Selebriti terkenal negara, Neelofa telah mendirikan sebuah pertubuhan kebajikan pertamanya yang diberi nama Pertubuhan Kasih Neelofa.
Bukan hanya cantik malah memiliki hati yang baik, ujarnya idea itu tercetus beberapa tahun lalu dan dia melihat pertubuhan tersebut merupakan platform terbaik untuknya terlibat dengan masyarakat secara total.
Pertubuhan Kasih Neelofa merupakan pertubuhan peringkat kebangsaan yang diterajuinya bersama ibu, ibu saudara dan Ustaz Adam.
“Sejujurnya, saya telah lama berhajat untuk membangunkan sebuah badan kebajikan demi membantu golongan yang memerlukan.Tapi, saya tidak mahu ia berjalan tanpa melibatkan saya secara keseluruhan. Saya mahu memberi fokus seratus peratus dan benar-benar mendalami masalah yang dihadapi oleh masyarakat.
“Sebagai contoh, jika saya terlihat seseorang yang memerlukan bantuan di Twitter, saya akan cuba mendekati individu tersebut dan terus berhubung dengannya. Saya mahukan pendekatan seperti itu,” kata Neelofa kepada Gempak.
Menariknya, Pertubuhan Kasih Neelofa merangkumi 3 teras utama iaitu Keagamaan, Kemasyarakatan dan Bantuan Untuk Golongan Kurang Bernasib Baik yang dibangunkan untuk membantu masyarakat dengan pemberian sumbangan secara konsisten serta menyeluruh.
Jelasnya, Teras Keagamaan meliputi apa sahaja aktiviti seperti program keilmuan dan program keagamaan. Sementara itu, untuk teras Kemasyarakatan, mereka akan cuba mendekati komuniti dengan melaksanakan program-program bersama tenaga kerja Pertubuhan Kasih Neelofa dan para sukarelawan.
“Bagi teras Bantuan Untuk Golongan Kurang Bernasib Baik pula, kami memfokuskan kepada mereka yang terpinggir dan kurang berkemampuan seperti asnaf, ibu tunggal dan anak yatim. Kami akan cuba mendekati golongan ini dengan lebih rapat, mendengar keluhan dan masalah mereka, dan kemudian cuba meringankan beban melalui bentuk sumbangan atau penganjuran aktiviti-aktiviti amal,” katanya lagi.
Di samping itu, dia turut menubuhkan Syarikat Kasih Neelofa Resource, iaitu sebuah entiti yang berfungsi untuk menjana pendapatan untuk menggerakkan Pertubuhan Kasih Neelofa.
“Kasih Neelofa Resources pula merupakan sebuah platform yang boleh dijadikan sebagai medium untuk menjual pelbagai item kepada pengguna dan keuntungan daripada hasil semua jualan akan disalurkan sepenuhnya ke tabung pertubuhan.
“Selain itu, inisiatif ini juga dapat memberi galakan kepada mereka di luar sana yang berkemampuan untuk sama-sama menyumbang dan membantu golongan yang memerlukan,” jelas pelakon drama Red Velvet ini.
kredit: Astro Gempak
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI