Satu masa dahulu, nama Suhaila Sulaiman sering menjadi sebutan dek kerana lakonannya yang mantap. Tahun demi tahun mencipta nama, akhirnya Suhaila menamatkan zaman bujangnya dengan mengahwini pelakon terkenal tanah air, Faizal Hussein. Selepas berkahwin, namanya kian suram kerana dia memilih untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada keluarga. Dikurniakan dua orang cahaya mata, Suhaila bertekad untuk terus melupakan dunia lakonan mestipun kadangkala rindu tetap datang menjelma.
“Sejujurnya memang saya rindu bidang lakonan tetapi saya mahu menumpukan perhatian terhadap keluarga saya dahulu. Semua kerja di rumah saya lakukan sendiri kerana saya tidak menggunakan perkhidmatan pembantu rumah. Bila anak-anak mula bersekolah, lagilah jadual saya bertambah sibuk kerana perlu menguruskan segala urusan mereka. Jadi, saya ambil keputusan untuk tidak mengambil sebarang tawaran lakonan buat masa ini. Ia merupakan keputusan saya sendiri, bukannya arahan daripada Faizal,” ujar Suhaila sewaktu bertemu di majlis tayangan Eksklusif filem DUKUN di Suria KLCC baru-baru ini.
Suhaila yang kini berusia 42 tahun dilihat tetap tampil cantik dan berseri. Bila ditanya apa rahsia kecantikan dirinya, Suhaila hanya mampu tertawa sahaja kerana menurutnya, dia tidak pernah mengamalkan sebarang petua. Tambahnya, dia hanya mengamalkan pengambilan air suam sejurus selepas dia bangun daripada tidur dan tiada sebarang pantang dalam pemakanan. Dia akan makan apa sahaja yang diingini. Cuma dia akan kurangkan pengambilan makanan yang berminyak. Selain itu, dia turut lakukan beberapa senaman ringan tetapi tidak menjadikan ia sebagai rutin.
Menyentuh soal hijab, kini sudah hampir 4 tahun dia mengenakan hijab di atas kemahuan dirinya sendiri. Menurutnya, sudah tiba masanya untuk berhijab dan mahu menjadi contoh yang terbaik kepada kedua-dua anaknya itu. Keputusan ini disokong oleh Faizal sendiri dan Faizal sendiri tidak pernah memaksa Suhaila untuk berhijab. Cuma katanya, jika sudah bertudung, jangan buka-buka lagi. Mungkin, itulah waktu yang tepat untuk dia berubah ke arah kebaikan.
Suhaila memilih 1 Ramadan untuk berhijab dan alhamdulillah, dia semakin selesa mengenakan hijab di kepala. Pertama kali memakai hijab, Suhaila akui berasa lega kerana sudah menunaikan suruhan Allah dan bukan bertudung disebabkan fesyen semata-mata. Tambah Suhaila lagi, dia tidak mahu memaksa anaknya untuk bertudung dan mahu anaknya bertudung dengan kerelaan hatinya sendiri. Cuma, dia akan sering mengingatkan anaknya tentang baik dan buruk sesuatu perkara. Sebelum mengakhiri perbualan, Suhaila bersyukur dan selesa dengan kehidupan yang diperolehinya sekarang.
Lain orang lain kisah penghijrahannya. Ini kerana hidayah Allah datang dalam pelbagai bentuk berbeza. Begitu juga dengan pelakon berdarah kacukan Catriona Norhayati Ross Bahrin Ross atau nama komersialnya Catriona Ross antara selebriti yang turut melakukan penghijrahan. Kisahnya sedikit unik kerana faktor sayangkan kos ‘hair extension’ menyebabkan dia belum terbuka hati untuk berhijrah. Menceritakan kisah penghijrahanya lima tahun lalu itu dalam laman sosial facebook Zayan FM dan ditonton hampir setengah juta pelayar medium ini.
Menurut Cat selepas dia mengalami kemalangan pada 2007, kira-kira 11 tahun lalu dia mula mencari siapa dirinya yang sebenar setelah sembuh dari kemalangan ngeri berkenaan. Kemalangan di Lebuhraya Utara Selatan itu telah menyebabkan dia mengalami patah dua belah kaki, tangan kanan dan terpaksa berehat di atas selama katil.
“Pada tahun 2008 saya mula rasakan jiwa saya ketika itu sudah mula kosong. Rasa macam apa yang saya nak buat ini. Tetapi waktu itu saya sudah mula kembali kepada industri ini dan mula shooting semula. Dan alhamdulillah saya memang ada banyak projek.
“Ketika itu saya rasa Allah dah bagi jalan balik dan saya sudah merasakan diri saya cukup sempurna. Waktu itu saya sudah boleh berjalan dan boleh berlari balik. Saya terfikir ketika itu takkan nak pakai tudung sekarang memandangkan usia saya masih muda. Baru 26 tahun 27 tahun,” ceritanya tenang.
Menurut Cat ketika itu daripada mencari kekuatan untuk memakai tudung, dia memilih untuk pergi ke salun.
“Saya pergi salun dan tanya saya nak pakai ‘hair extension’ dan mahukan ia dari rambut semulajadi. Rambut semulajadi ini maknanya rambut yang berasal dari rambut manusia yang mereka potong dan sambung balik menjadi ‘hair extension’.
“Saya tak nak pakai yang sintetik sebab keras, tak cantik, payah nak jaga dan sebagainya. Jadi saya pun mula pakai ‘hair extension’ dan rambut tiba-tiba panjang sampai pinggang. Saya rasa penampilan sangat meletop ketika itu,” tambah ibu kepada tiga orang cahayamata ini.
Namun penghijrahan yang dilalui oleh Catriona bermula sedkit demi sedikit. Ketika itu sudah sampai satu tahap persoalan yang berlegar di fikirannya bagaimana kalau mahu bersolat.
“Saya fikir dengan rambut begitu bagaimana saya mahu solat. Saya bukan tak tahu hukum hakam agama mengenainya. Saya tahu tetapi untuk ‘mengenyangkan’ jiwa yang kosong ketika itu mungkin saya mahukan sesuatu yang baru untuk diri saya.
“Hampir setahun saya pakai ‘hair extension’. Dan sepanjang tempoh itu saya tahu kalau saya solat pun memang tidak akan sah dan tak akan diterima. ini kerana wuduk tak sampai dan sebagainya,” tambah Cat yang rancak bercerita tentang pengalaman ‘hair extension’ yang dipakainya.
Sepanjang memakainya memang Cat tidak nafikan dia mendapat pujian dari teman-temannya.
“Mereka puji rambut kita nampak sangat sihat, lebat dan panjang. Sudahlah harganya mahal. Bayangkan satu ‘extension’ berharga RM85 dan ada sebanyak 35 ‘extension’. Takkan saya nak buang macam itu saja.
“Dan saya anggap ini seperti satu perlawanan. Perlawanan tentang apa yang sebenarnya saya nak buat dengan hidup ini. Dengan keadaan sekeliling yang mana orang masa itu seakan-akan menyokong apa yang anda buat,” katanya.
Menurut Catt juga perbuatan dia membuat ‘hair extension’ turut mendapat perhatian ibunya.
“Tapi ibu saya memang tahu. Orang tua memang tahulah. Dia datang rumah dan saya nampak dia perhatikan rambut saya dan kata “Lebat lain macam rambut anak aku yer. Panjang sangat” Kemudian dia tanya saya “Dah sembahyang” Saya pandang dia dan nak jawab dah sembahyang memang tak buat pun,” jelasnya lagi.
Daripada situ sampai satu tahap Catriona rasa segalanya sudah cukup baginya. Dia mula buang semua itu (hair extension) dan cari kekuatan untuk memakai tudung.
“Saya mendapat sokongan dari ahli keluarga terdekat. Emak saya , emak mertua dan juga suami. Sampai suami saya tanya saya “Memang bersedia itu pakai macam ni?. Saya jawab ‘Betul dan pasti. Bila dia tanya “Macam mana nanti nak kerja” saya katakan pada suami, “Adalah itu rezeki Allah bagi,” katanya lagi.
Dia yang kini aktif semula di bidang seni setelah empat tahun menumpukan perhatian kepada keluarga dan anak-anak.
Sebelum mengakhiri pengalaman hijrahnya, Cat turut menitipkan pesanan buat mereka yang ingin berubah agar lakukan sahaja.
“Siapa yang ingin berubah, lakukan sahaja. Sebab kalau kita fikir silap langkah kita mungkin akan tangguh benda itu. Jadi jangan tangguh benda itu dan buat saja. Tapi cari rakan-rakan positif yang boleh kuatkan jiwa anda,” jelasnya lagi.
Masuk April sudah dua tahun pelakon si cantik manis, Sherry Ibrahim melakukan penghijrahannya. Dan dalam tempoh kita, dia masih lagi istiqomah walaupun pelbagai dugaan yang dihadapinya. Ternyata April juga sangat istimewa kerana ia merupakan hari lahir pelakon yang juga boleh menyanyi ini. Malah sempena meraikan bulan April jugalah dia turut berkongsi rezeki dengan menyalurkan sumbangan kepada Autism Project Café, Puchong.
Sumbangan derma yang disalurkan kepada pusat kebajikan itu ini bukanlah disebabkan dia atau ahli keluarga ada sejarah tentang sakit ini, tetapi sebagai salah satu usaha amal CSR yang dilakukannya.
“Bulan April memang Bulan Kesedaran Autism Sedunia. Jadi tidak salah kalau saya berkongsi rezeki kepada mereka yang memerlukan. Lagipun April adalah sempena hari lahir saya yang jatuh pada 3 April lalu. Juga ia adalah ulang tahun penghijrahan saya.
“Sumbangan ini adalah dari 10 peratus hasil keuntungan jualan koleksi tudung Paint My Love. Saya memang cukup terharu apabila membaca kisah pesakit autism ini dan sumbangan ini harapnya dapat meringankan sedikit beban mereka,” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran tudung Sherry Scarves di Petaling Jaya minggu lalu.
Menurut Sherry walaupun pelbagai lambakan jenama tudung di pasaran sekarang, tetapi dia menganggap itu sebagai persaingan yang sihat. Malah Sherry juga tidak berminat melakukan publisiti murahan untuk strategi pemasaran sebaliknya lebih mementingkan kualiti produk.
Bercerita kisah penghijrahannya, Sherry berkata ia secara tiba-tiba tetapi alhamdulillah masih istiqomah.
“Alhamdulillah sepanjang dua tahun berhijab tak ada halangan atau rintangan yang dihadapi. Walaupun berhijab tetapi rezeki Sherry juga semakin murah. Cuma dalam lakonan kena lihat watak yang bersesuaian dengan keadaan Sherry yang berhijab.
“Bagi Sherry Allah itu Maha Adil, Dia bagi yang lain dan alhamdulillah ada hikmah dengan penghijrahan ini. Oleh sebab itulah Sherry Scarves dilancarkan pada bulan April yang cukup bermakna,” jelasnya yang turut mendapat tawaran menyanyi.
Menurut Sherry juga dia menganggap bisnes tudung ini sebagai hijrah bisnes sesuai dengan penghijrahannya.
“Sebelum itu masa Sherry masa mula-mula berhijab memang ada yang offer buat tudung. Cuma masa itu Sherry masih belum bersedia tak tidak berminat. Dan dalam masa sama setelah dua tahun berhijab ini, Sherry belajar banyak perkara mengenai tudung.
“Barulah Sherry tahu warna yang sesuai dengan Sherry dan selama ini ramai yang tanya trademark Sherry yang gemar pakai tudung warna terang dengan inner yang juga dari color terang. Malah kombinasi dua color ini menyerlahkan lagi penampilan kita.
“Sherry Scarves ini juga dicipta untuk mereka yang gemar travel. Ini kerana ada rekaan tudung yang didatangkan sekali dengan inner. Ini memudahkan bagi mereka yang selalu travel untuk bersiap,” tambahnya lagi yang begitu mementingkan kualiti hijab dengan memilih fabrik satin terbaik yang mudah dibentuk, tidak panas dan tidak pekak. Malah Sherry Scarves ini juga dijual dengan harga berpatutan.
Buat masa ini tudung ini boleh didapati di Butik Wardia di Melawati Mall dan juga boleh didapati secara online.
Tidak mudah untuk seseorang itu menempa kejayaan. Apatah lagi jika dapat menempa nama di peringkat antarabangsa. Begitu juga kisah penyanyi Yuna yang pernah melalui jalan berliku sebelum berjaya seperti hari ini. Antaranya dia pernah disuruh buka tudung dan hanya menyanyikan lagu Melayu sahaja.
Perkara ini diluahkan penyanyi yang kini mencipta nama di Amerika Syarikat. Yuna di laman sosial instastorynya dengan memberi penghargaaan kepada pengurus peribadi Wawa yang banyak berkorban demi karier nyanyian beliau.
Bukan itu sahaja kesusahan dialami,mereka juga pernah menghadapi masalah kewangan dan terpaksa kuat untuk bertahan dalam industri.
Kini segala kepayahan lalu berbaloi kerana nama Yuna kini semakin di kenali di kalangan penyanyi popular.
Wawa adalah orang yang bertanggungjawab membawa karier Yuna hingga berjaya menembusi pasaran antarabangsa.
Penyanyi yang baru bergelar isteri orang awal tahun ini memulakan karier sebagai penyanyi 10 tahun lalu.
Status yang dimuat turun ini juga turut membuatkan peminatnya terharu ddan kisahnya itu memberi inspirasi kepada mereka. Rata-rata begitu tersentuh dengan kisah kejayaan penyanyi ini mendaki puncak jaya.
Seperti yang kita maklum, Yuna memang sudah bertudung ketika mula-mula menyertai industri hiburan di tanah air. Penyanyi ini juga mempunyai ijazah dalam bidang Undang-undang dari UiTM.
NIVEA LUMINOUS630 Skin Glow mencuri tumpuan di Piala Seri Endon 2025 apabila Tuanku Zara Salim tampil anggun dengan kulit berseri. Ketahui rahsia serum ini yang beri hasil dalam 3 hari!