Rezeki setiap individu berbeza-beza dan tidak sama. Tentunya setiap individu mahu diri mereka mendapat rezeki yang banyak tetapi itu semua bergantung kepada amalan yang kita lakukan setiap hari. Ada inidividu yang merungut mengapa rezeki terasa begitu susah untuk singgah. Jika ada, pasti akan cepat habis.
Untuk mendapat rezeki yang luas, cuba amalkan beberapa amalan ini kerana ia dikatakan mampu membuka pintu rezeki kita. Semoga Allah membuka pintu rezeki seluasnya buat kita semua. Cuma, anda perlu bersangka baik dengan Allah.
20 AMALAN INI BUATKAN REZEKI BERTAMBAH TANPA DISANGKA-SANGKA
Allah SWT memberikan jalan buat setiap hamba-Nya untuk memperoleh rezeki dalam pelbagai bentuk yang boleh menjadi punca kebaikan dunia dan akhirat.
YAKINLAH REZEKI ITU JAMINAN ALLAH
1. MENYEMPATKAN DIRI BERIBADAH
Allah tidak sia-siakan pengabdian diri hamba-Nya, seperti firman-Nya dalam hadis qudsi: “Wahai anak Adam, sempatkanlah untuk menyembah-Ku maka Aku akan membuat hatimu kaya dan menutup kefakiranmu. Jika tidak melakukannya maka Aku akan penuhi tanganmu dengan kesibukan dan Aku tidak menutup kefakiranmu.” (Riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abu Hurairah R.A.)
2. MEMPERBANYAKKAN ISTIGHFAR
Istighfar adalah rintihan dan pengakuan dosa seorang hamba di depan Allah , yang menjadi sebab Allah jatuh kasih dan kasihan pada hamba-Nya lalu Dia berkenan melapangkan jiwa dan kehidupan si hamba. Sabda Nabi s.a.w.:
“Barang siapa memperbanyakkan istighfar maka Allah S.W.T akan menghapuskan segala kedukaannya, menyelesaikan segala masalahnya dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka.” (Riwayat Ahmad, Abu Daud, an-Nasa’i, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abdullah bin Abbas r.a.)
3. TINGGALKAN PERBUATAN DOSA
Dosa bukan saja membuat hati resah malah menutup pintu rezeki. Sabda Nabi S.A.W.: “… dan seorang lelaki akan diharamkan baginya rezeki kerana dosa yang dibuatnya.” (Riwayat at-Tirmizi)
4. SENTIASA INGAT ALLAH
Banyakkan mengingati Allah akan membuatkan hati tenang dan kehidupan terasa lapang. Ini rezeki yang hanya Allah berikan kepada orang beriman. Firman-Nya: “(iaitu) orang-orang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah . Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram.” (Ar-Ra’d: 28)
5. BERBAKTI DAN MENDOAKAN IBU BAPA
Dalam hadis riwayat Imam Ahmad, Rasulullah S.A.W. berpesan agar siapa yang ingin panjang umur dan ditambahi rezekinya, hendaklah berbakti kepada ibu bapanya dan menyambung tali kekeluargaan. Baginda S.A.W. juga bersabda: “Siapa berbakti kepada ibu bapanya maka kebahagiaanlah buatnya dan Allah akan memanjangkan umurnya.” (Riwayat Abu Ya’ala, at-Tabrani, al-Asybahani dan al-Hakim)
Mendoakan ibu bapa juga menjadi sebab mengalirnya rezeki, berdasarkan sabda Nabi S.A.W.: “Apabila hambaku itu meninggalkan berdoa kepada kedua orang tuanya nescaya terputuslah rezeki (Allah ) daripadanya.” (Riwayat al-Hakim dan ad-Dailami)
6. BERBUAT BAIK DAN MENOLONG ORANG YANG LEMAH
IKLAN
Berbuat baik kepada orang yang lemah ini termasuklah menggembirakan dan meraikan orang tua, orang sakit, anak yatim dan fakir miskin, juga isteri dan anak-anak yang masih kecil. Sabda Nabi S.A.W.: “Tidaklah kamu diberi pertolongan dan diberi rezeki melainkan kerana orang-orang lemah di kalangan kamu.” (Riwayat Bukhari)
7. TUNAIKAN HAJAT ORANG LAIN
Menunaikan hajat orang menjadi sebab Allah lapangkan rezeki dalam bentuk tertunainya hajat sendiri, seperti sabda Nabi S.A.W.: “Siapa yang menunaikan hajat saudaranya maka Allah akan menunaikan hajatnya…” (Riwayat Muslim)
8. BANYAK BERSELAWAT
Ada hadis yang menganjurkan berselawat jika hajat atau cita-cita tidak tertunai kerana selawat itu dapat menghilangkan kesusahan, kesedihan, dan kesukaran serta meluaskan rezeki dan menyebabkan terlaksananya semua hajat. Wallahu a’lam.
9. BUAT KEBAJIKAN BANYAK-BANYAK
Ibnu Abbas berkata: “Sesungguhnya kebajikan itu memberi cahaya kepada hati, kemurahan rezeki, kekuatan jasad dan disayangi oleh makhluk yang lain. Manakala kejahatan pula boleh menggelapkan rupa, menggelapkan hati, melemahkan tubuh, sempit rezeki dan makhluk lain mengutuknya.”
10. BERPAGI-PAGI
Menurut Rasulullah S.A.W., berpagi-pagi (memulakan aktiviti harian sebaik-baik selesai solat Subuh berjemaah) adalah amalan yang berkat.
11. MENJALIN SILATURRAHIM
Nabi S.A.W. bersabda: “Barang siapa ingin dilapangkan rezekinya dan dipanjangkan umurnya maka hendaklah dia menghubungkan silaturrahim.” (Riwayat Bukhari)
IKLAN
12. MELAZIMI KEKAL BERWUDUK
Seorang Arab desa menemui Rasulullah S.A.W. dan meminta pedoman mengenai beberapa perkara termasuk mahu dimurahkan rezeki oleh Allah. Baginda S.A.W. bersabda: “Sentiasalah berada dalam keadaan bersih (dari hadas) nescaya Allah akan memurahkan rezeki.” (Diriwayatkan daripada Sayidina Khalid al-Walid)
13. BERSEDEKAH
Sedekah mengundang rahmat Allah dan menjadi sebab Allah buka pintu rezeki. Nabi S.A.W. bersabda kepada Zubair bin al-Awwam: “Hai Zubair, ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu ditentang Arasy, yang dikirim oleh Allah azza wajalla kepada setiap hamba sekadar nafkahnya. Maka siapa yang membanyakkan pemberian kepada orang lain, nescaya Allah membanyakkan baginya. Dan siapa yang menyedikitkan, nescaya Allah menyedikitkan baginya.” (Riwayat ad-Daruquthni dari Anas R.A.)
14. MELAZIMI SOLAT MALAM (TAHAJUD)
Ada keterangan bahawa amalan solat tahajjud memudahkan memperoleh rezeki, menjadi sebab seseorang itu dipercayai dan dihormati orang dan doanya dimakbulkan Allah.
15. MELAZIMI SOLAT DHUHA
Amalan solat Dhuha yang dibuat waktu orang sedang sibuk dengan urusan dunia (aktiviti harian), juga mempunyai rahsia tersendiri. Firman Allah dalam hadis qudsi: “Wahai anak Adam, jangan sekali-kali engkau malas mengerjakan empat rakaat pada waktu permulaan siang (solat Dhuha), nanti pasti akan Aku cukupkan keperluanmu pada petang harinya.” (Riwayat al-Hakim dan Thabrani)
16. BERSYUKUR KEPADA ALLAH
Syukur ertinya mengakui segala pemberian dan nikmat dari Allah . Lawannya adalah kufur nikmat. Allah berfirman: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur, nescaya Aku tambahi nikmat-Ku kepadamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku amat keras.” (Ibrahim: 7) Firman-Nya lagi: “… dan Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur.” (Ali Imran: 145)
17. MENGAMALKAN ZIKIR DAN BACAAN AYAT QURAN TERTENTU
IKLAN
Zikir dari ayat-ayat al-Quran atau asma’ul husna selain menenangkan, menjernihkan dan melunakkan hati, ia mengandungi fadhilat khusus untuk keluasan ilmu, terbukanya pintu hidayah, dimudahkan kefahaman agama, diberi kemanisan iman dan dilapangkan rezeki.
Misalnya, dua ayat terakhir surah at-Taubah (ayat 128-129) jika dibaca secara konsisten tujuh kali setiap kali lepas solat, dikatakan boleh menjadi sebab Allah lapangkan kehidupan dan murahkan rezeki.
Salah satu nama Allah , al-Fattah (Maha Membukakan) dikatakan dapat menjadi sebab dibukakan pintu rezeki jika diwiridkan selalu; misalnya dibaca “Ya Allah ya Fattah” berulang-ulang, diiringi doa: “Ya Allah , bukalah hati kami untuk mengenali-Mu, bukalah pintu rahmat dan keampunan-Mu, ya Fattah ya ‘Alim.” Ada juga hadis menyebut, siapa amalkan baca surah al-Waqi’ah setiap malam, dia tidak akan ditimpa kepapaan. Wallahu a’lam.
18. BERDOA
Berdoa menjadikan seorang hamba dekat dengan Allah, penuh bergantung dan mengharap pada rahmat dan pemberian dari-Nya. Dalam al-Quran, Allah suruh kita meminta kepada-Nya, nescaya Dia akan perkenankan.
19. BERIKHTIAR SEHABISNYA
Siapa berusaha, dia akan dapat. Ini sunnatullah. Dalam satu hadis sahih dikatakan bahawa Allah berikan dunia kepada orang yang dicintai-Nya dan yang tidak dicintai-Nya, tapi agama hanya Allah beri kepada orang yang dicintai-Nya saja. (Riwayat Ahmad, Ibnu Abi Syaibah dan al-Hakim)
Bagi orang beriman, tentulah dia perlu mencari sebab-sebab yang boleh membawa kepada murah rezeki dalam skop yang luas. Misalnya, hendak tenang dibacanya Quran, hendak dapat anak yang baik dididiknya sejak anak dalam rahim lagi, hendak sihat dijaganya pemakanan dan makan yang baik dan halal, hendak dapat jiran yang baik dia sendiri berusaha jadi baik, hendak rezeki berkat dijauhinya yang haram, dan sebagainya.
20. BERTAWAKAL
Dengan tawakal, seseorang itu akan direzekikan rasa kaya dengan Allah .
Firman-Nya:
“Barang siapa bertawakal kepada Allah , nescaya Allah mencukupkan (keperluannya).” (At-Thalaq: 3)
Nabi s.a.w. bersabda:
“Seandainya kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal, nescaya kamu diberi rezeki seperti burung diberi rezeki, ia pagi hari lapar dan petang hari telah kenyang.” (Riwayat Ahmad, at-Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, al-Hakim dari Umar bin al-Khattab R.A.)
KESIMPULAN
Kesemua yang disebut di atas adalah amalan-amalan yang membawa kepada takwa. Dengan takwa, Allah akan beri jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkan), dan memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya.” (At-Talaq: 2-3)
Pendek kata, bagi orang Islam, untuk murah rezeki dalam ertikata yang sebenarnya, kuncinya adalah dengan membuat amalan-amalan takwa. Amalan-amalan ini menjadi sebab jatuhnya kasih sayang Allah, lalu Allah limpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya.
Selain itu diingatkan… rezeki bukan terhad kepada duit, harta ataupun kekayaan… rezeki iman, hati, Islam, kesihatan dan kebahagiaan serta ilmu yang bermanfaat adalah rezeki yang takde nilainya walaupun harta dan kekayaan menimbun sekalipun.
Sumber kredit: Mohd Ibrahim
Tampil #1 on top dengan fashion muslimah terkini di HIJABISTA! Download seeNI sekarang!
Perkembangan pesat teknologi kini membolehkan kita untuk melakukan apa sahaja. Siapa sangka hanya melalui laman media sosial, kita juga boleh bersedekah dan menyebarkan kebaikan. Semuanya kini hanya dihujung jari.
Baru-baru ini telah tular video seorang pemuda yang menjadi ‘pengantara’ menginfakkan makanan melalui Tiktok. Awal kisahnya, pemuda ini melakukan siaran langsung (live) Tiktok semasa sedang berniaga. Kemudian, ada seorang wanita memberikan gift dan sebagai balasan, dia meminta pemuda tersebut menginfaqkan makanan kepada pelanggan. Selepas itu, pemuda itu dihubungi lebih ramai insan yang mahu bersedekah.
Infak zaman Tiktok
Ini merupakan kisah mengenai seorang graduan bidang Syariah iaitu Ahmad Azmeer Saihon yang berusia 24 tahun. Dia kini berniaga di sebuah gerai makanan sementara menanti tawaran kerja tetap. Menerusi temubualnya bersama mStar, Azmeer mengakui seronok dengan bidang kerja itu, malah menjadikannya sebagai platform terbaik untuk menimba pengalaman.
Pemuda ini turut mengakui bahawa aplikasi TikTok ada manfaat dan kebaikan buat semua. Dia juga sudah biasa menggunakan medium Tiktok semenjak tahun 2020.
“Pada waktu itu, saya fokus pada diri sendiri dan berkongsi video motivasi. Kemudian baru saya hasilkan video berniaga. Saya cuma nak berkongsi pengalaman dan tunjukkan realiti sebagai peniaga. Nak tunjuk kepada masyarakat kaedah untuk berniaga mengikut cara Nabi Muhammad.
Tambahan itu, dia turut berkongsi cerita mengenai videonya yang tular di laman TikTok yang kini telah mendapat lebih 77.K kesukaan.
“Ketika saya buat live hari tu, ada seorang kakak bagi gift untuk minta saya infak makanan. Jadi saya infak kepada peniaga gerai sebelah. Kemudiannya, ramai juga yang mesej di Instagram. Mereka transfer duit kepada saya untuk infak makanan. Alhamdulillah, baru-baru ini 200 bungkus infak ke kilang dan masjid.
“Kemudiannya ada orang infak 200 bungkus beriani untuk kami hantar ke rumah anak yatim, tahfiz dan madrasah. Saya hanya tunaikan hajat mereka semua. Saya akan laksanakan dengan jujur dan amanah.” sambungnya lagi.
MasyaAllah, sunggah menginspirasikan. Sedikit sebanyak mengenai dirinya, Azmeer berkata dia telah jatuh cinta terhadap dunia perniagaan yang kini sudah sebati dan menjadi rutin hariannya.
“Mak kata saya ada sijil dan kelayakan, jadi dia suruh mohon kerja. Saya memang dah mohon, cuma belum dapat lagi. Sementara belum dapat tawaran kerja, saya ambil peluang ini untuk berniaga bersungguh-sungguh…Sejujurnya saya minat berniaga. Pada masa sama, saya nak kerja dalam bidang yang dipelajari. Kalau boleh saya nak grab dua-dua bidang. Bidang Syariah ni luas. Apabila berniaga pun saya dapat praktikkan apa yang saya belajar dulu,” ujar graduan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) itu.
Pemuda ini turut mengatakan bahawa dia tak berniat untuk tular dan hanya berkongsi video tersebut sebagai tanda penghargaan buat individu yang infak. Dia akui terkejut dan terharu dan ramai yang yang memberikan sokongan serta kata-kata semangat.
“bagus..contoh yg baik..tlg org yg disekitar kita dlu..biasa sesetengah org cari2 spe dia nk infak..tahan kereta tahan motor..tp abg ni bagus”
“akak pulak yg berair mata tgok dik..…semoga dik murah rezeki dunia akhirat”
“semoga dipermudahkan urusan dan limpah kan rezekk ke dua² nya”
“muka berseri manis je..Bak kata org..ade nur..teruskan usaha bang..insha Allah..Allah Maha Pemurah..dan pemberi rezeki utk hambaNya yg berusaha..”
“Tik Tok ni…mudah je nk kumpul Pahala…Nk Bersedakah…. hulur kan bantuan….cara mcm ni pun BOLEH… Tahniah…”
Alhamdulillah, Team Hijabista turut mendoakan yang terbaik buat pemuda ini dan semoga dimurahkan rezeki yang berlipat kali ganda. Usahanya dalam menjadi pengantara dan secara tidak langsung menggalakkan netizen untuk bersedekah ini wajar dipuji. Semoga kisahnya ini menjadi inspirasi buat anak muda yang lain. Tahniah juga buat netizen yang turut sama bersedekah. Betul lah kata pepatah, ‘dalam rezeki kita, ada rezeki orang lain’.
Untuk pengetahuan anda, gerainya terletak berhadapan dengan Sekolah Kebangsaan Batang Benar, Negeri Sembilan dan dibuka dari pukul 11 pagi sampai 5 petang. Di antara menu yang dijual adalah nasi beriani ayam masala, daging masak hitam, kambing kurma bersama kuah asam kerisik dan juga nasi dengan ayam goreng kunyit. Ha… yang tinggal berdekatan boleh lah singgah!
Aidid Marcello membuat keputusan untuk berhentikan anak-anaknya dari sekolah kerana tekad untuk menghantar mereka ke tahfiz. Tujuannya kerana ingin melihat mereka menghafal Al-Quran dan menjadi hafiz suatu hari nanti.
Keputusan ini bukanlah suatu perkara yang mudah untuk kebanyakan orang, namun, niat Aidid dan isterinya yakin dengan pendirian mereka.
InsyaAllah bakal menjadi seorang hafiz kelak
Personaliti televisyen (TV), Aidid Marcello bersama isterinya, Norzie Pak Wan Chek, percaya keputusan mereka untuk berhentikan anak mereka dari sekolah ke sekolah tahfiz adalah tindakan yang bagus bagi masa depan mereka. Keputusannya itu juga menjadi inspirasi serta mendapat pujian oleh kebanyakan ibu dan bapa yang lain.
Perkongsian itu dimuat naik oleh Aidi Marcello pada akaun Instagram miliknya sebagai pencerahan kepada tindakannya dan isteri itu. Dia juga akui khuwatir jika buat perkongsian itu ramai yang terfikir dirinya untuk riak mahupun sombong.
Pada 5 Oktober, Aidid juga menyatakan keputusan ini sudah pun dalam perancangan mereka sejak PKP lagi. Syukur katanya kerana kebanyakan urusan dipermudahkan oleh bantuan beberapa individu.
“Bukan senang nak buat keputusan ni, dari sebelum PKP kami usaha, sampai sekarang baru dapat, Alhamdulillah. Terima kasih kepada @dilla_rayhanah & @ustazjohariabdulwahab kerana banyak sangat membantu kami berdua. Besar betul hikmah silaturrahim Allah atur untuk kita semua kenal,
“Tapi kali ni, kami tak tau macamana boleh dapat kekuatan, dengan rela hati & tenang memberhentikan anak2 kami dari sekolah rendah & menengah, untuk masukkan mereka ke Akademi ni. Mudah betul proses, tak sampai 3 hari semua proses berhenti dan kemasukkan. MasyaAllah.” katanya di ruangan kapsyen.
Aidid juga menerangkan meskipun terpaksa meredah lebih 25km untuk berjumpa dengan anak-anaknya, tapi dia tetap gembira dengan keputusannya. InsyaAllah, anak-anaknya bakal pelajari lebih banyak ilmu yang bermanfaat.
“Kita mmg boleh rancang, tapi DIA yang tentukan. Kalau dulu aku happy sebab sekolah depa 5 min dari rumah aku, tapi sekarang aku bertambah happy walaupun hari-hari aku kena redah traffic hantar sejauh 25km,
“Kepada yang baca ni, nawaitu aku sekadar nak share rasa happy sebagai ayah & ibu. Dan aku juga nak share, jangan sekali2 kita sangsi dengan apa yang DIA akan berikan kepada kita. Aku jahil sangat lagi, tapi aku tak nak anak2 aku start lambat.” ujarnya lagi.
Allah SWT menurunkan kitab Al-Quran sebagai panduan untuk seluruh umat Islam masuk ke syurganya. Al-Quran juga merupakan pemberian terbaik oleh-Nya supaya kita sentiasa menuju ke jalan yang benar dan mendapat keredhaannya. Pelbagai kebaikan dan manfaat yang bisa diperolehi apabila membaca Al-Quran.
Al-Quran adalah petunjuk dan cahaya kepada manusia untuk kembali kepada jalan kebenaran. Allah s.w.t berfirman di dalam Al-Quran:
“Dengan Al-Quran itu Allah menunjukkan jalan-jalan keselamatan serta kesejahteraan kepada sesiapa yang mengikut keredaan-Nya, dan dengannya Tuhan keluarkan mereka dari gelap-gelita (kufur) kepada cahaya (iman) yang terang-benderang, dengan izin-Nya; dan dengannya juga Tuhan menunjukkan mereka ke jalan yang lurus”. (Surah Al-Maidah, ayat 16)
Kelebihan Al-Quran yang paling besar untuk sekalian makhluk ia tidak akan hilang dan berubah sehingga akhir zaman. Tidak seperti kitab-kitab lain yang telah diubah oleh tangan-tangan yang tidak bertanggungjawab. Seperti kitab Zabur, Taurat dan Injil yang diturunkan untuk Nabi-nabi terdahulu.
Allah s.w.t. berfirman di dalam Al-Quran yang bermaksud:
“Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya”. (Surah Al-Hijr, ayat 9)
Kelebihan-kelebihan membaca Al-Quran Al-Karim:
Al-Quran sebagai syafaat di akhirat kelak.
Daripada Abu Umamah r.a melaporkan: Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: Bacalah Al-Quran sesungguhnya ia akan datang di hari kiamat sebagai syafaat kepada pembacanya”.(Hadith Abu Umamah ini direkodkan oleh Imam Muslim dalam Sahih Muslim, kitab Solat Al-Musafirin Wal Qasruha, Bab Fadhlu Qiraat Al-Quran Wa Surah Al-Baqarah, No hadith 252)
Al-Quran sebagai pembela.
Daripada Nawwas Bin Sam’an r.a. telah melaporkan: Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: “Di hari akhirat kelak akan didatangkan Al-Quran dan orang yang membaca dan mengamalkan isi kandungannya, didahului dengan Surah Al-Baqarah dan Surah Ali-Imran, kedua-dua surah ini menghujah (mempertahankan) orang yang membaca dan mengamalkannya”. (Hadith Nawwas bin Sam’an ini direkodkan oleh Imam Muslim dalam Sahih Muslim, Kitab Solat Al-Musafirin Wal Qasruha, Bab Fadhlu Qiraat Al-Quran Wa Surah Al-Baqarah, No hadith 253)
Orang yang belajar dan mengajar Al-Quran adalah sebaik-baik amalan.
Daripada Uthman Bin ‘Affan r.a. telah berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sebaik manusia di antara kamu orang yang mempelajari Al-Quran dan mengajarnya kepada orang lain”. (Hadith Uthman bin Affan ini direkodkan oleh Imam Bukhari dalam Sahih Bukhari, Kitab Fadhail Al-Quran, Bab Khairukum Min Ta’alum Al-Quran Wa A’lamahu, No hadith 5028)
Dua pahala bagi orang yang susah menyebut dan membaca Al-Quran.
Daripada Aisyah r.a. telah berkata: Bersabda Rasulullah s.a.w.: “Orang yang membaca Al-Quran dan susah untuk menyebut ayatnya ia mendapat dua pahala”. (Hadith Aisyah r.a ini direkodkan oleh Imam Bukhari dalam Sahih Bukhari, Kitab Tafsir Al-Quran, Bab An-Naba:18, No hadith 4937)
Allah s.w.t. mengangkat martabat golongan pembaca Al-Quran.
Daripada Umar Bin Al-Khattab r.a. Bahawa Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya Allah mengangkat martabat beberapa golongan dan merendahkan martabat yang lain dengan sebab Al-Quran”. (Hadith Umar bin Al-Khattab ini direkodkan oleh Imam Muslim dalam Sahih Muslim)
Semoga malam hari kita diberikan ketenangan oleh-Nya apabila kita membaca kitab Al-Quran. Selamat beramal!
Tampil #1 on top dengan fashion muslimah terkini di HIJABISTA! Download seeNI sekarang!
Pasti anda masih ingat pelantun suara lagu 'Dan Sebenarnya', Yunalis Mat Zara’ai atau sering disapa sebagai Yuna yang kini sudahpun berjaya melebarkan sayapnya di peringkat Antarabangsa.