Mei lalu, Hijabista telah menganjurkan sesi uji bakat The Missing Hijabi untuk mencari personaliti hijabi yang bakal duduk di kerusi pengacara The Hijabista Show yang merupakan rancangan signature yang diterbitkan jenama ini.
Walaupun singkat tempoh uji bakat diadakan, sebanyak lebih 100 penyertaan secara atas talian telah diterima dan mereka hadir ke pejabat Hijabista di Shah Alam untuk menonjolkan kebolehan masing-masing.
Ketika menghadiri uji bakat The Missing Hijabi
Akhirnya, gadis manis yang berasal dari Pekan, Pahang telah berjaya dipilih sebagai juara. Biarpun ini merupakan pengalaman sulungnya untuk tampil di hadapan layar yang lebih besar, ternyata kepertahan dan juga kebijakan dalam berkomunikasi menarik hati pihak editorial dan juri.
Ikuti temubual HIJABISTA bersama Ayu.
Boleh ceritakan serba sedikit tentang diri Ayu?
Nama diberi Ayu Farhanis binti Mohd Fadzil. Lebih dikenali dengan nama panggilan ayu, keluarga memanggil saya dengan panggilan ‘Lopa’ kerana saya amat meminati selebriti tanah air iaitu Neelofa sejak dari bangku sekolah menengah lagi. Berusia 22 tahun dan merupakan anak bongsu dari pada 2 beradik.
Saya berasal dari Pekan, Pahang. Saya seringkali up to date dengan perkara baharu media sosial samada fesyen, inspirasi dan sebagainya atau lebih dalam erti kata lain saya amat gemar ber’ootd’. Sering ditanya mengenai pakaian yang dikenakan, saya gembira apabila dapat berkongsi pakaian yang digayakan bersama rakan di media sosial.
Ayu sedang belajar dalam jurusan apa dan apakah cita-cita yang ingin dicapai?
Ads
Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia ‘SPM’, saya melanjutkan pelajaran di peringkat diploma dalam bidang Komunikasi dan Pengajian Media di UiTM Alor Gajah, Melaka. Kini saya merupakan mahasiswi Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa pengkhususan dalam bidang Penyiaran di UiTM Shah Alam dan bakal tamat pengajian pada 2024. Memandangkan saya amat meminati bidang penyiaran, pengacaraan dan balik tabir, memilih jurusan komunikasi adalah pilihan yang tepat di samping menambah ilmu-ilmu baharu mengenai bidang ini.
Bukan sahaja di hadapan kamera malah juga dibalik tabir. Setelah itu, saya berhasrat untuk mempunyai atau menghasilkan program bual bicara tersendiri yang berkonsepkan hijabi yang memaparkan isu-isu hijabi bukan sahaja di Malaysia malah antarabangsa seperti ‘Ban of Hijab In Sports’, ‘Diskriminasi jantina dalam pekerjaan’ dan sebagainya.
Bagaimanakah Ayu boleh terdetik di hati untuk menyertai The Missing Hijabi?
Saya sememangnya mempunyai minat yang amat mendalam dalam bidang pengacaraan dan komunikasi. Saya juga sering ‘follow up’ program anjuran Hijabista dan Remaja magazine seperti Dewi Demaja dan Ratu Hijabista. Setelah melihat posting pencarian hos The Missing Hijabi, saya yakin ini adalah titik langkah saya untuk melebarkan lagi sayap saya dalam bidang pengacaraan. Platform The Missing Hijabi juga adalah tapak besar untuk mempelajari ilmu-ilmu baharu dalam pengacaraan yang sememangnya menjadi impian saya sejak dari bangku sekolah lagi.
Boleh ceritakan pengalaman menghadiri uji bakat? Ada rasa gementar? Atau biasa-biasa sahaja?
Overall, pengalaman menghadiri ujibakat tempoh hari adalah pengalaman yang amat menyeronokkan bagi saya terutamanya sewaktu mendapat soalan berkenaan dengan isu kewanitaan iaitu pembuangan bayi. Agak nervous namun saya sememangnya mengikuti perkembangan berkenaan topik ini.
Ads
Walau bagaimanapun, perspektif sebagai wanita Islam tetap perlu diutamakan. Dengan teknologi yang semakin maju, saya yakin pelbagai inisiatif dapat dilakukan demi menjaga sang ibu dan bayi itu sendiri. Sememangnya topik ini sangat menarik dan saya gembira kerana dapat berkongsikan pendapat dan pandangan bersama para juri yang mendengar dengan penuh tekun.
Ayu beraksi sambil diperhatikan Qila Shahirah, Pengacara The Hijabista Show & Juara Ratu Hijabista 2020.
Setelah dinobatkan sebagai juara pertama dan bakal menjadi hos terbaru rancangan digital The Hijabista Show, apakah perasaan Ayu?
Perasaan semestinya sangat gembira dan membuatkan semangat saya semakin berkobar-kobar untuk menempa nama dalam industri ini. Bukan sahaja untuk diri sendiri, malah untuk menyebarkan kebaikan dan manfaat kepada masyarakat sekeliling terutamanya wanita berhijab yang seringkali masih malu dan takut untuk berdiri seiring dengan mereka yang telah berjaya.
Saya juga ingin menjadi ikon buat mereka untuk tampil lebih yakin dan percaya dengan kebolehan diri sendiri kerana keyakinan itu datang dari dalam. Bagi saya, wanita yang cantik adalah wanita yang yakin dengan dirinya, rupanya dan berani untuk menghadapi cabaran.
Ads
Harapan untuk perjalanan seterusnya sebagai seorang pelajar dan dalam masa yang sama turut menjadi hos sebuah rancangan?
Semestinya pendidikan adalah keutamaan saya. Untuk menjadi seorang pengacara juga memerlukan ilmu dan pendidikan yang betul kerana setiap apa yang disampaikan hendaklah betul, bernas dan bermanfaat. Selain itu, menjadi hos The Hijabista Show juga adalah satu ilmu baharu untuk saya lebih memperbaiki diri dalam lenggok pengacaraan dan penyampaian. Malah ianya turut memberi manfaat untuk bidang yang sedang saya pelajari iaitu komunikasi.
Lastly, apakah makna sehelai hijab bagi Ayu?
Hijab bagi saya adalah mahkota bagi seorang wanita bertudung. Ianya diibaratkan sebagai lambang kemashuran yang tidak boleh ditukar ganti. Seperti mahkota seorang raja, sentiasa gilap, teguh dan utuh sehingga ke akhirnya, begitulah hijab di pandangan saya. Sehelai hijab bukan sahaja mampu mengubah diri sendiri malah juga merubah dunia. Menjadi seorang wanita berhijab membuatkan saya merasa diri amat istimewa dan lebih yakin untuk tampil di mata dunia. Begitulah makna sehelai hijab untuk saya.
Sama-sama kita nantikan kemunculan sulung Ayu dalam The Hijabista Show yang akan datang!
+++Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini.
Kredit foto: Instagram Ayu Farhanis & Jurufoto Ideaktiv
Tampil #1 on top dengan fashion muslimah terkini di HIJABISTA!
Download sekarang di
Kemuncak ibadah haji itu merupakan waktu bagi jemaah haji melaksanakan wukuf di Arafah, bermula dari terbenamnya matahari (waktu zuhur) pada tanggal 9 Zulhijjah sehingga terbitnya fajar pada 10 Zulhijah.
Dimaklumkan bahawa hampir semua jemaah dari seluruh dunia telah berada di Tanah Suci Mekah bagi melakukan ibadah haji dengan bersiap sedia untuk berwukuf di Arafah esok.
Wukuf di Arafah adalah rukun haji yang terpenting bagi menentukan sahnya ibadah haji. Tanpa wukuf, ibadah haji akan menjadi sia-sia kerana Rasulullah SAW yang ditanya mengenai ibadah haji bersabda, haji itu adalah Arafah (wukuf di Arafah).
Banyak kelebihan hari Arafah antaranya:
Sepertimana mana telah dikatakan oleh Sayidina Umar bin al-Khattab dan Ibnu Abbas, telah diturunkan nikmat pada dua hari raya iaitu hari Jumaat dan hari Arafah. Diriwayatkan daripada Umar katanya, ”Kedua-duanya bagi kami adalah hari raya.” ( Direkodkan oleh al-Tabari dan tafsirnya.)
Ini dibuktikan dengan hadis daripada Uqbah bin Amir, tetapi ianya hari yang khusus untuk orang yang berwukuf di padang Arafah sahaja. Disyariatkan untuk berpuasa bagi penduduk negeri lain pada pandangan majoriti ulama,sekali pun ada sedikit perselisihan dalam kalangan salaf.
Dikatakan juga sebagaimana yang Allah nyatakan tentang sumpah-Nya dalam al-Quran bahawa Hari Arafah merupakan yang genap (as-Shafa’) dalam surah al-Fajr, manakala yang ganjl (al-Watr) pula adalah Hari Raya Korban. Ia diriwayatkan juga dengan disandarkan kepada Rasulullah SAW daripada Jabir RA. Turut diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan al-Nasa’i dalam tafsirnya. Dikatakan ,”Inilah asy-Syahid yang Allah bersumpah dengannya sebagaimana fiman Allah,
وَشَاهِدٍ وَمَشْهُودٍ
Maksudnya :” Dan makhluk-makhluk yang hadir menyaksikan hari itu,serta segala keaadan yang disaksikan.” (Surah al-Buruj: 3)
Dalam kitab al-Musnad daripada Abu Hurairah yang diriwayatkan secara marfu’ dan mawquf:
Maknanya:”Saksi adalah hari Arafah manakala hari yang dijanjikan itu ialah hari kiamat.”
Riwayat Imam Ahmad (7972) di dalam Musnad,al-Hakim (3915) di dalam al-Mustadrak, al-Baihaqi (5773) di dalam Sunan al-Kubra
Diriwayatkan oleh al-Tirmizi dengan periwayatan secara marfu’. Diriwayatkan juga oleh Ali dengan kata-katanya. Al-Tabarani meriwayatkan hadis daripada Abi Malik al-‘Asya’ri yang diriwayatkan secara marfu’,
Maknanya :”Saksinya ialah hari Jumaat manakala penyaksian ialah hari Arafah.”
Oleh itu, apabila berlaku hari Arafah pada hari Jumaat, maka akan berkumpullah antara saksi dengan penyaksian.
Diriwayatkan juga bahawa ia adalah sebaik-baik hari. Jabir RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda,
أفضلُ الأيام يومُ عرفة
Maksudnya : ”Sebaik-baik hari ialah hari Arafah.
Perkara ini disepakati oleh sebahagian para ulama. Ada juga dalam kalangan mereka yang berpandangan bahawa Hari Raya Korban adalah sebaik-baik hari bersumberkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Qurth, daripada Nabi SAW, bahawa Baginda telah bersabda,
Maknanya : ”Hari yang agung di sisi Allah ialah Hari Raya Korban, kemudian hari menetap di Mina iaitu pada hari kesebelas dalam bulan Zulhijjah.”
Riwayat Ibnu Khuzaimah (2917) di dalam Sohihnya, al-Baihaqi (10538) di dalam Sunan al-Kubra
Telah diriwayatkan juga oleh Imam Ahmad, Abu Daud, al-Nasa’i dan Ibnu Hibban dalam sahihnya dengan lafaznya, ”Sebaik-baik hari.”
Kelebihan hari Arafah menyamai 10 000. Daripada Anas bin Malik, beliau telah berkata , ”Kelebihan hari Arafah menyamai 10 000.” Telah disebutkan dalam kitab kelebihan ‘ Atha’, beliau bahawa berkata,
Ia merupakan haji yang agung pada pandangan para salaf antaranya ialah Umar dan lain-lain, manakala yanag lain tidak menyokong pandangan ini. Mereka berkata, ”Hari haji yang paling agung ialah pada Hari Raya Korban.” Ini diriwayatkan daripada Baginda Nabi Muhammad SAW.
Seperti mana terdapat dalam Sahih Muslim daripada Sayidatina Aisyah, Rasulullah SAW bersabda,
Maksudnya : ”Tiada hari yang Allah banyak membebaskan daripada neraka melebihi hari Arafah. Allah mendekati mereka lalu Allah membanggakan mereka kepada para malaikat. Allah berfiman, ‘Apa yang diinginkan oleh mereka?”’ Riwayat Muslim (3354), Ibnu Majah (3014)
Dalam kitab al-Musnad daripada Abdullah bin ‘Amru, Rasulullah SAW bersabda,
Maksudnya: ” Sesungguhnya Allah berbangga dihadapan malaikat bagi mereka yang bermalam di Arafah. Allah berkata, ‘ Lihatlah kamu semua kepada hamba-hamba-Ku, mereka datang berhimpun kepada-Ku dengan keadaan yang berdebu dan kusut .”’ Riwayat Imam Ahmad (7089), al-Tabarani (1504) di dalam Mu’jam al-Kabir
Telah diriwayatkan juga oleh Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda,
Maksudnya: ”Sesungguhnya Allah membanggakan ahli-ahli Arafah, dengan berkata, ‘Lihatlah kepada hamba-Ku, mereka telah berhimpun dan berkumpul di hadapan-Ku dalam keadaan berdebu dan kusut.” Riwayat Ibnu Hibban (3852) di dalam Sohihnya
Diriwayatkan lagi daripada hadis Jabir, Rasulullah SAW bersabda,
Maksudnya: ”Tiada ada hari yang paling baik di sisi Allah melainkan hari Arafah. Allah turun ke langit dunia dan bermegah-megah dengan penduduk langit untuk penduduk dunia, Lantas berkata,’Lihatlah kepada hamba-Ku, mereka berkumpul di hadapan dengan penuh debu, mereka datang dari semua penjuru yang jauh, mereka mengharapkan rahmat-Ku, dan tidak mengharapkan azab, Maka tidak dilihat hari yang lebih banyak pelepasan daripada api nerak-Ku daripada hari Arafah.”’ Riwayat Ibnu Hibban (3853),Abu Ya’la (2036) di dalam Musnad
Ibnu Mandah meriwayatkan dalam Kitab at-Tauhid dengan lafaznya, ”Apabila tiba hari Arafah, Allah akan turun dari langit ke bumi, maka Dia bermegah-megah dengan malaikat, seraya berkata, ‘Lihatlah kamu kepada hamba-hamba-Ku, mereka datang kepada-Ku dengan berdebu dan dari seluruh penjuru yang jauh, saksikanlah oleh kamu semua (malaikat) kepada mereka, sesungguhnya Aku telah mengampunkan dosa mereka.”
Malaikat berkata, ‘Wahai Tuhanku, si fulan ini berada dalam keadaan yang teruk.’ Allah berkata, ‘Aku telah memberi keampunan kepada mereka. Tiada hari yang kebanyakkan mereka terlepas daripada seksaan api neraka melainkan pada hari Arafah.” Beliau menyambung, sanadnya bersambung dan statusnya adalah hasan. Kami meriwayatkan dari sudut yang lain dengan sedikit penambahan dalamnya, iaitu,
Saksikanlah kamu wahai hamba-Ku sesungguhnya Aku telah memberi keampunan kepada orang yang membuat baik, dan memaafkan orang yang berbuat jahat.”
Kami meriwayatkannya daripada Ismail bin Rafi’e (perawi lemah), dalamnya terdapat ucapan Anas, Rasulullah SAW bersabda,
Maksudnya: ”Allah turun ke langit dunia untuk melihat penduduk Arafah, kemudian bermegah-megah dengan kalian di hadapan malaikat, lantas berkata, ‘Mereka semua hamba-Ku, mereka telah datang kepada-Ku dalam keadaan berdebu dari seluruh pelosok yang jauh, mereka mengharapkan keampunan dan rahmat-Ku, jika dosa mereka sebanyak bilangan pasir, Aku akan hapuskan segala dosa mereka, dan Aku beri syafaat kepada mereka.” Rujuk Ithaf al-khiyarah al-al-maharah ( 2540)
Diriwayatkan juga oleh al-Bazzar dalam kitab al-Musnad dengan maknanya, daripada hadis Mujahid daripada Ibnu Umar, Nabi SAW bersbda, ”Tidak aku ketahui sanad yang terbaik melainkan sanad ini.” Telah diriwayatkan oleh al-Tabarani dan lain-lain, daripada hadis Abdullah bin ‘Amru bin Al-‘Ash daripada Nabi SAW secara ringkas.
Kami meriwayatkan dari jalur al-Walid bin Muslim bahawa beliau telah berkata, ”Abu bakar bin Abi Mariam telah memberitahu kepadaku, daripada gurunya, ‘sesungguhnya Nabi SAW bersabda, ”Sesungguhnya Allah telah turun ke langit dunia pada malam Arafah, seraya berjumpa dengan malaikat-Nya dan berkata, ‘Setiap tetamu berhak mendapat hadiah, mereka semua ini adalah tetamu-Ku yang datang penuh berdebu, Aku berikan kepada mereka apa yang mereka mohonkan, dan Aku gantikan apa yang telah mereka infakkan. Apabila tenggelamnya matahari Allah berfirman: Aku mengampuni mereka yang melakukan kejahatan disebabkan mereka yang melakukan kebaikan, dan Aku kurniakan kepada mereka yang melakukan kebaikan apa yang mereka mohon, bergeraklah (Mudzdalifah) dengan nama Tuhan.”
Ibrahim bin Al-Hakam bin Abban telah meriwayatkan, bapaku telah memberitahu, bahawa Farqad telah memberitahu, ”Sesungguhnya pintu langit telah terbuka pada setiap malam sebanyak tiga kali, manakala pada malam Jumaat sebanyak tujuh kali, dan pada malam Arafah sebanyak sembilan kali.” Kami telah meriwayatkan secara marfu’ dan mauquf, daripada jalan Nufai’ bin Abi Daud, daripada Ibnu Umar,
‘Apabila umat Islam berkumpul pada malam Arafah, setiap orang yang di dalam hatinya sebesar zarah daripada iman di beri keampunan,” Di tanya kepadanya, ”yang dimaksudkan di sini khusus bagi yang berada di sini atau umum untuk semua umat Islam?” Aku menjawab, ”Untuk semua umat Islam.”
Imam Malik meriwayatkan dalam kitab al-Muwaththa’ daripada riwayat-riwayat mursal Thalhah bin Ubaidillah bin Kariz bahawa Rasulullah SAW bersabda,
ما رؤيَ الشيطانُ يوما هو فيه أصْغَرُ ، ولا أدْحَرُ ولا أحْقَرُ ، ولا أغْيَظُ منه في يوم عرفة ، وما ذاك إلا لما يرى من تَنَزُّل الرحمة ، وتجاوز الله عن الذُّنوبِ العِظامِ ، إلا ما أُرِيَ يومَ بَدْر ، فإنَّه قَدْ رأى جبريل يَزَعُ الملائكة
Maksudnya: ”Tiada hari syaitan tidak di lihat dirinya paling kerdil, paling jauh, paling hina dan paling marah pada mana-mana hari melainkan pada hari Arafah. Itu hanya kerana ia melihat turunnya rahmat dan Allah mengampunkan segala dosa besar. Itulah kecuali daripada apay ang telah ditunjukkan pada hari Badar.” Ditanya kepadanya, ”Apa yang ditunjukkan kepadanya pada hari Badar?” Baginda bersabda, ”Bukan kah dia melihat Jibrail mengatur barisan pada malikat.” Riwayat Imam Malik (6866) di dalam al-Muwatta’,al-Baihaqi (4069) di dalam Syu’ab al-Iman
Telah diriwayatkan oleh Abu ‘Uthman al-Shabuni disandarkan pada seorang lelaki yang merupakan tawanan di negara Rom, dia berjaya melarikan diri daripada kubu pertahanan, dan beliau telah berkata, ”Aku berjalan pada waktu malam, manakala pada waktu pagi aku bersembunyi. Aku berjalan pada waktu malam yang antara aku dikelilingi bukit dan pokok, tiba-tiba aku perasan seseorang, dia seolah-olah berada dalam kerisauan juga.
Aku melihatnya menunggang unta. Ia menjadikan aku takut, mana mungkin unta ada di negara Rom. Lantas aku berkata, ‘Maha Suci Allah! Di negara Rom, ada penunggang unta, ini sangat aneh.’ Apabila dia melewati ku, lantas aku bertanya, ‘Wahai hamba Allah, siapa kamu?’ Dia menjawab,’jangan kau tanya.’ Aku berkata, ‘aku rasa sangat pelik, maka kau beritahulah aku.’
Dia menjawab juga, ‘jangan kau tanya.’ Aku tidak peduli dan mengasaknya dengan pertanyaan yang sama. Maka dia pun mejawab, ‘Aku ialah iblis, aku datang dari Arafah, Aku bersama mereka pada permulaan sepertiga malam hari ini, dan aku memerhati mereka. Maka turunlah rahmat dan keampunan, dan dikurnuiakan kepada sebahagian mereka dengan hal yang lain. Hal itu menyebabkan aku gelisah, sedih dan sayu.
Sekarang aku menghala ke Konstantinopel. Aku senang mendengar perkara-perkara yang mensyirikan Allah dan dakwaan sesungguhnya bagi-Nya ada anak. ‘Aku berkata,’ Aku berlindung dengan nama Allah daripadamu. ‘Ketika aku menyebut perkataan ini, orang itu ghaib daripada pandanganku.”
Cerita ini dikuatkan dengan hadis oleh Abbas bin Mirdas sepertimana yang direkodkan oleh Imam Ahmad dan Ibnu Majah dalam doa Nabi SAW untuk orang yang menunaikan ibadah haji yang bermalam di Arafah, kemudian di Muzdalifah.
Doa itu diperkenankan Allah dan Baginda SAW dalam keadaan ketawa telah bersabda,
Maksudnya: ” Sesungguhnya iblis ketika mengetahui bahawa Allah mengampunkan segala dosa umatku dan mengabulkan doaku buat mereka, iblis menaburkan tanah di atas kepalanya, seraya menyerukan kecelakaan dan kemusnahan. Ia membuatkan aku ketawakan syaitan yang dalam kegelisahan itu.” Riwayat Ibnu Majah (3127),al-Baihaqi (9753) di dalam Syu’ab al-Iman
Diriwayatkan daripada Ali bin al-Muwaffaq bahawa dia berada di Arafah untuk menunaikan haji, dan dia melihat di sana ramai manusia,lantas berkata, ”Wahai Tuhanku, sekiranya Engkau tidak menerima haji mereka semua maka aku hadiahkannya dengan hajiku.” Dia bermimpi bahawa Allah berkata kepadanya, ”Wahai anak al-Muwaffaq! Adakah kamu lebih dermawan daripada-Ku? Sesungguhnya Aku mengampunkan orang yang berwukuf di Arafah, dan Aku memberi syafaat kepada setiap seorang daripada mereka yang merangkumi ahli keluarganya, anak-anaknya dan sanak-saudaranya, dan Akulah yang patut kalian bertakwa kepada-Nya dan yang berhak memberi keampunan.”
Ada juga diriwayatkan seumpama ini daripada para ulama yang lain. Oleh itu, sesiapa yang sangat menginginkan pelepasan daripada azab nereka dan pengampunan daripada dosanya di hari Arafah, jagalah perilaku dan ibadah yang membolehkannya memperoleh keampunan tersebut.
Daripada Abu Qatadah bahawasanya Nabi saw bersabda
صِيَامُ يَومِ عرفة أَحْتَسِبُ عَلَى الله أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ التي قَبْلَهُ والسنة التي بَعْدَهُ
Maksudnya:” Puasa pada hari Arafah, Aku berharap pada Allah agar dihapuskan dosa yang sebelum dan selepas tahun itu.” Riwayat Muslim (1162)
KESIMPULAN:
Begitulah sebahagian dari daripada kelebihan Hari Arafah yang telah disebutkan oleh Baginda Nabi SAW. Semoga Jemaah Haji pada tahun ini mendapat haji yang mabrur, pulang dengan penuh keinsafan. Bagi yang tidak berkesempatan untuk menunaikan haji pada tahun ini, perbanyakanlah amalan pada hari tersebut. Semoga Allah merahmati dan mengampunkan kita semua.
Bersolek dan berhias seakan menjadi satu rutin wajib bagi kebanyakan wanita sebelum keluar rumah. Pelbagai jenis solekan serta hiasan digunakan supaya kelihatan cantik dan menarik. Sesetengah wanita bersolek untuk meningkatkan keyakinan diri, manakala sebahagiannya untuk dipandang dan dipuji.
Tanpa sedar, kecantikan serta solekan dipamerkan secara terbuka. Apa yang merisaukan ialah apabila wanita bersolek berlebihan, ia akan memberikan implikasi bukan saja kepada imej sebagai Muslimah, bahkan boleh menyebabkan kemudaratan dalam agama seperti tabaruj atau berhias secara berlebih-lebihan.
Lambakan produk kecantikan dan alat solek di pasaran membuatkan wanita ingin mencuba. Aneka lipstik, pembayang mata, pemerah pipi dan sebagainya menjadi item wajib yang mesti ‘melekat’ pada wajah.
Sebenarnya apakah hukum bagi wanita memakai lipstik dan alat solekan yang lain? Adakah perkara tersebut termasuk kebiasaan wanita jahiliyyah? Ramai wanita yang memakai alat solekan kerana tidak mahu kelihatan selekeh dah tidak pandai mengurus diri. Berikut pencerahan yang dipetik dari Laman Web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Hiasan kecantikan yang merupakan fitrah wanita itu asalnya adalah baik dan mempunyai asas daripada syarak akan tetapi ianya mestilah tidak melanggar apa yang telah dilarang oleh syarak secara jelas berkaitan dengan hukum berhias bagi wanita.
Di antara hak seorang wanita itu adalah berhias dan suami harus mengambil kenikmatan dengan kecantikan serta perhiasannya.
Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad) : “Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkanNya untuk hamba-hambaNya, dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal dari rezeki yang dikurniakanNya?” (Surah al-A’raf : 32)
Umumnya, hukum asal bagi pakaian dan perhiasan adalah harus sama ada di badan, pakaian atau tempat. Akan tetapi, hukumnya berlanjutan sedemikian (halal dan harus) selagimana tiada nas-nas yang khusus yang mengecualikan hukum asal tersebut.
Berbalik kepada soalan yang ditanyakan, hukum wanita memakai lipstik serta alat-alat solek yang lain adalah harus sebagaimana umum firman Allah SWT :
Maksudnya: “Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi.” (Surah al-Baqarah : 29)
Walau bagaimanapun, wanita hanya harus berhias untuk para suami mereka serta mereka yang dibenarkan oleh syarak sahaja. Tidak harus dia mempamerkan kecantikannya selain daripada suami mereka dan sebahagian manusia yang telah disebut di dalam ayat 31 surah al-Nur.
Al-Quran telah meletakkan batas-batas syariat tersebut, sebagaimana firman Allah SWT :
Maksudnya: “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.” (Surah al-Nur : 31)
Syeikh al-Sa’di menafsirkan ‘kecuali yang zahir daripadanya’ pada ayat di atas sebagai pakaian yang zahir, iaitu yang biasa dipakai menurut adat setempat dengan syarat pakaian tersebut tidak membawa kepada timbulnya fitnah. (Lihat Tafsir al-Sa’di, hlm. 566)
Sekiranya wanita tersebut sekadar memakai lipstik dengan warna yang tidak ketara, atau memakai alat-alat solek yang lain seperti bedak dan lain-lain dengan nipis dan sekadarnya (tidak berlebihan), serta tidak tabarruj semasa berada di luar, adalah tidak mengapa, selagi mana perkara tersebut tidak menimbulkan fitnah serta menarik perhatian lelaki kepadanya (dengan syahwat). Hal ini kerana, agama Islam sangat menekankan soal kekemasan dan kecantikan sebagaimana riwayat daripada Ibn Mas’ud, bahawa Nabi SAW bersabda:
إنَّ اللَّهَ جَمِيلٌ يُحِبُّ الْجَمَالَ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah itu cantik dan sukakan kepada kecantikan.” (HR Muslim (91)
Selain itu, perkara yang harus diingat dan diberi perhatian juga bagi seorang wanita itu, adalah hendaklah dia mengelakkan diri daripada bertabarruj. Imam al-Syaukani menyatakan bahawa al-Tabarruj ialah menampakkan dan mempamerkan (perhiasan dan kecantikkannya) bagi mata-mata (melihat dan menikmatinya). (Lihat Fath al-Qadir, 4/61)
Maksudnya: “Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliyah zaman dahulu.” (Surah al-Ahzab : 33)
Syeikh al-Maraghi menyatakan di dalam kitabnya bahawa larangan untuk mempamerkan perhiasan diri dan kecantikan wanita kepada kaum lelaki seperti yang dilakukan oleh kaum perempuan pada zaman jahiliyyah sebelum kedatangan Islam. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 22/6)
Begitu juga, Imam al-Syaukani ketika menafsirkan ayat di atas menyebutkan bahawa al-Tabarruj ialah apabila seorang wanita menampakkan sebahagian daripada perhiasan dan kecantikannya yang (sepatutnya) wajib untuk ditutupinya, yang mana perkara tersebut dapat menarik perhatian (syahwat) laki-laki. (Lihat Fath al-Qadir, 4/320 )
Berlebihan dalam berhias bagi seseorang perempuan adalah diharuskan hanya kepada suaminya sahaja. Dalam membincangkan masalah ini, berpandukan pandangan para fuqaha’ dalam pembahagian hukum berkenaan tabarruj sebagaimana yang digariskan di dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah menyatakan:
“Mempamerkan perhiasan dan kecantikan kepada sesiapa yang tidak sepatutnya dilihat seperti memakai pakaian yang ketat untuk mempamerkan bentuk badan atau selainnya. Dan disebabkan itu dapat menaikkan syahwat dan nafsu orang yang memandangnya, maka Ijma’ (sepakat) para ulama’ adalah haram melainkan kepada suaminya sahaja.” (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 10/62)
Maka, kita ketahui bahawa perbuatan bertabarruj itu adalah merupakan kebiasaan wanita jahiliyyah. Demikian juga, kami katakan bahawa termasuk dalam perbuatan tabarruj itu ialah apabila seorang wanita memakai alat-alat solek secara berlebih-lebihan yang mana perkara tersebut dapat menarik perhatian lelaki ajnabi kepadanya dan menimbulkan fitnah.
Inilah yang dilarang dan ditegah di dalam agama. Adapun, memakai lipstik atau alat-alat solek yang lain sekadarnya agar nampak kemas (tidak dilihat selekeh), berseri dan tidak kusam serta bukannya bertujuan bagi menarik perhatian lelaki ajnabi, maka ia tidak mengapa.
Secara umumnya, hukum asal bagi pakaian dan perhiasan adalah harus sama ada di badan, pakaian atau tempat. Akan tetapi, hukumnya berlanjutan sedemikian (halal dan harus) selagimana tiada nas-nas yang khusus yang mengecualikan hukum asal tersebut.
Tidak mengapa bagi seorang wanita itu untuk memakai lipstik serta alat-alat solek yang lain semasa berada di luar rumah dengan syarat tidak berlebihan dan memakai sekadarnya sahaja serta tidak bertabarruj.
Selain itu, perkara tersebut harus selagi mana ia tidak menimbulkan fitnah serta menarik perhatian lelaki kepadanya (dengan syahwat). Lebih-lebih lagi, apabila dia memakai lipstik atau alat-alat solek yang lain itu sekadarnya agar nampak kemas (tidak dilihat selekeh), berseri dan tidak kusam serta bukannya bertujuan bagi menarik perhatian lelaki ajnabi.
Hal ini kerana Islam sangat mengambil berat soal kekemasan, kebersihan dan kecantikkan.
Walau bagaimanapun, seorang wanita muslimah itu juga mesti ingat bahawa berlebihan dalam berhias bagi seseorang wanita adalah diharuskan hanya kepada suaminya sahaja.
Kami akhiri dengan kata-kata Sayyid Qutb sebagai renungan bersama, khususnya buat para wanita di luar sana:
“Perhiasan itu halal bagi perempuan untuk memenuhi keinginan semulajadinya. Setiap perempuan ingin menjadi cantik dan dipandang cantik. Walaupun perhiasan itu berbeza-beza dari satu zaman ke satu zaman, namun asas perhiasan itu adalah sama sahaja dalam fitrah perempuan, iaitu ingin mendapat dan menyempurnakan sifat-sifat kejelitaan dan menunjukkannya kepada kaum lelaki. Islam tidak menentang keinginan semulajadi ini, tetapi Islam mahu mengatur dan mengawalnya. Islam mahu menjadikan keinginan semulajadi itu menuju ke arah yang terang, iaitu ke arah suaminya yang tunggal selaku rakan kongsi hidupnya, yang dapat memandang bahagian-bahagian badannya, yang tidak boleh dipandang oleh orang-orang yang lain darinya (suaminya).” (Lihat Fi Zilal al-Quran, 4/2512)
Bulan Muharam ialah bulan pertama dalam tahun Hijrah, dan ia merupakan antara bulan yang mulia dalam Islam. Bulan ini dinamakan bulan ‘Haram’ kerana pada bulan ini diharamkan berperang dan juga ia adalah bulan yang dimuliakan.
Maksudnya: “Sesungguhnya bilangan bulan di sisi Allah SWT adalah sebanyak dua belas bulan sebagai mana yang terdapat dalam kitabullah (Lauh al-Mahfuz) pada hari diciptakan langit-langit dan juga bumi. Di antaranya (bulan-bulan tersebut) adalah empat bulan haram. Demikian itulah agama yang lurus maka janganlah kalian menzalimi diri kalian di dalam bulan-bulan tersebut.” (Surah at-Taubah: 36)
Umat Islam menyambut Tahun Baru Hijrah pada 1 Muharram 1444 Hijrah bersamaan 30 Julai 2022. Timbul persoalan, kenapa kita sambut Tahun Baru Hijrah pada bulan Muharram sedangkan Nabi Muhammad SAW berhijrah pada bulan Safar?
Orang pertama yang memerintahkan agar Kalendar Hijrah digunakan secara rasmi ialah Khalifah al-Rashidin Kedua, yakni Saidina ‘Umar al-Khattab.
Pada zaman Saidina ‘Umar ketika Islam tersebar kian meluas, terdapat sekurang-kurangnya 3 riwayat tentang faktor kenapa ia digunakan:
Gabenor di Basrah Iraq iaitu Saidina Abu Musa al-Ash’ari pernah mengutuskan surat kepada Khalifah al-Rashidin Kedua, Saidina ‘Umar al-Khattab yang tertulis: “Kami telah menerima surat dari anda (Saidina ‘Umar al-Khattab) yang tiada padanya tarikh surat.” Jadi, ia sukar untuk melaksanakan arahan khalifah jika tiada tarikh spesifik.
Pendapat lain menyatakan bahawa Saidina ‘Umar telah diberi suatu dokumen kewangan (sokkun) yang tertulis bulan Sha’ban namun tidak diketahui sama ada ia Sha’ban tahun sebelumnya atau tahun semasa atau tahun berikutnya. Maka, Kalender Hijrah perlu dibuat secara rasmi untuk memudahkan masyarakat mengetahuinya.
Pendapat lain menyatakan bahawa seseorang lelaki Yaman memberitahu Saidina ‘Umar tentang amalan orang Yaman dalam penggunaan kalender khusus. Maka, beliau beranggapan amalan ini adalah baik dan Kalender Hijrah rasmi perlu dibuat.
Maka, Saidina ‘Umar mengumpulkan para sahabat untuk berbincang tentang bulan dan tahun bermulanya Kalender Hijrah.
Ada banyak cadangan, antaranya ada cadangan tahun hijrah bermula dengan tahun pengutusan baginda SAW sebagai Nabi yakni pada tahun Nabi SAW terima wahyu di Gua Hira’ iaitu bersamaan tahun 610 Masihi.
Ada yang cadangkan bermula dengan tahun penghijrahan Rasulullah dari Makkah menuju ke Madinah. Akhirnya Saidina ‘Umar memilih pandangan ia bermula dengan tahun penghijrahan Nabi kerana hijrah tersebut melambangkan pemisahan antara hak dan batil. Ia bersamaan dengan tahun ke-14 setelah Nabi SAW dilantik menjadi Nabi dan Rasul.
Ya, ini pun ada banyak cadangan, antaranya cadangan ia bermula pada bulan Ramadan atau bermula dengan bulan Nabi SAW berhijrah yakni bulan Safar/Rabi’ul Awwal atau bulan Muharram. Akhirnya Saidina ‘Umar al-Khattab pilih bulan Muharram sebagai bulan pertama dalam Kalender Hijrah.
Benar, menurut Safiy al-Rahman al-Mubarakfuri, Nabi SAW mula berhijrah pada sekitar malam 27 Safar pada tahun ke 14 selepas dilantik menjadi Nabi, bersamaan 12 atau 13 September 622M.
Nabi SAW dan Saidina Abu Bakar berada di gua Jabal Thur terlebih dahulu kemudian pada bulan Rabi’ul Awwal barulah mereka tiba di Madinah. Namun, Saidina ‘Umar lebih memilih bulan Muharram berbanding bulan Safar atau Rabi’ul Awwal sebagai permulaan bulan bagi kiraan Kalender Hijrah kerana jemaah haji pulang pada bulan Muharram dan pandangan ini telah disepakati para sahabat.
Difahami dari pandangan ini bahawa kepulangan dari mengerjakan rukun Islam terakhir itu menjadi permulaan kepada hijrah baru.
Menurut pandangan lain, bulan Muharram dipilih kerana ia berdasarkan peristiwa Bai’ah ‘Aqabah yang berlaku pada bulan Zulhijjah.
Bai’ah tersebut merupakan perjanjian berat yang perlu dilaksanakan dengan penuh keazaman. Bulan Muharram pula adalah bulan setelah bulan Zulhijjah yang menjadi simbolik kepada permulaan suatu keazaman penghijrahan itu dilaksanakan.
Maka, disebabkan inilah bulan Muharram menjadi pilihan Saidina ‘Umar al-Khattab. Dapat difahami bahawa Kalender Hijrah diawalkan permulaan kiraannya sekitar satu atau dua bulan kerana asalnya adalah bulan Safar atau Rabi’ul Awwal kemudian diawalkan sambutannya pada bulan Muharram.
Kalendar Hijrah mula digunakan secara rasmi sekitar pada tahun ke 17 Hijrah yakni sekitar 4 tahun setelah Saidina ‘Umar dilantik sebagai Khalifah al-Rashidin Kedua. Ini bermakna, dalam sejarah Islam, Kalender Hijrah telah digunakan secara rasmi sejak sekitar 1427 tahun yang lalu.
Antara kitab yang dirujuk dan boleh dirujuk untuk tahu sejarah hijrah Nabi SAW dan sejarah penggunaan Kalendar Hijrah ialah al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam kitab Fath al-Bari, al-Hafiz Ibn al-Kathir dalam kitab al-Bidayah wa al-Nihayah, Imam al-Munawi dalam kitab Faid al-Qadir dan Safiy al-Rahman al-Mubarakfuri dalam kitab al-Rahiq al-Makhtum.
Kita boleh ambil ibrah dari sejarah penetapan Kalendar Hijrah ini antaranya, bulan Zulhijjah sepatutnya kita dah bersedia untuk bermuhasabah, menyatakan tekad, azam dan janji peribadi untuk tahun berikutnya.
Manakala bulan Muharram merupakan permulaan kepada pelaksanaan tekad baru tersebut. Atau setelah seseorang itu mengerjakan haji pada bulan Zulhijjah dan pulang ke tempat-tempat masing-masing pada bulan Muharram, maka bulan itu merupakan permulaan baharu baginya untuk menjadi seseorang Muslim yang lebih baik bagi tahun berikutnya.
Siru ‘ala barakatiLlah (bergeraklah dengan keredaan Allah) untuk melaksanakan azam baru pada Tahun Baru Hijrah 1444H.
***Dr. Mohd Hasrul Shuhari adalah pensyarah kanan di Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu.
Rahsia kulit flawless Tiffany Young akhirnya terbongkar! Ketahui bagaimana Eucerin Spotless Brightening membantu mencerahkan dan meratakan tona kulit dengan hasil menakjubkan.