Siapa kata tugas sebagai isteri itu hanya duduk goyang kaki di rumah. Dialah doktor, guru, chef, akauntan, ‘cleaner’, ‘driver’ dan juga ustazah kepada anak-anak.

Jika diikutkan tugas mereka tiada hentinya, sebaik buka mata hinggalah melelapkan mata. Itulah rutin harian mereka yang bergelar isteri atau ibu yang dikatakan cukup hebat.

Namun sebagai insan biasa, mereka juga tidak terlepas dari menanggung  rasa penat. Malah ramai isteri setiap hari mengeluh kepenatan dek rasa stres kerana bebanan tugas yang tiada hentinya.

Lebih-lebih lagi jika mereka turut  bekerja makan gaji untuk membantu pendapatan suami di zaman serba mencabar ini.

Ada pelbagai cara untuk hilangkan kepenatan ini seperti mengajak suami bercuti, atau berurut di spa. Namun begitu sebenarnya dalam Islam itu juga telah tersedia penawar mengatasi kepenatan yang tiada penghujung ini.

Caranya ialah melalui amalan Zikir atau Tasbih Fatimah yang diajarkan sendiri oleh Rasululullah S.A.W kepada puterinya Saidatina Fatimah r.a.

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Muslim, satu hari puteri Rasulullah s.a.w, Saidatina Fatimah r.a mengadu kepada suaminya, Saidina Ali bin Abu Talib r.a tentang tangannya berasa sakit dan keletihan kerana terlalu banyak kerja rumah yang perlu dilakukannya.

Saidatina Fatimah kemudian datang menemui ayahandanya baginda Rasulullah S.A.W untuk meminta seorang pembantu. Akan tetapi dia tidak berjaya menemui Rasulullah S.A.W dan hanya bertemu dengan Saidatina Aisyah.

Kemudian Saidatina Fatimah meninggalkan permintaannya kepada Saidatina Aisyah untuk disampaikan kepada Rasulullah. Apabila Rasulullah tiba di rumah, Saidatina Aisyah pun memberitahu Baginda tentang permintaan puterinya.

Lalu Baginda telah pergi menemui puteri serta menantunya yang ketika itu telah berbaring di tempat tidur. Keduanya mahu berganjak bangun ingin menghampiri baginda akan tetapi Rasulullah meminta mereka tetap di tempat perbaringan.

Lalu Baginda bersabda;

“Mahukah kamu berdua aku ajarkan sesuatu yang lebih baik daripada apa yang kamu berdua minta? Ketika kalian  berbaring hendak tidur, maka bacalah takbir (Allahu Akbar) 34 kali, tasbih (Subhanallah) 33 kali dan tahmid (Alhamdulillah) 33 kali. Sesungguhnya yang demikian itu lebih baik bagi kalian daripada seorang pembantu.” (HR. Muslim, no: 4906)

Maka disaran kepada ibu-ibu yang berasa penat setelah melakukan tugas-tugas harian supaya mengamalkan Zikir/Tasbih Fatimah ini setiap malam sebelum melelapkan mata.

ZIKIR/ TASBIH FATIMAH

Allahu Akbar    – 34 kali

Subhanallah    – 33 kali

Alhamdulillah  – 33 kali

Dalam pada itu sentiasalah didiklah hati untuk ikhlas melakukan semua tanggungjawab agar tidak merasakan ia sebagai bebanan yang memenatkan.

Artikel Berkaitan: Lakukan 10 Amalan Ini Sebelum Mati