
Seperti yang diketahui umum, pasangan mempelai akan dihiasi dengan persalinan perkahwinan serta inai yang cukup indah dan memukau. Baik lelaki atau perempuan, kedua-duanya mahu kelihatan sempurna di hari bahagia masing-masing. Memakai inai merupakan satu aktiviti yang pasti akan dilakukan sebelum pasangan mempelai diijab kabulkan. Kebiasaannya, perempuan akan memakai inai pada semua jari manakala lelaki pula hanya memakai pada tiga jari. Persoalannya, apakah hukum dari sudut agama tentang hukum memakai inai ini.
Ini jawapan bagi hukum memakai inai bagi kedua-dua mempelai:
- Hukum memakai inai bagi wanita
- Hukum memakai inai bagi lelaki
Hukum memakai inai bagi wanita
Menurut ulama’ mazhab Maliki dan Syafi’ei, wanita yang bersuami disunatkan memakai inai pada setiap masa kerana inai merupakan perhiasan dan kecantikan. Wanita yang bersuami sunat berhias untuk suami sepanjang masa.
Bagi wanita yang masih belum bersuami, ulama’ mazhab Maliki berpendapat hukumnya adalah harus, manakala ulama’ mazhab Syafi’ei pula berpendapat ia makruh kerana dibimbangi berlaku fitnah ke atas diri wanita itu dan orang lain.
Walau bagaimanapun, wanita yang hendak berihram haji atau umrah disunatkan memakai inai mengikut pendapat semua mazhab sama ada yang bersuami atau tidak.
Selain memakai inai di tangan, iaitu dari hujung jari hingga ke pergelangan, wanita juga harus memakai inai di tapak kaki mereka hingga ke buku lali khususnya wanita yang bersuami.
Hukum memakai inai bagi lelaki
Fuqahak semua mazhab berpendapat haram bagi lelaki memakai inai di tangan atau di kaki kerana inai merupakan perhiasan bagi wanita. Lelaki tidak harus meniru wanita sama ada pakaian atau perhiasan sebagaimana sabda Nabi s.a.w. bermaksud:
“Allah melaknat lelaki yang menyerupai atau meniru wanita dan wanita yang menyerupai atau meniru lelaki.”
Antara kata-kata fuqahak dalam masalah ini:
1. “Adapun menginaikan dua tangan dan dua kaki, maka disunatkan bagi wanita yang bersuami kerana terdapat Hadis-hadis yang masyhur mengenainya. Dan perbuatan itu haram bagi lelaki kecuali kerana keperluan seperti berubat dan sebagainya…” (Imam an-Nawawi di dalam kitab ‘Al-Majmuk’)
2. “Dan tidak harus menginaikan dua tangan kanak-kanak lelaki dan dua kakinya kecuali kerana ada keperluan untuk berbuat demikian, tetapi harus bagi wanita…” (Al-Fatawa al-Hindiyyah). Dinyatakan di dalam fatwa tersebut tidak harus diinaikan tangan dan kaki kanak-kanak lelaki. Maka lelaki dewasa lebih-lebih lagi.
3. “Adapun menginaikan dua tangan dan dua kaki, maka disunatkan untuk wanita dan diharamkan untuk lelaki kecuali untuk berubat…” (‘Aun al-Ma’bud Syarh Sunan Abu Daud).
Kesimpulannya, inai merupakan perhiasan bagi kaum wanita. Hukum memakainya adalah harus, sunat dan dalam keadaan tertentu makruh, iaitu bagi wanita yang tidak bersuami menurut pendapat fuqahak mazhab Syafi’ei. Bagi lelaki adalah haram kecuali dalam keadaan terpaksa seperti untuk berubat dan sebagainya.
Justeru, adat lelaki memakai inai ketika aqad nikah dan walimah adalah tidak selari dengan ajaran Islam dan perlu dihentikan.
Apabila Malam Sunyi Dan Bagi Mereka Yang Sedang Berduka, Surah Ad-Dhuha Surat Cinta Dari Tuhan Untuk Hamba-Nya

Kadangkala dalam hidup kita pasti akan berduka kan? Tipulah kalau kita sentiasa bahagia 24 jam. Kadangkala, kita mungkin nampak ceria di mata manusia namun dalam hati siapa yang tahu kan. Untuk membahagiakan hati, hanya kepada Allah sahajalah kita boleh sandarkan harapan kita. Bila kita berbicara dengan Dia, itulah momen yang paling indah sebenarnya.
Untuk ketenangan diri, kita boleh menghafaz Surah Ad-Dhuha . Surah ini dikatakan sebagai surat cinta dari Tuhan. Mari ikuti kisahnya melalui perkongsian @An_Nu3Man di akaun twitternya yang telah mendapat hampir 18 ribu retweet.
Surah Ad-Dhuha sebagai penghibur duka.
Allah mulakan Surah dengan sumpahan.
Malam disifatkan sebagai suasana yang sepi.
Ayat cinta yang terindah…
Allah pujuk hati yang sedih dan berikan harapan.
Allah gembirakan hati Rasulullah S.A.W.
Jangan lupakan segalanya hanya disebabkan masalah yang kecil.
Ingat antara kebaikan ini.
Allah menguji hambaNya tanda sayang.
Semoga kita semua dapat menghayati bait-bait ayat dalam surah ini dan beroleh ketenangan yang didambakan. Selamat beramal !
Jangan Salah Guna Nikmat Allah, Gara-Gara Suka Sangat Share Gambar Di Media Sosial. Waspada Dengan Penyakit Ain!

Dalam dunia ini ada pelbagai ragam manusia. Ada yang berhati baik, selalu menolong orang, ikhlas dan jujur. Tetapi ada juga sebaliknya yang hati memang kotor dan penuh hasad dengki.
Perkongsian daripada pengguna laman sosial ini boleh kita ambil iktibar. Betapa jahat dan kotornya yang dinamakan penyakit Ain (mata).
Jangan Salah Guna Nikmat Allah
Daripada matalah segalanya boleh terjadi perkara yang tidak elok. Ini kerana dengan pancaindera yang satu itu kita melihat segala kebaikan dan keburukan orang lain.
Berjaga-jaga dengan pandangan kita kerana boleh melontarkan diri ke lubuk paling dalam. Boleh berlakunya pujian dan kemudiannya melahirkan sifat dengki melihat paparan kebahagiaan di media sosial contohnya.
Sebaiknya jagalah mata dengan sebaik-baiknya dan jangan salah guna nikmat Tuhan yang satu ini. Bahaya penyakit Ain seperti diceritakan oleh Cik Puan Syarifah Furaiha ini begitu menakutkan hingga boleh bawa maut.
Ini perkongsiannya dari Fara yang mengakui dirinya juga alpa suatu ketika dulu.
Dulu Fara adalah seorang yang sangat berpegang dengan scientific evidence. Tanpa bukti, susah percaya.
Kemudian Allah izinkan Fara melalui pengalaman yang tak tergambarkan. Bertahun saya dengan guru saya, kami dinasihat agar menjaga adab. Simpan kemas rapat rapat segala nikmat yang Allah kurniakan.
Tapi yelah, saya masih muda dan mentah. Nasihat syeikh kami terbang bagaikan angin yang berlalu.
Syeikh pesan, kita jaga adab jangan tayang muka cantik kita. Kita ada suami baik,hensem dan soleh tak perlu tayang kebahagiaan rumah tangga kita. Kita ada anak gebu, comel, tak perlu dipuji anak kita yang comel itu di media sosial.
Ini tidak, anak umur sehari pun dah tayang macam macam lepastu pelik kenapa anak asyik sakit, lemah badan dan menangis. Peluk dengan suami, happy sana sini semua tunjuk, lepastu gaduh tak berhenti.
Sabda nabi, pada setiap nikmat ada hasad.
Tapi saya mana dengar nasihat tu semua. Kalau boleh semua nak share dengan orang sebab kita tengah bahagia.
Tahukah anda dulu ada sorang kakak ni cantik sangat, semua lelaki berebut dan suka dengan dia. Disebabkan muka dia cantik dan menjadi igauan para lelaki,ramai sangat perempuan yang kenal dengan akak tadi hasad gila dengan akak yang tadi.
Tak lama lepas tu,tanpa sebab tak pasal pasal mulut akak tadi jadi herot, senget. Inilah penyakit ain tuan puan.
Berapa ramai perempuan yang muka asalnya cantik bebas setitik noda pun tapi tiba tiba jadi menggerutu dan buruk bila terkena ain orang.
Penyakit yang berasal dari pandangan benci orang kepada kita atas nikmat yang kita ada yang boleh menyebabkan bukan takat hancur kehidupan kita bahkan boleh membawa maut. Pandangan hasad adalah sangat kuat dan berbahaya.
Ada kes kedua, di Tarim. Ada sorang pelajar ni rambut dia sangat cantik. Lebat,hitam,lurus dan lawa. Habis satu asrama puji rambut pelajar tadi.
Tak lama lepastu, kepala perempuan tadi jadi bernanah dan buruk. Mengeluarkan bau nanah yang masyaAllah sangat busuk. Habis rambut tadi gugur.
Di Tarim, baby yang baru lahir akan ditulis ibu bapanya dengan tulisan Allah atau MasyaAllah pada dahi baby tadi agar tetamu yang datang melihat,jika baby tadi gebu dan comel, mereka akan memuji Allah dan menjauhkan penyakit ain tadi yang boleh menyebabkan bayi tadi sakit dan meninggal.
Segala sandaran dan pujian disandarkan kepada Allah. Penyakit ain bukan hanya datang dari mata yang hasad dan benci bahkan dari pujian yang terlalu mengagumi susuk tubuk seseorang.
Pujian yang terlalu kagum dan fanatik tadi bila tidak disandarkan kepada Allah akan menyebabkan tuan punya badan yang dipuji tadi jatuh sakit teramat teruk tanpa sebab.
Tak perlu argument, penyakit ain ini pernah terjadi pada sahabat Rasulullah yang dipuji keelokkan tubuh badannya yang menyebabkan beliau jatuh pengsan sejurus dipuji. Boleh rujuk ustaz.
Di Mesir, jarang kita tengok kereta berkilat (selain faktor debu), ramai antara mereka dengan sengaja membiarkan calar dan kotor pada kereta bahkan ada yang sanggup mencalarkan kereta baru masing masing kerana takut penyakit ain dari jiran yang akan menyebabkan kereta tadi asyik accident sahaja bahkan boleh membawa maut.
Semua cerita di atas adalah benar. Berapa ramai sebenarnya yang didepan kita sentiasa memuji dan mengagumi kita tapi dalam hati mereka ada dengki yang menyebabkan kita terkena ain.
Saya fikir kembali, bagaimana dengan orang yang ada sangat banyak nikmat pada dirinya, kekayaan yang melimpah ruah, murah rezeki, muka atau fisikal cantik, pasangan baik dan hubungan bahagia, anak yang comel dan bijak dan lain lain nikmat dunia yang Allah kurniakan.
Apa yang saya kongsikan adalah cuma setitik dari apa yang kita alami.
Saya dulu pun pernah buat silap. Di usia muda, Allah kurnia nikmat sangat banyak yang tak ramai orang dapat.
Saya dulu terlupa, bila saya share masing ramai antara kita yang tidak mendapat nikmat itu. Saya yang tidak beradab.
Kita fikir kembali dan perbetulkan yang mana patut. Moga Allah lindung kita kerana Allah lah sebaik pelindung. Bantulah saya kongsi nasihat ini.
Syeikh pesan, banyak hati hati dengan hasad dengki orang dan banyak kunci mulut melainkan bercakap/tunjuk apa apa sahaja yang buat orang lain suka juga. Moga bermanfaat.
Orang Malaysia jarang tahu tentang penyakit ain seperti di tanah arab, well known. Yang kita tak tahu tak bermakna salah dan tak wujud. Belajar dulu ya.
Yang cantik itu kita simpankan
Yang banyak itu kita sorokkan
Yang bahagia itu kita rahsiakan
Apa Itu Penyakit Ain
Penyakit ‘ain adalah thabit di dalam nas-nas syara’. Allah SWT berfirman:
وَإِن يَكَادُ الَّذِينَ كَفَرُوا لَيُزْلِقُونَكَ بِأَبْصَارِهِمْ
Maksudnya: Dan sesungguhnya orang-orang yang kafir itu, hampir-hampir menggelincir dan menjatuhkanmu dengan pandangan mereka (yang penuh dengan permusuhan dan kebencian),
Surah al-Qalam (51)
Ibn Abbas, Mujahid dan lain-lain berkata: (لَيُزْلِقُونَكَ) bermaksud mereka hendak menggelincirkan. (بِأَبْصَارِهِمْ) “Dengan mata mereka, maksudnya mereka dengki kepadamu kerana kebencian mereka terhadapmu. Seandainya bukan kerana perlindungan dan pemeliharaan Allah pada dirimu dari mereka (nescaya engkau tidak selamat)
Di dalam ayat ini terdapat dalil yang menunjukkan bahawa sasaran dan pengaruh “mata” benar-benar nyata adanya atas perintah Allah SWT. Sebagaimana disebutkan dalam beberapa hadis yang diriwayatkan dari pelbagai jalan yang banyak. (Lihat Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, 8/260)
Daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda:
الْعَيْنُ حَقٌّ
Maksudnya: “Al-‘ain itu adalah haq (benar).”
Dalam hadis yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas R.Anhuma, Nabi SAW bersabda:
الْعَيْنُ حَقٌّ وَلَوْ كَانَ شَىْءٌ سَابَقَ الْقَدَرَ سَبَقَتْهُ الْعَيْنُ وَإِذَا اسْتُغْسِلْتُمْ فَاغْسِلُوا
Maksudnya: Al-‘Ain itu haq (benar). Jika ada sesuatu yang menjangkaui qadar maka ‘ain lah (yang dapat menjaungkauinya). Jika diminta kepada kamu untuk mandi (untuk penyembuhan), maka mandilah.
Riwayat Muslim (5831)
Imam al-Nawawi berkata: “Pada hadith ini terdapat ithbat keimanan pada takdir Allah SWT dan benarnya perkara ‘ain (penyakit ‘ain) dan bahawa ia sangat berbahaya.” (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 7/328)
Al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani pula berkata: “Maknanya ialah orang yang ditimpa bahaya kerana sesuatu yang telah Allah SWT tetapkan ketika seseorang memandangnya, hakikatnya terjadi dengan takdir Allah SWT yang telah ditetapkan sebelumnya, bukan sesuatu yang baru sahaja diciptakan oleh orang yang memandang terhadap yang dipandang.”
Penyakit ‘ain ialah penyakit yang disebabkan oleh pandangan mata yang disertai sifat iri atau rasa takjub terhadap apa yang dipandang. Ianya boleh terjadi sama ada dari orang yang dengki atau orang yang dicintai, dari orang yang jahat atau orang yang soleh.
Al-Hafiz Ibnu Hajar berkata: “‘Ain adalah pandangan hasad daripada tabiat yang buruk yang boleh menyebabkan mudarat pada orang yang dipandangnya.”
Beliau turut berkata: “‘Ain boleh terjadi dengan rasa takjub walaupun tanpa ada sifat iri dan hasad, (boleh juga terjadi) walaupun daripada orang yang mencintai dan (walau) daripada seorang yang soleh (tanpa disengajakan).” (Lihat Fath al-Bari, 10/203-205)
Rawatan Penyakit ‘Ain
Sekiranya seseorang terkena penyakit ‘ain, berubatlah dengan rawatan secara syar’ie, iaitu:
- Dibacakan ruqyah atau doa.
Daripada Buraidah bin Al-Husyaib R.A, Rasulullah SAW bersabda:
لاَ رُقْيَةَ إِلاَّ مِنْ عَيْنٍ أَوْ حُمَة
Maksudnya: “Tidak ada ruqyah (yang lebih bermanfaat), kecuali untuk penyakit ‘ain, atau penyakit yang diakibatkan sengatan binatang berbisa..”
Riwayat al-Bukhari (5705) dan Muslim (220)
- Dimandikan dengan air.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abi Umamah bin Sahl bin Hunaif, beliau berkata: Amir bin Rabi’ah melewati Sahl bin Hunaif ketika dia sedang mandi, lalu Amir berkata: “Aku tidak melihat seperti hari ini, kulit yang lebih mirip (keindahannya) dengan kulit wanita yang dipingit.” Tidak berapa lama kemudian Sahl terjatuh, lantas beliau dibawa kepada Nabi SAW, lalu dikatakan: “Selamatkanlah Sahl yang sedang terbaring sakit.” Baginda SAW bersabda: “Siapa yang kamu curigai telah menyebabkan ini?” Mereka berkata: “Amir bin Rabi’ah.” Baginda SAW bersabda:
عَلاَمَ يَقْتُلُ أَحَدُكُمْ أَخَاهُ ، إِذَا رَأَى أَحَدُكُمْ مِنْ أَخِيهِ مَا يُعْجِبُهُ ، فَلْيَدْعُ لَهُ بِالْبَرَكَةِ
Maksudnya: “Kenapakah salah seorang daripada kamu membunuh saudaranya? Seharusnya apabila salah seorang daripada kamu melihat sesuatu pada diri saudaranya yang menakjubkan, hendaklah dia mendoakan keberkatan untuknya.”
Kemudian Baginda SAW meminta air, lalu menyuruh Amir untuk berwudhu’. Amir mencuci wajahnya, kedua tangannya sampai ke siku, dua lututnya dan bahagian dalam kainnya. Nabi SAW memerintahkannya untuk menyiramkan (bekas air wudhuknya) kepada Sahl. Sufyan menyebut, Ma’mar berkata, daripada al-Zuhri: “Baginda SAW memerintahkannya untuk menyiramkan air dari arah belakangnya.”
Riwayat Ibn Majah (2828), al-Nasa’ie (10036)
Ibn al-Qayyim Rahimahullah berkata:
هَذِهِ الْكَيْفِيَّةُ لَا يَنْتَفِعُ بِهَا مَنْ أَنْكَرَهَا وَلَا مَنْ سَخِرَ مِنْهَا وَلَا مَنْ شَكَّ فِيهَا أَوْ فَعَلَهَا مُجَرِّبًا غَيْرَ مُعْتَقِدٍ
“Cara pengubatan ini tidak akan dapat mengambil manfaatnya bagi orang yang mengingkarinya, orang yang mempersenda-sendakannya, orang yang meragukannya atau yang melakukannya sekadar cuba-cuba tanpa meyakini.” (Lihat Fath al-Bari, 10/205)
Berlindung Dari Terkena Penyakit Ain
Berusaha berlindung daripada penyakit ain adalah dibolehkan serta ia tidak menafikan konsep tawakkal. Ini kerana tawakkal adalah bergantung kepada Allah SWT disertai dengan melakukan asbab perkara yang diharuskan atau diperintahkan dengannya.
Berlindung kepada Allah SWT merupakan pencegahan terbaik daripada terkena penyakit ‘ain malah daripada segala mara bahaya. Nabi SAW memperlindungkan al-Hasan dan al-Husin R.Anhuma sepertimana dalam hadith Ibn Abbas R.Anhuma, Baginda SAW bersabda:
أُعِيذُكُمَا بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّامَّةِ مِنْ كُلِّ شَيْطَانٍ وَهَامَّةٍ ، وَمِنْ شَرِّ كُلِّ عَيْنٍ لاَمَّةٍ
Maksudnya: Aku memperlindungkan kamu berdua dengan kalimat-kalimat Allah yang maha sempurna daripada syaitan, binatang berbisa dan mata yang dengki.”
Riwayat al-Nasa’ie (7679), Abu Daud (4737),
Ibn Majah (3525), dan al-Tirmizi (2060)
Akhir kalam, kami juga mengajak kepada pembaca untuk mengamati dan tadabbur surah al-Falaq serta mengamalkannya supaya terhindar daripada penghasad dan pendengki. Makanya kami akhiri perbincangan ini dengan surah al-Falaq:
بِسْمِ اللَّـهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ
قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ الْفَلَقِ ﴿١﴾ مِن شَرِّ مَا خَلَقَ ﴿٢﴾ وَمِن شَرِّ غَاسِقٍ إِذَا وَقَبَ ﴿٣﴾ وَمِن شَرِّ النَّفَّاثَاتِ فِي الْعُقَدِ ﴿٤﴾ وَمِن شَرِّ حَاسِدٍ إِذَا حَسَدَ
Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad); “Aku berlindung kepada (Allah) Tuhan yang menciptakan sekalian makhluk, (1) “Dari bencana makhluk-makhluk yang Ia ciptakan; (2) “Dan dari bahaya gelap apabila ia masuk; (3) “Dan dari kejahatan makhluk-makhluk yang menghembus-hembus pada simpulan-simpulan (dan ikatan-ikatan); (4) “Dan dari kejahatan orang yang dengki apabila ia melakukan dengkinya”
Surah al-Falaq (1-5)
SUMBER: Pejabat Mufti Wilayah
Wanita Ini KONGSI Tip Nak Solat Di Raudhah TAMAN SYURGA, Khusus Buat Muslimah. Rugi Tak Baca!

Musim sekolah ini menyaksikan ramai daripada kita yang mengambil kesempatan untuk mengerjakan umrah di Tanah Suci Mekah. Walaupun hanya mengerjakan umrah tetapi dugaan yang diterima tetap sama seperti jemaah yang mengerjakan ibadah haji. Semuanya bergantung kepada keupayaan mental dan fizikal seseorang untuk melakukan ibadah sepanjang berada di sana. Jemaah yang pergi ke sana tidak akan melepaskan peluang beribadah dan mengunjungi beberapa kawasan.
Salah salah adalah Raudhah atau Taman Syurga yang merupakan salah satu ruangan dalam Masjid Nabawi yang dijadikan pusat tumpuan jutaan jemaah yang datang berdoa dan bersolat di taman-taman ini. Oleh sebab itu ramai jemaah yang berebut-rebut untuk berada di situ. Namun tidak semua yang diizinkan Tuhan berpeluang untuk menjejakkan kaki di taman ini.
Perkongsian dari pengguna laman sosial, Suhaili Mohd Zain ini memberi beberapa tip yang boleh dijadikan panduan bagi jemaah lain yang mahu mengerjakan ibadah di sana dan mahu melawat Raudhah.
Menurutnya yang membahasakan diri sebagai Sally ada waktu tertentu yang disarankan bagi kaum wanita untuk memasuki Raudhah dan mengerjakan solat di situ. Jom baca perkongsiannya.
BERSOLAT TANPA GANGGUAN
Malam ini Sally nak kongsi pengalaman masuk ke Raudhah di mana anda boleh solat semahu-mahunya. Cara paling selamat, paling aman, tidak bertolak, tidak perlu berlari dan paling penting boleh berdoa dan bersolat tanpa ada gangguan dari Jemaah lain dan pengawal Arab wanita.
Alhamdulillahh kali ini Sally berpeluang 4x memasuki Raudhah. Itu pun sebab sehari Sally demam. Kalau tidak pastinya setiap hari paling tidak 2x sehari pasti hendak mengunjungi makam Rasulullah saw. Itulah tempat yang menjadi idaman setiap muslim jika di Tanah Madinah Al Munawwarah.
Berlainan dengan pengalaman umrah pertama, kali ini Sally memilih untuk memasuki Raudhah mengikut keadaan Sally sekarang. Sally tidak boleh berlari dan bertolak-tolakan. Mengandung 3 bulan membataskan pergerakan agresif Sally. Lebih-lebih lagi membawa bonda bersama yang baru sahaja recover dari stroke. Kali pertama beliau masuk ke Raudhah mengikuti kumpulan kerusi roda. Tapi apabila Sally amati keadaan, seperti biasa, strategi Sally buat dan susun secantiknya. Yang paling penting adalah kesabaran. Masuk dan sabar menunggu. Tidak perlu tergopoh-gapah.
WAKTU SESUAI MASUK RAUDHAH
Waktu yang paling sesuai untuk memasuki Raudhah bagi wanita adalah selepas Subuh dan selepas Isyak. Pastinya melalui pintu masjid no 25. Tidak perlu terburu-buru atau tunggu di masjid selepas solat. Sally nasihatkan anda balik dulu selepas solat. Selepas Subuh misalnya, balik ke hotel untuk sarapan dulu. Berehat, buang air, berwuduk dan sebagainya dan sebagusnya kenakan jubah dan khimar berwarna hitam supaya tidak diganggu oleh pengawal Arab wanita kerana kita nampak serupa dengan orang Arab, Pakistan dan sebagainya.
Dan kalau boleh beg umrah yang diberikan oleh travel agen tu digantung di dalam telekung atau tidak dibawa langsung. Kerana beg itu adalah pengenalan kita dan dah dikenalpasti kita dari Malaysia. Selepas berwuduk dan mengenakan pakaian serba hitam, kembali ke masjid Nabawi mengikuti pintu 25 sekitar pukul 8.00 pagi dan terus ke bahagian depan. Penghadang kayu antara ruangan wanita dan lelaki telah dibuka. Laluan ini adalah laluan menuju ke Raudhah.
Waktu ini anda tidak perlu berebut dan tidak perlu bertolak dan berhimpit. Hanya perlu berjalan lemah lembut dan terus ke Raudhah. Maybe kali pertama pergi, anda boleh mengikuti kumpulan mutawif tetapi untuk sekian kalinya, better pergi sendiri. Lagi kecil group lagi senang pergerakan kita dan sukar dicam oleh pengawal wanita arab. Kita boleh menyelit di mana-mana kumpulan. Jika anda nak masuk selepas Isyak, balik dulu ke hotel untuk dinner dan sekitar pukul 10.00 malam kembali ke masjid Nabawi mengikut cara yang Sally jelaskan di atas tadi.
Selepas melalui penghadang kayu, anda akan masuk ke kawasan dataran Raudhah. Dari sini sudah kelihatan makam Rasulullah di bahagian hujung iaitu kawasan bilik Siti Fatimah. Anda boleh duduk dulu di dataran Raudhah, solat tahiyatul masjid, berzikir, baca al Quran dan apa-apa sahaja di sini. Biasanya Sally lebih suka masuk selepas Isyak. Sally tunggu sahaja di sini lebih kurang 1 jam setengah. Tidak terasa lama jika waktu yang ada diisi sebaiknya. Biarkan sahaja kumpulan lain masuk terlebih dahulu.
TENTUKAN TEMPAT SOLAT
Kita sabar sahaja menunggu. Bila orang sudah tidak ramai, sekitar 1-2 kumpulan sahaja, kita sudah boleh mula menyelit masuk. Sampai giliran kumpulan yang kita menyelit tadi, berjalanlah menuju ke Raudhah dan menghimpit ke kiri rapat ke makam Rasulullah saw. Tidak perlu terus ke karpet hijau. Biasanya Sally duduk dahulu di karpet merah. Sampai salam sahabat dan sebagainya. Bila keadaan agak reda, Sally akan masuk terus ke karpet hijau, rapat ke dinding dan mula bersolat di situ.
Oleh kerana keadaan kita di bahagian tepi dinding, jadi tiada siapa yang akan menolak. Jika ada 3-5 orang sekumpulan, beraturlah dan pastikan semua mendapat tempat di tepi dinding. Solat taubat dahulu dan kemudian solat hajat. Satu solat hajat untuk satu hajat dan disambung lagi solat dan solat dan solat. Doa dibaca ketika setiap sujud terakhir. Solat sambung menyambung tanpa henti. Tidak pernah ada kekuatan untuk solat sebanyak itu.
Jika di Malaysia, solat sunat hajat 2 rakaat sekali sahaja. Dhuha pun paling banyak 6 rakaat. huhuhu.. tetapi bila di Raudhah rasa seperti tidak mahu berhenti solat. Jangan sesekali berdoa mengangkat tangan dan duduk termenung menangis. Pengawal Arab wanita akan menghalau kita keluar secepatnya. Tapi jika kita kekal dalam keadaan solat, mereka tidak akan ganggu atau menyuruh kita berhenti dan keluar.
WAKTU BERSESUAIAN
Biasanya Sally akan menyertai kumpulan masuk ke Raudhah sekitar pukul 11.30 malam selepas sejam setengah menunggu. Dan kami habiskan masa lebih kurang 1 jam di dalam Raudhah. Selepas solat di dinding bahagian kiri, bergeraklah ke kanan seolah-olah ingin keluar. Tapi masa ini Sally akan rapat ke bahagian depan berdekatan dengan tiang Siti Aisyah dan ambik peluang bersolat di situ. Kawasan tengah Raudhah sekitar pukul 12.30mlm agak lengang.
Dan kita boleh bersolat di mana sahaja. Pengawal Arab wanita sudah mula untuk meminta jemaah keluar dari Raudhah kerana pukul 1 pagi mereka akan menutup Raudhah bagi wanita dan buka peluang untuk jemaah lelaki pula pada pukul 2 pagi. Dan waktu ini, kita akan rasa puas, aman dan rasa macam dah habis doa nak dibaca dan bersolatlah taubat sebanyaknya. Jika kita masuk berebut- rebut dan tergopoh gapah dan bersesak kemungkinan kita berpeluang solat sekali sahaja. Alhamdulillahh kali ini Allah berikan jalan yang terbaik buat Sally dan keluarga. Bonda, nenda dan kakanda amat berpuas hati dan semua kembali ke hotel dengan senyum puas dan syukur pada peluang yang Allah berikan.
Sally harap perkongsian Sally ini dapat dimanfaatkan dan anda juga berpeluang ke Raudhah dan rebutlah peluang beribadat di sana. Sally tidak mengikuti mana-mana mutawif kerana rasakan agak susah bergerak dalam kumpulan yang besar. Dan ada yang tergopoh untuk balik dan selesai awal. Sally lebih suka santai dan punyai lebih masa di sana. Cubalah, anda akan lebih rasa manisnya. Jangan pernah serik memasuki Raudhah dan sentiasalah semai rasa rindu untuk ke sana sepanjang di Madinah.
Di sini Sally kongsi video malam terakhir Sally di Raudhah pada 11hb Dec 2017. Video pertama di dataran Raudhah tempat Sally menunggu dengan sabar dan video ke dua sekitar pukul 12.35pagi saat Sally hendak meninggalkan Raudhah. Keadaan agak lengang.
Semoga anda juga dapat mengunjungi Taman Syurga. Amin.
SUMBER: FACEBOOK SUHAILI MOHD ZAIN