
Oil gritting kembali menjadi perhatian apabila dikatakan mampu membantu menghilangkan blackhead dengan hanya menggunakan minyak wajah. Blackhead atau bintik hitam terutama di bahagian hidung memang antara masalah kulit yang sering mengganggu penampilan.
Selain membuatkan tekstur kulit kelihatan kasar, pori-pori yang tersumbat juga boleh menyebabkan wajah nampak kusam.
Sebab itulah apabila muncul sahaja ‘beauty hack’ yang dikatakan mampu membersihkan blackhead dengan mudah, ramai yang cepat tertarik untuk mencubanya.
Terbaharu, teknik dikenali sebagai ‘oil gritting’ kembali viral di TikTok. Hanya menggunakan minyak wajah, teknik ini dikatakan mampu membantu ‘mengeluarkan’ blackhead tanpa perlu melakukan ekstraksi di klinik kecantikan.
Namun, betul ke teknik ini benar-benar berkesan?

Apa Itu Oil Gritting?
‘Oil gritting’ merupakan teknik yang menggunakan produk berasaskan minyak pada kulit sebelum wajah diurut atau digosok selama sekitar 10 hingga 15 minit.
Tujuannya adalah supaya blackhead, minyak dan kotoran yang tersumbat di dalam pori-pori dapat terangkat ketika proses tersebut dilakukan.
Selepas selesai, wajah akan dibilas menggunakan air suam dan dikeringkan dengan kain atau tuala lembut.
Malah, beberapa pengguna TikTok yang mencuba teknik ini mendakwa pori-pori mereka kelihatan lebih kecil dan blackhead berjaya dikeluarkan.
Walaupun perubahan yang ditunjukkan menerusi video mungkin kelihatan menarik, apa yang berlaku pada kulit seseorang tidak semestinya akan memberikan hasil sama kepada individu lain. Keadaan kulit, jenis produk yang digunakan serta cara teknik itu dilakukan juga boleh mempengaruhi tindak balas kulit.

Oil Gritting Berkesan? Pakar Kata Belum Ada Bukti Klinikal
Walaupun nampak meyakinkan dalam video media sosial, pakar dermatologi, Dr Anar Mikailov menjelaskan bahawa sehingga kini masih belum terdapat kajian klinikal yang membuktikan ‘oil gritting’ sebagai kaedah eksfoliasi yang benar-benar berkesan.
Menurutnya, teknik tersebut sebenarnya pernah popular sejak penghujung 2010-an sebelum kembali menjadi trend di TikTok.
Pakar dermatologi, Dr Blair Murphy-Rose pula menjelaskan bahawa minyak bukanlah bahan terbaik untuk digunakan sebagai eksfoliator.
Malah, minyak juga berpotensi meninggalkan sisa pada kulit sekiranya wajah tidak dibersihkan dengan sempurna selepas itu.
Justeru, hasil yang kelihatan selepas mengurut wajah tidak seharusnya terus dianggap sebagai bukti bahawa teknik tersebut benar-benar mengeluarkan semua blackhead atau membersihkan pori-pori secara menyeluruh.
Kulit Berminyak Dan Berjerawat Perlu Lebih Berhati-Hati
Bagi Hijabi yang mempunyai kulit berminyak atau mudah berjerawat, teknik ini mungkin bukan pilihan terbaik.
Menggosok kulit terlalu kuat dan berulang kali boleh menyebabkan iritasi. Lebih-lebih lagi jika menggunakan minyak yang tidak sesuai dengan jenis kulit.
Menurut Dr Blair, penggunaan minyak pada seluruh wajah sebelum menggosoknya berpotensi memburukkan keadaan kulit berminyak dan mudah berjerawat.
Bukannya membersihkan pori-pori, teknik tersebut mungkin menyebabkan kotoran kembali masuk ke dalam pori dan seterusnya mencetuskan jerawat.
Disebabkan itu, penting untuk tidak menganggap semua teknik yang menggunakan bahan berasaskan minyak akan sesuai dengan setiap jenis kulit. Mereka yang mempunyai kulit sensitif juga perlu lebih berhati-hati dengan kaedah yang melibatkan proses menggosok kulit untuk tempoh yang lama.
Cara Lebih Selamat Bersihkan Pori-Pori
Daripada terlalu agresif menggosok wajah, Dr Anar mencadangkan eksfoliasi secara lembut menggunakan pencuci yang mengandungi salicylic acid.
Bahan ini lazimnya digunakan bagi membantu membersihkan minyak serta sel kulit mati yang boleh menyumbat pori-pori.
Selain itu, beberapa bahan aktif lain juga boleh dipertimbangkan seperti:
Retinol atau Bakuchiol
Membantu menyokong proses pembaharuan kulit serta penghasilan kolagen. Apabila kolagen berkurangan seiring pertambahan usia, pori-pori juga boleh kelihatan lebih besar.
AHA dan PHA
Kedua-duanya merupakan bahan eksfoliasi yang boleh membantu menanggalkan sel kulit mati dengan lebih terkawal.
Bagaimanapun, elakkan menggunakan terlalu banyak bahan aktif dalam satu masa, terutama jika kulit sensitif atau belum biasa dengan bahan tersebut.
Memperkenalkan bahan aktif secara berhati-hati juga membolehkan seseorang melihat bagaimana kulit bertindak balas sebelum menambah produk lain dalam rutin penjagaan kulit.
Jangan Terus Percaya Beauty Hack Oil Gritting Yang Viral
Melihat bintik-bintik kecil keluar daripada kulit selepas mengurut wajah memang boleh memberikan kepuasan tersendiri. Namun, hasil yang kelihatan ‘instant’ di media sosial tidak semestinya bermaksud teknik tersebut sesuai untuk semua orang.
Jenis dan keadaan kulit setiap individu berbeza.
Trend penjagaan kulit yang viral juga tidak seharusnya menggantikan rutin yang sesuai dengan keadaan kulit sendiri. Apa yang memberikan hasil kepada seseorang mungkin menyebabkan iritasi atau masalah lain kepada individu yang mempunyai jenis kulit berbeza.
Jika blackhead terlalu banyak, kulit sering meradang atau masalah jerawat semakin teruk, sebaiknya dapatkan nasihat doktor atau pakar dermatologi.
Kesimpulannya, ‘oil gritting’ mungkin sedang viral, tetapi itu tidak bermakna Hijabi perlu terus mencubanya. Dalam penjagaan kulit, teknik yang lembut, rutin yang konsisten dan pemilihan bahan yang sesuai dengan jenis kulit jauh lebih penting daripada mengejar hasil segera.
Sumber : Walipop
Tampil #1 on top dengan fashion muslimah terkini di HIJABISTA!
Download sekarang di

