Kita sebagai hambaNYA, memang tidak terlepas daripada hajat. Pasti banyak hajat yang terbuku di hati. Walau apa pun, biarlah segala hajat kita itu, kita salurkan melalui doa dengan penuh pengharapan hanya kepada Dia, pemberi segala sesuatu. Cuma lambat atau cepat, dimakbulkan atau tidak, kita sebagai hamba, perlu sentiasa bersangka baik dengan Allah, sebab Dia lebih tahu apa yang terbaik.
Doa merupakan perantara antara kita dengan dengan Allah. Hikmah doa itu terbuka luas. Sesesorang yang berdoa pastinya mengharapkan doanya dimakbulkan. Doa juga merupakan satu medium rayuan kepada Allah.
Doa adalah satu ibadah menzahirkan keberhajatan seseorang hamba kepada Allah SWT. (Lihat al-Azkar oleh al-Nawawi, hlm. 395). Persoalannya adakah ketika berdoa untuk seseorang, tangan diletakkan ke dada atau di kepalanya?
Imam al-Khattabi berkata: “Doa adalah permohonan untuk pertolongan dan bantuan oleh seorang hamba kepada Tuhannya. Hakikat doa itu adalah menzahirkan kefakiran, kelemahan dan kehinaan diri kepada Allah yang di dalamnya terpateri pengagungan terhadap Allah SWT dan mengiktiraf sifat kemuliaan dan pemurah-Nya.” (Lihay Sya’n al-Dua’, hln. 4)
Ia juga diertikan sebagai memohon dengan sepenuh hati kepada Allah SWT dengan permohonan yang mengharapkan kebaikan di sisi-Nya, memohon dengan rendah diri supaya apa yang diminta itu diperkenankan dan cita-cita termakbul. (Lihat Jawami’ al-Du’a min al-Qur’an wa al-Sunnah oleh Muhammad Sayyid Tantawi, hlm. 5)
Kami nyatakan bahawa, doa adalah ibadat, bahkan dianggap sebagai otak bagi ibadat. Ini berdasarkan hadis:
الدُّعَاءُ مُخُّ الْعِبَادَةِ
Maksudnya: “Doa ialah otak bagi ibadat”
Riwayat al-Tirmizi (3371) dan al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Awsat (3324)
Oleh kerana doa sebagai ibadah, maka kebanyakan ulama menganggap, ibadat terhenti kepada nas dalam pelaksanaannya. Inilah yang disebut oleh ulama’ usul:
Ads
الأَصْلُ فِي العِبَادَةِ التَّوَقُّف
Kaedah ini telah disebut oleh ramai ulama, antaranya Ibn Hajar dalam Fath al-Bari. Begitu juga dalam Syarh Zaid Ibn Ruslan, dalam Syarh al-Zurqani terhadap al-Muwatta’, juga dalam al-Adab al-Syar’iyyah oleh Ibn Muflih dan Nail al-Autar oleh Imam al-Syaukani.
Photo by Fadkhera Official on Unsplash
Kaedah ini dari segi makna adalah jelas bahawa tidak harus bagi sesiapa pun melaksanakan ibadah sehingga dia mengetahui bahawa Allah SWT yang mengizinkan demikian itu. Kaedah ini juga dinisbahkan kepada Imam Ahmad dan fuqaha’ ahli hadis.
Melihat kepada beberapa hadis berkaitan isu ini, kami dapati terdapat beberapa nas. Antaranya:
DILETAKKAN PADA UBUN
Ini terkenal dalam doa pengantin selepas berlaku akad nikah oleh suami terhadap isterinya. Daripada Abdullah Ibn Amr R.Anhuma, Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: Apabila seseorang kamu berkahwin dengan seorang perempuan atau memiliki seorang khadam atau mendapat seekor haiwan yang menjadi tunggangan, maka hendaklah kamu pegang pada ubunnya seraya berdoa: Ya Allah! Aku memohon kepada-Mu kebaikan isteriku ini yang Engkau telah ciptakan atasnya, dan aku berlindung dengan-Mu daripada keburukan yang Engkau telah ciptakan atasnya. Riwayat Ibn Majah (1918) dan al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (14211)
Ini menunjukkan bahawa boleh tangan diletakkan pada ubun atau kepala.
MELETAKKAN TANGAN DI DADA
Ketika Rasulullah SAW melakukan tawaf di Ka’bah ketika Hajjatul Wada’, seorang lelaki cuba membunuh Rasulullah SAW dengan berselindung di penjuru Ka’bah, lantas Nabi SAW menegurnya dan bertanyakannya. Beliau akhirnya menjawab dalam keadaan serba salah. Kemudian Nabi SAW meletakkan tangan pada dadanya dan berdoa. Selepas peristiwa tersebut, beliau amat mencintai Rasulullah SAW.
Nama lelaki tersebut ialah Fudhalah bin Umair al-Laithi. Kisahnya terdapat dalam banyak kitab-kitab Sirah dan Tarikh. Namun kedudukannya adalah amat dha’if. Antara kitab-kitab tarikh yang boleh dirujuk adalah al-Sirah al-Nabawiyyah oleh Ibn Hisyam (5/80), Zad al-Ma’ad (3/361), al-Sirah al-Nabawiyyah oleh Ibn Kathir (3/584) al-Raudh al-Unf (4/176), al-Iktifa’ bima Tadammanahu min Maghazi Rasulillah (2/190) dan sebagainya.
Justeru, kami berpendapat bahawa dibolehkan meletakkan tangan pada tempat tertentu, tetapi mestilah meraikan hukum jika antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram atau bukan suami isteri.
Ads
Kami menutup perbincangan ini dengan mengemukakan hadis Nabi SAW dan sunnahnya ketika menziarahi pesakit atau pesakit datang kepadanya dari kalangan sahabat. Antaranya Aisyah R.Anha berkata:
Maksudnya: Adalah Rasulullah SAW apabila menziarahi pesakit lantas dia memohon perlindungan kepada sebahagian mereka dengan menyapu dengan tangan kanannya seraya berdoa: “Hilangkanlah kesakitan wahai Tuhan manusia, sembuhkanlah kerana Engkau Maha Penyembuh, tiada kesembuhan kecuali kesembuhan engkau, sembuh yang tidak membawa kepada sebarang sakit.” Riwayat al-Bukhari (5750) dan Muslim (2191)
Photo by Muhammad Adil from Unsplash
Al-Hafiz Ibn Hajar menukilkan pendapat Ibn Battal yang berkata, meletak tangan pada pesakit adalah untuk melegakannya dan mengetahui betapa sakitnya seseorang itu untuk dia berdoa agar diberi afiat mengikut apa yang diketahuinya. Dan boleh jadi Baginda SAW meruqyah dengan tangannya dan menyapu pada tempat yang sakit dengan memberi manfaat dan kesan kepada pesakit yang boleh membawa kepada penyembuhan. (Lihat Fath al-Bari, 10/126)
Imam al-Nawawi berkata: Adalah Rasulullah SAW apabila seseorang daripada kalangan sahabat mengadu sakit kepadanya, maka Baginda menyapunya dengan tangan kanannya seraya membaca doa seperti di atas. Justeru ia adalah sunat menyapu orang yang sakit dengan tangan kanan dan berdoa kepadanya. (Lihat Sahih Muslim bi Syarh al-Nawawi, 15/351)
Kami akhiri perbincangan ini dengan berdoa kepada Allah SWT:
Maksudnya: “Ya Allah! Sembuhlah orang sakit di kalangan kami. Afiatkanlah orang yang diuji di kalangan kami dan rahmatilah orang yang telah mati dari kalangan kami.”
Reda. Mungkin ia tidak semudah yang menyebut perkataan ini. Namun sebagai umat Islam, kita harus menerima setiap apa yang berlaku dengan reda. Walaupun mungkin sesuatu ujian itu agak berat namun kita haruslah menerimanya dengan hati yang terbuka.
Reda dengan qada’ dan qadar itu ialah menerima segala ketetapan Allah dengan penuh ikhlas, tunduk dan patuh sama ada suka atau duka yang melanda. Hati tetap melaluinya dengan tenang dan lapang serta tidak menyangkal akan segala yang ditetapkan ke atasnya.
Maksudnya: “Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.”
Setiap manusia akan diuji melalui jalan kesenangan, kejayaan dan ada juga yang diuji melalui masalah mahupun musibah. Allah Mengetahui sejauh mana kekuatan dan kemampuan hamba-Nya.
Saat ditimpa ujian, Islam mendidik jiwa agar bersabar, bertawakal dan diakhiri dengan reda. Mereka yang menerima segala ketetapan dan peraturan daripada Allah adalah yang paling redha dengan takdir-Nya.
Jika kita memilih sebaliknya dan mempertikai peraturan Allah seperti kenapa harus aku berhijab, maka ia dicela oleh Allah seperti dalam hadis Qudsi:
من لم يرض بقضائى ويصبر على بلائى فليلتمس رباً سواى
“Barangsiapa yang tidak reda terhadap qadak Ku serta tidak sabar terhadap ujian Ku, maka carilah Tuhan lain selain Ku.” (Hadis Riwayat Thabrani)
Dalam sebuah hadis, daripada Nabi SAW bahawa baginda bersabda :
(Aku reda Allah sebagai Tuhanku, Islam sebagai agamaku, dan Nabi Muhammad sebagai Nabiku).’ Ketika masuknya waktu petang hari sebanyak tiga kali dan di pagi hari tiga kali, maka wajib bagi Allah untuk meredhainya pada hari kiamat.” (Hadis Riwayat Ahmad no. 18200)
Namun, apakah semudah itu jalan untuk menggapai reda Allah? Ia bukan semudah itu. Mari kita berazam untuk jadikan zikir ini sebagai amalan harian kita. Dibaca 3 kali pada waktu pagi dan 3 kali pada waktu petang. Mudah-mudahan dengan beramal dengannya kita beroleh reda Allah di Mahsyar kelak.
HIJABISTA: Seperti yang kita ketahui, kehidupan kita hari ini adalah bersifat sementara. Oleh itu berusahalah untuk mendapat kereadaan dari Allah demi kehidupan abadi dunia dan akhirat.
Israk dan Mikraj adalah peristiwa luar biasa yang dialami oleh Rasulullah SAW. Ia berlaku dalam waktu singkat iaitu pada sebahagian malam sahaja. Peristiwa Israk Dan Mikraj merupakan antara peristiwa yang mengangkat ‘status’ dan kemuliaan Nabi Muhammad SAW berbanding nabi lain.
Walaupun ulama berbeza pendapat mengenai tarikh sebenar bila berlakunya peristiwa berkenaan, paling penting umat Islam wajib percaya ia benar-benar berlaku. Namun tidak dapat dinafikan ada yang mengatakan kisah Israk Dan Mikraj ini tidak benar. Berikut pencerahan tentang isu ini.
SOALAN:
Saya ada terdengar dari seorang hamba Allah yang sebut bahawa kisah israk mikraj ni sebenarnya palsu. Dia kata kisah ini palsu sebab menzahirkan kelemahan Nabi SAW. Dia kata bayangkan kenapa Nabi SAW nak kena ikut kata Nabi Musa sampai dikurangkan jumlah solat dari 50 menjadi 5. Jalankan sahajalah apa yang diperintahkan. Tidak seperti Nabi Ibrahim yang apabila diperintahkan untuk sembelih anaknya, dia dan anaknya terus lakukan tanpa banyak mempersoalkan dan minta pengurangan daripada Allah. Ini yang dia kata. Dia sebut lagi selama ini ustaz-ustaz dan ulama-ulama salah bila cerita pasal Israk Mikraj. Mohon pencerahan.
JAWAPAN:
Perkara-perkara ghaib seperti syurga, neraka, hari akhirat dan sebagainya mestilah pengkhabarannya melalui Al-Quran ataupun hadis-hadis Nabi SAW yang sahih. Ianya tidak boleh dihikayatkan atau disebutkan tanpa disandarkan kepada dua sumber tersebut. Apa-apa cerita atau pengkhabaran tentang perkara yang ghaib yang tidak ada sandarannya sama ada di dalam Al-Quran atau hadis maka ianya dianggap sebagai pengkhabaran yang palsu dan tidak berasas.
Di antara peristiwa yang sering terjadi perdebatan adalah peristiwa Isra’ dan Mikraj. Pada asasnya, peristiwa Isra’ dan Mi’raj diceritakan oleh Allah SWT di dalam Al-Quran. Peristiwa ini bukan sahaja berlaku dengan roh Nabi SAW semata-mata seperti mana yang didakwa oleh sebahagian pihak, namun ia juga berlaku pada roh dan jasad.
Maksudnya: “Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Surah Al-Isra’ : 1)
Imam Al-Tabari menyebut di dalam tafsirnya menyebut tentang pandangan-pandangan bagaimana sifat Israk dan Mi’raj Nabi SAW. Ada yang menyebut bahawa israk dan mikraj Nabi SAW berlaku dengan roh dan jasad. Ada juga yang berpandangan bahawa peristiwa Israk dan Mi’raj berlaku hanya dengan roh.
Imam Al-Tabari memilih pandangan bahawa Israk dan Mi’raj berlaku dengan jasad dan roh Nabi SAW. Beliau berkata, sesungguhnya Allah SWT memperjalankan hambanya iaitu Nabi Muhammad SAW daripada Masjidil Haram menuju ke Masjidil Aqsa seperti mana yang telah diberitahu oleh Allah dan apa yang zahir yang telah disebutkan oleh Nabi SAW.
Allah SWT memperjalankan Nabi dengan menyediakan Buraq dan solat di mana tempat para Nabi dan Rasul terdahulu solat. Baginda SAW juga melihat beberapa tanda-tanda kebesaran. Oleh kerana itu, tidak benar jika ada yang mengatakan bahawa perjalanan Israk dan Mi’raj hanya berlaku degan roh. Bahkan yang benar perjalanan tersebut berlaku dengan roh dan juga jasad.
Jika perjalanan tersebut hanya berlaku dengan roh sahaja sudah pasti ianya tidak akan menjadi dalil akan kenabian dan kerasulan Nabi SAW. Bahkan tidak mungkin menjadi hujah bagi risalah yang dibawa oleh Baginda. (Rujuk Jami’ Al-Bayan Fi Ta’wil Ayi Al-Quran, 4/446).
Sheikh Tohir Bin ‘Asyur menyebut bahawa perjalanan Israk dan Mi’raj adalah merupakan peristiwa yang mencarik adat (satu mukjizat) yang mana perjalanannya dari awal sehinggalah akhir hanya memakan masa sebahagian malam. (Rujuk Tahrir Al-Ma’na Al-Sadid Wa Tanwir Al-‘Aql Al-Jadid Fi Tafsir Al-Quran Al-Majid, 14/10).
Bahkan peristiwa ini adalah merupakan satu ujian kepada orang yang mengaku beriman kepada Nabi SAW. Sama ada mereka betul-betul beriman ataupun tidak. Ini dinyatakan oleh Allah SWT :
Maksudnya : “Dan tiadalah Kami menjadikan pandangan (pada malam Mikraj) yang telah kami perlihatkan kepadamu melainkan sebagai satu ujian bagi manusia; dan (demikian juga Kami jadikan) pokok yang dilaknat di dalam Al-Quran; dan Kami beri mereka takut (dengan berbagai-bagai amaran) maka semuanya itu tidak menambahkan mereka melainkan dengan kekufuran yang melampau.” Surah Al-Isra’ : 60
Sheikh Amin Al-Syanqiti menyebut bahawa Allah menjadikan apa yang diperlihatkan kepada Nabi SAW daripada perkara dan peristiwa yang pelik dan ajaib pada malam Israk dan Mi’raj adalah sebagai satu ujian kepada orang ramai. Ini kerana ada di antara yang tidak langsung mempercayai apa yang dikhabarkan oleh Nabi SAW.
Ada yang mengatakan bahawa ianya tidak mungkin berlaku. Mereka mengatakan juga bagaiman mungkin Baginda solat di Baitul Maqdis dan pergi ke tujuh tingkatan langit serta melihat keseluruhannya pada satu malam sahaja kemudian pada waktu pagi berada di Mekah. Inilah satu ujian kepada mereka yang ragu-ragu. (Rujuk Adwa’ Al-Bayan Fi Idhah Al-Quran Bi Al-Quran, 3/236).
Tambahan pula, kisah peristiwa Israk dan Mi’raj adalah kisah yang mutawatir yang tidak boleh disangkal lagi. Sheikh Amin Al-Syanqiti menyebut peristiwa berkenaan Israk dan Mi’raj adalah kisah yang mutawatir.(Rujuk Adwa’ A-Bayan Fi Idhah Al-Quran Bi Al-Quran,3/101).
Ini bermakna sesiapa yang menyangkal peristiwa ini dia termasuk di dalam orang yang kufur. Bahkan Allah SWT menyangkal orang yang menafikan peristiwa ini. Firman Allah SWT:
أَفَتُمَـٰرُونَهُۥ عَلَىٰ مَا يَرَىٰ
Maksudnya: “Jika demikian, patutkah kamu hendak membantahnya mengenai apa yang telah dilihatnya itu?” (Surah Al-Najm : 12)
Justeru itu, peristiwa Israk dan Mi’raj bukannya cerita dongeng semata,jauh sekali jika mengatakan ia peristiwa yang palsu dan direka-reka. Ianya disebutkan dan diisyaratkan di dalam Al-Quran. Tinggal lagi bagi kita adalah mengetahui kisah-kisah yang sahih tentang apa yang berlaku di sepanjang peristiwa Israk dan Mi’raj.
Kisah Israk dan Mi’raj Nabi SAW juga diceritakan di dalam hadis yang panjang. Ianya diriwayatkan dalam beberapa kitab hadis yang muktabar. Di antaranya Sahih Al-Bukhari daripada Anas Bin Malik (3887) ,Musnad Imam Ahmad (12504) daripada Anas Bin Malik dan Dalail Al-Nubuwwah oleh Imam Al-Baihaqi(2/384). Dan ada juga terdapat di dalam beberapa sumber sukunder (المصدر الفرعي) yang merujuk juga kepada sumber-sumber tersebut.
Di antara peristiwa penting yang berlaku di dalam Israk dan Mi’raj ialah perintah solat secara khusus. Kisah ini diceritakan di dalam hadis sahih berkenaan Israk Mi’raj yang panjang. Kata Anas Bin Malik bahawa ketika Nabi SAW menceritakan tentang peristiwa isra’ dan mi’raj, Baginda menyebut juga :
Maksudnya: “Kemudian diwajibkan ke atas aku 50 kali solat setiap waktu. Maka aku kembali dan melepasi Musa. Maka Nabi Musa bertanya apa yang telah diperintahkan terhadap engkau?. Nabi SAW menjawab : Aku diperintahkan dengan 50 kali solat pada setiap hari. Kata Nabi Musa : Sesungguhnya umat engkau tidak akan mampu untuk melakukan 50 kali solat pada setiap hari. Aku telah cuba pada orang sebelum engkau dan aku telah cuba dengan semaksimum mungkin pada Bani Israil. Kembalilah semula pada Allah dan minta keringanan daripada-Nya untuk umatmu. Kata Nabi SAW: Maka aku kembali lalu Allah kurangkan sepuluh daripada jumlah yang diberikan.
Nabi SAW menyebut: Lalu aku kembali kepada Nabi Musa dan Baginda sebut perkara yang sama. Lalu aku kembali kepada Allah dan Dia mengurangkan sepuluh lagi. Lalu aku kembali kepada Nabi Musa dan Baginda menyebutkan lagi perkara yang sama. Lalu aku kembali lagi kepada Allah dan Dia mengurangkan lagi sepuluh. Aku kembali kepada Nabi Musa dan Baginda menyebutkan perkara yang sama. Lalu aku kembali semula kepada Allah dan aku diperintahkan dengan 10 kali solat setiap hari. Aku kembali lagi dan Nabi Musa menyebut perkara yang sama. Aku kembali menemui Allah dan aku diperintahkan dengan solat 5 kali pada setiap hari. Maka aku kembali kepada Nabi Musa. Nabi Musa berkata : Wahai Muhammad, engkau diperintahkan dengan apa?
Kata Nabi SAW: Aku diperintahkan dengan solat 5 kali setiap hari. Nabi Musa berkata: Sesungguhnya umat engkau tidak akan mampu untuk melakukan 5 kali solat setiap hari. Aku telah cuba pada orang sebelum engkau dan aku telah cuba untuk melakukannya pada Bani Israil semaksimum mungkin. Kembalilah kepada Allah dan mintalah keringanan daripada-Nya untuk umatmu. Nabi SAW bersabda : Aku telah minta sehingga aku menjadi malu untuk meminta kurang akan tetapi aku redha dan aku berserah. Apabila aku berlalu ada suara yang menyeru : Aku telah jalankan kewajipanku dan Aku telah kurangkan bebanan hamba-Ku.” Riwayat Al-Bukhari (3887)
Potongan daripada hadis yang panjang ini menjelaskan bagaimana perintah solat 5 waktu sehari semalam diwajibkan. Pada zahirnya kisah ini seakan-akan menampakkan kelemahan Nabi SAW kerana tidak menjalankan terus apa yang telah diperintahkan. Di tambah pula Baginda terus merujuk kepada Nabi Musa.Tidak seperti Nabi Ibrahim dan anaknya yang tidak banyak mempersoalkan apatahlagi meminta pengurangan daripada perintah yang telah ditetapkan seperti mana dakwaan sesetengah pihak lalu menjadikan alasan ini untuk memalsukan kisah berkenaan Israk dan Mi’raj.
Namun begitu, dakwaan yang dilakukan oleh sebahagian pihak tersebut adalah satu dakwaan yang mengarut. Pada hakikatnya, dilakukan oleh Nabi SAW menzahirkan sifat rahmat dan belas kasihan Nabi SAW kerana tidak mahu melihat umat Baginda terbeban. Bahkan Baginda SAW merujuk kepada Nabi Musa adalah kerana disebabkan perintah solat juga turun secara khusus kepada Bani Israil.
Perkara ini disebutkan oleh Al-Qurtubi sepertimana yang dinukilkan oleh Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-Asqalani. Al-Qurtubi menyebut:
“Di antara hikmah mengapa Nabi SAW merujuk kepada Nabi Musa adalah berkemungkinan umat Nabi Musa juga ditaklifkan dengan perintah solat yang mana ianya tidak diperintahkan kepada umat sebelumnya. Yang mana perintah tersebut dilihat berat untuk dilakukan oleh umat Nabi Musa. Oleh kerana itu, Nabi Musa memberikan pandangan atas dasar belas kasihan terhadap umat Nabi Muhammad SAW. Isyarat ini boleh dilihat melalui kata Nabi Musa ‘ aku telah cuba untuk umatku’. (Rujuk Fath Al-Bari Syarh Sahih Al-Bukhari, 7/202).
Maka ini jelas menunjukkan bahawa bukannya Nabi SAW tidak mahu melaksanakan terus perintah Allah. Tambahan pula, kesemua para Nabi dan Rasul adalah orang yang pertama sekali melaksanakan apa juga perintah Allah SWT. Akan tetapi isyarat daripada apa yang dilakukan Nabi adalah satu rahmat dan mengambil kira kemampuan umatnya untuk menjalankan apa yang telah diwajibkan oleh Allah SWT.
Jika umat Nabi Musa pun tidak mampu untuk menggalas kewajipan tersebut apatah lagi umat Nabi SAW. Perkara ini sudah semestinya akan membawa kepada kecuaian bahkan lebih teruk daripada itu meninggalkan terus perintah solat. Oleh kerana itu, Nabi SAW mengambil kira apa yang telah diperkatakan oleh Nabi Musa sebagai satu cara supaya umatnya dapat terus melaksanakan solat dan taat akan perintah Allah.
Dari satu sudut yang lain, tidakkah ini menunjukkan hikmah daripada Allah bahawa pengurangan solat sehingga menjadi 5 waktu menjadikan agama ini mudah untuk diamalkan. Ini bertepatan dengan apa yang telah Allah SWT jelaskan di dalam Al-Quran :
Maksudnya: “Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran.” (Surah Al-Baqarah : 185)
Inilah di antara hikmah yang Allah SWT ingin tonjolkan iaitu menjadikan agama ini mudah untuk diamalkan dan tidak memberatkan. Bahkan menonjolkan sifat agama ini yang sentiasa menyenangkan bukan menyusahkan. Bayangkan jika solat 50 waktu dilaksanakan, sudah pasti akan mewujudkan perasaan yang berat di kalangan umat Islam dan menyebabkan adanya kecuaian terhadap perintah-perintah lain khususnya mengimarahkan bumi.
Pengurangan sehingga menjadi 5 kali solat setiap hari menjadikan umat Islam lebih produktif dan tidak ada alasan lagi untuk tidak melaksanakan perintah solat.
Kesimpulannya, dakwaan mengatakan bahawa kisah Israk dan Mi’raj palsu adalah disebabkan kisah tersebut menonjolkan kelemahan Nabi SAW adalah satu dakwaan yang mengarut dan tersasar dari hakikat sebenar. Ia adalah kisah yang mutawatir yang tidak boleh diingkari.
Kisah isra’ dan mi’raj khususnya berkenaan pengurangan daripada 50 kali solat kepada 5 kali solat setiap hari menzahirkan kehendak Allah SWT agar agama ini khususnya solat yang menjadi tiang agama mudah untuk diamalkan bukannya menyusahkan sehingga dicuaikan.
Semoga Allah menjauhkan kita daripada syubhat dan keraguan terhadap perkara yang telah thabit di dalam agama. Wallahu’alam.
Jika disebut sahaja nama Didiyana Ehsan, umum pasti mengetahuinya sebagai perantis dalam dunia hijab styling.
Berasal dari Ipoh,Perak, tahun 2020 ini menjadi sesuatu yang sangat istimewa buat dirinya kerana ia merupakan ulangtahun ke sepuluh buat dirinya sebagai seorang penata hijab.
Mendapat pendidikan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam bidang fesyen, Didiyana atau lebih mesra disapa Didi,31, mula mengorak langkah dalam bidang penataan hijab ini selepas melihat ramai pelajar senior di pengajiannya yang sudah melangkah ke dalam industri terpaksa bersaing sesama sendiri.
“Apabila melihat situasi tersebut yang berlaku disebabkan persaingannya yang sengit, saya memikirkan bahawa saya perlu hadir dengan sesuatu yang baru, yang belum dilakukan lagi oleh mana-man pihak dan menjadi pioneer supaya tidak perlu bersaing dengan sesiapa. Dari situlah lahirnya kerjaya saya sebagai seorang penata hijab,” ujarnya yang sudah enam tahun mendirikan rumah tangga.
Jelas Didi, namanya mungkin naik dan dikenali ramai disebabkan beliau sering bekerjasama dengan ramai selebriti seperti Neelofa, Vivy Yusof dan Lisa Surihani.
“Selepas tamat pengajian, saya pernah bekerja dengan sebuah jenama tudung selama enam bulan. Namun disebabkan sudah terbiasa bekerja sendiri iaitu secara freelance, saya merasakan yang saya tidak boleh duduk bekerja di dalam pejabat.
“Saya terus menyambung kerjaya secara freelance. Pada saat itu, saya selalu bertemu dengan pelbagai selebriti bagi menggayakan hijab mereka untuk sesi penggambaran majalah. Dari situlah nama saya mula dikenali,’’ jelas ibu kepada seorang cahaya mata lelaki ini.
Bercerita mengenai liku-liku dalam kerjayanya, beliau akui pada awalnya terdapat mereka yang memandang rendah terhadap kerjaya yang dilakukannya.
“Dahulu ada segelintir yang memandang rendah terhadap kerjaya ini. Mereka tidak faham konsepnya dan mula mempersoalkan. Namun lama-kelamaan orang sudah boleh menerima kerjaya ini dan penerimaan itu menjadikan segalanya lebih mudah.
“Ada orang yang menganggap kerjaya ini sesuatu yang mudah tetapi sebenarnya bukanlah seperti itu. Sama seperti jika kita mendandan rambut, paling tidak pun kita boleh mengikat ‘bun’.
“Berbeza pula dengan hijab, jika ia tidak terletak cantik wajah, kita perlu menggosoknya lagi dan memikirkan samada stail hijab tersebut sesuai atau tidak dengan bentuk muka.
“Jika dahulu pelanggan saya kebanyakannya terdiri daripada pengantin tetapi kini ia berkembang apabila mereka menggunakan khidmat saya untuk ke acara majlis, penggambaran dan sebagainya. Semuanya boleh dilakukan,” bicara Didi yang menggemari warna hitam ini.
Sentiasa mempunyai matlamat dalam hidup, beliau sentiasa melakukan ‘homework’ dalam gaya hijab yang dilakukannya.
“Setiap kali saya menata hijab, saya ada target mahukan seseorang individu itu masuk ke dalam senarai portfolio saya. Sama seperti hijab, bila sudah bosan saya akan tukar. Saya sering melakukan ‘homework’ agar penampilan setiap klien itu berbeza.
“Proses ini perlu banyak try and error. Satu fakta mengenai diri saya adalah saya seorang yang sangat fokus. Bila bekerja saya akan berikan 100%.
“Kerana itulah saya hanya akan fokus kepada penggayaan tudung sahaja. Anda tidak akan dengar berita seperti Didiyana Ehsan sebagai jurusolek tersohor pula,”ujarnya sambil bergurau.
“Bercerita mengenai pencapaian, saya menganggap perkongsian video tutorial hijab di laman sosial Instagram saya sebagai pencapaian terbesar apabila dapat berkongsi ilmu secara percuma tanpa sebarang caj kepada orang ramai.
“Orang selalu bertanya kepada saya, kenapa tak jual tudung? Tak payah! Jika sekarang ini pun saya sudah tidak menang tangan, apatah lagi jika sudah ada perniagaan. Macam-macam perkara pula perlu difikirkan,” katanya sambil ketawa.
Wajib mengenakan celak mata jika melangkah keluar dari rumah, Didi juga menghadkan waktu bekerjanya hingga ke lapan malam sahaja agar dapat meluangkan masa bersama keluarga tercinta pula.
“Dahulunya bolehlah hingga ke jam 12 malam namun kini paling lewat pun mungkin hingga ke jam sembilan sahaja. Tetapi ia bergantung juga kepada keadaannya,” jelas anak sulung daripada tiga beradik ini.
Tampil #1 on top dengan fashion muslimah terkini di HIJABISTA!
Download sekarang di
NIVEA LUMINOUS630 Skin Glow mencuri tumpuan di Piala Seri Endon 2025 apabila Tuanku Zara Salim tampil anggun dengan kulit berseri. Ketahui rahsia serum ini yang beri hasil dalam 3 hari!