Alat solek mesra wuduk kini semakin popular dalam industri kecantikan, khususnya dalam kalangan wanita Muslimah yang ingin tampil cantik tanpa mengabaikan tuntutan ibadah. Istilah ini semakin kerap digunakan dan banyak produk dipasarkan dengan label tersebut bagi menarik perhatian pengguna.
Namun, di sebalik label yang meyakinkan ini, masih timbul persoalan penting. Adakah alat solek mesra wuduk benar-benar membolehkan air sampai ke kulit, atau ia sekadar istilah pemasaran yang membuatkan pengguna berasa lebih yakin?
Gambar Hiasan AI
Penjelasan Tentang Alat Solek Mesra Wuduk
Menurut penjelasan Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, terdapat pengeluar yang mentakrifkan alat solek mesra wuduk sebagai produk yang mudah ditanggalkan hanya dengan air tanpa memerlukan sabun atau pencuci khas. Walau bagaimanapun, definisi ini tidak bermaksud air wuduk pasti sampai ke permukaan kulit dengan sempurna.
Perkara ini penting kerana dalam ibadah wuduk, air perlu sampai ke kulit tanpa sebarang halangan. Jika terdapat lapisan yang menghalang, maka wuduk boleh menjadi tidak sah. Oleh itu, memahami konsep sebenar alat solek mesra wuduk adalah sangat penting sebelum menggunakannya.
Gambar Hiasan AI
Kepentingan Menanggalkan Solekan Sebelum Wuduk
Atas sebab itu, wanita disarankan menanggalkan solekan terlebih dahulu sebelum berwuduk bagi memastikan tiada sebarang lapisan yang menghalang air. Dalam soal ibadah, langkah berhati-hati sentiasa lebih baik agar tidak timbul keraguan tentang kesempurnaan wuduk.
Walaupun sesuatu produk dilabel sebagai alat solek mesra wuduk, pengguna tidak seharusnya bergantung sepenuhnya kepada label tersebut tanpa membuat penelitian sendiri. Ini kerana keberkesanan sesuatu produk bergantung kepada formulasi bahan yang digunakan.
Ads
Peranan Formulasi Produk dalam Penyerapan Air
Pengasas jenama kecantikan Nurraysa, Nur Aini Zolkepeli turut menjelaskan bahawa istilah mesra wuduk tidak semestinya menjamin air dapat sampai ke kulit sepenuhnya kerana ia bergantung kepada formulasi sesuatu produk. Beliau juga menekankan bahawa produknya menggunakan pendekatan tanpa silikon.
Silikon ialah bahan polimer sintetik yang biasa digunakan dalam produk kosmetik seperti asas solekan, pelembap dan syampu. Ia membantu memberikan kesan licin, membuatkan solekan lebih rata dan tahan lama serta menjadikan ketidaksempurnaan kulit kelihatan lebih samar.
Namun dalam masa sama, silikon boleh membentuk lapisan halus pada permukaan kulit serta berpotensi memerangkap minyak dan kotoran jika tidak dibersihkan dengan sempurna. Lapisan ini boleh menjadi penghalang kepada air daripada sampai ke kulit.
Ads
Hukum Pemakaian Solekan Dalam Islam
Dari sudut hukum pula, Ustazah Asma Harun menjelaskan bahawa solat wanita tetap sah jika dia telah mengambil wuduk terlebih dahulu, kemudian memakai solekan dan menjaga wuduknya sehingga menunaikan solat. Apa yang penting, bahan dalam alat solek tersebut mestilah suci serta tidak mengandungi unsur haram atau najis.
Ini menunjukkan bahawa penggunaan alat solek mesra wuduk tidak menjadi isu sekiranya wuduk telah diambil terlebih dahulu dan tidak terbatal sebelum solat dilakukan.
Elakkan Tabarruj dan Berhias Berlebihan
Dalam masa yang sama, wanita juga dinasihatkan supaya bersederhana dalam berhias dan tidak berlebihan hingga terjerumus kepada unsur tabarruj. Islam menitikberatkan keseimbangan antara penampilan dan ketaatan kepada perintah agama.
Ads
Berhias itu tidak salah, namun ia perlu dilakukan dalam batas yang dibenarkan serta tidak melalaikan daripada tanggungjawab utama sebagai seorang Muslimah.
Kesimpulannya, label alat solek mesra wuduk tidak boleh diterima bulat-bulat tanpa penelitian. Muslimah perlu bijak memahami kandungan dan fungsi sesuatu produk, bukan sekadar percaya pada label pemasaran.
Memilih produk yang sesuai, memahami bahan yang digunakan serta mengambil langkah berhati-hati sebelum berwuduk adalah tindakan yang lebih selamat. Cantik itu harus, tetapi menjaga kesempurnaan ibadah tetap perlu diutamakan.
Tidak dinafikan kecanggihan dunia digital tanpa sempadan ini menyebabkan ramai, khususnya wanita tidak kira samada anak muda hingga wanita dewasa yang berminat untuk menjadi pempengaruh (influencer) di media sosial.
Mana tidaknya, kerjaya sebagai pempengaruh ini membolehkan mereka memperolehi pendapatan hingga mencecah lima angka.
Namun perjalanan untuk menjadi popular tidak semudah yang disangka. Seseorang itu perlu mengorbankan masa dan segala-galanya bagi memastikan diri sentiasa berada di puncak populariti.
Hijabista mendapatkan pendedahan dari pempengaruh sosial media terkemuka, Syafiqah Aina yang pernah berdepan pelbagai kontroversi hingga dirinya menjadi pusat perhatian apabila berada di dalam ‘spotlight’ viral.
Menurut Syafiqah Aina, sudah lama dia bergelar influencer dan kerjaya ini cukup sebati dengan dirinya. Walau bagaimanapun bukan mudah untuknya bertahan memandangkan sekarang ini semakin ramai influencer yang muncul dengan pelbagai karakter.
“Saya anggap itu sebagai persaingan dan rezeki itu di tangan Allah. Alhamdulillah saya masih lagi menjadi pilihan jenama (terutama fesyen) untuk dijadikan platform mempromosikan produk mereka. Dan inilah yang menjadi punca utama pendapatan saya. Jika betul-betul buat, saya mampu jana pendapatan hingga mencecah RM30 ribu.
“Memang seronok bergelar influencer ini. Maklumlah ke mana-mana sahaja orang akan perhatikan. Begitu juga dengan penampilan di media sosial. Perlu diingat follower kita akan sentiasa memerhatikan apa yang kita buat.
“Jadi kita memang perlu sentiasa nampak cantik dan berpenampilan menarik tidak kira di luar atau dalam media sosial,” ujar Aina yang mengakui sukar untuk ‘maintain’ dan menjaga penanampilan setiap masa.
Katanya lagi, kita juga perlu menjaga hati orang lain dan pastikan apa yang dibuat tidak membuatkan orang lain rasa tidak selesa atau ‘meluat’.
“Bukan sahaja penampilan, dari segi percakapan pun perlu dijaga sebaiknya. Maklumlah apa sahaja kata-kata yang keluar boleh dijadikan bahan viral di media sosial. Jadi pastikan berfikir dulu sebelum berkata-kata.
“Sebenarnya kita boleh jadi diri sendiri tapi kena bijak ‘control’ diri. Bukanlah maksudnya kena berpura-pura sepanjang masa, tetapi apa yang dilakukan harus tidak melampui batas.
“Tidak dinafikan ada kalanya memang stress sampai satu masa saya macam nak delete akaun IG. Tetapi bila fikir balik memang mustahil nak jaga hati semua orang sebaiknya,” ceritanya yang kini sudah mengumpul follower di IG seramai 1.3 juta pengikut sejak bergelar usahawa kosmetik jenamanya sendiri, Ainaa Beauty.
Isteri kepada pempengaruh media sosial dan usahawan, Hafiz Mahamad ini juga mendedahkan, meski dirinya sering dihimpit kontroversi, tetapi keperibadian Aina menjadi inspirasi buat wanita dan kaum hawa di luar sana yang mahu menjadi sepertinya.
Aina bukan sahaja cantik secara lahiriahnya, malah dia juga seorang yang berjiwa lembut dan bijak, kerana ibu kepada dua cahaya mata ini juga merupakan memegang ijazah Sarjana Muda Komunikasi dari UiTM.
Ketika ditanya bagaimana untuk menjadi pempengaruh berjaya sepertinya, Aina memberi tip di mana seseorang itu kena buat apa yang orang lain nak tengok.
“Memanglah tujuan kita jadi instafamous mahu menjana pendapatan melalui ‘paid review’. Tetapi janganlah asyik mempromosikan bisnes, sebaliknya perlu juga ‘post lifestyle’ kita. Mereka suka lihat sisi diri kita yang sebenar.
“Kita perlu buat apa yang orang suka tengok dan membuatkan mereka akan follow kita. Jangan buat posting yang menjengkelkan kerana boleh mencacatkan imej kita sebagai seorang instafamous.
“Apa-apa pun kita perlu jaga nama dan jangan sesekali buat apa yang orang tak suka,” tambah Aina.
Selain itu, sejak mendirikan rumah tangga dengan pilihan hatinya, Hafiz yang juga sering menjadi perhatian netizen.
Selain bergelar pempengaruh, Aina juga kini bergelar usahawan dan sedang mempromosikan produk penjagaan wajah yang diusahakan bersama suaminya. Di awal penglibatan dalam dunia perniagaan, produk serum yang diusahakan mereka turut mendapat kecaman kerana dikatakan boleh merosakkan kulit wajah.
Bagaimanapun, sebagai usahawan baru, Aina menerima segala pandangan negatif yang dilemparkan dengan baik dan tidak mdah melatah.
“Bagi yang tak kenal betul-betul produk ini memang tak tahu kesannya. Tetapi apabila mereka menggunakannya barulah tahu keberkesanannya. Alhamdulillah produk ini semakin mendapat sambutan dan sudah terjual lebih 40 ribu botol. Permintaaanya juga semakin bertambah dari masa ke semasa.
“Dalam hal ini kami tidak melatah dengan apa yang dilemparkan netizen di luar sana. Segala yang negatif saya simpan dan lihat apa lagi yang boleh diperbaiki. Memang dari dulu asyik kena kecam dan daripada situ saya ambil kesempatan berdoa agar terus dimurahkan rezeki. Itu juga adalah rahsia kejayaan kami,” kata Aina.
Jadi bagi anda yang bercita-cita menjadi pempengaruh media sosial, dah tau kan apa yang perlu anda lakukan dan persiapkan diri dariada pengalaman milik Syafiqah Aina ni? Paling penting hati kena kental d bersedia fizikal dan mental untuk bergelar pempengaruh ya Hijabi!
Bersolek dan berhias seakan menjadi satu rutin wajib bagi kebanyakan wanita sebelum keluar rumah. Pelbagai jenis solekan serta hiasan digunakan supaya kelihatan cantik dan menarik. Sesetengah wanita bersolek untuk meningkatkan keyakinan diri, manakala sebahagiannya untuk dipandang dan dipuji.
Tanpa sedar, kecantikan serta solekan dipamerkan secara terbuka. Apa yang merisaukan ialah apabila wanita bersolek berlebihan, ia akan memberikan implikasi bukan saja kepada imej sebagai Muslimah, bahkan boleh menyebabkan kemudaratan dalam agama seperti tabaruj atau berhias secara berlebih-lebihan.
Lambakan produk kecantikan dan alat solek di pasaran membuatkan wanita ingin mencuba. Aneka lipstik, pembayang mata, pemerah pipi dan sebagainya menjadi item wajib yang mesti ‘melekat’ pada wajah.
Sebenarnya apakah hukum bagi wanita memakai lipstik dan alat solekan yang lain? Adakah perkara tersebut termasuk kebiasaan wanita jahiliyyah? Ramai wanita yang memakai alat solekan kerana tidak mahu kelihatan selekeh dah tidak pandai mengurus diri. Berikut pencerahan yang dipetik dari Laman Web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Hiasan kecantikan yang merupakan fitrah wanita itu asalnya adalah baik dan mempunyai asas daripada syarak akan tetapi ianya mestilah tidak melanggar apa yang telah dilarang oleh syarak secara jelas berkaitan dengan hukum berhias bagi wanita.
Di antara hak seorang wanita itu adalah berhias dan suami harus mengambil kenikmatan dengan kecantikan serta perhiasannya.
Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad) : “Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkanNya untuk hamba-hambaNya, dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal dari rezeki yang dikurniakanNya?” (Surah al-A’raf : 32)
Umumnya, hukum asal bagi pakaian dan perhiasan adalah harus sama ada di badan, pakaian atau tempat. Akan tetapi, hukumnya berlanjutan sedemikian (halal dan harus) selagimana tiada nas-nas yang khusus yang mengecualikan hukum asal tersebut.
Berbalik kepada soalan yang ditanyakan, hukum wanita memakai lipstik serta alat-alat solek yang lain adalah harus sebagaimana umum firman Allah SWT :
Maksudnya: “Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi.” (Surah al-Baqarah : 29)
Walau bagaimanapun, wanita hanya harus berhias untuk para suami mereka serta mereka yang dibenarkan oleh syarak sahaja. Tidak harus dia mempamerkan kecantikannya selain daripada suami mereka dan sebahagian manusia yang telah disebut di dalam ayat 31 surah al-Nur.
Al-Quran telah meletakkan batas-batas syariat tersebut, sebagaimana firman Allah SWT :
Maksudnya: “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.” (Surah al-Nur : 31)
Syeikh al-Sa’di menafsirkan ‘kecuali yang zahir daripadanya’ pada ayat di atas sebagai pakaian yang zahir, iaitu yang biasa dipakai menurut adat setempat dengan syarat pakaian tersebut tidak membawa kepada timbulnya fitnah. (Lihat Tafsir al-Sa’di, hlm. 566)
Sekiranya wanita tersebut sekadar memakai lipstik dengan warna yang tidak ketara, atau memakai alat-alat solek yang lain seperti bedak dan lain-lain dengan nipis dan sekadarnya (tidak berlebihan), serta tidak tabarruj semasa berada di luar, adalah tidak mengapa, selagi mana perkara tersebut tidak menimbulkan fitnah serta menarik perhatian lelaki kepadanya (dengan syahwat). Hal ini kerana, agama Islam sangat menekankan soal kekemasan dan kecantikan sebagaimana riwayat daripada Ibn Mas’ud, bahawa Nabi SAW bersabda:
إنَّ اللَّهَ جَمِيلٌ يُحِبُّ الْجَمَالَ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah itu cantik dan sukakan kepada kecantikan.” (HR Muslim (91)
Selain itu, perkara yang harus diingat dan diberi perhatian juga bagi seorang wanita itu, adalah hendaklah dia mengelakkan diri daripada bertabarruj. Imam al-Syaukani menyatakan bahawa al-Tabarruj ialah menampakkan dan mempamerkan (perhiasan dan kecantikkannya) bagi mata-mata (melihat dan menikmatinya). (Lihat Fath al-Qadir, 4/61)
Maksudnya: “Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliyah zaman dahulu.” (Surah al-Ahzab : 33)
Syeikh al-Maraghi menyatakan di dalam kitabnya bahawa larangan untuk mempamerkan perhiasan diri dan kecantikan wanita kepada kaum lelaki seperti yang dilakukan oleh kaum perempuan pada zaman jahiliyyah sebelum kedatangan Islam. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 22/6)
Begitu juga, Imam al-Syaukani ketika menafsirkan ayat di atas menyebutkan bahawa al-Tabarruj ialah apabila seorang wanita menampakkan sebahagian daripada perhiasan dan kecantikannya yang (sepatutnya) wajib untuk ditutupinya, yang mana perkara tersebut dapat menarik perhatian (syahwat) laki-laki. (Lihat Fath al-Qadir, 4/320 )
Berlebihan dalam berhias bagi seseorang perempuan adalah diharuskan hanya kepada suaminya sahaja. Dalam membincangkan masalah ini, berpandukan pandangan para fuqaha’ dalam pembahagian hukum berkenaan tabarruj sebagaimana yang digariskan di dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah menyatakan:
“Mempamerkan perhiasan dan kecantikan kepada sesiapa yang tidak sepatutnya dilihat seperti memakai pakaian yang ketat untuk mempamerkan bentuk badan atau selainnya. Dan disebabkan itu dapat menaikkan syahwat dan nafsu orang yang memandangnya, maka Ijma’ (sepakat) para ulama’ adalah haram melainkan kepada suaminya sahaja.” (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 10/62)
Maka, kita ketahui bahawa perbuatan bertabarruj itu adalah merupakan kebiasaan wanita jahiliyyah. Demikian juga, kami katakan bahawa termasuk dalam perbuatan tabarruj itu ialah apabila seorang wanita memakai alat-alat solek secara berlebih-lebihan yang mana perkara tersebut dapat menarik perhatian lelaki ajnabi kepadanya dan menimbulkan fitnah.
Inilah yang dilarang dan ditegah di dalam agama. Adapun, memakai lipstik atau alat-alat solek yang lain sekadarnya agar nampak kemas (tidak dilihat selekeh), berseri dan tidak kusam serta bukannya bertujuan bagi menarik perhatian lelaki ajnabi, maka ia tidak mengapa.
Secara umumnya, hukum asal bagi pakaian dan perhiasan adalah harus sama ada di badan, pakaian atau tempat. Akan tetapi, hukumnya berlanjutan sedemikian (halal dan harus) selagimana tiada nas-nas yang khusus yang mengecualikan hukum asal tersebut.
Tidak mengapa bagi seorang wanita itu untuk memakai lipstik serta alat-alat solek yang lain semasa berada di luar rumah dengan syarat tidak berlebihan dan memakai sekadarnya sahaja serta tidak bertabarruj.
Selain itu, perkara tersebut harus selagi mana ia tidak menimbulkan fitnah serta menarik perhatian lelaki kepadanya (dengan syahwat). Lebih-lebih lagi, apabila dia memakai lipstik atau alat-alat solek yang lain itu sekadarnya agar nampak kemas (tidak dilihat selekeh), berseri dan tidak kusam serta bukannya bertujuan bagi menarik perhatian lelaki ajnabi.
Hal ini kerana Islam sangat mengambil berat soal kekemasan, kebersihan dan kecantikkan.
Walau bagaimanapun, seorang wanita muslimah itu juga mesti ingat bahawa berlebihan dalam berhias bagi seseorang wanita adalah diharuskan hanya kepada suaminya sahaja.
Kami akhiri dengan kata-kata Sayyid Qutb sebagai renungan bersama, khususnya buat para wanita di luar sana:
“Perhiasan itu halal bagi perempuan untuk memenuhi keinginan semulajadinya. Setiap perempuan ingin menjadi cantik dan dipandang cantik. Walaupun perhiasan itu berbeza-beza dari satu zaman ke satu zaman, namun asas perhiasan itu adalah sama sahaja dalam fitrah perempuan, iaitu ingin mendapat dan menyempurnakan sifat-sifat kejelitaan dan menunjukkannya kepada kaum lelaki. Islam tidak menentang keinginan semulajadi ini, tetapi Islam mahu mengatur dan mengawalnya. Islam mahu menjadikan keinginan semulajadi itu menuju ke arah yang terang, iaitu ke arah suaminya yang tunggal selaku rakan kongsi hidupnya, yang dapat memandang bahagian-bahagian badannya, yang tidak boleh dipandang oleh orang-orang yang lain darinya (suaminya).” (Lihat Fi Zilal al-Quran, 4/2512)
Pelakon dan pengacara, Yatt Hamzah kini dalam proses untuk berhijrah dari segi penampilan dengan memakai purdah.
Sudah mengenakan purdah sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lalu, Yatt Hamzah menjelaskan dia kini sedang dalam proses untuk berhijrah dari segi penampilannya.
“Saya dah mula pakai purdah sejak PKP lagi dan ketika PKPP, saya pakai hampir setiap hari ketika menghantar dan mengambil anak dari sekolah. Sebelum ini, saya pakai pelitup mulut dan hidung.
“Tapi, apabila fikirkan semula, baik saya berpurdah saja sebab lebih selesa. Jadi, saya mula perlahan-lahan,” jelasnya kepada Harian Metro.
Niat baik pelakon dan pengacara itu juga turut mendapat sokongan padu daripada suaminya, Zulfadhli Khiruddin.
“Saya ada luahkan hasrat untuk berpurdah kepada suami dan dia pun sokong. Bukan sebab saya terlalu cantik atau wajib, tapi sebab memakai purdah, banyak perkara seperti fitnah boleh dielakkan.
“Dengan memakai purdah juga, saya dapat mengawal diri saya sebab ramai tahu, saya jenis periang dan suka ketawa. Apabila pakai purdah, dapatlah kawal diri kita,” katanya.
Selain itu, Yatt juga berharap agar orang ramai dapat mendoakannya agar terus istiqomah.
“Saya pun masih belajar dan perlu banyak beristiqomah. Saya tak tahu sama ada saya kuat atau tidak untuk terus memakai purdah.
“Saya kongsikan gambar di Instagram sebelum ini bukan untuk menunjuk, sebaliknya mengharapkan doa daripada keluarga, rakan-rakan dan pengikut Instagram saya,” ujarnya.
Hijab di tempat kerja kembali menjadi perhatian selepas dakwaan syarat memakai turban kepada pekerja wanita berhijab tular. Ustazah Asmak Husin tampil mengulas isu hak beragama dan diskriminasi pekerjaan.