
Pertama di dunia, jenama tudung bawal terkenal iaitu Bawal Exclusive mempersembahkan sehelai tudung termahal di muka bumi Tuhan yang bernilai RM 100,000 bersempena dengan pembukaan Private Lounge Bawal Exclusive yang akan dibuka dalam tempoh terdekat ini di Puchong, Selangor.
Mesti ramai yang tertanya-tanya siapakah insan bertuah yang akan membeli dan memiliki tudung ini. Sebenarnya,tudung ini merupakan pemberian khas daripada Swarovski kepada Bawal Exclusive sebagai tanda penghargaan kerana telah menjadi antara pemborong terbesar di dunia sejak dari dahulu lagi selain meraikan ulang tahun Swarovski yang ke 125 tahun.
Menariknya, tudung yang direka oleh pengasas Bawal Exclusive, Hasliza Maysuri dan Mohd Rosli Awang ini telah mencatat sejarahnya yang tersendiri apabila diiktiraf dalam Malaysia Book of Records sebagai tudung termahal yang pernah dihasilkan di dunia.
Tudung berdiameter 1.14 meter x 1.14 meter ini telah ditaburi 7,512 batuan kristal Swarovski dan mengambil masa selama 320 jam untuk disiapkan oleh 12 orang pekerja Swarovski di Austria. Rekaan yang melatari tudung ini merupakan idea Hasliza sendiri dan telah direalisasikan oleh Austria Swarovski Head of Design Team.
Jelas Hasliza, menerusi pelancaran tudung dan butik mewah terbaharunya, ia melambangkan bahawa peniaga Islam juga mampu berjaya dan berdiri bersama jenama lain.
Tambahnya lagi, tudung itu tidak akan dijual kepada mana-mana pihak dan akan dijadikan bahan pameran di butik baharunya yang dijangka dilancarkan pada 1 September ini.
5 Cara Elak Kejang Ketika DATANG BULAN Supaya HIJABI Tak Kerap MC

Kekejangan ketika datang bulan sering menjadi punca sesetengah wanita mengambil cuti atau MC sewaktu sedang bekerja.
Kebanyakan wanita berharap agar masalah ini tidak timbul ketika sedang bekerja kerana ia boleh buat mood anda melayang. Masalahnya, ketua serta rakan-rakan lelaki anda tidak memahami situasi ini.
Sesetengah negara seperti Jepun, Korea Selatan, Indonesia, Taiwan dan yang terkini, Itali telah memberi inisiatif kepada pekerja wanita dengan memberi cuti haid berbayar. Untungnya kalau Malaysia pun beri inisiatif seperti ini kan!
Jangan bimbang hijabi, ada beberapa cara yang boleh anda lakukan untuk elakkan masalah kekejangan ketika datang bulan sewaktu anda sedang bekerja. Jadi, tak perlulah anda MC setiap bulan!
1. Pilih Kopi Atau Teh
Secawan kopi menjadi kebiasaan bagi sesetengah individu untuk memulakan hari mereka. Kopi cenderung menjadikan anda lebih ‘gembira’ dan ‘bertenaga’ kerana kafein mampu merangsang perasaan psikologi ini.
Walau bagaimanapun, jika anda mengalami kekejangan haid yang tidak baik (dysmenorrhea), langkah yang terbaik adalah dengan mencegah kafein. Kafein bertindak untuk menyekat saluran darah, mengurangkan aliran oksigen dan pemakanan yang menimbulkan kekejangan.
Teh merupakan alternatif yang lebih baik. Walau bagaimanapun, anda harus memilih teh tanpa kafein seperti chamomile, peppermint dan halia. Ia mengekalkan paras estrogen menjadi lebih stabil. Jadi, masalah kekejangan serta gejala PMS akan berkurangan.
2. Gunakan Pil Perancang (Dengan Kebenaran Doktor)
Pil perancang boleh diambil untuk mengawal keadaan hormon anda sepanjang tempoh anda period. Pil ini dapat membantu mengekalkan tahap hormon yang mantap dan mengurangkan masalah kekejangan yang anda hadapi.
Walau bagaimanapun, adalah penting untuk anda berunding dengan doktor terlebih dahulu kerana ia mungkin mempunyai kesan sampingan (berat badan, peningkatan selera makan) jika anda tidak mengetahui jenis serta dos pil perancang yang anda perlukan.
3. Gunakan Patch Terapi Haba
Terapi panas telah terbukti secara saintifik untuk mengurangkan kekejangan. Dengan menggunakan haba ke abdomen, saluran darah akan melebar, meningkatkan aliran oksigen dan nutrien ke otot yang sempit.
Haba juga membantu menghentikan isyarat sakit pada otak anda lalu meningkatkan tahap keselesaan. Terdapat patch terapi haba yang boleh diguna semula dijual di pasaram, seperti MenstruHeat, yang bertahan selama 12 jam (satu hari di tempat kerja).
4. Berjalan-Jalan
Berjalan kaki dari meja ke tandas, pantri (untuk mendapatkan teh) atau mesin fotostat benar-benar membantu anda.
Ia mampu meregangkan otot abdomen dan meningkatkan aliran darah ke otot yang sempit, melepaskan tekanan dan mengurangkan kekejangan anda.
5. Makan Makanan Ringan! Tentunya Yang Sihat. 🙂
Sesetengah makanan yang anda makan akan memberikan manfaat yang besar ketika anda sedang datang bulan. Walau bagaimanapun, adalah penting untuk kurangkan pengambilan makanan ringan. Lebih baik ambil buah-buahan kering, teh dan timun.
Coklat gelap juga merupakan antara solusi yang boleh membantu mengurangkan kesakitan period. Ia juga merupakan pilihan yang lebih baik berbanding coklat yang kandungan lemak dan tenusu tinggi.
Makanan sampingan seperti oat, buah-buahan dan salad juga boleh membantu mengurangkan gejala-gejala PMS seperti kembung, cirit-birit dan sembelit.
Perlu anda tahu bahawa tip ini hanya dapat ditangani untuk jangka masa yang singkat sahaja. Tetapi tip ini boleh membantu anda daripada mengambil MC setiap bulan!
Berwajah Bulat & Pipi Chubby, Ini Tip Pilih Tudung Khas Buatmu

Bila melihat rakan mengenakan stail tudung baru kita pun mahu mencuba. Tapi bila dah pakai macam tak kena pula. Wajah makin nampak bulat dan chubby atau tembam.Ini antara masalah untuk mereka yang punya bentuk wajah sebegini. Ramai yang akan mengenakan stail hijab yang menutupi pipi secara keterlaluan hingga nampak pelik dengan harapan dapat menyamarkan bentuk wajah yang bulat ini. Sebenarnya sekiranya wajah anda termasuk dalam kategori ini, bukan stail tudung saja yang perlu diberi perhatian tapi juga material malah anak tudung atau inner juga memainkan peranan.
Berikut beberapa tips memakai hijab buat anda yang berwajah bulat dan berpipi chubby:
Pilih Anak Tudung (Inner) Yang Sesuai
Anak tudung atau inner mempunyai pelbagai jenis rekaan dan ia tidak semestinya sesuai untuk digayakan untuk semua bentuk wajah.
Anda yang memiliki wajah chubby, perhatikan ukuran anak tudung tersebut. Jangan sampai anak tudung tersebut kecil saiznya, sehingga menekan pipi anda. Secara tidak langsung ia membuatkan pipi anda kelihatan semakin chubby.
Untuk wajah chubby, sebaiknya pilihlah inner neck jenis awning yang sedikit panjang melebihi tulang pipi. Ia akan memberikan kesan wajah yang lebih lonjong di bahagian tepi sehingga anda boleh menyembunyikan pipi anda yang chubby itu.
Pastikan Material Dan Rekaan Hijab Tepat
Si chubby tidak boleh sembarangan dalam mengayakan hijab. Anda disarankan memilih rekaan hijab yang boleh memberikan kesan wajah yang nampak tirus.
Untuk menyembunyikan kesan chubby, gayakan hijab tersebut hingga ke bahagian pipi. Jika anda gemar gaya hijab yang flowy pastikan shawl di dahi, tidak melekap dan tirus.
Di samping itu, pilihlah material hijab yang ‘jatuh’ sehingga memberikan efek wajah tirus. Elakkan mengayakan hijab daripada material sutera yang ‘jatuh’ kerana ia boleh mempertegaskan wajah chubby anda itu.
Pilihan Material
Elakkan juga material efek kilat seperti satin kerana ia memberi ilusi wajah lebih berisi. Selain itu, untuk memberikan kesan tirus, anda disarankan memakai hijab dengan warna polos gelap. Hijab yang bermotif akan menampakkan lagi wajah bulat dan pipi anda yang chubby.
Hindari Hijab Yang Berlapis
Selain menghindari hijab daripada material sutera yang ‘jatuh’, anda juga perlu elak daripada memakai hijab berlapis. Hijab yang berlapis akan menambah volume pada wajah anda sehingga wajah anda akan kelihatan semakin chubby dan berisi.
Anda juga tidak disyorkan memakai pashmina yang tebal.Sebaiknya, anda pilih pashmina atau hijab daripada material nipis, tetapi tidak jatuh.
“Sounds Cute When You Kecek Klate” – Netizen Puji Neelofa Comel Buat Tutorial Hijab Loghat Kelantan

Pelakon dan pengacara popular, Neelofa bukan sahaja terkenal dengan gelaran Ratu Trend atau Selfie, tetapi dia juga menjadi inspirasi serta idola buat hijabi di luar sana. Apa sahaja gaya yang dipraktikkan akan menjadi ikutan dek kerana peminat obses dengan aura selebriti yang punya hampir 6 juta follower di laman instagram. Baru-baru ini Neelofa muat turun tutorial hijab bagi koleksi terbaru Naelofar Hijab dalam 4 stail berbeza.
Menurut Neelofa stail digayakan simple ini sangat loose dan tidak banyak menggunakan banyak pin. Malah amat sesuai digayakan untuk ke tempat kerja, santai untuk makan malam dan juga hujung minggu.
Koleksi yang cukup terhad ini boleh digayakan dalam masa tak sampai seminit tetapi memperlihatkan lilitan hijab menjadi sangat perfect. Neelofa turut mencantikkan hijabnya dengan pemakaian aksesori subang untuk gaya berbeza.
Apa yang menariknya dalam video yang telah ditonton lebih 600 ribu berkenaan Neelofa turut bercakap dalam bahasa Kelantan berbunyi ‘aku tokleh paka style gini’ dan turut mengundang pujian dari netizen.
Rata-rata terhibur mendengar dia kecek Kelantan dan menurut mereka sangat comel. Selain itu ada juga yang turut memuji tutorial hijab digayakan sangat cantik walaupun simple sahaja.
haziyahhanafi Cantik kak lofa
nvdism Aku x reti paka style gini – WIN @neelofa comeY dooh mu ghoyak
tyhah_slann pkai j laa style gtuu, ho o btul lawa gilo, tmboh muko perfect jhh pka gno2 pon, so nice
aynna.arysan sounds cute when you kecek klate
fiimpianahomedeco Cantiknya dia….Subhanallah
Tutorial penuh hijab digayakan ini boleh ditonton dalam IGTV.
KREDIT FOTO: INSTAGRAM & IGTV NEELOFA