Setahun yang lalu pelakon kecil molek ini telah diduga Tuhan dengan ujian yang cukup hebat. Hampir 3 minggu terlantar di hospital menyebabkan segala pergerakannya terbatas. Tiada tanda sakit sebelum ini dan ujian yang datang padanya cukup menginsafkan. Saat itu terasa bagai nyawa di hujung tanduk apabila dia tidak boleh bernafas seperti biasa. Emma Maeombong menceritakan semula saat dirinya bertarung menahan kesakitan jangkitan virus dan hanya Allah yang tahu. Dan kini walaupun sudah sihat sepenuhnya, dia tetap ambil sikap berhati-hati terutama tentang penjagaan kesihatan.

HATI ADA NANAH

“Sebenarnya sehingga hari ini Emma tidak tahu apa nama khusus bagi penyakit Emma ini. Tetapi menurut doktor hati Emma ada masalah. Doktor menjumpai nanah dalam hati Emma. Namun sehingga hari ini tidak tahu apa punca sebenarnya menyebabkan hati Emma dijangkiti nanah.

“Maklumlah sebelum diserang sakit itu, Emma sebenarnya tidak ada sakit apa-apa. Malah Emma sihat dan tidak ada ambik apa-apa yang terlarang atau yang boleh merosakkan hati. Malah apabila doktor periksa keseluruhan termasuk ujian darah, semuanya sempurna dan baik sahaja,” ujar Emma memulakan perbualan.

Menurutnya lagi, doktor hanya memberi andaian kemungkinan besar ketika dia berada di tempat penggambaran, kawasan berkenaan tidak bersih dan kotor. Dan mungkin disebabkan tangan tidak bersih dan menyentuh pula makanan serta masuk dalam mulut.

3 MINGGU KENA TAHAN WAD

“Situasi ini yang menyebabkan datangnya kuman hingga membuatkan hati jadi bernanah. Waktu kena serang itu, memang Emma rasa macam nak mati. Banyak yang Emma fikirkan ketika ditahan di wad selama hampir 3 minggu. Apatah lagi bila kita sedang berada dalam keseorangan dan dengar pula bunyi denyutan bip bip hingga menyebabkan Emma fikir macam-macam.

“Emma menangis dan merayu pada doktor untuk keluar dari hospital. Tetapi tidak dibenarkan. Ini kerana ada tiub yang bersambung pada badan untuk mengeluarkan nanah yang disedut keluar. Bayangkan tiga minggu berada di hospital dan Emma sedikit tertekan.

IKLAN

“Sampaikan, Emma terpaksa pegang bekas nanah dan tiub itu untuk jalan-jalan keluar sekeliling hospital. Waktu itu kita rasa badan sudah tak sakit dan sihat. Tetapi nanah masih lagi keluar, oleh sebab itu doktor tak benarkan Emma keluar wad lagi,” ceritanya lagi.

Sebelum itu, Emma mengalami simpton seperti menggigil satu badan, sekejap rasa sejuk dan sekejap pula rasa panas. Pada mulanya dia menyangka denggi, tetapi apabila diambil darah keputusanya negatif.

NAFAS TERSEKAT-SEKAT

“Darah diambil tidak tunjukkan kita kena denggi. Tetapi apabila Emma bernafas, ada benda seperti menyucuk di bahagian hati. Keadaan ini membuatkan Emma tak boleh nak bernafas sempurna. Kalau nafas Emma akan rasa sakit dan kalau tak nafas pula Emma yang akan mati.

Artikel Berkaitan: Norish Karman Diuji Santau, Sakit Penghapus Dosa

IKLAN

“Emma hanya mampu bernafas tersekat-sekat dan pendek-pendek. Waktu itu muka Emma juga sudah pucat dan Emma terus suruh PA Emma panggil emak dan ayah.  Siapa sangka Emma sihat sebelumnya dan dalam sekelip mata penyakit ini menyerang.

“Tiada tanda-tanda kecuali demam yang biasa dan badan terasa lemah. Emma masa itu ingat demam biasa dan hanya makan ubat demam sahaja. Tetapi apabila nafas kita pun jadi tersekat-sekat dan tak boleh nafas seperti biasa terus dimasukkan ke wad kecemasan,” jelas Emma yang kini sudah kembali aktif berlakon.

Empat hari berada dalam hospital doktor masih tidak tahu punca hinggalah dilakukan rawatan x-ray. Ketika itu doktor mengenal pasti ada nanah dalam hati.

IKLAN

“Emma terpaksa menjalani prosedur membuang nanah berkenaan dan apabila sedar ada tiub bagi membuangnya. Selepas itu, Emma terus rasa tubuh sudah sihat seperti biasa. Tetapi Emma terus kena tahan di wad hinggalah pulih sepenuhnya.

“Sebaik boleh keluar dari hospital, Emma terus mengambil kesempatan bercuti dan meneruskan aktiviti seni seperti biasa hinggalah hari ini.  Namun sejak kejadian itu sebenarnya membuatkan Emma lebih berhati-hati terutama membabitkan soal kesihatan,” tambahnya lagi.

AMALKAN MINUM AIR MASAK & AMBIL VITAMIN C

Menurutnya dulu dia tidak hiraukan apabila ada yang berpesan padanya jangan kerja kuat sangat nanti tumbang. Tetapi waktu itu Emmma tidak percaya kerana merasakan dia masih muda dan tidak pernah mengalami sakit.

“Iyalah waktu itu umur baru 24 dan masih muda dan kuat. Bagi Emma orang tua sahaja yang perlu ambil suplemen, duduk rumah dan jaga kesihatan. Dan apabila tiba-tiba kita tumbang, kita sebenarnya tak tahu bila ajal maut seseorang. Sakit yang datang itu tidak mengikut pada usia tetapi ikut kesihatan badan.

“Ibaratnya luar nampak muda tetapi dalamnya sudah tua. Kita tak tahu bila sakit akan datang. Kita pula jenis tak cukup rehat dan tidur. Bermula saat itu jugalah Emma setiap hari ambil air masak dan jarang minum air manis. Saya juga tak ambil suplemen lain kecuali vitamin C dan vitamin B serta ambil pemakanan yang sihat,” pesannya pada hijabi di luar sana agar sentiasa menjaga kesihatan diri sebelum akhiri perbualan.

 

Tampil #1 on top dengan fashion muslimah terkini di HIJABISTA!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI