramadan sudah pun ‘tiba.’ Pecutan untuk mengutip segala ganjaran pahala yang disediakan dari awal hingga akhir bulan mulia ini sepatutnya semakin hebat.
Apatah lagi, ketika ini hadiah cepu emas sedang menanti mereka yang bersungguh-sungguh mendapatkannya, iaitu malam lebih baik daripada 1,000 bulan seperti difirmankan Allah SWT dalam surah al-Qadar.
Firman-Nya yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami menurunkan (al-Quran) ini pada malam al-Qadr; Dan apakah engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam al-Qadr itu? Malam al-Qadr itu lebih baik daripada 1,000 bulan. Pada malam itu malaikat dan Jibril turun dengan izin Tuhan mereka untuk mengatur segala urusan. Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar.” (Al-Qadr: 1-5)
Pastinya, kita tidak mahu termasuk dalam golongan yang rugi, iaitu tidak melakukan sebaik mungkin bagi mendapatkan pahala berlipat ganda dan kurniaan lain disediakan Allah SWT, khususnya malam yang menyamai 1,000 bulan.
Dari Abu Hurairah dikatakan bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang mendirikan Lailatul Qadar dengan iman dan ketakwaan, maka Allah akan menghapuskan semua dosanya yang berlalu.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Mendirikan malam al-Qadar bermakna mengisi malam itu dengan pelbagai ibadat dan menjauhkannya daripada semua perbuatan maksiat hingga ia benar-benar menjadi malam yang penuh kebaikan dan keberkatan.
Ada beberapa amalan yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dan sahabat pada malam-malam akhir Ramadan untuk mengisi Lailatul Qadar. Antaranya:
MANDI, BERPAKAIAN INDAH DAN BERHARUM-HARUMAN
Diriwayatkan oleh Ibnu Abi ‘Asim bahawa Huzaifah pernah mengerjakan qiyam Ramadan bersama Rasulullah SAW dan melihat bahawa baginda mandi pada malam itu. Ibnu Jarir pula berkata bahawa sahabat menyukai mandi pada malam-malam akhir Ramadan.
Demikian pula beberapa riwayat daripada sahabat seperti Anas bin Malik dan ulama pada masa Tabi’in menyatakan bahawa mereka akan mandi, memakai baju indah dan berharum-haruman apabila berada pada akhir Ramadan.
Apa yang dilakukan oleh Rasulullah SAW, sahabat dan tabi’in ini adalah satu upaya untuk menyambut dan meraikan kedatangan Lailatul Qadar, sambil berdoa mendapatkan keampunan dan keberkatan malam itu.
ARTIKEL BERKAITAN: Ini Yang Patut Kita Buat Pada 10 Malam Terakhir, Kalau Nak Jumpa Lailatul Qadar.
MELAKSANAKAN SOLAT SUNAT, IKTIKAF DAN MEMBACA AL-QURAN
Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan satu hadis daripada Aishah, bermaksud: “Adalah Rasulullah apabila telah masuk 10 akhir daripada Ramadan, maka baginda akan menghidupkan malam-malamnya, membangunkan keluarganya dan mengikat pinggangnya.”
Sahabat dan ulama berbeza pendapat dalam memberi penafsiran terhadap hadis di atas. Tetapi mereka bersepakat bahawa Rasulullah SAW melebihkan ibadahnya pada 10 malam yang terakhir Ramadan.
Ibadah yang biasa dilakukan pada malam Ramadan adalah solat Tarawih dan Witir serta membaca al-Quran. Dalam salah satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dari Amru bin ‘Ash bermaksud : “Barang siapa yang solat pada malam Ramadan dan membaca 10 ayat daripada al-Quran maka dia tidaklah dicatat sebagai orang yang lalai.”
Mengerjakan solat dan membaca al-Quran pada pada malam yang akhir ini sangat penting sehingga dalam salah satu riwayat dikatakan bahawa Rasulullah SAW melakukan solat pada malam Ramadan dan membaca al-Quran dengan tertib.
Baginda tidak akan melalui ayat-ayat rahmat terkecuali berharap agar Allah SWT memberikan rahmat itu dan tidak melalui ayat-ayat azab terkecuali bermohon perlindungan daripada Allah SWT daripada azab itu.
Solat berjemaah juga sangat diutamakan pada malam akhir bulan Ramadan sehingga Imam Malik dan Imam Syafie berkata: “Siapa yang solat Isyak dan Subuh berjemaah pada malam al-Qadar, dia telah mengambil bahagiannya daripada malam itu.” Ertinya orang yang mengerjakan solat Isyak dan Subuh saja dianggap telah mendapat sebahagian daripada Lailatul Qadar, apalagi mereka mengisinya dengan amalan lain sepanjang malam itu.
Selain solat dan membaca al-Quran, 10 akhir Ramadan ini biasanya diisi oleh Rasullah SAW dengan beriktikaf di masjid dan tidak tidur bersama isteri-isterinya. Ini berdasarkan hadis Aishah yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan al-Muslim, bermaksud :”Bahawa Rasulullah beriktikaf pada 10 hari akhir sampai Baginda wafat.”
MEMPERBANYAKKAN DOA
Rasulullah SAW bersabda doa adalah otak segala ibadah. Doa juga kunci daripada semua ibadah. Aishah diperintahkan oleh Rasulullah SAW untuk memperbanyak doa pada 10 malam terakhir Ramadan.
Dalam satu hadis daripada Aishah diriwayatkan at-Tirmizi, Aishah diajar oleh Rasulullah membaca doa pada malam al-Qadar.
Ulama bersepakat bahawa doa yang paling utama pada malam al-Qadar itu adalah doa yang meminta keampunan dan kemaafan daripada Allah sebagaimana doa yang diajarkan Rasulullah SAW kepada Aishah. Doanya berbunyi : “Allahumma innaka afuwun tuhibbul afwa fa’ fu anni (maksudnya, Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah Maha Pengampun, yang suka Maha Mengampun, maka ampunilah aku ini).”
Pada malam itu Allah akan mengabulkan semua permohonan dan doa, terkecuali terhadap empat golongan manusia. Ibnu Abbas berkata: “Semua doa pada malam itu diterima terkecuali doa 1. orang meminum arak, 2. anak yang derhaka kepada ibu bapa, 3. orang yang selalu bertengkar dan 4. mereka yang memutuskan silaturahim.”
Pentingnya doa pada malam al-Qadar sehingga Syofyan al-Sauri berkata: “Doa lebih aku sukai pada malam itu daripada solat.”
Demikianlah amalan sebaiknya dilakukan pada malam itu.
Semoga kita termasuk orang yang mendapat keberkatan malam itu hingga selepas Ramadan, seakan-akan anak yang baru lahir dari rahim ibunya, bersih daripada segala dosa.
Marilah kita amalkan amalan-amalan yang dilakukan oleh Rasulullah SAW di 10 malam terakhir Ramadan semoga persediaan jiwa kita untuk memperolehi Lailatul Qadar akan dikabulkan oleh Allah SWT dan jadilah kita mukmin yang bersih dari segala kotoran dosa dan maksiat. Ingat pesanan Ibnu Abbas empat golongan doa mereka tidak diterima oleh Allah SWT dimalam Lailatul Qadar.
Muhasabahlah diri kita, jika kita ada berdosa dengan ibu bapa segeralah minta ampun kepada mereka, jauhilah mereka yang suka bertengkar dan suka timbulkan perbalahan dan perpecahan dan juga hubungkanlah semula ikatan silaturahim jika kita ada memutuskan silaturahim dengan ahli keluarga atau saudara seagama.
+++Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini.