Dalam kita seronok meraikan cahaya Aidilfitri kali ini, ada juga di kalangan selebriti yang bersedih kerana kehilangan insan tersayang. Terbaru penyanyi dan juga penyampai radio di Zayan FM, Mawi yang pernah mencetus fenomena suatu ketika dulu, telah kehilangan ibu tersayang, pada Syawal mulia.
Ibunya, Ramlah Sarlan yang meninggal dunia pada usia 73 tahun pada waktu Maghrib bersamaan 15 Syawal di rumah di Felda Taib Andak, Kulai, Johor. Sebelum itu, arwah yang berdepan masalah kesihatan kerana komplikasi beberapa penyakit dimasukkan ke hospital sejak Syawal kelima.
Walaupun Mawi bersedih dengan kehilangan ibunya ini, tetapi dalam masa sama berasa tenang dan bersyukur kerana dapat menjaga arwah dari awal hingga ke akhir hayatnya.
Bukan sahaja Mawi atau nama penuhnya Asmawi Ani, malah isterinya Nora’Asikin Rahmat atau Ekin juga turut terkesan dengan kehilangan ibu mertua yang disayangi ini.
Ketika dihubungi Hijabista baru-baru ini dia menyatakan kesedihannya dengan berita pemergian insan tersayang berkenaan.
“Memang Ekin rasa sedih dengan kehilangan mak. Hubungan kami memang sangat rapat dan baik. Kali terakhir bertemu dengan Mak dua hari sebelum arwah meninggal dunia. Masa itulah kali terakhir kami menjaga Mak di Hospital.
“Mak meninggal ketika kami berdua tiada di sisinya. Dua hari lepas menjaganya di Hospital Kulai, mak menghembuskan nafas terakhirnya,” ujar Ekin terkenang momen manis semasa hayatnya arwah
Ads
Menurut Ekin, dia cukup kagum melihat kelebihan arwah ibu mertuanya itu walaupun sudah berusia tetapi boleh mengajar anak-anak orang kampung mengaji hanya dengan mendengar sahaja.
“Ekin memang respek dengan arwak Mak. Dia boleh ajar anak-anak orang kampung mengaji hanya dengan mendengar sahaja tanpa melihat kitab atau muqaddam.
Ads
“Itu pencapaian yang sangat hebat dan momen paling manis untuk Ekin kenang sampai bila-bila. Mak memang jenis kurang bercakap, tetapi suka tengok gelagat anak-anak dan cucunya.
“Lagi satu apa yang Ekin sedari, arwah juga ketika hayatnya seorang ibu yang sangat-sangat kuat dan tinggi tahap redanya. Biarpun pelbagai dugaan hebat yang datang, Mak tetap tenang menghadapi segalanya,” tambahnya lagi ketika ditanya ajaran arwah yang akan diingati sampai bila-bila.
Untuk pengetahuan, Ekin dan Mawi berkahwin pada tahun 2008 dan diraikan dalam satu majlis penuh gemilang. Pasangan yang sudah 10 tahun mendirikan rumah tangga ini dikurniakan seorang anak, Cahaya Malaika kini berusia 6 tahun.
Kenapa tiada orang hendakkan aku? Aku ni tak cantik ke? Apa kurangnya aku? Sampai bila aku hendak hidup sendiri?” Barangkali itu antara persoalan yang terbiasa daripada minda seseorang apabila merasakan begitu lambat dan ‘berat’ jodohnya.
Meskipun pelbagai usaha telah dilakukan, namun rezekinya dalam hal jodoh masih belum berpihak kepadanya.Belum pun reda segala persoalan yang bersarang di minda itu, orang di sekeliling pula ‘mengasak’ dengan pertanyaan-pertanyaan jodoh yang tidak mampu dijawab.
“Mengapa jodoh saya lambat?” tanyanya penuh sayu.
Saya terdiam. Tunduk. Gadis berusia hampir 40-an itu terus menagih jawapan. Rakannya di sebelah membisu sejak tadi. Hanya setia menemani.
“Saya tidak tahu. Tetapi yang pasti, itu juga satu kebaikan.”
“Kebaikan?” tanyanya kehairanan.
“Ya. Kebaikan. Jodoh itu soal takdir yang telah ditentukan di alam rahim lagi,” jelas saya.
“Saya sayu, kadangkala malu. Berbagai-bagai gelar yang diberikan oleh sebahagian masyarakat buat wanita seperti saya; andalusia, andartu dan macam-macam lagi. Paling malu bila ditanyakan soalan, sudah kahwin ke belum?”
Saya tercari-cari kata untuk memberi jawapan. Soalan ini jika disusuri akan kembali jua ke pangkalnya yakni soal akidah. Soalan ini akan menyentuh soal takdir. Apabila menyentuh takdir tentunya melibatkan soal akidah.
Sebelum memahami takdir-Nya, kita perlu mengenali Allah terlebih dahulu. Lalu saya teringat akan kata-kata Ibn ‘Ataillah dalam satu hikmahnya,“mestinya ujian terasa ringan ketika engkau mengetahui bahawa Allahlah yang memberimu ujian. Dia yang menetapkan takdir atasmu ialah Dia yang selalu memberimu pilihan terbaik.”
“Saya merasai apa yang cik rasakan. Namun sebenarnya tidak ada apa yang hendak dimalukan. Dalam soal ini cik tidak melakukan sebarang dosa. Bukannya cik mendedahkan aurat, bergaul bebas atau melanggar batas-batas syariat dan akhlak. Tidak ada apa yang hendak dimalukan. Lambat dapat jodoh bukan sesuatu yang berdosa untuk dimalukan. Itu takdir.”
“Tetapi saya sering ditanya soal jodoh.”
“Mereka yang menyoal kerana memang tidak tahu atau ingin tahu, tidak mengapa. Tetapi kalau pertanyaan itu bertujuan memalukan dan menghina, itu memang satu kesalahan. Mereka yang sedemikian sebenarnya bukan sahaja menghina seorang manusia yang tidak bersalah tetapi lebih daripada itu mereka telah mempersoalkan takdir Allah!” jawab saya memberi penjelasan.
Rakan di sebelahnya mengangguk-angguk. Saya tidak pasti kalau-kalau dia juga mengalami cabaran yang sama.
“Oh, kalau begitu mereka yang menghina diri mereka sendiri, bukan menghina saya,” tambahnya.
Saya mengangguk berkali-kali. Mengeyakan. Syukur, dia mula faham.
“Tetapi mengapa ustaz katakan tadi yang semua ini satu kebaikan?”
“Apa yang ditakdirkan Allah semua kebaikan,” balas saya cepat.
“Mengapa?’
“Kerana Allah sayangkan hamba-Nya.”
“Saya belum nampak begitu.”
“Saya pun belum nampak juga.”
“Jadi bagaimana ustaz boleh beranggapan begitu?”
“Sangka baik. Kita perlu sangka baik kepada Allah walaupun ada kalanya hati kita belum nampak kebaikan di sebalik takdir-Nya. Tetapi kita tetap yakin pasti ada kebaikan. Cuma kita sahaja yang belum nampak.”
“Agaknya apa kebaikan di sebalik lewatnya jodoh saya ini,” tanyanya lagi.
Saya terdiam lagi. Tersentak dengan pertanyaan itu. Mana mampu ilmu manusia yang terbatas dapat menjangkau ilmu Allah yang Maha Luas.
Namun, tidak salah kalau akal kita terus mencari kebaikan. Inilah mungkin yang disebut think positive seperti yang selalu dipesankan pakar-pakar motivasi.
“Mungkin Allah melambatkan, justeru untuk memberi jodoh yang terbaik buat saudari nanti.”
“Lagi?”
“Mungkin untuk memberi masa yang lebih lama buat saudari bersedia menjadi isteri yang solehah kelak. Bukan mudah untuk menjadi isteri solehah.”
“Hmm,” gumamnya sambil tersenyum.
Saya terus memandang ke bawah.
“Apa kata kalau saya ditakdirkan terus tidak bertemu jodoh sehingga meninggal dunia? Masih ada kebaikan jugakah?” tusuknya tiba-tiba.
“Saya tidak mampu membaca hikmah di sebalik takdir. Namun seperti yang saya katakan sebelum ini, apa jua yang ditetapkan Allah pasti baik. “
“Sekali lagi, kalau saya mati sebelum berkahwin, apakah ada kebaikannya buat saya?” tanyanya semakin mendesak.
“Insya-Allah.”
“Apa kebaikannya?”
“Saudari akan selamat daripada menjadi isteri yang derhaka.”
Spontan dan secara tiba-tiba jawapan itu meluncur dari mulut saya. Ketika itu saya teringat satu hadis daripada Rasulullah yang pernah saya dengar semasa dalam kelas pengajian bab munakahat puluhan tahun yang lalu; “ … aku melihat kebanyakan penghuni neraka ialah wanita.”
Para sahabat pun bertanya: “Mengapa (demikian) wahai Rasulullah?”
Baginda menjawab: “Kerana kekufuran mereka.”
Kemudian ditanya lagi: “Apakah mereka kufur kepada Allah?”
Baginda menjawab: “Mereka kufur terhadap suami mereka, kufur terhadap kebaikan-kebaikannya. Kalau engkau berbuat baik kepadanya sekian lama kemudian dia melihat sesuatu pada dirimu (yang tidak dia sukai) nescaya dia akan berkata : ‘Aku tidak pernah melihat sedikit pun kebaikan pada dirimu.’” (Riwayat al-Bukhari)
Melihat dia diam saya menyambung, “jika saudari ditakdirkan tidak berkahwin anggaplah itu kasih sayang Allah yang mahu menyelamatkan saudari daripada menjadi isteri yang derhaka.”
Pada ketika juga saya teringat satu soalan daripada seorang anak yatim piatu ketika saya memberi kuliah bertajuk Rasul Anak Yatim. Semasa dia bertanya, “mengapa Allah takdirkan saya menjadi yatim piatu ketika usia saya sebegini muda?”
Spontan saya menjawab, “syukurlah kerana Allah hendak menyelamatkan kamu daripada menjadi anak yang derhaka. Bukan mudah menjadi anak yang soleh.” Begitu jugalah jawapan saya ketika ditanya, “Mengapa saya buta?” “Mengapa Allah jadikan saya bisu?”
Apalagi yang kita boleh kita katakan sebagai hamba Allah? Kita hanya mampu pasrah dan menyerah atas keyakinan Allah Maha Pengasih, Maha Penyayang, Maha Mengetahui. Allah lebih tahu apa yang baik untuk kita berbanding diri kita sendiri.
Bukankah Allah berfirman: “Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui.” (Al-Baqarah 2: 216)
Saya tersenyum. Terasa malu pula ketika ditanya begitu. Namun saya tahu, dia benar-benar inginkan kebenaran. Justeru inginkan kebenaran maka dia tidak segan silu lagi bertanya begitu.
“Saya tidak tahu. Tetapi bukankah kecantikan itu sangat relatif sifatnya? Kecantikan itu ditakrif dan dilihat dari dimensi yang berbeza-beza. Cantik di mata saudari, tidak semesti cantik di mata orang lain. Begitulah sebaliknya. Namun, soal jodoh ini bukan ditentukan oleh cantik atau tidaknya seseorang,” ujar saya.
Lega hati kerana dapat menjawab begitu. Itulah hakikatnya. Dalam pengalaman saya, ada wanita yang kurang cantik tetapi telah bertemu jodohnya. Ada pula yang lebih cantik, tetapi belum juga bertemu jodohnya.”
Untuk memahamkan hakikat itu saya kongsikan satu hadis panjang ada yang menjelaskan tentang ketentuan jodoh dan kematian. Kebetulan (sebenarnya tidak ada kebetulan di sisi Allah), hadis itu telah saya muatkan dalam buku Mukmin Profesional yang berada di tangan saya ketika itu.
Rasulullah bersabda, “sesungguhnya setiap kalian dikumpulkan penciptaannya di perut ibunya sebagai setitis mani selama 40 hari, kemudian berubah menjadi setitis darah selama 40 hari, kemudian menjadi segumpal daging selama 40 hari.
Kemudian diutus kepadanya seorang malaikat lalu ditiupkan padanya roh dan dia diperintahkan untuk menetapkan empat perkara; rezekinya, ajalnya, amalnya dan kecelakaan atau kebahagiaannya.
Demi Allah yang tidak ada Ilah selain-Nya, sesungguhnya antara kalian akan ada yang melakukan perbuatan ahli syurga hingga jarak antara dirinya dengan syurga tinggal sehasta. Namun telah ditetapkan baginya ketentuan, dia melakukan perbuatan ahli neraka maka masuklah dia ke dalam neraka.
Sesungguhnya antara kalian akan ada yang melakukan perbuatan ahli neraka hingga jarak antara dirinya dengan neraka tinggal sehasta, akan tetapi telah ditetapkan baginya ketentuan, dia melakukan perbuatan ahli syurga maka masuklah dia ke dalam syurga. (Riwayat al-Bukhari)
“Alhamdulillah, semoga saya dapat menerimanya dengan rela hati. Ilmunya sudah saya terima. Mudah-mudahan kebenarannya dapat saya hayati dan rasai. Ya, saya sepatutnya bersyukur.”
“Bersyukur? Bagaimana?” Giliran saya pula bertanya.
“Buat pengetahuan ustaz, pernah ada orang menyarankan pelbagai cara untuk mempercepatkan jodoh. Ada antaranya melibatkan ilmu hitam. Saya tahu itu syirik. Alhamdulillah, walaupun terdesak saya tidak akan sekali-kali menggadaikan akidah.”
“Tahniah saudari. Akidah yang benar lebih bernilai daripada segala-galanya. Apa gunanya mendapat suami, tetapi dengan cara yang menjejaskan akidah. Mudarat syirik itu lebih parah daripada tidak mendapat jodoh.”
Dia diam. Menungnya panjang. Dalam hati saya mendoakan agar dia bertemu jodohnya. Insya-Allah, dia wanita solehah. Namun, sekuat mana pun iman kita, ada ketikanya ujian akan menyebabkan kita celaru dan keliru.
Justeru itulah pentingnya ada usaha berpesan-pesan dalam perkara kebenaran dan kesabaran. Apalagi soal takdir yang begitu seni dan misteri liuk lentoknya. Namun, dituntut untuk berusaha dan bertawakal.
“Jom kita usahakan bersama untuk terus mencari,” kata saya.
“Alhamdulillah kerana ustaz sedia membantu.”
Dalam diam saya berdoa. Sungguh-sungguh.
“Mari kita mulakan dengan bersedekah.”
“Bersedekah? Bukan berdoa?” tanyanya.
“Sedekah itu lebih tajam dan mustajab daripada doa.”
“Kemudian?”
“Teruskan mujahadah untuk menjadi wanita solehah sambil menagih janji Allah. Mari kita gandakan usaha menjadi baik berbanding mencari yang baik. Insya-Allah, wanita solehah layak mendapat lelaki yang soleh sebagai hadiah daripada Allah.”
“Dan jika yang soleh itu belum datang juga, Allah akan menentukan sesuatu yang lebih baik untuk itu,” katanya sambil tersenyum.
Saya senyum. Syukur dia faham. Mudah-mudahan Allah memberikannya hati yang tabah untuk mendepani masalah. Itulah hati emas. Itulah jodohnya yang terbaik!
Allahu yang penting kita bersangka baik dengan ketentuan Allah. Sebaik-baik perancang hanya dariNya.
Tampil #1 on top dengan fashion muslimah terkini di HIJABISTA!
Download sekarang di
Siapa tak kenal dengan usahawan selebriti popular, Noor Neelofa Mohd Noor (Lofa) yang juga isteri kepada pendakwah bebas Haris Ismail.
Baru-baru ini Neelofa telah berkongsi bagaimana suaminya telah berjaya mengubah perspektif dirinya tentang ‘konsep rezeki’ dalam Islam.
Perkara berkenaan dimaklumkan Lofa ketika membuat siaran langsung di laman Tik Tok bersama pelakon jelita, Puteri Sarah Liyana.
Jelas Lofa sebelum ini dia terlepas pandang, konsep bersyukur walaupun telah dikurniakan banyak rezeki oleh Allah. Malah dia sentiasa merasa kekurangan dan tidak mencukupi dengan apa yang diperolehinya.
“Saya sangat faham, terutamanya bila awak kata dulu dapat banyak tapi tak pernah rasa cukup.
“Tapi saya banyak belajar selepas berkahwin daripada suami saya. Dia banyak sedarkan saya tentang aspek kesyukuran.
“Family saya menjadi saksi daripada saya tiada apa-apa sehinggalah saya berada di tahap ini. Bila ada orang baru masuk dalam hidup saya, daripada sudut pandangan dia pandang saya berbeza,” ujarnya.
Selain itu, Lofa turut berkongsikan kepada Sarah, bagaimana Haris berjaya mengubah persepsi dirinya melihat konsep rezeki dan kesyukuran dalam Islam walaupun menerima rezeki hanya sebesar zarah sahaja.
“Dia (Haris) selalu cakap dekat saya untuk banyak bersyukur sebab apa yang Allah bagi pada saya, tak sebanyak macam Allah beri pada orang lain. Contohnya, orang-orang yang minat dan sokong saya, sentiasa mendoakan awak dan itu adalah salah satu bentuk rezeki juga.
Malah, Lofa akui kerana dibesarkan dalam keluarga yang sentiasa mendapat perhatian dan ‘spotlight’ dari peminat, cara dirinya melihat konsep rezeki dahulu agak berbeza berbanding sekarang.
Jelasnya, ketika itu, dia sentiasa merasa mahukan sesuatu lagi dan lagi dan tak pernah merasa cukup.
Ujarnya lagi, ini sangat berbeza dengan perilaku Haris yang sangat menghargai sekecil-kecil pemberian yang diterima dari sesiapa pun.
“Haris ni benda paling kecil yang dia dapat pun dia sangat bersyukur dan hargainya. Pada saya perkara tu sangat mudah dan biasa.
“Tapi apabila dia zahirkan benda tu dengan penuh rasa bahagia dan syukur terhadap satu perkara, jadi lama-lama saya sedar mungkin inilah apa yang orang lain akan rasa apabila terima sesuatu,” dedah Lofa.
Justeru daripada perilaku Haris ini, Lofa akui dia dapat belajar banyak perkara melibatkan rezeki dan mengapa kita perlu bersyukur terhadap setiap sesuatu yang diberikan Allah di dalam kehidupan kita.
“Secara tak langsung saya banyak belajar cara untuk munasabah dan fikir semula.
“Katakanlah kalau Allah bagi kita rezeki yang besar, duit yang tak pernah putus, rumah berpuluh biji tapi semua itu belum janji kebahagiaan.
“Kebahagiaan akan datang daripada keberkatan dalam punca rezeki dan sifat yang ada rasa syukur,” jelasnya.
Untuk Rekod, pada 27 Mac 2021, Neelofa telah mengakhiri zaman bujang bersama jejaka pikihan hatinya, pendakwah bebas yang juga pelakon, PU Riz di Hotel Grand Hyatt Kuala Lumpur.
Pasangan merpati dua sejoli itu, kemudian dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Muhammad Bilal yang dilahirkan pada 29 Januari 2022 sebagai penyeri hidup dan pengikat kasih sayang antara Neelofa dan Haris Ismail.
Berhijab adalah tuntutan Islam untuk golongan hawa. Pemakaian hijab adalah sebahagian daripada pelaksanaan perintah menutup aurat oleh Allah SWT. Apabila seseorang itu sebelumnya belum berhijab dan kemudiannya berhijab, kemudiannya membuka semula hijabnya atas alasan tertentu, pasti ia mengejutkan.
Timbul persoalan, apakah hukumnya seorang Muslimah yang sebelumnya memakai tudung kemudiannya membuka tudung atas alasan-alasan tertentu. Berikut pencerahan seperti yang dipetik dari aman Web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
SOALAN:
Apakah hukum seorang wanita yang awalnya memakai tudung disebabkan sesuatu tapi sampai satu masa dia membuka tudung kerana ia merasakan memakai tudung itu bukan dirinya yang sebenar, lalu dia buka tudung kerana merasakan isu dirinya yang sebenar.
JAWAPAN:
Firman Allah dalam surah an-Nur, 24:31:
وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُيُوبِهِنَّ
Maksudnya: “Dan hendaklah mereka (wanita Muslimah) menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka;”
Berkata Imam Ibn al-Jarir al-Tabari Rahimahullah dalam Jami` al-Bayan (19/159): “Yakni hendaklah para wanita itu melabuhkan tudung kepala mereka menutup dada-dada mereka supaya tertutup juga dengan itu rambut, tengkuk dan telinga mereka.”
Berkata Syeikh al-Maraghi dalam Tafsir-nya (18/99): “Wanita pada zaman dahulu menutup kepala mereka dengan khimar (tudung) dan melabuhkan hujung tudung itu ke belakang badan supaya terdedah leher dan dada mereka, seperti kebiasaan zaman Jahiliyyah, lalu mereka dilarang syarak daripada berbuat sebegitu lagi.”
Berkata Sayyidatuna Aisyah RA: “Semoga Allah merahmati kepada kaum wanita Muhajirin yang awal. Mereka, apabila Allah menurunkan ayat : وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُيُوبِهِنَّ, mereka lantas mengoyakkan kain Murat (sejenis tekstil yang diperbuat daripada bulu bebiri) mereka lalu mereka jadikan sebagai tudung.”
Ini merupakan dalil jelas tentang kewajipan menutup aurat dan inilah yang disepakati oleh para ulama.
Ucapan sebegini adalah berbahaya kerana ditakuti padanya mengandungi unsur kekufuran. Berkata Syeikh Muhammad al-Zuhaili hafizhahullah: “Jika seorang muslim mengingkari suatu hukum syarak yang sudah disepakati ke atasnya dan mudah diketahuinya dalam agama, maka dia sudah kafir.”
Rujuk al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie (5/233). Justeru sewajarnya seorang Muslim itu mengelakkan sedaya mungkin menyebut “Ingin menjadi diri sendiri” sebagai justifikasi terhadap maksiat yang dia lakukan.
Adapun jika dia menyebut perkataan itu kerana dia tidak mahu menutup aurat tetapi dia mengiktiraf bahawa dia tertakluk kepada hukum syarat tersebut, maka hukumnya adalah fasiq dan kufur nikmat.
“Sekiranya seseorang itu beri`tikad dan mengakui bahawa semua hukum syarak yang telah disepakati dan diketahui dalam agama secara darurat (mudah), tetapi tidak melakukan tuntutan itu, lalu melakukan perbuatan yang dilarang itu, maka orang itu adalah pelaku maksiat, fasiq dan bukannya kafir.”
Begitu juga jika seseorang itu tidak memakai tudung atas alasan-alasan lain seperti kejahilan dan mendapat ancaman daripada sebahagian masyarakat bukan Islam seperti yang berlaku di negara-negara luar. Kes-kes seperti ini ulama telah berbincang panjang dan ramai dalam kalangan ulama yang membenarkan atas alasan darurat.
Sebenarnya, perintah untuk menutup aurat itu adalah datang daripada Pencipta diri manusia itu sendiri yakni Allah SWT. Justeru menjadi diri sendiri bererti menjadi seorang Muslim dan Muslimah yang soleh dan soleh. Sewajarnya manusia membenarkan ayat-ayat Allah dan melatih dirinya untuk mengikut hukum hakam yang telah Allah SWT tetapkan untuk bertanggungjawab ke atas amalannya di Hari Kiamat kelak.
Firman Allah SWT:
نَحْنُ خَلَقْنَاكُمْ فَلَوْلَا تُصَدِّقُونَ
Maksudnya: “Kamilah yang telah menciptakan kamu (dari tiada kepada ada – wahai golongan yang ingkar), maka ada baiknya kalau kamu percaya (akan kebangkitan kamu hidup semula pada hari kiamat).” (Surah al-Waqi`ah: 57)
Manusia-manusia yang melatih dirinya mengikut kehendak Allah SWT, mesti pun penuh dengan dugaan dan rintangan, luar dan dalam, akhirnya akan sedar dan tenang tenteram hatinya kerana itulah acuan dirinya yang sebenar.
Maksudnya: (Katakanlah wahai orang-orang yang beriman: “Ugama Islam, yang kami telah sebati dengannya ialah): celupan Allah( yang mencorakkan seluruh kehidupan kami dengan corak Islam); dan siapakah yang lebih baik celupannya daripada Allah? (Kami tetap percayakan Allah) dan kepadaNyalah kami beribadat”. (Surah al-Baqarah: 138)
Allah SWT mengetahui perkara ini kerana Dialah yang paling mengetahui masa lalu, masa sekarang, dan masa depan para hamba, lantas menerangkan kepada manusia keadaan mereka yang tenang dan pasrah apabila mengetahui perjuangan mereka selama ini berbaloi.
Mereka yang beralasan menjadi diri sendiri untuk tidak menutup aurat berkata mereka tidak mahu bersikap hipokrit atau munafik. Padahal berasa berat dan malas untuk melaksanakan syariat Allah itulah ciri munafik yang patut dijauhi.
Maksudnya: Sesungguhnya orang-orang munafik itu melakukan tipu daya (terhadap ugama) Allah (dengan perbuatan pura-pura beriman sedang mereka kafir pada batinnya), dan Allah pula tetap membalas tipu daya mereka (dengan membiarkan mereka dalam keadaan munafik). Mereka pula apabila berdiri hendak sembahyang, mereka berdiri dengan malas. Mereka (hanya bertujuan) riak (memperlihatkan sembahyangnya) kepada manusia (supaya disangka bahawa mereka orang yang beriman), dan mereka pula tidak mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang) melainkan sedikit sekali (jarang-jarang). (Surah al-Nisa: 142)
Sememangnya jalan menuju kesempurnaan diri itu melalui pelaksanaan syariat itu akan bertemu pelbagai mehnah dan tribulasi khususnya daripada hawa nafsunya. Namun Allah SWT telah memberi jaminan bahawa Dia sendiri akan membukakan jalan kemudahan kepada mereka yang melatih dirinya untuk menjadi dirinya yang sebenar mengikut acuan Allah SWT.
Maksudnya: Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak ugama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya. (Surah al-‘Ankabut: 69)
Semoga kita diberikan hidayah dan direzekikan kekuatan untuk mengikut hidayah itu.
HIJABISTA: Tidak dinafikan bahawa melawan dan mengawal hawa nafsu adalah satu perkara yang besar dan sukar dilakukan. Apabila sudah mengambil keputusan untuk beruabh ke arah kebaikan, berusahalah untuk terus istiqamah melakukannya.
Linda Hashim bakal bergelar mutawifah bermula tahun hadapan selepas mengikuti kursus sebagai persediaan membimbing jemaah wanita menunaikan ibadah umrah, sambil terus aktif dalam dunia lakonan.