Setiap wanita yang meninggalkan puasa wajib qada’ puasa tersebut sebelum bermulanya Ramadan yang akan datang. Atas alasan tertentu, anda tidak sempat menghabiskan qada’ puasa dan masih ada beberapa hari lagi yang tinggal.
Sekiranya hal ini terjadi, anda perlulah membayar fidyah. Apa itu fidyah? Fidyah merupakan denda ke atas individu Islam yang telah baligh kerana meninggalkan puasa wajib atas sebab-sebab tertentu atau pun sengaja melewatkan puasa ganti bulan Ramadan.
Hukum membayar fidyah adalah wajib dan ia perlu disempurnakan mengikut bilangan hari yang ditinggalkan. Sekiranya ia tidak dibayar, ia ibarat satu hutang kepada Allah Taala. Jadi, jangan memandang ringan hal ini ya hijabi. Ia mudah sahaja jika anda faham konsepnya.
Di Mana Boleh Bayar Fidyah?
Fidyah boleh dibayar secara terus kepada fakir miskin atau menerusi Pejabat Zakat atau Pejabat Agama Islam Negeri masing-masing. Untuk memudahkan anda, bayaran fidyah juga boleh dibayar secara online melalui e-zakat atau mengikut bank tertentu.
Beras tersebut hendaklah diberi makan kepada fakir dan miskin dan bukan berbentuk wang tunai, pakaian dan sebagainya.
Cara Bayar Fidyah
1. Tetapkan Negeri Anda
Kadar bayaran fidyah berbeza mengikut harga yang telah ditetapkan oleh sesebuah negeri. Rujuk laman web Pejabat Agama Negeri untuk mendapatkan nilai secupak beras. Kebiasaannya, kadar bayaran fidyah bagi satu hari puasa yang ditinggalkan adalah secupak beras dan nilai secupak beras itu akan ditukar dalam bentuk Ringgit Malaysia.
2. Buat Kiraan
Contohnya seperti Lembaga Zakat Selangor, satu hari puasa yang ditinggalkan bersamaan dengan RM1.80. Kiraan fidyah di Selangor adalah tidak berganda walaupun melangkau tahun. Jadi, sekiranya seseorang itu meninggalkan puasa selama 3 hari, maka kadar fidyahnya adalah:
RM1.80 (1 cupak) x 3 hari = RM5.40
3. Buat Bayaran
Bayar fidyah secara tunai – Boleh dilakukan di pejabat agama atau pejabat zakat negeri atau melalui wang pos.
Bayar fidyah secara online – Melalui e-zakat negeri masing-masing seperti e-zakat Selangor, e-zakat Penang, laman web Pejabat Agama dan Majlis Negeri, Maybank2U.
Ini caranya jika anda mahu bayar menggunakan Maybank2U:
- Klik ‘Bill Payment’ dan klik pada ‘Make A One-Off Payment’
2. Klik ‘Zakat & Charity’
3. Pilih Pusat Pungutan Zakat/Fidyah Negeri masing-masing
4. Pilih ‘Fidyah’
5. Masukkan jumlah bayaran yang perlu dibayar. Selesai!
Tetapi, ia bergantung juga kepada jenis bank atau negeri. Kemungkinan sesetengah negeri tidak mengaktifkan akaun mereka untuk membayar fidyah online.
Dah, jangan tangguhkan lagi bayaran fidyah. Sila bayar sekarang sebelum anda terlupa. Ingat, jika anda tidak membayar fidyah, ibarat anda berhutang dengan Allah!
Sumber: Laman Web Lembaga Zakat Selangor & Sirap Limau
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI