Setiap kali bulan Ramadan sering kali ada yang masih keliru dan tertanya-tanya tentang hadis fadhilat tarawih mengikut malam itu sahih atau tidak. Syukur kerana semakin hari semakin ramai masyarakat kita mula bertanya tentang status hadis yang pada matanya nampak pelik.

Ia menunjukkan mereka sudah mula memastikan amalan mereka bersumberkan hadis yang sabit dari Nabi sallallah ‘alaih wa sallam. Jadi,  apakah sebenarnya status hadis kelebihan solat sunat tarawih setiap malam?

Dalam bulan Ramadan yang mulia ini, kita dituntut untuk melaksanakan solat sunat Tarawih yang tidak ada dalam bulan-bulan yang lain secara berjemaah atau bersendirian.

Hukum solat sunat tarawih adalah sunnah muakkad (sunat yang dituntut). Disebabkan itu, kita sering mendengar akan hadith-hadith berkaitan kelebihan solat sunat tarawih. Irsyad al-Hadith pada kali ini akan cuba menerangkan berkaitan status hadith ini.

Matan Hadis

Hadis berkaitan kelebihan solat tarawih setiap malam ini diriwayatkan oleh Ali bin Abi Thalib RA:

Maksudnya: “Bahawa Nabi SAW ditanya akan kelebihan solat tarawih dalam bulan Ramadan, lalu dikatakan baginda SAW bersabda:

Kelebihan Solat Tarawih Malam Pertama
Diampuni dosa orang-orang yang beriman sebagaimana keadaannya baru dilahirkan.

Kelebihan Solat Tarawih Malam Ke dua
Diampunkan dosa orang-orang yang beriman yang mengerjakan solat tarawih, serta dosa-dosa kedua ibubapanya.

Kelebihan Solat Tarawih Malam Ke tiga
Para malaikat di bawah Arash menyeru kepada manusia yang mengerjakan solat tarawih itu agar meneruskan solatnya pada malam-malam yang lain, semoga Allah akan mengampunkan dosa-dosa mereka.

Kelebihan Solat Tarawih Malam Ke empat
Orang-orang yang mengerjakan solat tarawih akan memperolehi pahala sebagaimana pahala yang diperolehi oleh orang-orang yang membaca kitab-kitab Taurat, Zabur, Injil dan al-Quran.

Kelebihan Solat Tarawih Malam Ke lima
Allah SWT akan mengurniakan pahala seumpama pahala orang-orang yang mengerjakan sembahyang di Masjid al-Haram, Masjid al-Madinah dan Masjid al-Aqsa.

Kelebihan Solat Tarawih Malam Ke enam
Allah SWT akan mengurniakan kepadanya pahala seumpama pahala malaikat-malaikat yang bertawaf di Bait al-Ma’mur serta setiap batu dan tanah berdoa untuk keampunan orang-orang yang mengerjakan tarawih pada malam itu.

Kelebihan Solat Tarawih Malam Ke tujuh
Seolah-olah dia dapat bertemu dengan Nabi Musa AS serta menolong Nabi itu menentang musuhnya Fir’aun dan Hamman.

Kelebihan Solat Tarawih Malam Ke lapan
Allah SWT mengurniakan pahala orang yang bersolat tarawih sebagaimana pahala yang dikurniakan kepada Nabi Ibrahim AS.

Kelebihan Solat Tarawih Malam Ke sembilan
Allah SWT akan mengurniakan pahala dan dinaikkan mutu ibadat hamba-Nya seperti Nabi Muhammad SAW.

Kelebihan Solat Tarawih Malam Ke sepuluh
Allah SWT mengurniakan kepadanya kebaikan dunia dan akhirat.

IKLAN

Kelebihan Solat Tarawih Malam Ke sebelas
Dia meninggal dunia dalam keadaan bersih dari dosa seperti baru dilahirkan.

Kelebihan Solat Tarawih Malam Ke dua belas
Dia akan dibangkitkan pada hari kiamat dengan muka yang bercahaya seperti bulan.

Kelebihan Solat Tarawih Malam Ketiga belas
Dia akan datang pada hari kiamat dalam keadaan aman dari sebarang kejahatan dan keburukan.

Kelebihan Solat Tarawih Malam Ke empat belas
Malaikat-malaikat akan datang menyaksikan mereka bersolat tarawih serta Allah SWT tidak akan menghisab mereka.

Kelebihan Solat Tarawih Malam Ke lima belas
Semua malaikat yang memikul Arash dan Kursi akan berselawat serta mendoakannya supaya Allah mengampunkannya.

Kelebihan Solat Tarawih Malam Ke enam belas
Allah SWT menuliskan baginya dalam kalangan mereka yang terlepas dari api neraka dan dimasukkan ke dalam syurga.

Kelebihan Solat Tarawih Malam Ke tujuh belas
Allah SWT menuliskan baginya pahala pada malam ini seperti pahala Nabi-Nabi.

Kelebihan Solat Tarawih Malam Ke lapan belas
Malaikat akan menyeru: Wahai hamba Allah! sesungguhnya Allah telah redha denganmu dan dengan kedua ibu bapamu (yang masih hidup atau yang sudah mati).

Kelebihan Solat Tarawih Malam Ke sembilan belas
Allah SWT akan meninggikan darjatnya.

Kelebihan Solat Tarawih Malam Kedua puluh
Allah SWT mengurniakan kepadanya pahala sekelian orang yang mati syahid dan orang-orang soleh.

Kelebihan Solat Tarawih Malam Ke dua puluh satu
Allah SWT akan membina untuknya sebuah mahligai di dalam syurga yang diperbuat daripada cahaya.

Kelebihan Solat Tarawih Malam Ke dua puluh dua
Dia akan datang pada hari kiamat dalam keadaan aman dari sebarang dukacita dan kesedihan pada hari tersebut.

IKLAN

Kelebihan Solat Tarawih Malam Ke dua puluh tiga
Allah SWT akan membina untuknya sebuah bandar di dalam syurga.

Kelebihan Solat Tarawih Malam Ke dua puluh empat
Allah SWT akan memberinya dua puluh empat permintaan yang mustajab.

Kelebihan Solat Tarawih Malam Ke dua puluh lima
Allah SWT akan mengangkat seksa kubur daripadanya.

Kelebihan Solat Tarawih Malam Ke dua puluh enam
Allah SWT akan mengurniakan pahala empat puluh tahun ibadat bagi orang-orang yang mengerjakan solat tarawih pada malam tersebut.

Kelebihan Solat Tarawih Malam Ke dua puluh tujuh
Allah SWT akan mengurniakan kepadanya kemudahan untuk melintasi titian sirat sepantas kilat.

Kelebihan Solat Tarawih Malam Ke dua puluh lapan
Allah SWT akan menaikkan kedudukannya seribu darjat di syurga.

Kelebihan Solat Tarawih Malam Ke dua puluh Sembilan
Allah SWT akan mengurniakan kepadanya pahala seribu haji yang mabrur.

Kelebihan Solat Tarawih Malam Ketiga puluh
Allah SWT akan memberi penghormatan kepada orang yang bertarawih pada malam terakhir dengan firman-Nya (yang bermaksud): Wahai hambaku!, makanlah segala jenis buah-buahan yang Engkau ingini untuk dimakan di dalam syurga dan mandilah kamu di dalam air yang bernama salsabil serta minumlah air dari telaga yang dikurniakan kepada Nabi Muhammad SAW yang bernama al-Kauthar.

Aku Tuhanmu dan engkau adalah hambaku”.

Sumber Hadis

IKLAN

Hadis ini terdapat di dalam kitab Durrah al-Nasihin pada halaman ke 19.

HUKUM HADIS

Hadis ini adalah palsu lagi dusta di atas nama Nabi SAW dan juga sahabat baginda SAW iaitu Ali bin Thalib. Di samping itu, haram bagi kita menyebarkannya kepada orang lain. Ini kerana, telah jelas tanda-tanda atau ciri-ciri kepalsuan hadith tersebut seperti yang telah digariskan oleh para ulama’. Antara ciri-ciri hadith paslu adalah sebagaimana yang disebut oleh Imam Ibn Qayyim di dalam karyanya:

“Hadis palsu itu antara cirinya ialah padanya terdapat unsur berlebih-lebihan dalam menetapkan pahala dan dosa. Perkara yang kecil diletakkan hukuman yang terlalu besar ataupun ganjaran yang terlalu besar yang tidak munasabah”. [Lihat: al-Manar al-Munif, 51]

Berdasarkan pernyataan Ibn Qayyim ini, kita dapat melihat di dalam hadis ini bahawa ganjaran yang ditetapkan bagi sesiapa yang melaksanakan solat tarawih padanya ciri tersebut iaitu berlebihan dalam penetapan ganjaran bagi amalan tersebut. Selain itu juga, hadis ini dikatakan bercampur dengan hadis-hadis yang lain.

Kesimpulannya, hendaklah kita mengenalpasti akan kesahihan sesebuah hadis sebelum ia disebarkan kepada orang lain. Ini kerana, ancaman Nabi SAW terhadap orang yang berdusta di atas nama baginda SAW adalah amat berat iaitu neraka.

Untuk menceritakan akan kelebihan kita berqiyam di malam Ramadan, di sana terdapat sebuah hadis yang sahih sebagaimana diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari RA di dalam kitabnya:

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ قَامَ رَمَضَانَ ، إيمَانًا وَاحْتِسَابًا ، غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang mendirikan Ramadan kerana keimanan dan mengharapkan redha daripada Allah SWT, akan diampuni dosanya yang telah lalu”. [Riwayat al-Bukhari, no. Hadith 36]

Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kekuatan dan petunjuk dalam melakukan amal dan ibadah kepadaNya serta memelihara kita daripada melakukan pendustaan di atas nama Rasulullah SAW.

Sumber kredit: Laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

DAPATKAN HIJABISTA E-MAGAZINE DENGAN MEMUAT TURUN APLIKASI EMALL DI GOOGLE PLAY DAN APP STORE.

http://emall.karangkraf.com/Shop/Magazine/HIJABISTA

 

 

Tampil #1 on top dengan fashion muslimah terkini di HIJABISTA!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI