Februari 2023 pasti menjadi detik paling diingati oleh Profesor Dr Sharifah Sulaiha Syed Aznal. Detik di mana beliau disahkan menghidap kanser kolon. Hidupnya berubah sekelip mata.

Namun, lima bulan kemudian Dekan Pusat Pengajian Perubatan di International Medical University Malaysia (IMU) ini kembali bertugas selepas berjaya menjalani sebahagian daripada rawatan kemoterapi.

Anak ketiga daripada lima beradik ini dibesarkan oleh ibu bapa yang sentiasa sibuk dengan aktiviti mereka.

“Ayah saya orangnya tak pernah duduk diam dan tidak pernah berkata tidak,” ujar Prof Dr Sulaiha.

Selain bergelar guru, bapanya juga penolong guru besar dan guru disiplin di sekolah. Bapanya juga pernah memegang jawatan pegawai perhubungan untuk Kementerian Pelajaran.

Prof Dr Sulaiha mempelajari banyak perkara daripada bapanya itu seperti cara mendekati orang ramai, bagaimana membuat keputusan pantas serta cara memimpin projek dan kumpulan pekerja.

Beliau sendiri tidak pernah menjangka akan bekerja dalam bidang perubatan. Memetik kata-kata bapanya, jika mahu membuat perubahan untuk membantu negara dan orang ramai, ubah perkara yang perlu diubah. Itulah permulaan Prof Dr Sulaiha menceburi bidang perubatan.

IKLAN

Selepas tamat belajar, Prof Dr Sulaiha pernah bekerja di Scotland, Kemudian, pada pertengahan tahun 1990-an beliau kembali ke Malaysia.

Tugas pertamanya adalah di hospital besar di Kuala Terengganu. Sepanjang berkhidmat, Prof Dr Sulaiha berusaha melakukan yang terbaik. Beliau merupakan sebahagian daripada komuniti yang menyelia jaminan kualiti di hospital.

Berkat usaha Prof Dr Sulaiha, hospital tersebut menjadi hospital terbaik dari segi jaminan kualiti serta menerima beberapa anugerah terbaik. Mereka turut dijemput ke Konvensyen Kebangsaan Pertama mengenai Jaminan Kualiti di negara ini.

Beliau turut memperjuangkan hak doktor. Sebagai setiausaha SCHOMOS (Bahagian Pelatih, Pegawai Perubatan dan Pakar Perubatan) di bawah Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) di Terengganu, Prof Dr Sulaiha menyertai kumpulan yang memperjuangkan isu elaun tugas on call untuk doktor muda.

IKLAN

Usaha beliau membuahkan hasil apabila cadangan itu diluluskan dan dilaksanakan di peringkat nasional.

Untuk info, Prof Dr Sulaiha menyertai IMU sebagai pensyarah pada 2004 dan ketika itu Prof Dr Sulaiha berusia 33 tahun. Pada usia 40 tahun, beliau menerima jawatan Profesor Bersekutu. Pada Januari 2023, beliau menjadi Dekan Fakulti Perubatan.

Lapan tahun lalu, Prof Dr Sulaiha mengetuai pasukan untuk mendesak penempatan kerja menjadi sebahagian daripada dasar universiti yang merentasi semua program. Ia bagi memastikan kesediaan bekerja graduan dan meningkatkan kebolehpasaran mereka.

Beliau turut mengetuai pasukan petugas bagi mengubah Pusat Kemahiran Simulasi Klinikal IMU menjadi sebuah jabatan bebas dengan kapasiti untuk berkhidmat kepada seluruh universiti sekaligus memberi manfaat kepada pelajar prasiswazah dan pascasiswazah.

IKLAN

Terbaharu, di Fakulti Perubatan beliau pemangkin kepada kurikulum baharu yang dilancarkan pada 2021. Ia bagi memastikan pelajar mendapat pendedahan dan hasil pembelajaran terbaik sambil mewujudkan platform pembelajaran dengan lebih banyak interaksi antara pelajar dan pensyarah.

Pesan Prof Dr Sulaiha, perkara paling penting untuk kita tahu terutamanya wanita ialah kita tidak mampu lakukan sesuatu secara bersendirian.

“Ia adalah mengenai kerjasama. Saya ada apabila diperlukan, dan mereka ada ketika saya perlukan mereka,” katanya.

WANITA DALAM BIDANG PERUBATAN
Menurut Prof Dr Sulaiha yang merupakan pakar obstetrik dan ginekologi, salah satu isu berkaitan ialah pengambilan ujian pap smear bagi mengesan kanser serviks.

“Kita masih bergelut untuk meyakinkan wanita agar melakukannya,” tutur Prof Dr Sulaiha sambil menjelaskan walaupun pihak swasta dan kerajaan mengambil inisiatif menawarkan ujian namun kadar pengambilan ujian tetap rendah.

“Kita perlu menjelaskan kepada golongan wanita bahawa kita ada ahli profesional kesihatan wanita iaitu doktor dan jururawat yang boleh melakukan ujian itu untuk mereka.”

Hijabista mendoakan agar Prof Dr Sulaiha terus sukses dan menjadi inspirasi kepada seluruh wanita.

Tampil #1 on top dengan fashion muslimah terkini di HIJABISTA!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI