
Gaya tudung yang salah bukan sekadar isu fesyen atau trend semasa. Bagi seorang Muslimah, tudung membawa maksud yang lebih besar iaitu memenuhi tuntutan menutup aurat sebagaimana yang digariskan dalam Islam.
Namun dalam dunia fesyen hijab hari ini, pelbagai gaya tudung muncul dan menjadi ikutan ramai, terutama selepas tular di media sosial. Ada yang nampak moden, ringkas dan kemas, tetapi hakikatnya masih tidak menutup aurat dengan sempurna apabila digayakan di luar rumah.
Pendakwah bebas, Ain Haffa menerusi perkongsian di media sosialnya mengingatkan wanita Islam agar lebih berhati-hati dalam memilih gaya pemakaian tudung. Menurutnya, jangan terlalu mengejar fesyen sehingga tujuan utama berhijab akhirnya terabai.
Berikut antara lima gaya tudung yang hijabi perlu beri perhatian.
Gaya Tudung Yang Salah Hingga Menampakkan Leher Dan Telinga
Gaya turban sering menjadi pilihan kerana kelihatan moden, minimalis dan mudah disesuaikan dengan pelbagai jenis pakaian. Namun, jika pemakaiannya menampakkan bahagian leher atau telinga, ia tidak menepati konsep menutup aurat yang sempurna.
Bahagian leher dan telinga termasuk dalam aurat wanita yang wajib ditutup apabila berada di hadapan bukan mahram. Walaupun gaya ini dilihat kemas dan fashionable, hijabi perlu lebih peka supaya penampilan tidak mengabaikan batas syariah.
Untuk lebih selamat, gaya turban boleh dipakai di rumah atau ketika bersama mahram. Jika mahu menggayakannya di luar, pastikan ia dipadankan dengan inner neck atau lapisan tambahan yang menutup bahagian leher dan telinga sepenuhnya.
Anak Tudung Dijadikan Tudung Luar

Trend memakai anak tudung atau inner sahaja sebagai tudung luar semakin kerap dilihat. Ia mungkin nampak simple, sporty dan sesuai dengan gaya santai, tetapi pemakaian sebegini kurang sesuai dijadikan penutup aurat utama.
Ini kerana kebanyakan anak tudung diperbuat daripada fabrik yang melekap pada kepala, leher dan telinga. Apabila terlalu ketat, bentuk bahagian tersebut akan kelihatan jelas sekali gus tidak memenuhi ciri pemakaian tudung yang sempurna.
Menurut Ain Haffa, anak tudung sepatutnya dipakai di bahagian dalam tudung, bukan dijadikan tudung utama ketika berada di luar rumah. Pilihlah tudung luar yang lebih longgar, labuh dan tidak menampakkan bentuk leher.
Sanggul Palsu Atau Scrunchies Terlalu Besar

Tidak dinafikan, penggunaan scrunchies atau sanggul palsu boleh membantu tudung kelihatan lebih terbentuk dan kemas. Namun jika saiznya terlalu besar, tinggi atau menonjol, ia boleh menarik perhatian dan menjejaskan kesopanan dalam berhijab.
Ain Haffa turut menasihatkan agar wanita yang mempunyai rambut panjang atau tebal merendahkan sanggul supaya tidak terlalu ketara di bawah tudung. Penggunaan sanggul palsu semata-mata untuk mencantikkan bentuk tudung juga sebaiknya dielakkan.
Gaya tudung yang cantik tidak semestinya perlu kelihatan berlebihan. Cukup sekadar kemas, selesa dan tidak menonjolkan bentuk yang boleh menarik perhatian secara tidak wajar.
Gaya Tudung Yang Salah Kerana Nipis Dan Jarang

Tudung daripada material nipis, ringan dan jarang sering menjadi pilihan kerana mudah dibentuk serta selesa dipakai. Namun jika fabrik tersebut menampakkan bahagian kepala, leher atau anak rambut, ia tidak sesuai dipakai di luar rumah.
Hijabi disarankan memilih material yang tidak tembus cahaya seperti kapas, chiffon tebal atau fabrik yang mempunyai lapisan lebih baik. Pemakaian inner neck juga boleh membantu menutup bahagian leher dengan lebih sempurna.
Jika ingin memakai selendang atau shawl, pastikan ia digayakan bersama anak tudung yang sesuai supaya rambut, telinga dan leher tidak kelihatan ketika bergerak.
Gaya Tudung Menyerupai Pemakaian Agama Lain

Dalam memilih gaya hijab, Muslimah juga perlu berhati-hati agar tidak menyerupai pemakaian yang membawa simbol atau identiti agama lain. Ia termasuk gaya yang terlalu ketat di bahagian leher atau menyerupai bentuk pemakaian tertentu yang tidak menggambarkan identiti Muslimah.
Ain Haffa mengingatkan bahawa pemakaian Muslimah bukan sekadar menutup kepala, tetapi juga menjaga identiti, kesopanan dan maksud sebenar hijab itu sendiri.
Fesyen boleh dijadikan inspirasi, namun ia perlu disesuaikan dengan batas aurat dan adab berpakaian dalam Islam.
Hijabi Boleh Bergaya, Tapi Jangan Sampai Terabai Syariat

Tidak salah untuk Muslimah tampil cantik, kemas dan bergaya. Islam tidak melarang wanita menjaga penampilan, asalkan ia tidak melampaui batas yang telah ditetapkan.
Apa yang penting, setiap gaya tudung yang dipilih perlulah menutup aurat dengan sempurna, tidak jarang, tidak ketat, tidak menampakkan leher dan telinga serta tidak terlalu menarik perhatian.
Trend fesyen boleh berubah dari semasa ke semasa, tetapi prinsip menutup aurat tetap perlu dijaga. Cantik sebenar seorang hijabi bukan hanya pada gaya, tetapi pada kesungguhannya menjaga maruah, identiti dan ketaatan kepada Allah SWT.
Gaya tudung yang salah wajar dielakkan supaya niat berhijab tidak tersasar daripada tujuan asalnya. Berfesyen biarlah berpada-pada, kerana tudung bukan hanya tentang penampilan luaran, tetapi juga lambang kepatuhan dan kehormatan diri seorang Muslimah.
BACA LAGI : Gaya Tudung Ikut Bentuk Muka! Panduan Penting Agar Tampil Lebih Yakin & Manis di Hari Raya
Tampil #1 on top dengan fashion muslimah terkini di HIJABISTA!
Download sekarang di




