
Bukan semua perselisihan perlu berakhir dengan kemenangan. Kadangkala, kekuatan sebenar seorang wanita terserlah apabila dia memilih untuk merendahkan ego, memaafkan dan menjaga hubungan baik sesama insan.
Itulah antara mesej penuh hikmah yang dikongsikan Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menerusi Instagram Story miliknya baru-baru ini.
Penyanyi kesayangan ramai itu menitipkan pesanan mengenai pentingnya menjaga silaturahim, khususnya apabila berlaku salah faham yang menguji hubungan sesama manusia.
Menurut Siti, setiap insan tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Ada waktunya, emosi mengatasi pertimbangan sehingga tanpa sedar kata-kata atau tindakan kita mengguris hati orang lain.

Namun, apa yang lebih penting adalah keberanian untuk mengakui kesilapan dan membuka ruang kepada perdamaian.
“Meminta maaf tidak menjadikan seseorang itu rendah. Memaafkan pula tidak menjadikan seseorang itu kalah. Kedua-duanya memerlukan keberanian dan kebesaran hati,” katanya.
Siti Nurhaliza Ingatkan Wanita Berjiwa Besar Tidak Takut Memaafkan
Dalam kehidupan, tidak semua perkara berjalan seperti yang diharapkan. Ada kalanya, hubungan yang baik boleh diuji hanya kerana salah faham atau kata-kata yang tidak disengajakan.
Sebagai wanita, kita juga tidak terkecuali daripada berdepan situasi sebegini, sama ada dalam keluarga, persahabatan mahupun kehidupan seharian.
Namun, memaafkan bukan bermaksud kita bersetuju dengan setiap kesalahan yang berlaku. Sebaliknya, ia boleh menjadi langkah untuk melepaskan rasa marah dan memberi ruang kepada hubungan yang lebih baik.
Pesanan Siti ini mengingatkan bahawa kematangan bukan sekadar dilihat melalui cara seseorang berbicara, tetapi juga bagaimana dia mengawal emosi ketika berdepan konflik.
Tidak salah mempertahankan pendirian, namun adab dan tutur kata perlu sentiasa dijaga.
Dalam keadaan tertentu, memilih untuk berdiam diri daripada membalas kata-kata yang menyakitkan hati juga boleh menjadi tanda kematangan. Bukan kerana tidak mampu mempertahankan diri, tetapi kerana tidak mahu sesuatu perselisihan menjadi semakin besar.
Begitu juga dengan tindakan meminta maaf. Ia bukan semestinya bermaksud seseorang mengaku kalah, sebaliknya menunjukkan kesediaan untuk memperbaiki hubungan yang pernah terjejas.

“Yang Sudah Berdamai, Jangan Kita Nyalakan Kembali Apinya”
Lebih menyentuh hati, Siti turut mengingatkan bahawa apabila dua pihak sudah memilih untuk berdamai, orang sekeliling tidak seharusnya terus mengungkit perselisihan tersebut.
“Apabila mereka yang terlibat sendiri sudah berdamai, mungkin tugas kita bukan lagi untuk menghakimi, mengungkit atau memilih pihak.
“Cukuplah kita mendoakan agar yang keruh kembali jernih, yang terluka kembali sembuh dan silaturahim yang pernah diuji menjadi lebih baik daripada sebelumnya,” ujarnya.
Beliau turut memetik Surah al-Hujurat, ayat 10 yang mengingatkan umat Islam tentang pentingnya mendamaikan saudara seagama.
Malah, Siti menegaskan bahawa Islam mengajar umatnya mencari jalan perdamaian, bukannya berlumba-lumba menentukan siapa yang menang dalam sesuatu perselisihan.
“Yang sudah bermaafan, jangan kita adu-adukan lagi. Yang sudah berdamai, jangan kita nyalakan kembali apinya.
“Kerana akhirnya, menjaga silaturahim jauh lebih indah daripada memenangkan sebuah perselisihan,” katanya.
Pesanan ini cukup dekat dengan kehidupan masyarakat hari ini, terutama apabila sesuatu perselisihan mudah menjadi perhatian ramai selepas dikongsikan di media sosial.
Walaupun pihak yang terlibat sudah memilih untuk saling memaafkan, komen dan spekulasi daripada orang luar kadangkala boleh menyebabkan isu yang sama terus diperkatakan.
Sedangkan, menghormati keputusan mereka untuk berdamai juga merupakan satu cara untuk menjaga hubungan baik dan mengelakkan salah faham berpanjangan.
Pesanan Siti Nurhaliza Susulan Salah Faham Izara Aishah Dan Lesti Kejora
Terdahulu, perkongsian Siti dipercayai berkaitan isu salah faham membabitkan menantu tirinya, pelakon Izara Aishah dan penyanyi Indonesia, Lesti Kejora ketika Konsert Gema Bumantara di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Bagaimanapun, kedua-dua selebriti tersebut telah tampil memberikan penjelasan dan saling memohon maaf secara terbuka.
Jadikan Salah Faham Sebagai Ruang Memperbaiki Diri
Buat para hijabi, kecantikan seorang wanita bukan hanya terletak pada penampilan luaran, tetapi turut terpancar melalui kelembutan tutur kata, kematangan mengurus emosi dan kebesaran hati untuk memaafkan.
BACA LAGI :

