
Keanggunan dan pesona pelakon jelita, Hannah Delisha terus menjadi perhatian! Kali ini, kehadirannya di pentas peragaan Fashionably Modest Asia (FMA) 2026 menyerikan lagi penampilan sulung jenama barang kemas tempahan khas terbaharu, Eternity by Elfi.
Acara yang berlangsung di Pavilion Arena, Pavilion Damansara Heights pada 14 November 2026 itu menyaksikan Eternity by Elfi memperkenalkan koleksi eksklusif yang meraikan keindahan dan kepelbagaian gaya wanita moden.
Lebih istimewa, Elfi Jewellery bersama Eternity by Elfi turut diberi kepercayaan sebagai Rakan Barang Kemas Rasmi FMA 2026.

Hannah Delisha Pilihan Elfi Jewellery
Bergelar duta Elfi Jewellery sejak 2025, Hannah terus menjadi pilihan jenama tersebut kerana personalitinya yang anggun dan elegan, seiring dengan identiti rekaan barang kemas yang tidak lapuk dek zaman.
Pesona semula jadi pelakon itu juga berjaya memikat peminat daripada pelbagai generasi, khususnya golongan milenial dan Gen Z.
Kehadiran Hannah pada acara berkenaan turut menyerlahkan hubungan erat antara dunia fesyen modest dan barang kemas eksklusif sebagai pelengkap gaya wanita.

‘Her 4 Facets’, Lapan Set Barang Kemas Eksklusif
Menerusi penampilan sulungnya, Eternity by Elfi memperkenalkan koleksi bertemakan Her 4 Facets yang menampilkan lapan set barang kemas merentasi empat tema utama.
Empat tema tersebut merangkumi Perkahwinan dan Pengantin, Ulang Tahun dan Majlis Malam, Formal dan Eksekutif serta Sambutan dan Perayaan.
Setiap rekaan mengetengahkan keunikan tersendiri bagi melengkapkan penampilan wanita dalam pelbagai momen istimewa.
Barang Kemas Direka Mengikut Impian Pelanggan
Menariknya, Eternity by Elfi turut menawarkan perkhidmatan menghasilkan barang kemas mengikut rekaan dan cita rasa pelanggan.
Menurut Pengarah Urusan dan Pengasas Elfi Jewellery, Mohd Nazrin Abdul Rahim, pelanggan bebas mengetengahkan idea sendiri bagi menghasilkan perhiasan yang eksklusif.
“Melalui Eternity by Elfi, apa sahaja rekaan yang diimpikan pelanggan kami dapat dihasilkan khas untuk mereka,” katanya.
Pelanggan boleh membawa gambar, lakaran atau idea untuk diterjemahkan menjadi barang kemas menggunakan emas 10K hingga 22K atau platinum, dengan pilihan berlian buatan makmal, moissanite dan batu permata buatan makmal.
Harga tempahan bermula daripada RM3,000 bagi spesifikasi asas 3 gram emas 10K bersama batu moissanite 1 karat, tertakluk pada rekaan serta terma dan syarat.
Ditubuhkan pada 2014, Elfi Jewellery terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara jenama barang kemas tempatan menerusi pengenalan Eternity by Elfi.
Penampilan sulung di FMA 2026 ini bukan sahaja membuka lembaran baharu buat jenama tersebut, malah memperlihatkan bagaimana barang kemas mampu menjadi pelengkap gaya yang menyerlahkan keanggunan dan keyakinan wanita.
Buat HIJABISTA, pesona Hannah Delisha dan keunikan Eternity by Elfi membuktikan bahawa sentuhan perhiasan yang tepat mampu menjadikan setiap penampilan lebih istimewa dan bermakna.

