“Ya, saya sudah berhijrah dan mengenakan hijab sepenuhnya. Bagaimanapun, tak perlulah saya ulas panjang lebar, lagi pun, saya rasa tidak perlu diumumkan.
Heroin drama Titian Cinta, Farah Nabilah mengakui kini sudah berhijab sepenuhnya namun enggan memberikan penjelasan lebih mengenai penampilan terbaharunya itu.
“Cuma, saya nak ucapkan terima kasih kepada peminat yang sentiasa mendoakan saya dan segala kebaikan kepada keluarga,” jelas isteri kepada Mohammed Amirul Yunus ini.
Sebelum ini, Farah dilihat sering mengenakan selendang sebelum memuat naik video berhijab dengan sempurna ketika mempromosikan produk bayi kegunaan anak lelakinya, Andre Omar menerusi laman Instagram tiga hari yang lalu.
Ads
Farah juga turut bersyukur apabila melihat ramai rakan artis lain yang berhijrah penampilan baru-baru ini.
Ads
“Saya tumpang gembira dengan penghijrahan mereka. Semoga kita terus dilindungi dan kuat bergelut dengan ujian pandemik COVID-19 ini,” ujarnya.
Satu demi satu kita lihat selebriti kita telah melakukan penghijrahan terutama daripada segi penampilan. Ternyata penghijrahan yang dibuat ini menggembirakan hati ramai peminat yang memang sentiasa mengikuti perkembangan artis kesayangan mereka.
Salah seorang adalah bekas penyampai radio, Fara Fauzana yang berhijrah pada tahun 2014. Dia yang sebelum ini berpengalaman hampir 10 tahun bekerja pagi di stesen radio swasta HOT FM.
Sepanjang tempoh itu, dalam satu perkongsiannya Fara memberitahu ramai yang berkata ‘untungnya kerja pagi sebab, Subuh mesti tak tinggal’. Namun dia mengakui lima tahun pertama tidak menunaikan solat Subuh.
Ini kerana terikat dengan jadual kerja pagi yang memerlukan dia berada di studio seawal jam 6 pagi. Waktu itu sudah bermula siaran dan dalam masa sama juga waktu Subuh sudah masuk.
Jadi dia terfikir bagaimana untuknya meninggalkan studio ketika itu, macam mana nak solat dan di mana mahu solat.
Lagipun pelbagai alasan seperti surau jauh dan masalah lain yang menyukarkan menyebabkan Fara langsung tidak menyempurnakan solat Subuh pada 5 tahun pertama.
Namun kesedaran untuk melakukan suruhan wajib Tuhan ini datang sedikit demi sedikit pada dirinya. Dia waktu itu melihat kenapa teman-teman lain boleh melakukan solat Subuh dengan mudah.
Dan mereka juga tidak pernah memberitahu padanya, ‘eh tak solat ke’ atau ‘tak Subuh ke’ dan dia sangat respek pada teman-temannya yang memang tak pernah bertanya padanya soal itu.
“Seperti juga dalam radio, saya juga sebenarnya seorang yang banyak cakap. Jadi saya tidak mahu orang mengatakan saya ‘munafik’ dan saya cuba belajar awal-awal.
“Misalnya terpaksa solat secara bersembunyi kerana tidak mahu dikatakan menunjuk. Sebenarnya saya takut jika orang lihat apa yang saya buat itu tidak betul.
“Namun saya cuba buat (solat Subuh). Pada mulanya memang sukar kerana kekangan masa dan sebagainya.
“Tetapi lama-kelamaan saya belajar dan rasa ada tanggungjawab untuk menjadi ‘a good Muslim’, ia menjadi mudah dan daripada situ saya mula berubah sedikit demi sedikit,” ujar Fara Fauzana dalam perkongsiannya itu.
Fara juga banyak bercerita pengalamannya ketika tidak bertudung sebelum itu dan perlu hadir dalam beberapa anugerah. Menurutnya kebanyakan anugerah bermula jam 8 malam dan perlu mekap seawal jam 5 petang.
“Dalam hal ini, secara jujurnya memang akan ada yang tanya ‘tak solat Maghrib ke’? Memang saya tak buat dan biasanya hanya akan qada sahaja. Tetapi apabila saya lihat benda itu sebenarnya mudah dan tahu untuk mengawalnya, saya belajar nak jadi yang baik.
“Ketika saya jadi pengacara anugerah berkenaan yang bermula jam 9 malam, setelah saya siap mekap dan sebelum memakai tudung, saya akan solat dulu. Sekarang ini rasanya lebih mudah kerana di ‘back stage’ ada disediakan ruang untuk kita menunaikan solat.
“Dan sekarang ini tiada lagi situasi di mana orang melihat solat itu hanya untuk menunjuk sahaja. Saya tak perlu segan jika ada yang kata menunjuk kerana solat depan orang. Ini kerana niat memang ikhlas kerana Allah,” jelasnya juga yang berubah sedikit demi sedikit dengan memakai selendang sebelum berhijab sepenuhnya.
Ini kerana Fara Fauzara tidak mahu bila pakai dan akan buka nanti bila kerana belum bersedia sepenuhnya.
Sejujurnya ketika di awal penghijrahannya dia berkira-kira bagaimana mahu istiqomah dan menjadi Muslim yang lebih baik.
Dia juga beruntung ketika itu kerana bekerja di bawah boss bukan Islam yang amat memahami dan tidak mengalami masalah apabila memohon untuk mengelak daripada melakukan tugasan ‘Panggilan Hangit’ dan juga ruangan ‘Gosip’.
Admin terharu mendengar pengalaman Fara Fauzana yang berkongsi dalam satu majlis ilmu ‘Perjalanan Menuju Taqwa’, di Putrajaya awal Mei lalu.
Ternyata hidayah Tuhan diberikan dalam pelbagai cara. Moga Fara terus istiqamah dalam memperjuangkan agama Islam.
Walaupun kini sudah tidak lagi bekerja di stesen radio, Fara kini banyak terbabit dengan kerja sukarelawan untuk kerja-kerja amal. Dia juga turut mengendalikan rancangan bual bicara santai tetapi dalam versi digital, @dibilique
Siapa yang tidak mengenali pelakon jelita dan berbakat besar, Hannah Delisha yang mulai popular menerusi drama Mencintaimu Mr Photographer bersama Syafiq Kyle yang berjaya meledakkan namanya suatu ketika dahulu.
Pada tahun 2020, jelitawan asal Singapura ini mengumumkan tentang niat untuk bertudung dan berkongsi berita penghijrahan dalam laman Instagram miliknya. Kini empat tahun sudah berlalu, Hannah bersyukur kerana masih istiqamah menutup aurat dan berhijab.
“Jika diikutkan, saya sudah terdetik untuk memakai tudung agak lama juga. Namun, saya perlu habiskan penggambaran drama Cinta Sekali Lagi. Kalau nak tahu, watak saya sebagai Amani dalam drama itu yang membuatkan saya rasa lebih ingin bertudung.
“Saya cakap kepada diri saya, ini masanya untuk saya memakai tudung kerana niat hati saya dah semakin hari semakin kuat,” katanya.
Sebelum ini, dia juga tidak terlepas daripada rasa tertanya-tanya samada penampilan baharunya ini akan memberi kesan kepada kariernya yang sedang melonjak naik ketika ini.
“Pernah terlintas dalam fikiran, selepas saya bertudung, bagaimana dengan urusan kerja? Mungkin ada kerja tertentu yang saya terpaksa tolak. Namun, saya yakin bahawa rezeki itu datangnya daripada Allah. Jadi, tak perlu timbul rasa risau kerana saya sentiasa serahkan bab rezeki kepadaNya,” jelasnya.
Selepas bertudung, Hannah juga menjelaskan dia kini semakin tenang menjalani kehidupannya.
“Saya tak perlu lagi risau mengenai rezeki dan sebagainya kerana semuanya sudah diatur dengan baik oleh Allah. Sejujurnya, kehidupan saya kini juga menjadi lebih tenang dari semua sudut,” luahnya.
“Walaupun kini saya sudah bertudung, itu tidak menjadi penghalang untuk saya terus berlakon dan menerima watak antagonis. Dalam dunia realiti, kita semua sedia maklum bahawa ada juga orang yang bertudung, tetapi memiliki hati yang jahat.
“Sekiranya lakonan watak yang saya bawakan itu mampu memberi pengajaran kepada penonton, tentunya saya akan terima. Apa pun, semuanya berbalik kepada skrip. Sekiranya skrip itu menarik dan saya minat, tentunya saya akan teruskan,” katanya.
Pengacara TV Fara Hanim Razak berkongsi soal kecaman di media sosial dan usaha menjadi muslimah yang baik dalam segmen No Turning Back, Hijabista. Dalam temu bual eksklusif bersama Fara Hanim atau lebih mesra dengan panggilan Hanim, dia menyatakan bahawa selepas berlakunya insiden terdahulu, dia menjadi seorang yang begitu peka dengan hantaran di laman sosialnya terutamanya di Instagram.
Tambahnya lagi, dia tahu sebagai seorang selebriti, kehidupan hariannya bukan lagi sebuah privasi. Oleh itu, dia akan sentiasa menjaga nilai sensitif di ruang media sosial untuk tidak menimbulkan sebarang konflik.
“Apa sahaja berkaitan dengan akaun media sosial, saya akan pastikan semuanya diperiksa terlebih dahulu. Sama ada gambar atau kapsyen yang akan dimuat turun, saya akan pastikan tidak ada kesalahan yang dilakukan.
Kadang-kala kita terlepas pandang. Netizen lebih cepat sedar tentang kesalahan yang dilakukan. Jadi saya tidak mahu menjadikan ruangan komen saya sebagai sebuah ruang untuk bergaduh atau sesuatu yang negatif,” ujarnya.
Menurut Hanim, sudah terang lagi bersuluh, dia tidak mampu untuk mengawal apa yang berlaku di media sosial. Namun, dia boleh mengawal emosinya sendiri untuk menghadapi kecaman yang datang padanya.
“Jujurnya, kadang-kala kritikan yang diterima di media sosial amat pedas. Tetapi perkara itu di luar kawalan saya. Apa yang boleh saya lakukan ialah mengawal emosi saya untuk sentiasa berasa positif.
Namun, saya tidaklah menghiraukan komen-komen yang diterima. Malah saya jadikannya sebagai sebuah rujukan untuk mengubah diri saya menjadi lebih baik,” tambahnya lagi.
Menjadi Muslimah Yang Lebih Baik..
Berbicara soal usaha diri untuk menjadi versi yang baik, kongsi Hanim, dahulu sewaktu saat awal memulakan kerjaya sebagai seorang peragawan, keningnya pernah dicukur tanpa rela. Dia dipaksa untuk mencukur keningnya bagi tujuan untuk sesi ‘photoshoot’ di luar.
“Saat itu saya benar-benar sedih. Maklumlah saya berasal dari kampung, Mak saya berpesan agar tidak melakukan sebarang perubahan terhadap wajah termasuklah bulu kening.
Namun, pada saat itu, disebakan saya masih mudam mereka mencukur kening saya tanpa rela. Dari saat itu, saya jadikan ia sebagai pengajaran untuk sentiasa teguh dengan pendirian diri. Saya percaya bila adanya perngajaran sebegini, ia membentuk diri kita hari ini,” ujarnya mengakhiri bicara No Turning Back Hijabista.
Ketenangan dalam Islam mengajar kita kembali kepada Allah melalui zikir, doa dan solat ketika jiwa gelisah, di samping menjaga kesihatan fizikal dan emosi.