
Rambut leper, kulit kepala berbau? 7 masalah wanita berhijab ini ada solusinya kerana realitinya, ramai hijabi berdepan cabaran penjagaan diri yang agak berbeza berbanding wanita lain. Walaupun berhijab memberi rasa selamat, sopan dan elegan, ada beberapa masalah harian yang sering muncul tanpa diduga, terutama apabila cuaca panas, jadual terlalu padat dan rutin penjagaan tidak konsisten.
Namun, berita baiknya, kebanyakan masalah wanita berhijab ini sebenarnya boleh diatasi dengan langkah yang cukup mudah. Kuncinya ialah memahami punca dan menukar beberapa tabiat harian yang nampak kecil, tetapi memberi kesan besar pada keselesaan dan keyakinan diri. Hijabista senaraikan tujuh masalah wanita berhijab yang paling biasa berlaku, berserta solusi praktikal untuk anda cuba.

1. Rambut cepat leper selepas seharian bertudung
Rambut leper antara masalah wanita berhijab paling common. Selepas beberapa jam memakai tudung, rambut mula hilang volume, kelihatan lesu dan susah untuk kembali teratur.
Keadaan ini biasanya berlaku apabila rambut diikat terlalu ketat, sanggul diletakkan terlalu tinggi atau pemakaian inner terlalu mencengkam kepala.
Solusinya:
Ikat rambut secara longgar dan elakkan menarik rambut terlalu ketat ke belakang. Gunakan scrunchie fabrik lembut supaya rambut tidak mudah patah. Jika boleh, pilih gaya sanggul rendah atau tocang ringkas yang lebih mesra rambut.
2. Kulit kepala berbau walaupun baru mencuci rambut
Masalah wanita berhijab seperti kulit kepala berbau memang boleh menjejaskan keyakinan, terutama apabila anda perlu berada dekat dengan orang lain dalam tempoh lama. Peluh yang terperangkap, rambut yang tidak kering sepenuhnya dan inner yang jarang dibasuh boleh menjadi puncanya.
Solusinya:
Pastikan rambut benar-benar kering sebelum memakai tudung. Elakkan terus bertudung sebaik sahaja rambut dicuci. Selain itu, basuh inner tudung dengan kerap kerana aksesori ini paling cepat menyerap peluh, minyak dan bau.

3. Rambut gugur semakin ketara
Ramai wanita terus mengaitkan rambut gugur dengan pemakaian hijab, sedangkan punca sebenarnya sering datang daripada cara penjagaan rambut yang tidak tepat. Ini juga antara masalah wanita berhijab yang sering disalah faham. Ikatan terlalu ketat, kulit kepala berminyak dan kurang pengudaraan boleh membuatkan rambut lebih mudah rapuh.
Solusinya:
Berikan rambut masa untuk ‘bernafas’ apabila berada di rumah. Tukar posisi ikatan rambut setiap hari supaya tekanan tidak tertumpu pada bahagian yang sama. Anda juga boleh mengurut kulit kepala secara lembut ketika mencuci rambut untuk membantu peredaran darah.

4. Wajah cepat berminyak dan jerawat naik di tepi pipi
Bahagian pipi, dagu dan garis rahang merupakan kawasan yang paling mudah terjejas bagi wanita berhijab. Geseran kain, peluh dan minyak yang terkumpul boleh menyebabkan pori tersumbat lalu mencetuskan jerawat.
Solusinya:
Pilih material tudung yang ringan dan breathable seperti cotton voile atau fabrik yang mudah menyerap peluh. Jangan ulang pakai tudung atau inner terlalu kerap tanpa mencucinya. Dalam masa sama, kekalkan rutin skincare yang ringan, bersih dan sesuai dengan jenis kulit anda.
5. Leher dan bawah dagu rasa panas serta tidak selesa
Apabila cuaca panas, ramai wanita berhijab mula rasa rimas di bahagian leher dan bawah dagu. Keadaan menjadi lebih teruk jika memakai tudung berlapis-lapis atau fabrik yang tebal.
Solusinya:
Pilih gaya lilitan yang ringkas dan tidak terlalu sarat. Fabrik ringan dan sejuk lebih sesuai untuk kegunaan harian, terutama jika anda banyak bergerak di luar. Warna tudung yang lebih cerah juga boleh membantu mengurangkan rasa panas.

6. Tudung cepat berbau hapak
Kadangkala masalah bukan pada rambut atau kulit kepala, tetapi pada tudung itu sendiri. Tudung yang disimpan dalam keadaan lembap atau dipakai semula tanpa dianginkan boleh menyebabkan bau kurang menyenangkan.
Solusinya:
Jangan terus lipat dan simpan tudung yang sudah dipakai. Asingkan terlebih dahulu, anginkan dan cuci secara berkala. Pastikan juga tempat simpanan tudung sentiasa kering dan bersih supaya bau hapak tidak melekat.
7. Penampilan nampak tidak segar walaupun sudah bersiap
Ada hari-hari tertentu apabila tudung terasa tidak menjadi, wajah nampak letih dan keseluruhan penampilan seperti kurang berseri. Ini antara masalah wanita berhijab yang sering membuatkan keyakinan diri menurun.
Solusinya:
Sediakan beberapa gaya tudung ‘penyelamat’ yang mudah digayakan dan sesuai dengan bentuk wajah anda. Tidak perlu terlalu rumit, asalkan kemas, selesa dan menaikkan seri wajah. Kadangkala, penampilan yang simple tetapi bersih lebih memberi impak berbanding gaya yang terlalu sarat.
Hijabi Perlu Utamakan Selesa, Bukan Sekadar Cantik
Hakikatnya, wanita berhijab memerlukan rutin penjagaan yang sedikit berbeza supaya kekal selesa sepanjang hari. Daripada penjagaan rambut, pemilihan inner, jenis fabrik tudung hinggalah kebersihan aksesori, semuanya memainkan peranan penting dalam memastikan penampilan kekal segar.
Jangan tunggu sehingga masalah jadi lebih serius baru mahu bertindak. Dengan beberapa perubahan kecil dalam rutin harian, anda bukan saja dapat mengurangkan rasa tidak selesa, malah lebih yakin untuk berdepan aktiviti seharian. Kerana menjadi hijabi bukan sekadar tentang penampilan, tetapi juga tentang rasa selesa dan yakin dengan diri sendiri.
BACA LAGI : Gaya Tudung Ikut Bentuk Muka! Panduan Penting Agar Tampil Lebih Yakin & Manis di Hari Raya
Tampil #1 on top dengan fashion muslimah terkini di HIJABISTA!
Download sekarang di




