
Setelah hampir sembilan tahun bergantung kepada kerusi roda, situasinya kini sudah berubah buat Haziqah Nurul Huda Harun atau lebih mesra disapa Yaya,23, selepas 12 hari dia berada di Makkah bagi menunaikan umrah.
Dahulunya lumpuh disebabkan ketidakupayaan kaki kiri, dia kini sudah boleh berdiri dan menggunakan tongkat untuk bergerak.
Menurutnya, insiden ketika mengerjakan umrah bersama ibu bapanya pada 10 hingga 21 Disember yang lalu banyak meninggalkan kesan malah mengubah hidupnya secara total.

Saya jatuh terlentang ketika di hadapan pintu masuk Masjidil Haram dan kerusi roda saya juga dicuri ketika mengerjakan tawaf.
“Tetapi Allah maha mengetahui, insiden itu bukanlah musibah sebaliknya anugerah Allah kerana sejak kejadian itu, kaki kiri Yaya yang selama ini lumpuh, sudah makin berfungsi,” katanya.
Yaya yang sinonim dikenali sebagai usahawan kuih bakul halal, lumpuh selepas dijangkiti kuman ketika berusia 15 tahun dan kerusi roda sudah menjadi alat bantu wajib untuknya bergerak.
Awalnya ralat tanpa kerusi roda
“Sembilan tahun Yaya hidup bergantung kepada kerusi roda tetapi sejak kerusi roda hilang di Makkah, Yaya tidak lagi memerlukannya. Pada mulanya ralat juga apabila kerusi roda yang diletakkan di tempat letak peralatan itu, hilang selepas selesai mengerjakan tawaf.
“Tetapi sekarang, sangat bersyukur kerana hilangnya ia mendorong Yaya bergerak tanpa menggunakan peralatan itu lagi. Yaya hanya menggunakan tongkat sepanjang berada di Mekah dan sekarang lebih selesa bertongkat,” katanya.
Bagi Yaya, dia menganggap hikmah kehilangan kerusi roda dan jatuh di hadapan pintu Masjidil Haram sebagai terlalu besar untuk insan kerdil sepertinya.
“Memang sangat sakit akibat terjatuh hingga Yaya demam tetapi, hikmahnya Allah kembalikan kaki kiri Yaya dan ia semakin berfungsi dengan baik.
“Doktor juga terkejut dengan perkembangan drastik ini dan harapan Yaya untuk berjalan seperti biasa sangat cerah selepas ini,” katanya.
Disebabkan saiz kaki kirinya kecil berbanding kanan, dia perlu menjalani beberapa siri fisioterapi dan yakin akan perubahan positif sedikit demi sedikit.

Hadiah terbesar 2019
“Terlalu banyak dugaan yang dilalui sepanjang 2019. Dugaan daripada orang sekeliling, dugaan dalam perniagaan dan tahap kesihatan Yaya yang tidak menentu. Tetapi rupanya Allah ingin anugerahkan sesuatu yang istimewa kepada Yaya menjelang 2020.
“Berkat kesabaran dan doa yang tidak putus-putus, selain sentiasa bersangka baik terhadap ketentuan Allah, akhirnya impian Yaya untuk kembali pulih bakal menjadi kenyataan pada 2020,” katanya.
Selain itu, impiannya untuk memakai gaun indah dan berdiri juga tertunai selepas menerima Anugerah Inspirasi Kehormat CEO 2019 di Putrajaya, baru-baru ini.
kredit: hmetro
Wanita & Tekanan, Benarkah Selepas Berkahwin, Kehidupan Wanita Jadi Lebih Sukar?

Perkahwinan ialah akad yang menghalalkan di antara lelaki dengan perempuan hidup bersama dan menetapkan tiap-tiap pihak daripada mereka hak-hak dan tanggungjawab.
Perkahwinan juga merupakan sesuatu yang mulia di dalam Islam. Malahan ianya sangat dituntut sehinggakan junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W sendiri menyatakan bahawa sesiapa yang tidak mengikut sunnahku maka bukanlah ia daripada umatku. Sunnah ini termasuklah perkahwinan.
Apabila berkahwinnya seorang wanita itu maka tanggungjawab seorang ayah terhadap anak perempuannya telah berpindah kepada suami.
Baca perkongsian Ustazah Noor Laila Aniza Zakaria
WANITA DAN TEKANAN Selepas kahwin, lebih sukar kehidupan?
Jika ini sculpture yg dibuat,maka benarlah begini hidup wanita seluruh dunia digambarkan selepas berkahwin.
Kerana itu, disebutkan dalam pelbagai riwayat tentang mulianya akhlak Nabi sehingga Nabi uruskan dirinya sendiri,jahit baju,jahit kasutnya,siapkan makan keluarganya, Nabi buat kerja-kerja rumah,Nabi belai isteri-isteri baginda,Nabi bersihkan bekas haid isterinya, Nabi potong kuku isterinya, Nabi bantu ketika isteri Nabi naik unta sehingga Nabi letakkan pahanya ke tanah untuk dipijak isteri, Nabi paling banyak tersenyum, Nabi didik isteri dgn akhlak yang terbaik dgn perintah-perintah Allah, Nabi berlemah lembut pada isteri baginda, Nabi tak pernah tinggi suara pada isterinya bahkan Nabi tak pernah menjerit-jerit atau memaki hamun. Isteri Nabi juga diberikan pembantu untuk memudahkan segala urusan.
Bahkan Nabi org yang paling banyak ibadah kepada Allah,paling sempurna imannya, paling rajin bekerja dan sgt jujur tidak pernah mengambil harta isterinya untuk tujuan peribadi.Allahu Akbar!
Jika sebegini high class akhlak Nabi dan layanan suami kepada isteri,selayaknya disebutkan Nabi, “Jika dibolehkan manusia sujud kepada manusia,nescaya aku perintahkan isteri sujud kepada suami”‘..
Dgn kata lain,selayaknya suami sebegini mendapat penghormatan dari isteri bukan sekadar kerana suami itu menafkahi isterinya,dan bukan sekadar kedudukan suami lebih tinggi dari isteri,tetapi disebabkan suami itu sendiri memuliakan isterinya.
Namun hadis ini disalah guna pakai untuk mengatakan kedudukan lelaki sebagai suami terlalu tinggi sehingga isteri perlu taat tanpa sempadan dan korban sehingga mati!
Satu kezaliman yg membunuh sifat kemanusiaan dalam rumahtangga itu sendiri.
EMOSI YANG KOYAK
Dan kesannya emosi wanita bercelaru dan sakit. Sehingga tekanan-tekanan itu membawa kegilaan dan anak tidak berdosa menjadi mangsa dibunuh, dicampak luar flat ,ditikam, dikelar. Nauzubillahi minzalik.
Belum lagi beban emosi wanita itu dihenyak lagi dengan suami yang mengambil duit isteri, mencuri harta isteri, menyuruh isteri berhutang, berjanji akan bayar balik, bila diminta dikata mengungkit, tak bersyukur, tak boleh sabar, menetapkan pula itu ini isteri kena bayar dengan alasan isteri bekerja kenalah bersusah bantu suami, kaki lepak, keluar masuk rumah ikut suka, curang disebabkan isteri tak pandai melayan dan macam-macam rencah karenah kerana suami tidak diberi tanggungjawab sebagai lelaki yang perlu bersusah payah bukan sekadar mencari nafkah untuk isteri tetapi juga mengurus tadbir keperluan keluarganya dengan baik dan sabar.
Jika benar, seorang lelaki faham agama, pasti dan pasti akhlaknya seperti Nabi dan tiada seorang wanita akan terkoyak emosinya sebegini teruk. Dan tekanan-tekanan dari keluarga mertua, ipar duai sepupu sepapat, saudara mara, kawan-kawan, jiran tetangga dengan pelbagai rencah hentaman, pandai cakap, tukang mengajar, kecaman, suruhan, perintah, teguran kononnya mana boleh lelaki buat kerja rumah, mana boleh jaga anak, semua benda suami yang buat, habis isteri buat apa…? Soalan yang tidak masuk akal, suami takut bini, suami kena guna-guna…isteri macam ni tak layak jadi ibu sebab tengok suami yang uruskan anak-anak..Allah…beban sangat tengok suami tu…derita sungguh suami perkasa kena buat semua kerja rumah…isteri tak tahu tanggungjawab….Isteri tak bersusah payah dengan suami, Dan desakan-desakan ini juga yang menambah sakit mental wanita.
Belum cerita tentang isteri ceaser belah perut yang kadang-kadang terkoyak balik jahitan dan bernanah dalamnya akibat gerakan yang banyak dan angkat benda berat, bahkan bertahun pun tak hilang lagi sakit ceaser itu. Punya bertarung nyawa untuk suami. Belum lagi cerita perut berparut seribu dan perut lembik macam kain buruk akibat mengandungkan zuriat-zuriat suami,longgar sana longgar sini dan suami hanya pandai komplen.
Belum juga kisah terkuburnya cita-cita selepas kahwin dengan ‘hukum buatan manusia’ lepas kahwin, isteri kena ikut suami.
Tanpa kompromi, tanpa berbincang, ikut sahaja.
Seharusnya sebelum kahwin sudah jelas perancangan ke depan, dan kesedian kedua-dua pihak supaya tiada sesiapa ditekan emosi. Jelas dan jujur. Jika tak sedia, jangan teruskan perkahwinan.
Nak sambung belajar, mak mertua kata tak perlu sebab perempuan lebih baik duduk rumah, mengasuh anak. Terkubur satu lagi hasrat dan cita-cita yang ditanam dengan semangat membara dari kecil hasil didikan ibu ayahnya…Anak perempuan siapa yang diperlakukan sebegini? Kezaliman apa sehingga dinafikan hak wanita untuk memperoleh apa yang dihajati dari kecilnya? Dunia apa yang dicorak untuk para isteri ini? Tekanan!
Mulia sungguh menjadi suri rumah, tetapi pastikan suri rumah yang merasa nikmat bahagia, bukan derita stres tekanan sehingga sakit mental dibuatnya! Allah…
Lalu dia diajar untuk reda, sabar, taat sedangkan tak cukup duit, ibu ayah perempuan pula yang kena tanggung bagi duit sebab suami tak cukup duit.
Isteri yang tiada pemilikan apa-apa, ,terkulat-kulat lihat apa orang lain ada sedangkan dia juga punya angan-angan dan impian. Nak bagi duit pada mak ayah yang membelanya dari kecil juga tak mampu.
Pemilikan isteri yang membunuh emosinya! Semua harap suami sedang suami pula tak mampu memberi secukupnya bahkan berkira-kira pula! Ya Allah!
Ditambah suara-suara yang mengatakan isteri habiskan duit suami. Bahaya betul perkataan-perkataan jahat ini.
Sewajarnya selepas kahwin, lebih mudah hidupnya kerana lelaki meminangnya dengan janji untuk menjaganya, mengangkat martabatnya, melindunginya, meneruskan semangatnya untuk memperoleh cita-citanya dan perjuangannya.
MALANGNYA LELAKI DIAJAR JADI RAJA & WANITA DIAJAR BERKORBAN TANPA JEMU
Sama-sama bina cita-cita, sama-sama membangunkan antara satu sama lain, sama-sama bina keluarga, sama-sama didik anak…MashaAllah.
Sekalipun suami itu sangat baik, dibelanjakan hartanya untuk keluarganya, disiapkan tempat tinggal, makan pakai, dicebok anak-anak, dimandikan anak-anak, disuap makan, dibasuh baju anak isterinya, dia juga yang memasak, belum lagi dia dapat membalas jasa isterinya bertarung nyawa ketika melahirkan zuriat-zuriat untuknya bahkan zuriat-zuriat itu pula dengan rahmat Allah akan menjadi penolongnya ke syurga .
Suami juga tak pernah sekali pun gadaikan nyawa untuk melahirkan, antara hidup dan mati (mungkin ada suami yang kerjanya berisiko tinggi, itu tidak dinafikan),suami tak pernah hilang kecantikannya akibat tidur yang tak cukup, bentuk badan yang dah tak sama, lelah yang tak habis menyusu dan fikirkan sakit anak dan pelbagai ragam anak siang malam yang tak pernah habis.
Bagaimana selepas selesai bersalin, isteri juga yang dukung anak bahkan isteri juga basuh baju anak dan suami. Ya Tuhan…
Bila isteri dah sihat sikit, berjalan bersama, isteri juga yang dukung anak…alasan anak nak pada ibunya..ke sana ke mari isteri gendong anak, suami jalan pegang hp di tangan. Ya Allah.berat bawa perut pun takpernah habis rasanya.Suami hanya bawa diri…Relax je suami. Sakit pinggang membawa perut mengandung pun tak pernah habis lagi!
Inilah realiti, apabila kita tidak menyediakan anak-anak lelaki kita sebagai hero dan penyelamat, sebagai pelindung dan sanggup bersusah payah berkorban untuk anak isterinya tapi kita cerita pada anak lelaki kita, lepas kahwin ada orang jaga dia…lepas kahwin lebih terurus hidupnya…
Berapa ramai yang bercerita lepas kahwin, kena jaga isteri dengan sempurna, isteri ini amanah, bantu isteri, buat kerja-kerja rumah, uruskan anak, jangan harap duit isteri, usaha sungguh-sungguh, jaga mak ayahnya, jadi laki-laki bermaruah, jaga solat di masjid/ surau / tempat azan dilaungkan, jaga Al-Quran setiap hari, jaga rumahtangga dan jangan khianat. Tidak ramai bukan?
Berapa ramai ambil tahu tentang impian isteri dan sama-sama usaha mendapatkannya atau setidaknya memberikan dia jalan lebih selesa untuk kehidupan rumah tangganya?
Malangnya, lelaki diajar menjadi Raja, dan wanita diajar berorban tanpa jemu. Sehingga semua pakaian suami perlu dicuci, digosok, disediakan sehingga di mana letaknya stoking pun, kalau tak jumpa, isteri juga kena marah. Lelaki diajar makanan tersedia untuk dijamah, pinggan tak perlu cuci, rumah tak payah sapu, mop lagilah tidak, cadar katil tak payah tukar, masak tak payah, semuanya kerja orang perempuan…
Akhirnya isteri tarik muka, penat letih, tiada lembut lembut, hanya jerit pekik, marah tak tentu pasal, lalu dikatakan…oh isteri tak macam dulu, isteri derhaka, isteri tak memahami, isteri tak layak jadi ibu….
USAH BANYAK MARAH DAN BANYAK TEGUR
Takutlah pada Allah. Berlebih-lebihlah suami dalam membuat tugasan rumah. Berilah kerehatan dan belaian kepada isteri, penghargaan dan kasih sayang, urutan dan sentuhan, doa dan semangat, kerja keraslah untuk isteri anak-anak, bukan banyak komplen banyak marah, banyak tegur.
Takutlah kerana para suami akan menghadap Allah. Ikhlaslah dalam setiap khidmat pada keluarga. Nescaya, isteri akan jadi ibu yg penyayang, isteri penyejuk mata,manis wajahnya, dan lunak kata-katanya serta pasti dia menghormati suaminya.
Anak-anak penuh kasih sayang dan ceria, tidak murung dan memberontak. Ajarilah isteri dengan didikan agama untuk memperbaiki Al-Quran dan solatnya.
Begitulah jika agama dipelajari, difahami, diamalkan. Tidaklah kita memandai-mandai menzalimi wanita. Jadilah wanita yang bersyukur. Sayangi suamimu dan berlemah lembutlah, rendahkan suaramu dan janganlah dikeluarkan kata-kata yang tajam. Tetaplah dalam kesabaran, doa, solat dan peliharalah auratmu, labuhkan tudungmu, longgarkan pakaianmu dan pakailah baju berlengan panjang. Nikmat mana lagi yang mahu engkau dustakan wahai wanita?
Berdoalah supaya bahagia sampai syurga paling tinggi dan bertaubatlah bagi yang menyakiti tanpa sedar. Berbincang dan berubahlah.
Buat para isteri, tetaplah membantu suamimu untuk apa juga urusan kerja rumah dengan ikhlas dan bersyukurlah atas pemberiannya. Jangan jadikan suamimu tempat untuk ditengking jerkah, disuruh itu ini tetapi mohonlah pertolongannya dengan kata yang lunak dan baik. Bertolak ansurlah dalam urusan-urusan rumah tangga dan maafkan kekhilafan suamimu. Bertolak ansur dan belas kasihan adalah kunci untuk tidak mencari salah pasangan. Tetapi sama-sama sepakat, sama-sama membantu segala urusan rumahtangga.
Pastikan tulisan ini dibaca dengan ilmu bahawa kisah ini berkaitan wanita dan tekanan. Janganlah dengan post ini, menghilangkan hormat isteri kepada suami tetapi bawalah berbincang. Tidak ada suami yang mahu isteri yang dinikahi tertekan. Cuma mungkin si suami terlepas pandang.
Tahniah untuk isteri yang ikhlas membuat kerja-kerja rumah kerana mencari reda Allah.
Tahniah buat suami-suami yang telah menjaga para isteri tuan-tuan dengan sempurna. Allah berkati hidup tuan-tuan.
Sumber kredit: Ustazah Noor Laila Aniza Zakaria
Jangan Seronok Sangat ‘Kutuk’ Orang, Syifa Melvin Harap Allah SWT Beri Hidayah

Baru-baru ini tular di laman sosial apabila pelakon jelita, Syifa Melvin menyelar tindakan segelintir individu yang gemar ‘bercakap buruk’ tentang perihal orang lain.
Menurut isteri kepada Safawi Rashid itu, jadilah individu yang menjaga mulut dan tidak toksik meskipun tidak dikurniakan rupa paras yang cantik mahupun kaya dengan wang ringgit.
Artikel berkaitan: “Penat kami simpan rahsia tetapi kantoi juga!” – Kad Kahwin Tular, Syifa Melvin Akui Kesal
Jangan Kutuk Orang Macam Besar Sangat Salahnya Pada Anda!
Perkara berkenaan dikongsikan oleh Syifa menerusi Insta Story (IGs) miliknya baru-baru ini.
“Kita ni biarlah rupa paras biasa-biasa, biar lah tak berduit tera mana tapi, jangan lah mengutuk orang lain tak tentu hala. Macam orang tu, buat salah besar kat hang.
“Yang sedih dah lah kutuk, kita tak kenal pun orang tu dan orang tu pun tak kenal kita. Satu rasa rugi sebab sakit hati sorang, satu lagi rasa lawak,” tulisnya panjang lebar pada hantaran berkenaan.
Menerusi hantaran sama, Syifa atau nama penuhnya, Nur Syifa Athirah Amirol Melvin, turut mengambil kesempatan mengingatkan individu sekeliling agar sentiasa menggunakan akal fikiran demi mengelakkan diri dari mempunyai sifat iri hati, hasad dengki dan berperangai toksik.
Artikel berkaitan: “Bersangka Baik & Berfikiran Positif Kita Akan Selalu Rasa Tenang”, Deep Pesanan Syifa Melvin
“Kita yang lain ni Allah SWT masih kurniakan akal yang waras. Masih boleh berfikir, punya hati yang baik tak payah lah nak mengata orang tu, orang ni okay.
“Orang yang kita kutuk tu tak rasa apa pun kat kita. Kita ja sorang dok bara tak semena-mena. Moga hidayah milik mereka yang berlidah puaka,” katanya.
Sekadar Info, Syifa Melvin berkahwini bersama pemain bola sepak sayap JDT, Safawi Rasid, pada 28 November 2022.
Sumber: Instagram Syifa Melvin
+++Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini.
5 Jenis Istigfar Dan Waktu Yang Dianjurkan Untuk Jalan Keluar Dari Pelbagai Masalah

Manusia merupakan makhluk yang serba lemah dan tidak terlepas daripada melakukan kesilapan dan dosa pada saban hari. Allah SWT dengan sifatNya yang Maha Pengampun, Pengasih dan Penyayang membuka peluang kepada insan untuk memohon keampunan pada setiap waktu dan di mana sahaja mereka berada.
Dan mohonlah ampun kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Merahmati. – Surah al-Muzammil ayat 20
Salah satu ubat dan jalan untuk kita keluar dengan pelbagai masalah adalah dengan mengamalkan istigfar dalam kehidupan harian. Lakukannya sebagai rutin harian, basahkan bibir dengan istigfar, insyallah segala masalah akan selesai. Namun ada juga antara kita tidak sedar hikmah sebalik mengamalkan istigfar.
Hikmah Istigfar
Apabila kita sentiasa beristigfar pelbagai hikmah yang tersembunyi, dengan istigfar menghilangkan rasa resah atas dosa-dosa yang dilakukan. Malah kita akan terasa dekat dengan Allah serta dapat meningkatkan ketakwaan diri. Syaitan akan selalu memerangkap manusia dengan tipu daya, perbanyakkan istigfar bagi membanteras ditipu dengan helah syaitan. Allah SWT memuliakan hambanya dunia dan akhirat sesiapa yang selalu beristgfar.
Keampunan Allah SWT terhadap hambaNya adalah dengan terlaksananya amalan taubat dan istigfar. Kedua-dua amalan ini saling melengkapi untuk memastikan Allah SWT mengurniakan kita pengampunan.
Syarat Istigfar
Syarat untuk istigfar, seseorang haruslah meninggalkan maksiat yang dilakukan dengan menyesali segala perbuatan yang di mungkari Allah. Berhasrat tidak akan mengulanginya lagi dengan memperbanyakkan ibadah dan berbuat amal kebajikan seperti bersedekah, memberi makan kepada fakir miskin dan lain-lain. Mohon maaf dan memulangkan kembali hak yang telah diambil jika melibatkan orang lain.
Masa Untuk Istigfar
Antara masa yang digalakkan untuk beristigfar adalah:
- Sepanjang hari dan malam.
- Sesudah melakukan dosa.
- Ketika hendak tidur.
- Ketika hendak bersahur.
- Setelah selesai berwuduk.
- Ketika duduk antara dua sujud.
- Sesudah membaca tahiyat (tasyahud akhir).
- Ketika hendak meninggalkan sesuatu majlis.
5 Jenis Istigfar Dan Waktu Yang Dianjurkan
Lafaz Istigfar
Lafaz istigfar umum adalah seperti berikut:
Astaghfirullahal ‘aziim allazi la ilaha illa huwal hayyul qayyum wa atuubu ilaih.
Namun dalam beberapa keadaan dan situasi, kita digalakkan untuk membaca istigfar seperti di bawah:
1. Lafaz Istigfar ketika bersurai dari majlis
Istighfar sewaktu hendak bersurai daripada majlis seperti majlis ceramah, jamuan doa selamat dan mesyuarat.
Maksudnya:
Maha Suci Engkau, ya Allah dan puja puji untuk-Mu. Aku naik saksi tiada tuhan selain Engkau. Aku memohon keampunan daripada-Mu dan bertaubat kepada-Mu.
(Riwayat at-Tirmizi daripada Abu Hurairah r.a.)
2. Saiyidul Istigfar (Penghulu Istigfar)
Penghulu Istighfar ini juga disebut sebagai “Saiyidul Istigfar” sesuai dengan kedudukannya yang tinggi dalam Islam.
Maksudnya:
Ya Allah, Engkaulah Tuhanku, tiada tuhan yang disembah melainkan Engkau. Engkau telah menjadikan aku, dan aku ialah hamba Mu, aku tetap atas amanah-Mu dan janji-Mu sekadar kesanggupan. Aku berlindung dengan-Mu daripada kejahatan yang telah aku lakukan. Aku mengakui kepada-Mu dengan nikmatMu ke atasku dan aku mengakui dosaku. Maka ampunilah aku, maka sesungguhnya tiada siapa yang dapat mengampuni dosa-dosaku selain Engkau.
(Riwayat al-Bukhari dan Abu Daud)
3. Istigfar Selepas Solat
Doa istighfar ini elok dibaca khususnya selepas solat sebagai memperbaharui keinsafan kita terhadap dosa yang sering dilakukan:
Maksudnya:
Ya Allah, aku memohon ampun kepada-Mu daripada segala dosa yang aku telah bertaubat kepada-Mu kemudian aku ulanginya. Aku memohon kepada-Mu daripada segala perkara yang telah aku berjanji kepada-Mu daripada diriku yang tidak aku tunaikannya kepada-Mu. Aku memohon ampun kepada-Mu daripada segala amalan yang ingin aku lakukan kerana wajah-Mu, lalu ia bercampur aduk dengan selain daripada-Mu. Aku memohon keampunan-Mu daripada segala nikmat yang Engkau telah beri kepadaku lalu aku menggunakannya untuk mengerjakan maksiat terhadapMu. Aku memohon keampunan-Mu wahai Tuhan Yang Maha Mengetahui perkara ghaib dan nyata daripada segala dosa yang aku kerjakannya di cahaya siang dan kegelapan malam, di khalayak ramai, bersendirian, secara rahsia dan terang-terangan, wahai Tuhan Yang Maha Penyantun.”
4. Istigfar Sebelum Tidur
Istighfar yang selalu dibaca selepas solat lima waktu juga sebelum waktu tidur sebanyak 3 kali.
Maksudnya:
Aku memohon ampun kepada Allah Yang Maha Besar, tiada Tuhan melainkan Dia, yang hidup lagi sentiasa berdiri dengan sendirinya dan aku bertaubat kepada-Nya.”
5. Istigfar Penenang Hati
Istighfar dan taubat yang boleh dijadikan wirid atau zikir untuk mententeramkan jiwa yang selalu resah:
Maksudnya:
Aku memohon ampun kepada Allah yang Maha Agung (3 kali). Kami telah bertaubat kepada Allah, kami telah kembali kepada Allah, kami telah menyesal atas apa yang telah kami lakukan, dan kami berazam untuk tidak lagi mengulangi dosa selama-lamanya.”
Firman Allah yang dimaksudkan oleh Hasan adalah Surah Nuh ayat 10-12.
Diriwayatkan dari Abdullah bin Abbas, Rasulullah bersabda yang bermaksud:
Barang siapa melazimkan istighfar, maka Allah akan jadikan jalan keluar dalam setiap kesulitan hidup dan jadikan setiap kegundah-gulanaan menjadi kebahagiaan dan Allah akan memberinya rezeki dari jalan yang tidak disangka-sangka.”
(Hadis Riwayat Abu Dawud dan Ibnu Majah)
Sentiasalah beristigfar, kerana dengan sentiasa beristigfar, Insyaallah hidup kita akan sentiasa lancar dan permudahkan.
SUMBER: AKUISLAM