Rambut menipis dana alami keguguran menjadi masalah kebiasaan setiap wanita yang berhijab. Pendedahan kepada pencemaran, faktor genetik, penggunaan produk kimia atau gaya hidup adalah faktor kerosakan rambut semakin meningkat yang tidak dapat dielakkan.
Namun, solusi untuk merawatnya pasti ada, terdapat satu tumbuhan yang boleh membantu anda melindungi daripada kemerosotan kualiti rambut dan merawat kerosakan yang disebabkan pada rambut anda. Daripada membaiki rambut yang rosak sehinggalah kepada pertumbuhan semula rambut, aloe vera boleh menjadi jawapan kepada semua masalah rambut. Pengamal Ayurveda dan pakar herba percaya ia bermanfaat untuk rambut.
Terdapat banyak cara untuk menggunakan aloe vera untuk penjagaan rambut. Namun, jarang sekali fokus pada minyak rambut aloe vera. Dalam artikel ini, kita bercakap tentang bagaimana aloe vera boleh membantu pertumbuhan rambut dan cara menyediakan minyak aloe vera buatan sendiri.
Cara membuat minyak rambut aloe vera di rumah
Anda perlu:
Ads
2 cawan minyak kelapa/ minyak badam/ minyak zaitun
Daun Aloe vera
Minyak pati rosemary (pilihan)
Balang kaca
Bagaimana cara untuk membuat:
Ambil sehelai daun aloe vera organik segar dan basuh dengan bersih untuk menghilangkan kotoran.
Mula-mula potong tepi daun dan kemudian potong menjadi kiub. Biarkan kiub aloe vera rendam di dalam air selama 5 minit untuk mengalirkan damar kuningnya.
Kisar kiub dalam pengisar untuk membuat pes aloe vera.
Panaskan 2 cawan minyak kelapa dalam kuali dengan api sederhana. Masukkan pes aloe vera ke dalam minyak.
Masak perlahan minyak aloe vera selama 5 minit dan padamkan api.
Minyak akan bertukar sedikit warna kekuningan keemasan.
Tapis minyak dan tambah beberapa titis minyak rosemary.
Simpan minyak aloe vera dalam balang kaca kedap udara sehingga 1-2 bulan.
Cara menggunakan minyak aloe vera untuk pertumbuhan rambut
Ads
Ambil jumlah minyak aloe vera yang diperlukan dalam kuali kecil dan panaskan sedikit.
Urut minyak aloe pada kulit kepala anda. Juga, sapukan pada batang rambut. Basuh rambut dengan syampu lembut (bebas sulfat) selepas 30-45 minit.
Atau anda boleh biarkan minyak rambut semalaman dan basuh pada waktu pagi. Gunakan minyak Aloe vera pada rambut anda sekurang-kurangnya dua kali seminggu untuk melihat hasil yang diinginkan.
Kebaikan Minyak Rambut Aloevera Buatan Sendiri
Minyak aloe vera boleh menembusi jauh ke dalam batang rambut , mencegah kehilangan protein dan membantu mengurangkan kerosakan rambut seperti rambut bercabang. Pemakaian minyak ini secara konsisten menggalakkan pertumbuhan rambut dan bukan sahaja mengurangkan keguguran rambut tetapi juga merangsang pertumbuhan rambut baru.
Ads
Sapuan topikal aloe vera dan minyak kelapa pada kulit kepala boleh melancarkan peredaran darah dan menangani keguguran rambut. Minyak kelapa dengan aloe vera mengurangkan kehilangan keratin dari rambut dan mengekalkannya kelembapan rambut. Minyak ini boleh mengekalkan rambut anda lembut dan beralun.
Jika anda mempunyai kelemumur, tambahkan beberapa titis minyak pokok teh ke dalam minyak aloe dan urut pada kulit kepala. Campuran ini mempunyai sifat terapeutik dan membantu mencegah kekeringan, mengelupas dan kegatalan kulit kepala yang disebabkan oleh kelemumur. Selamat mencuba sis!
Tampil #1 on top dengan fashion muslimah terkini di HIJABISTA!
Download sekarang di
Kehadiran anak adalah satu kurniaan terindah dari Allah SWT. Kalau boleh mahu melihat anak yang dilahirkan dari rahim seorang wanita membesar sempurna. Namun kita hanya merancang dan Tuhan jua yang menentukan. Perkongsian lelaki ini, Muhamad Syafiq di laman sosial beberapa jam lalu meluahkan betapa dia dan isteri reda dengan pemergian bayi selepas 14 hari dilahirkan sebelum bertemu Illahi.
Menceritakan semula detik kelahiran anak syurga ini hingga saat kehilangannya memang begitu menyentuh hati. Lebih mendebarkan ketika isteri memberitahu dia bermimpi didatangi lelaki berjubah. Ternyata perkongsian panjang lebar ini telah mendapat butang share lebih 5 ribu dan butang like pula hampir 10 ribu dari netizen.
Rata-rata melahirkan simpati dengan perkongsian cerita ini dan berharap keduanya dapat bertemu anak syurga ini di jannatul firdausi.
30/09/2018 ( AHAD )
Jarum jam meniti tepat pukul 5.30 petang , isteriku mula menunjukkan tanda-tanda sakit di bahagian peranakkannya . Aku terus mempersiapkan barang-barang kelengkapan bersalin isteriku dan terus memandu tenang ke hospital berdekatan . HUSM Kubang Kerian menjadi pilihan kami pada hari tersebut . Aku menolak perlahan isteriku ke bahagian pendaftaran .
Aku gelisah menunggu kelahiran ‘malaikat kecil’ di bahagian menunggu sementara isteriku sedang menanggung kesakitan di wad 2 Baiduri . Tanpa berlengah aku terus mencapai kain pelikat dan terus membuat solat sunat hajat dihadapan Wad 2 Baiduri tanpa menghiraukan sesiapa yang melihat perbuatan ‘aneh’ ku di kawasan tersebut . Bagi aku asal isteri dan anakku selamat sahaja . Hanya Allah swt tempat aku bergantung harap .
Jam menunjukkan pukul 3.00 pagi isteriku belum melahirkan anak , aku yang keletihan terus tertidur di atas kerusi menunggu beralaskan kain pelikat tadi . Aku bermimpi sesuatu yang aneh , di dalam mimpi tersebut aku bersama isteriku dan satu lagi pasangan sedang mendaki gunung yang sangat tinggi pada waktu malam yang gelap . Tetapi apa yang menghairankan aku pasangan tersebut mendaki sambil mengengdong bayi lelaki mereka tetapi aku dan isteri tidak memangku anak dan akhirnya aku dan isteri sampai dahulu di kemuncak gunung berbanding pasangan tadi . Di kemuncak gunung aku melihat ada satu cahaya bulan purnama yang sangat terang menerangi kami dan memadam kepekatan malam pada hari itu . Apakah petanda mimpi tersebut ?
01/10/2018 ( ISNIN )
Alhamdulillah segala puji bagi Tuhan sekalian alam , pukul 9.30 pagi aku sudah usai khatam Quran dengan pengakhiran surah An-Nas dan kalimat ‘Sodaqallahulazim’ dilafazkan yang bermaksud ‘benarlah kalam Allah yang Maha Agung’ . Berdebar hati ini , berdegup kencang jantung ini menanti namaku dipanggil oleh jururawat bertugas bagi menyaksikan kelahiran anak sulungku .
Jam menunjukkan tepat pukul 10.20 pagi akhirnya isteriku selamat melahirkan anak kami secara normal setelah bertarung nyawa melahirkan anak kami . Bayi seberat 2.89kg diazankan oleh aku sebagai bapa kandungnya . Ya Allah anak aku ! Kata aku yang tidak percaya anak yang selama ini dikandung 9 bulan oleh isteriku kini sudah Allah zahirkan dihadapan aku . Menitis air mata jantanku tanda bersyukur Allah memberikan aku nikmat sebesar ini .
Wajahnya seiras wajahku , putih berseri kemerah merahan , matanya yang bulat dibuka luas melihat dunia . Bayi lelaki ini diberi nama Muhammad Uwais Al-Qarni bin Muhamad Syafiq . Aku diminta oleh guruku untuk ke surau bagi menunaikan solat sunat syukur ke atas kelahiran pertama ini . Ini amanah dari Allah , ini tanggungjawab dari Allah kata guruku kepadaku melalui corong telefon. Tanpa berlengah aku terus turun ke surau bagi melengkapi permintaan guruku .
Seronok gembira hati ini hanya Allah yang tahu , kelahiran anak lelaki sulung ini memberikan seribu makna kepada aku dan isteri . Bagaikan dunia ini ana yang punya .
02/10/2018 ( SELASA )
Hari ini merupakan ulang tahun kelahiran aku yang ke-25 . Kelahiran anak lelaki pertamaku merupakan satu anugerah Allah paling besar sepanjang hidupku , ini adalah hadiah paling berharga yang Allah berikan kepada aku . Aku bersyukur masih diberikan nyawa oleh Allah . Terima kasih emak Norshita Shawal sebab lahirkan abang ke dunia ini . Besar jasa dan pengorbanan emak dan abah . Apabila aku melihat proses kelahiran anak aku dan susah payah isteriku melahirkan anak , baru aku tahu bagaimana emak bersusah payah melahirkan aku ke dunia . Hanya Allah sahaja yang mampu balas jasa emak . Isteriku sudah boleh pulang ke rumah tetapi anak kami tidak boleh pulang bersama atas alasan anak kami kemungkinan disyaki ada jangkitan kuman di bahagian paru-paru .
03/10/2018 ( RABU )
Sedih hati ini melihat katil anak aku ditolak ke dalam wad Nilam 2 (N.I.C.U) atas faktor anak aku dijangkiti kuman di bahagian darah . Kata doktor , isteriku turun air ketuban awal dan demam sewaktu melahirkan Uwais , maka doktor terpaksa kuarintin Uwais di wad tersebut bagi mengelakkan perkara-perkara sebaliknya berlaku . Aku melihat pernafasan anak aku turun dan naik begitu pantas berbanding bayi yang lain . Allahu akhbar ! Hal ini sungguh merisaukan aku dan isteriku . “Nak , cepat sembuh ye , nanti dah sihat , ikut Walid jalan-jalan “ bisikku ke telinga Uwais .
04/10/2018 ( KHAMIS )
Bermulah rutin harianku , ini sudah hari keempat aku ulang alik ke hospital bersama isteriku ke hospital untuk menyusukan anak kami . Jarak hampir 8km dari rumah ke HUSM tidak aku hiraukan , isteriku yang masih di dalam pantang digagahi jua demi untuk melihat perkembangan anak kami dan menyusukan anak soleh kami Muhammad Uwais Al-Qarni . Seperti kebiasaan , sebelum jari jemari ini menyentuh lembut ubun-ubun dan fizikal Uwais , aku akan memberikan salam kepadanya “ Assalamualaikum Muhammad Uwais Al-Qarni , anak soleh Walid “ . Usai meberikan salam pasti anak comel ini akan mengerutkan dahi dan keningnya tanda memberi respons kepadaku . Cerdik sungguh.
05/10/2018 ( JUMAAT )
Hari kelima , tali pusat Uwais dah mula tercabut , Uwais kelihatan sihat dan sedikit bertenaga berbanding sebelum ini . Uwais dah pandai membuat pelbagai reaksi di wajah , mengeliat seperti Umminya , menendang perlahan dan mengigit kuat jari kami seperti bayi yang berusia 5 bulan . Cerdik sungguh kamu wahai anak . Setiap hari kami menunggu dan menemani Uwais di wad tersebut sehingga lewat pukul 1.30 pagi . Aku dan isteriku tidak mengiraukan keletihan dan sakit sakit di badan yang kami alami sepanjang ualng alik ke hospital asalkan sahaja dapat bersama Uwais si cinta hati kami . Ya Tuhan , tak sabar rasanya menunggu anak cerdik ini pulang ke rumah kami .
06/10 – 09/10/2018
Ulang alik ke hospital seperti biasa menjenguk , menjaga , menukar pampers , memandikan dan menidurkan Uwais . Berat Uwais sedikit turun . Proses ultrasounds dilakukan keatas Uwais untuk menentukan tahap kesihatan Uwais . Hari ke 7 , ada satu hal yang terjadi , seperti kebiasaan selepas Uwais bangun dari tidurnya , dia akan mengeliat kepuasan , apa yang mengejutkan kami ialah selepas dia mengangkat tangan ke atas untuk mengeliat , pasti dia meletakkan kedua tangannya di atas dada seperti perbuatan orang sedang qiam dalam solat . Hal ini berterusan sehingga ke hari hari seterusnya . Allahu akhbar !
10/10/2018 ( RABU )
Kami dikejutkan dengan berita Uwais dimasukkan ke wad Nilam 1 (kes lebih berat) , Uwais mula dimasukkan ubat antibiotik tahap kedua kerana ubat antibiotik tahap pertama tidak memberikan tindak balas positif pada darahnya . Uwais mula dipakaikan wayar oksigen di hidungnya bagi menyokong pernafasannya . Sesekali Uwais menangis tanda sakit dan mahukan perhatian dari kami . Uwais bersin berkali-kali . Lucu melihat reaksi anak comel ini bersin . Ya Allah , Engkau sembuhkanlah anak aku ya Allah .
11/10/2018. ( KHAMIS )
Darah Uwais semakin pekat kata doktor , doktor pakar mula mengambil kes Uwais dan anakku akan dikawal sepenuhnya oleh doktor pakar bagi memantau perkembangan Uwais . Kata doktor kuman semakin tinggi di dalam darah anak aku dan kemungkinan akan berlaku pendarahan dalaman keatasnya . Hati ini mula semakin risau , tidur tidak nyenyak , selera makan sudah tiada memikirkan tentang anak sulung kami . Begitu juga dengan isteriku jangankan air , apatah lagi nasi untuk dijamah jauh sekali . Sesiapa yang mempunyai anak pasti tahu bagaimana perasaan ini .
Emak dan abahku sudah pulang ke Pulau Pinang atas sebab bapa saudara aku di Penang semakin tenat . Ini kali kedua Emak dan Abah datang ke Kelantan selepas datang kali pertama pada 1 Oktober lepas .
12/10/2018 ( JUMAAT )
Aku dikejutkan dengan berita kematian bapa saudaraku di Pulau Pinang . Bapa saudara aku yang paling rapat dengan ahli keluarga kami . Aku begitu sedih dengan berita tersebut tambahan pula aku tidak boleh pulang ke Penang atas faktor isteri dan anakku dalam keadaan begini . Sedihku bukan kepalang ibarat jatuh ditimpa tangga . Al-Fatihah untuk Allahyarham Mazlan bin Shawal .
13/10/2018 ( SABTU)
Seharian bersama Uwais bermain , pada hari yang sama isteriku bermimpi telah didatangi seorang lelaki berjubah membawanya ke sebuah bangunan hospital yang sangat besar dan apabila isteriku masuk ke dalam hospital isteri tercinta aku melihat sebujur jasad kaku anak kami Uwais tidak bernyawa . Bangun dari tidur , isteriku menangis tersesak-esak sambil memelukku tanpa menceritakan perihal sebenar mimpi tersebut . Malam hari aku dan isteri bersama Uwais , seperti biasa Uwais minum susu dengan banyaknya tetapi pada hari tersebut susu isteriku sudah kering .
Aku mengusap perlahan kepala anak kesayanganku sambil bercakap dengannya . “ Uwais anak Walid , cepat sihat nak , cepat sembuh , cepat-cepat keluar hospital , semua tunggu Uwais kat rumah . Nanti dah sihat Uwais teman Walid , kita pergi masjid sama-sama ye nak “ kataku sambil matanya merenung tepat kearah mataku , bulat dan hitam penuh anak matanya . Redup dan sayu matanya melihat aku lama lalu tanpa aku sedari mengalir air mata Uwais dan mulut kecilnya terkumat kamit seolah-olah ingin memberitahu sesuatu kepadaku . Jarinya mengemgam kemas jariku tanpa mahu dilepaskan .
Jam menunjakkan pukul 1 pagi , isteriku mahu meletakkan Uwais ke atas katil , hari sudah lewat , kami diminta oleh jururawat untuk pulang tetapi anak kami Uwais tidak mahu melepaskan Umminya , erat dan kemas memeluk tangan isteriku , menangis merengek Uwais apabila mahu diangkat keatas katil seolah olah tidak mahu berpisah dengan Umminya yang telah berada didalam kandungan selama 9 bulan . Dia seperti mahu bersama Umminya sampai ke bila-bila . Aku dan isteri tidak sedap hati dan merasakan bagai ada sesuatu bakal terjadi . Kami meninggalkan Uwais di atas katil dengan beribu kesedihan .
14/10/2018 ( AHAD )
Di subuh yang hening , tiba-tiba telefon aku berdering kuat dan kelihatan nombor hospital tertera di skrin telefon aku , berdebar jantung ini seperti nyawa aku bakal dicabut . “Encik , boleh datang ke hospital dengan segera tak ?” tanya doktor kepadaku . Ya Allah ya Tuhanku , berat sungguh kaki ini nak melangkah .
Sesampainya di wad aku sudah melihat katil Uwais dikelilingi oleh ramai doktor pakar , Uwais sudah tidak sedarkan diri , dia di kelilingi mesin dan alat bantuan pernafasan . Luluh hancur hati ini melihat darah daging aku dalam keadaan begini . Kata yang merawat , Uwais muntah susu dan keluar banyak darah pada pukul 5 pagi tadi . Ya Allah ! Dugaan apa yang Engkau berikan kepadaku ini , baru semalam sahaja Uwais nampak sihat dan bermain dengan Walid dan Umminya , pagi ini Uwais sudah tidak sedarkan diri .
Seharian kami menunggu di wad , kami mengambil peluang untuk pulang ke rumah sebentar untuk mandi dan bersihkan badan . Emak , abah , kakak , adikku dan abang iparku baru sahaja sampai setelah menempuh perjalanan hampir 6 jam dari Pulau Pinang . Jam pukul 9.00 malam sekali lagi hospital menelefon aku , sambil menyuruh aku membawa ahli keluarga terdekat . Petanda apakah ini ?
Sampai di katil Uwais , ketua bahagian perubatan di wad tersebut bersama doktor pakar yang lain sedang membuat sesuatu keatas Uwais , ketika itu hanya Allah yang Maha Mengetahui apa yang aku rasa . Isteriku tidak henti-henti menangis keesakkan sehinggakan ditenangkan oleh jururawat bertugas .
Doktor menjemput aku dan isteri ke bilik perjumpaan dan doktor menerangkan tentang situasi Uwais . “ Encik Syafiq dan Puan Nurul Fatihah, kita dah cuba sehabis baik tetapi Allah yang memegang kita , anak Encik sekarang sudah berada di tahap 50/50 dan kita hanya menunggu keajaiban dari Allah sahaja , bila kita buat ultrasounds kita lihat penuh tumpah darah dalam badan anak Encik , hati dia telah rosak dan pecah “ . Bayangkan kalian berada disituasi aku dan isteri ketika itu .
———————————-
Akhirnya Uwais di pangkuan isteriku dan semasa diribaan isteri tercintaku , satu persatu wayar di badan Uwais dicabut , tekanan nadi dan jantung Uwais semakin lemah , tepat jam 12.15 pagi anak kesayangan kami MUHAMMAD UWAIS AL-QARNI BIN MUHAMMAD SYAFIQ telah dijemput kembali oleh Allah swt setelah genap 14 hari dia bertarung melawan kuman dalam badan . Dilahirkan pada hari Isnin dan diambil kembali oleh Allah juga pada hari Isnin .
Di penghujung detik nafas Uwais yang terakhir aku sempat menyaksikan kaki dan tangan anak syurga ini terangkat sedikit ke atas dan kelopak matanya terbuka melihat tepat kearah kami dan kelihatan anak mata nya yang pekat jernih kehitaman tersebut, tiba-tiba tanpa disedari sekali lagi terbit air matanya mengalir perlahan-lahan mula jatuh ke pipi . Dengan wajahnya yang sayu tanda seolah olah ingin memberitahu Walid dan Umminya bahawa dia akan pergi selama lamnya meninggalkan kami di dunia yang fana ini . Kini tiada lagi rengekan manja Uwais terhadap kami . Luluh jiwa ini .
Kata jururawat yang menjaga dan merawat Uwais sepanjang dua minggu , dia anak yang sangat senang dijaga , tidak banyak ragam dan susah untuk dengar Uwais menangis . Isteriku terus memangku jasad anaknya yang kini sudah tidak bernyawa lagi sambil menegesat air matanya yang tidak henti-henti mengalir . “Uwais , uwais bangun nak , bangun anak Ummi , Ummi rindu Uwais , siapa nak hisap susu ummi lagi , sayang anak ummi…ummi dah halalkan susu ummi untuk Uwais…tak apalah sayang pergilah dengan tenang..” kata isteriku perlahan. Allah , aku yang melihat bagaikan hendak pengsan . Lahaulawala khuwataillahbillah hila’liyula’zim . Kuatkan kami Ya Allah !
Aku redha Ya Allah , aku terima ujian darimu walaupun pedih dan pahit untuk aku tempuh semua ini . Uwais dicipta untuk hidup didunia ini hanya 14 hari sahaja . Perjanjian dia dengan Sang Pencipta telah ditunaikan . Semua ini terasa bagaikan mimpi . Terlalu pantas berlalu namun inilah realiti yang perlu ditanggung oleh aku dan isteri .
Ketahuilah sesungguhnya Ummi & Walid amat merinduimu wahai anak . Kita jumpa di syurga nanti ye nak . Maafkan Walid tak sempat bawak Uwais ke masjid bersama-sama , Walid hanya sempat mengengdong jasad Uwais yang sudah tidak lagi bernyawa ke masjid untuk menunaikan solat jenazah Uwais . Jasad Uwais wangi sangat sangat , selama Walid hidup atas dunia ini tidak pernah sekali Walid bau sewangi wangian Uwais itu .
Bercucuran air mata ini mengalir laju ketika nukilan ini disiapkan . Aku dan isteri masih mencari semangat . Walaupun kami sudah terpisah jasad dengan Uwais , kami berada di atas tanah dan anak tersayang kami di bawah tanah namun roh Uwais Al-Qarni sangat tenang di sana sambil berlari-lari di dalam syurga Allah swt . Aku terima , aku redha .
———————————-
“ Allah tidak membebani seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya, ia mendapat pahala kebajikan yang diusahakannya dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang dilakukannya… (Al-Baqarah: 286)
Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? (Al-Ankabut: 2)
Manakala berkaitan hadith yang menceritakan tentang kanak-kanak yang belum baligh akan menunggu ibubapa mereka di pintu syurga disebut oleh Imam al-Thabarani di dalam mu’jamnya yang diriwayatkan oleh Habibah RA, beliau berkata:
“Aku berada bersama Aisyah RA maka telah datang Nabi SAW sehingga baginda SAW masuk lalu bersabda: Tidaklah dua orang muslim meninggal dunia, di antara keduanya ada tiga orang anak (mereka adalah tiga bersaudara) yang belum berusia dewasa (baligh) kecuali Allah akan datangkan mereka pada hari Kiamat sehingga didirikan pada pintu-pintu syurga lalu dikatakan kepada mereka: Masuklah kamu ke dalam Syurga. Mereka menjawab: Sehingga dimasukkan ibubapa kami. Maka dikatakan kepada mereka: Masuklah kamu dan juga ibubapa kamu ke dalam Syurga”
Terdahulu, kecoh di aplikasi Tik Tok apabila seorang lelaki golongan Orang Kurang Upaya (OKU) warganegara Malaysia menyatakan hasrat hatinya untuk berkunjung ke Tanah Suci Mekah Al Mukarammah dengan berjalan kaki.
Lelaki berkenaan menguar-uarkan berkenaan perjalanan solo sejauh 10,161 kilometer (km) dari Bidor ke Mekah, pada tanggal 24 April yang, menerusi hantaran di aplikasi Tik Tok miliknya.
Terbaharu, lelaki yang dikenali sebagai Herry Nizam itu memaklumkan bahawa, segala usahanya telah membuahkan hasil apabila baru-baru ini dia telah pun berjaya menjejakkan kaki ke Tanah Suci Mekah.
Herry yang secara konsisten merakamkan perjalanan menuju rumah Allah dimana Qiblat pertama umat Islam diturunkan itu telah memeranjatkan orang ramai serta pengikutnya di Tik Tok kerana sampai ke Tanah Suci lebih awal dari jangkamasa yang dianggarkan iaitu tidak sampai sebulan.
Bagi merungkai kekeliruan yang bersarang di kepala para pengikutnya, Herry menjelaskan bahawa dia sebenarnya telag menerima bantuan seseorang yang mahu mempermudahkan perjalananya dan bermurah hati menyumbangkan tiket penerbangan secara percuma dari Bangkok Ke Mekah.
Jelas Herry lagi, meskipun dia pada awalnya ‘berat hati’ untuk menerima tawaran berkenaan kerana tidak mahu menyusahkan sesiapa. Namun, setelah mendengar pandangan dari kawan karibnya dan kerana tidak mahu menghampakan insan mulia yang mahu membantu urusanya menunaikan ibadah umrah, akhirnya Herry memutuskan untuk menerima tawaran tersebut.
Meski menerima kritikan dan kecaman dari segelintir pihak tentang tindakan yang diambil, Herry akui ia tidak mematahkan semangatnya untuk terus berkongsi bahawa dia kini telah pun melaksanakan ibadah umrah.
Menerusi perkongsian video berkenaan, memaparkan Herry yang sudah usai mengerjakan ibadah umrah sedang bertahallul dengan menggunting rambutnya bagi memenuhu rukun umrah di Masjidil Haram.
Mengulas lanjut, Herry menjelaskan bahawa dia berasa terharu kerana tidak menyangka impiannya untuk menjejakkan kaki ke bumi Mekah dimakbulkan Allah.
“Sepanjang perjalanan saya menitis air mata. Terima kasih sahabat saya kerana mendoakan saya sampai ke tahap ini. Jadi, apa-apa kita nak buat kita kena yakin Allah itu Maha Mengetahui segala-galanya,” kata Herry.
Hijabista sempat meninjau ruangan komen hantaran berkenaan dan mendapati rata-rata wargamaya turut tersentuh hati mendengar ungkapan syukur yang meniti di bibir Herry. Tidak kurang juga ramai yang memuji keazaman lelaki OKU ini dan mendoakan agar segala urusannya dipermudahkan.
Sesungguhnya benarlah ungkapan ‘Kun Fayakun’ yang bermaksud jika Allah berkehendak menetapkan sesuatu, maka cukup Allah hanya berkata, “Jadilah, maka jadilah ia”.
Semoga Hijabi dapat mencerap segala perkara positif yabg ditonjolkan Herry dan menjadikan ianya sebagai sumber inspirasi dan pengajaran bagi kita lebih bersemangat mengapai matlamat kita sebagai umat Islam.
Sekadar info, media pernah melaporkan, misi sama dilakukan oleh seorang lelaki dikenali sebagai Adam Muhammad yang menempuh perjalanan sejauh 6,500km dengan berjalan kaki dari rumahnya di Wolverhamppton, England ke Mekah.
Adam yang memulakan perjalanan pada Ogos 2021 mengambil masa selama 11 bulan dan tiba di Tanah Suci Julai 2022 bagi menunaikan haji di usia 52 tahun.
Pelakon utama filem Wawa Semput, Yana Samsudin menerusi satu hantaran video Instagram miliknya, pernah meluahkan rasa tidak puas hati dan bengang terhadap segelintir pihak yang cuba mengaut untung ‘atas angin’ menggunakan gambar serta namanya bagi mempromosikan produk kurus di laman sosial.
Justeru, enggan perkara ini berlarutan hingga memperdaya lebih ramai mangsa, Yana tampil memberi amaran keras kepada peniaga produk, agar memadam posting berkenaan serta merta bersama satu permohonan maaf.
“Ini semua tidak benar dan saya tidak pernah pegang produk ini, saya tidak pernah makan produk ini. Gambar ini telah diedit.”
“Boleh saman orang ini sebenarnya, jadi sebelum saya buat tindakan seterusnya, padam dan buat permohonan maaf! Jangan sampai Kak Yong datang.”
Video amaran berkenaan telah dikongsikan yana di kedua-dua laman sosial rasmi miliknya iaitu di Instagram dan juga Facebook. Jelas Yana lagi, pihak berkenaan membuat satu ‘fake account’ menggunakan nama dan gambarnya untuk tujuan penjualan produk pelangsing berat badan itu sehingga menimbulkan kekeliruan kepada umum.
Yana berkata, modus operandi yang digunakan oleh produk berkenaan adalah mensasarkan pembeli dikalangan para peminat selebriti tanah air seperti dirinya, maka para peminat yang terkeliru akan membeli produk berkenaan seolah-olah dia yang menjualnya.
Meninjau ke laman Facebook, Hijabista mendapati bahawa bukan gambar Yana seorang sahaja yang telah dimanipulasi, terdapat juga beberapa artis popular tanah air lain yang menjadi mangsa produk sama, antaranya Dato’ Siti Nurhaliza, Neelofa dan Mira Filzah.
Lebih membimbangkan apabila produk berkenaan tidak dapat dipastikan keselamatannya, samada ia mengandungi bahan terlarang seperti racun berjadual yang boleh memudaratkan pengguna.
“Sudahlah tipu orang menggunakan gambar selebriti, produk itu pun kita tidak tahu halal ke tidak. Tidak ada KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia). Entah-entah ada produk racun berjadual atau tidak. Entah ada babi,” ujar Yana.
Tak baik cari rezeki dengan cara menganiaya orang macam ni kan? Hijabista doakan agar peniaga tersebut sedar bahawa banyak lagi cara yang lebih baik untuk melariskan produk jualannya daripada menggunakan ‘taktik kotor’.
Tambah Yana lagi, dia tidak akan menerima untuk menjadi duta kepada sesebuah produk secara ‘tangkap muat’ atau sambil lewa sahaja, kerana ia turut bersangkut paut dengan ‘saham akhirat’ sebagai seorang muslimah.
“Bila bercakap mengenai jadi duta, ia bukan kerja yang mudah sebab kita memegang kepercayaan klien, kita adalah ‘muka depan’ kepada sesebuah produk itu. Jadi saya cuba untuk membawa kepercayaan orang dengan sempurna dan sebaik mungkin.
“Untuk saya, kita sebagai duta perlu faham pahit jerih berniaga ni bukan senang. Pastinya bila klien lakukan pelaburan pada kita, kita pun salah seorang pekerja mereka. Jadi kita kena percaya bahawa kita juga sebahagian daripada kaedah pemasaran dan perlu bersama-sama dengan mereka.
“Jujurnya saya pula saya kalau nak bawa sesebuah produk, saya fikir dan pegang saham akhirat itu. Saya akan pilih produk, kalau ia membawa manfaat pada agama, saya akan ambil.
“Malah biarlah sesebuah produk itu tidak memudaratkan orang lain. Misalnya ini Baju Kurung yang menutup aurat, persalinan Muslimah. Malah orang Islam yang jalankan perniagaan ini, kenapa kita tak sama sama menyokong. Jadi itulah, atas rasa ikhlas dan mereka pun jujur dalam berniaga,” katanya.
Terdahulu, Yana berkata demikian ketika ditemui di Sidang Media di Glass House, Seputeh, Kuala Lumpur.
Sekadar info, artikel ini merupakan artikel olahan semula dari HIJABISTA & Media Hiburan
Rahsia kulit flawless Tiffany Young akhirnya terbongkar! Ketahui bagaimana Eucerin Spotless Brightening membantu mencerahkan dan meratakan tona kulit dengan hasil menakjubkan.