Untuk menimbulkan kebiasaan atau memulakan ketagihan dalam menyimpan wang bukanlah bermakna bahawa anda harus menjadi pakar kewangan atau anda berhenti berbelanja! Tidak sama sekali! Apa yang perlu diubah adalah cara hidup anda serta kekuatan dalaman diri untuk kurangkan perbelanjaan dalam masa yang sama tingkatkan pendapatan. Kalau nak kaya cepat, ikut 5 cara terpantas menyimpan wang yang boleh diamalkan.

Jika penyimpanannya konsisten tidak mustahil apa jua barang yang dihajati akan dapat dimiliki. Ataupun hujung tahun boleh bercuti ke negara orang seperti trend hari ini.

1. Rombak Semula

Langkah pertama untuk menjimatkan duit adalah dengan mengurangkan perbelanjaan. Sebelum bermula, lihat dan semak kembali ke mana wang anda banyak dibelanjakan dan cari cara untuk mengurangkannya. Contoh, jika kadar sewa rumah anda RM900 sebulan, tidak salah untuk anda kurangkan jumlah itu dengan menyewa rumah yang lebih murah atau cuba mencari rakan untuk berkongsi sewa bilik bersama. Tiada had cara untuk anda berjimat. Kuncinya adalah anda tidak perlu menyeksa diri dengan memberhentikan perbelanjaan secara drastik tetapi cubalah dengan mengurangkan perbelanjaan secara konsisten.

2. Tingkatkan pendapatan

Wang sudah semakin kurang, maka apa yang perlu anda lakukan? Selain daripada mengurangkan perbelanjaan, anda juga perlu meningkatkan pendapatan. Tidak kiralah betapa hebatnya anda dalam soal menyimpan duit, pendapatan tambahan akan berguna kelak. Cuba cari kerja sambilan seperti menulis blog, menjadi ‘personal shopper’ dan mungkin menjadi guru tuisyen. Untuk memilih kerja sambilan juga haruslah tepat bergantung kepada kecenderungan dan kepakaran anda. Boleh juga mengiklankan servis atau perkhidmatan anda di Facebook secara percuma untuk tambahkan pendapatan. Inilah masanya menggunakan laman sosial untuk tujuan yang lebih berfaedah selain menjadi wira papan kekunci atau ‘keyboard warrior’.

3. Tukar Aset Kepada Tunai

Duit adalah motivasi yang kuat untuk kita memulakan apa yang patut dimulakan sebelum ini. Jika terdapat banyak busana atau barangan yang tidak termuat lagi ke dalam almari, maka bolehlah memulakan langkah untuk menjualnya sebagai item ‘pre-loved’ (pastikan masih dalam keadaan yang baik). Setiap ringgit tambahan membawa anda kepada gol anda. Jadi, apa tunggu lagi? Daripada terbiar dan terbuang begitu sahaja, ayuh asah daya kreatif dan jana lebih banyak wang!

IKLAN

4. Dapatkan Ganjaran Apabila Berbelanja

Berjimat tidak bermaksud kita hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Anda juga perlu manjakan diri. Sekali-sekala nikmati makan malam di luar, memanjakan diri dengan terapi membeli-belah. Kuncinya adalah dengan memilih tempat perbelanjaan yang berbaloi dengan pendapatan anda. Salah satu cara untuk mendapatkan diskaun adalah dengan berbelanja menerusi laman web. Kebanyakan barangan di Internet adalah lebih murah. Beberapa buah laman web e-dagang yang terkenal menawarkan kod-kod baucar diskaun seperti iPrice.my dan Groupon. Kesemua kod baucar dikemas kini setiap hari untuk memastikan anda tidak terlepas peluang untuk berjimat.

5. Faedah Berganda

Setelah mengubah dan menjana lebih pendapatan, menyimpan wang di dalam tin atau meletakkannya di bawah bantal bukanlah cara penyimpanan wang yang bagus. Berusaha sedikit untuk menjadi lebih pintar dan berjimat dalam masa yang sama mengira wang yang bakal diperoleh daripada bantuan faedah berganda. Terdapat beberapa cara untuk anda menyimpan duit dan mendapat imbuhan ke atasnya seperti:

  1. Akaun deposit tetap – Merupakan satu alternatif mudah dan bebas risiko kepada saham/bon. Deposit tetap ialah pelaburan bagi orang yang mahukan instrumen pelaburan yang berisiko rendah atau cara penyimpanan wang berfaedah yang lebih tinggi.
  2. Tabung unit amanah – Risiko rendah apabila melabur di dana unit amanah kerana seorang pengurus dana akan dilantik untuk memastikan portfolio pelabur dipelbagaikan.

Jadi bagaimana? Bukan hal yang mustahil dan susah pun untuk menyimpan wang, bukan? Kadangkala satu matlamat sudah mampu merangsang kita untuk dapatkan wang dengan segera seperti menyimpan untuk sebuah percutian idaman atau membeli rumah. Mahu atau tidak mahu, anda yang buat andalah yang dapat.

 

IKLAN

 

 

 

 

IKLAN