Hari ini di  mana-mana sahaja semua orang memperkatakan tentang kenaikan harga minyak. Boleh dikatakan topik ‘panas’ hari ini berkaitan dengan harga minyak yang naik mencanak-canak.

Warga maya mula memperkatakan beban yang perlu ditanggung terutama mereka yang berniaga apabila harga minyak naik. Harga baharu minyak masak bagi lima kilogram dijual pada harga RM42.50 selepas kerajaan tidak meneruskan subsidi bagi minyak botol satu, dua, tiga dan lima kilogram.

Memandangkan harga minyak masak telah meningkat lebih daripada 43%, maka kita sudah patut mengurangkan penggunaan minyak masak dalam menggoreng. Antara alternatif yang praktikal adalah dengan menggunakan penggoreng elektronik @ air fryer.

Sebelum anda berhajat untuk membeli satu, jom baca ulasan yang saya pernah kongsikan dulu.

Ramai yang sukakan makanan yang bergoreng disebabkan teksturnya yang ranggup dan rasanya yang sedap. Umum maklum yang makanan digoreng ini tinggi kandungan lemak yang mana dikaitkan (walaupun tidak konklusif) dengan penyakit terutamanya berkaitan jantung dan keradangan.

Photo by ron-lach from Pexels.

Maka, antara inovasi yang telah dicipta bagi memenuhi keperluan yang sama namun lebih sihat (dalam konteks menggoreng bahan masakan yang sama) adalah dengan menggunakan peralatan memasak seperti air fryer.

Air fryer merupakan convection oven bersaiz kecil yang direka khas untuk mendapatkan kesan menggoreng tanpa perlu menenggelamkan masakan dalam minyak mengoreng yang banyak. Bergantung kepada selera masing-masing, masakan hanya perlu direnjis atau diselaput nipis dengan minyak untuk mendapatkan kesan gorengan yang diinginkan. Dan ini dapat mengurangkan penggunaan minyak masak sehingga 70-80%.

IKLAN

BAGAIMANA AIR FRYER BERFUNGSI? 

Air fryer mempunyai kipas yang berfungsi mengitarkan udara panas pada kelajuan yang tinggi dalam ruang memasak yang disediakan. Udara panas yang boleh mencapai suhu setinggi 250 degree Celcius (bergantung kepada model) akan membenarkan kesan gorengan berlaku pada permukaan makanan dengan cepat dan sekata.

Suhu yang tinggi mencetuskan tindakbalas Maillard pada permukaan masakan lalu memberikan warna, bau, rasa dan tekstur masakan yang ranggup di luar dan lembab di dalam.

Tindakbalas Maillard berlaku pada suhu 200 degree Celcius dalam air fryer (140-165 degree Celcius dalam proses menggoreng biasa). Bergantung kepada kuantiti masakan dan kawalan suhu, air fryer dapat mengurangkan masa memasak sehingga 20% dibandingkan penggunaan ketuhar biasa.

Selain daripada menggoreng, air fryer juga digunakan untuk memanggang, membakar (biskut dan kek) dan juga boleh mendapatkan hasil telur rebus tanpa menggunakan air! (boleh lihat di ruangan komen antara hasilnya).

IKLAN

Terdapat pelbagai jenama, model dan jenis air fryer yang berada di pasaran. Pemilihan adalah bergantung kepada kegunaan, saiz dan kapasiti, penggunaan elektrik, rekabentuk, kualiti, jenama dan semestinya kemampuan masing-masing. Maka, boleh pilih yang mana bersesuaian dengan tujuan penggunaan anda.

ANTARA KEBAIKAN AIR FRYER: 

*Tanpa minyak tambahan/ sangat kurang penggunaan minyak menggoreng
*Masa memasak dapat dipendekkan
*Pelbagai guna (mini oven)
*Mudah digunakan (digital vs analog)
*Mudah dibersihkan jika dibandingkan oven
*Kurang berbau masakan
*Kurang haba panas jika dibandingkan oven biasa
*Tiada percikan minyak/ terkena minyak panas
*Kanak-kanak juga boleh menggunakannya dengan mudah apabila dilatih dengan betul

Photo by Kalisha Ocheni on Unsplash

ADAKAH MEMASAK DENGAN AIR FRYER LEBIH SIHAT JIKA DIBANDINGKAN DENGAN KAEDAH MEMASAK YANG LAIN? 

Bergantung kepada jenis masakan dan bahan masakan. Sememangnya memanggang dan membakar adalah lebih sihat hasil masakannya daripada menggoreng. Dan masakan daripada bahan terproses seperti sosej, nugget, daging burger dan sebagainya juga tidak sihat jika dibandingkan dengan bahan segar seperti ayam, ikan, daging dan sebagainya. Ingat, air fryer ialah peralatan memasak. Bukannya ‘magic pan’ yang boleh mengubah komposisi masakan!

BENARKAH MEMASAK DENGAN AIR FRYER BOLEH MENGHASILKAN BAHAN KIMIA PUNCA KANSER? 

Bergantung kepada suhu dan bahan masakan. Suhu dalam air fryer yang tinggi mampu menghasilkan bahan kimia punca kanser (kasinogen) seperti acrylamide, polycyclic aromatic hydrocarbons dan heterocyclic amines.

Namun bahan-bahan kimia ini BUKAN dihasilkan dalam air fryer saja. Mereka juga terhasil daripada proses memasak dengan kaedah menggoreng, memanggang dan membakar tradisional juga. Contoh acrylamide terhasil daripada tindakbalas komponen dalam masakan yang mengandungi gula (boleh jadi gula tambahan atau semulajadi) dan asid amino (asparagine dan glutamine).

IKLAN

Sebenarnya pembentukan bahan kimia punca kanser dalam masakan tidak dapat dielakkan sepenuhnya, namun ianya boleh dikurangkan dengan MENGAWAL suhu memasak dalam air fryer.

Kajian menunjukkan semakin gelap warna masakan yang dipanggang, dibakar atau digoreng, semakin tinggi kandungan bahan kimia acrylamide. Maka, pastikan masakan sebegini masak cuma cukup-cukup saja (kekuningan) dan elakkan terlebih masak.

Seperti yang selalu dipesan, bersederhanalah dalam apa juga jenis makanan yang kita ambil. Neutralkan kesan risiko pelbagai jenis penyakit daripada pemakanan sebegini dengan pengambilan sayuran hijau yang kaya dengan fitokimia yang mana bersifat antioksida, antiradang, antikanser dan sebagainya. Semoga bermanfaat.

Sumber kredit: Dr Fatimah Salim

Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini.

https://youtu.be/wjCfPZ3nhr4?list=PLwTVJflD5bmE3QfhDp6V46J4iIf1ZJn7N

Tampil #1 on top dengan fashion muslimah terkini di HIJABISTA!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI