Menutup aurat bukan pilihan tapi wajib. Hijab atau tudung pula bermaksud pakaian yang menutup aurat wanita Muslimah pada bahagian kepala dan sekitarnya. Kewajipan itu disebutkan dalam al-Quran dan hadis.
Firman ALLAH SWT: “Katakanlah kepada wanita yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka atau ayah mereka atau ayah suami mereka atau putera-putera mereka atau putera-putera suami mereka atau saudara-saudara lelaki mereka atau putera-putera saudara lelaki mereka atau putera-putera saudara perempuan mereka atau wanita-wanita Islam atau budak-budak yang mereka miliki atau pelayan-pelayan lelaki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita. Dan janganlah mereka memukulkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertaubatlahkamu sekalian kepada ALLAH, wahai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung.” (Surah an-Nur, ayat 31)
Baru-baru ini tular mengenai penampilan bertudung seorang pesilat negara wanita ketika menyertai Kejuaraan Pencak Silat Dunia Ke-19 di Ayer Keroh, Melaka. Beliau dikenali sebagai Merrywati Manuil yang berasal dari Sandakan, Sabah.
Penampilannya yang bertudung telah menarik perhatian masyarakat. Ramai yang menyangka dia ialah seorang gadis Melayu Islam. Dalam sebuah penulisan di Facebooknya, Merrywati mengatakan beliau memakai tudung semasa pertandingan kerana ingin menghormati kesenian silat Melayu walaupun beliau bukan beragama Islam.
Malah baginya, tudung membuatkan dirinya nampak lebih sopan, kemas dan beradab semasa pertandingan. SubhanAllah. Jika kita perhatikan wanita ini bukan beragama Islam, tetapi hatinya turut merasa selesa mengenakan tudung yang menjadi kewajipan buat wanita Islam. Malahan, dia sanggup mengenakannya dalam lapangan silat yang kita tahu memerlukan pergerakan yang aktif, dan lincah.
Ads
Allahuakbar, ini menjadi bukti bahawa dengan bertudung dan menutup aurat tidak menyekat seseorang wanita itu untuk melakukan apa jua aktiviti termasuklah aktiviti lasak sekalipun.
Jadikan kisah ini satu suntikan semangat dan inspirasi buat kita untuk terus istiqamah menutup aurat dengan sempurna. Besar ganjaran buat mereka yang istiqamah di jalan kebaikan. Mudah-mudahan juga, Allah memberikan taufiq dan hidayahnya buat sahabat-sahabat kita yang belum beragama Islam.
Didoakan buat yang sedang berusaha untuk menutup aurat dengan sempurna semoga diberi kemudahan dan kekuatan dalam menjalankan perintah Allah. Buat mereka yang sudah sempurna menutup aurat, mudah-mudahan kita terus istiqomah menjalankan perintah Allah yang satu ini hingga ke akhir hayat. Allahumma ameen.
Maksudnya: “Aku katakan kepada Ummu Salamah, “Wahai Ummul Mukminin, apakah doa yang sering dibaca Rasulullah SAW apabila Baginda bersamamu? Beliau berkata, “Doa beliau yang paling banyak adalah, “Wahai Dzat yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku diatas agama-Mu.”
Ads
Ummu Salamah berkata, “Wahai Rasulullah, berapa kerap anda berdoa, “Wahai Dzat yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku diatas agama-Mu?”
Baginda berkata, “Wahai Ummu Salamah, sesungguhnya tidak ada seorang manusia pun melainkan hatinya berada di antara dua jari di antara jari-jari Allah. Siapa yang Allah kehendaki maka Dia akan meluruskannya dan siapa yang Allah kehendaki maka Dia akan memalingkannya.” (HR Tirmizi, hadis hasan)
Sumber kredit: Ustazah Asma’ Harun Top image: Photo by hasan-almasi from Unsplash
Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini.
Tampil #1 on top dengan fashion muslimah terkini di HIJABISTA!
Download sekarang di
Diam tak diam sudah masuk 10 malam terakhir Ramadan. Inilah malam paling ditunggu-tunggu sekalian umat Islam. Malam lailatul qadar yang lebih baik daripada malam-malam sebelumnya
Sepatutnya malam inilah kita berteleku di tikar sejadah sambil melakukan pelbagai amalan ibadah dengan membaca Quran, berzikir dan mengerjakan amalan solat sunat.
Namun senario sekarang apa yang kita perhatikan, 10 malam terakhir inilah bagaikan lubuk rezeki kepada peniaga di Bazar Ramadan. Mana taknya, jualan barangan raya lebih murah daripada biasa dan Bazar Ramadan akan dibuka hingga dinihari. Seakan pesta apabila ada yang lelong pakaian ataupun kuih raya pada harga sangat murah.
Bukan itu sahaja, malah peniaga online juga tidak kurang sibuknya menjual baju raya di saat akhir. Semua blogger dan peniaga kecil bersaing menampilkan rekaan terkini. Malah untuk lebih senang ada yang menjual pakaian secara pakej sekeluarga.
Pelbagai strategi digunakan dan ada yang lebih awal mempromosi di laman sosial hingga kemudiannya timbul isu ciplak hasil rekaan orang lain. Isu yang bukan sekali dua timbul namun setiap kali raya, pasti ianya berbangkit kembali. Namun begitu, bagi peniaga bagai sudah set di minda ‘Tak kesah lah tiru ke tak? Janji laku, janji masyuk’.
Walau bagamanapun, bagi mereka yang mementingkan kualiti dan rekaan eksklusif tetap dengan memilih rekaan dari pereka terkenal. Rekaan lebih asli dan berkualiti, bagi mereka yang ‘bajet’ utuh dengan pendirian pilih yang ciplak rekaan seakan-akan janji menang memakai.
Persoalannya admin ingin katakan disini dalam kita sibuk menjayakan misi ciplak-menciplak ni bagaimana pula misi dalam merebut 10 malam terakhir Ramadan. Sepatutnya di sepertiga 10 mlam akhir ini kita umat Islam bersedia dalam meningkatkan ibadah puasa dalam merebut syafaat 10 malam lailatul qadar.
Daripada kita asyik mempersoalkan isu ini, ayuh kongsi tip menjelang 10 malam terakir ini.
1. Muliakan niat, bersihkan hati yang tulus dengan memaksimakan ibadah.
2. Bacalah tafsir Al Quran dan fahami isi kandungannya.
3. Jangan menunggu sehingga ke malam 27 seharusnya bangun setiap malam 10 terakhir lakukan ibadah. “Barangsiapa yang terjaga (tidak tidur) di malam lailatul qadar dengan iman dan harapan dosa-dosanya akan diampunkan”. Insya-Allah.
5. Hafalkan doa malam lailatul qadar ‘Allahumma innaka ‘afuwun tuhibbul ‘afwa fa’ fu ‘anni (Ya Allah kau maha pengampun, maka ampunilah aku.)
6. Pakailah pakaian yang indah dan wangi-wangian ketika beribadah.
7. Bukan malam pasang status di laman sosial contohnya: (alhamdulilah nikmatnya dapat bermunajat ….)
8. Sabar menahan segala dugaan di 10 malam terakhir.
9. Yang paling penting Husnudhzon lah kepada Allah. Ketika bermunajat, ingatlah kita sedang meminta kapadaNya yang maha mencipta janganlah ragu-ragu dengan ketentuannya, yakin dengan sepenuh hati.
+++Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini.
Tampil #1 on top dengan fashion muslimah terkini di HIJABISTA!
Download sekarang di
Zaman sekarang ini ramai wanita yang lambat berkahwin. Kebanyakan mereka mahu menumpukan perhatian denga dunia kerjaya. Tak kurang juga mereka yang belum bertemu jodoh menyebabkan ramai wanita lambat mendirikan rumah tangga.
Risiko yang perlu dialami oleh ramai wanita yang lambat mendirikan rumah tangga ialah masalah kesuburan. Dengan teknologi serba moden pada masa kini, ada wanita yang mengambil keputusan untuk membeku ovum untuk disimpan. Apabila sudah berjumpa pasangan yang sesuai dan berkahwin, benih akan dicantumkan.
SOALAN:
Adakah boleh wanita bujang bekukan ovum siap-siap untuk disimpan dulu? Kemudian, apabila sudah jumpa pasangan untuk berkahwin, barulah disenyawakan dan diteruskan proses-proses lain. Saya rasa khuatir akan menopause dan mengalami masalah kesuburan sebelum berkahwin kerana saya semakin berusia.
JAWAPAN:
Hukum mengeluarkan benih sebelum akad nikah untuk disenyawakan selepas berkahwin adalah haram. Bahkan membekukan ovum kerana lambat berkahwin dengan sangkaan tidak subur pada masa hadapan adalah alasan yang tidak boleh diterima syarak kerana ia bukan dalam lingkungan pengetahuan kita sebagai manusia. Justeru itu, hukum bekukan ovum atas alasan tersebut adalah haram.
PEMBEKUAN OVUM
Oocyte cryopreservation adalah satu kaedah pembekuan dan penyimpanan telur (oosit, ovum, sel telur wanita) yang matang untuk kegunaan pada masa akan datang. Telur atau oosit ini akan dikeluarkan daripada ovari dan disimpan di dalam cecair nitrogen (LN2) pada suhu yang rendah.
Kebiasaanya pembekuan telur ini dilakukan oleh pesakit kanser yang sudah berkahwin sebelum menjalani rawatan kemoterapi atau radioterapi. Kemudian, oosit yang sama yang telah disimpan tadi digunakan untuk mendapatkan anak melalui Teknologi Bantuan Pembiakan atau Assisted Reproductive Technology (ART) dengan pasangannya.
PRSOES PENGUMPULAN OVUM
Oocyte pick-up (OPU) / pengambilan oosit merupakan proses mengeluarkan telur atau ovum dari organ persenyewaan wanita. Pengeluaran oosit (oocyte retrieval) dari ovari hanya boleh dilakukan secara invasive iaitu dengan menggunakan kaedah stimulasi ovari untuk menghasilkan oosit yang banyak, kemudian oosit diekstrak daripada ovari menggunakan jarum dengan bantuan transvaginal ultrasound.
Prosedur ini dilakukan di dewan bedah dengan bius penuh (general anaesthesia). Prosedur perolehan dan penyimpanan oosit hendaklah direkodkan dan disahkan oleh dua orang pengamal perubatan.Prosedur ini juga yang digunakan semasa rawatan in-Vitro Fertilisation (IVF) untuk mengeluarkan telur daripada ovari isteri.
MENGELUARKAN OVUM SEBELUM AKAD NIKAH
Mengeluarkan sperma bagi lelaki dan ovum bagi perempuan atau perbuatan meminta mengeluarkan air mani adalah sama maksudnya dengan istilah istimna’ (استمناء). Istimna’ pada sudut bahasa menurut fuqaha ialah mengeluarkan mani dengan tapak tangan dan seumpamanya bukan dengan cara bersetubuh.
Pada sudut istilah, mengeluarkan air mani tanpa melalui proses bersetubuh, sama ada secara haram seperti menggunakan tangan bagi memenuhi tuntutan syahwat, ataupun secara tidak haram, seperti mengeluarkan air mani melalui tangan isteri”. Adapun istimna’ pula adalah keinginan (permintaan) untuk mengeluarkan air mani dalam keadaan sedar dengan apa cara sekalipun, dan ia berlaku dalam kalangan lelaki dan juga wanita.
Secara umumnya, mengeluarkan air mani dengan sengaja adalah dilarang dan ditegah dalam Islam. Ini berdasarkan kepada firman Allah SWT:
Maksudnya: “Dan mereka yang menjaga kehormatannya. Kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela. Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas.” Surah al-Mu’minun (5-7)
Berdasarkan dalil berikut, Imam al-Nawawi mengatakan haram kerana ia membawa kepada putusnya keturunan, maka ia diharamkan sepertimana liwat.
Imam al-Nawawi juga mengatakan hukum istimna’ / masturbasi mengeluarkan air mani dengan tangan sendiri adalah haram, dan ramai dari kalangan alim ulama’ yang berpegang dengannya. Ibn ‘Abbas pernah berkata: “Mengahwini hamba perempuan adalah lebih baik darinya (mengeluarkan mani dengan sengaja)”.
Mereka kesemuanya berpegang pada dalil yang sama iaitu pada surah al-Mu’minun ayat 5-7. Perkara ini juga turut diakui oleh pakar-pakar fisiologi dan juga doktor-doktor perubatan bahawa perbuatan mengeluarkan air mani dengan sengaja boleh membawa kepada pembunuhan keinginan seksual dalam diri seseorang dan menjadikan seseorang itu tidak dapat mengeluarkannya (air mani) ketika persetubuhan melainkan dengan cara mengeluarkannya sendiri dengan menggunakan tangan seterusnya mengabaikan tanggungjawabnya dan tugasnya sebagai seorang suami.
Perbuatan ini juga membunuh fungsi alatnya (kemaluan) atau mengurangkan kebersamaan suami isteri. Maka, kesemua kerosakan dan juga keburukan ini amatlah dilarang daripada berlaku ke atas diri manusia.
Walaupun kaedah mengeluarkan ovum yang dilakukan dengan suntikan sedutan ovum (oocyte retrieval) bukan dengan cara istimna’, namun ia berlaku sebelum wanita tersebut berkahwin kerana risau pada usia menopause tiada ovum yang boleh dihasilkan.
Hal ini kerana apa-apa kaedah mengeluarkan mani sebelum akad adalah dilarang melainkan mengeluarkan mani dalam tempoh perkahwinan. Imam Qalyubi berkata:
“Bukan sesuatu yang diharamkan jika lelaki masturbasi dengan tangan isteri, begitu juga air mani yang keluar ketika tidur biarpun ada wanita asing (bukan isteri) yang memasukkan zakarnya ke dalam faraj semasa dia sedang tidur.
Demikian juga jika isteri memasukkan air mani (suami) ke dalam faraj kemudian dia mengandungkan anaknya. al-Zarkasyi berpendapat dalam perkara ini anak yang lahir itu hendaklah dinasabkan kepada bapanya kerana berlaku percantuman dalam tempoh perkahwinan (firasy).”
Berdasarkan kenyataan fuqaha’ tersebut, anak yang lahir daripada air mani seseorang lelaki yang keluar dalam tempoh perkahwinan, maka boleh dinasabkan anak kepada bapanya.
Oleh itu, hukum mengeluarkan air mani sebelum bernikah adalah haram berdasarkan pengharaman istimna’ (mengeluarkan air mani) bagi lelaki dan wanita yang bukan dalam tempoh perkahwinan. Adapun, mengeluarkan ovum dengan kaedah suntikan adalah dilarang kerana “illah” sebelum akad perkahwinan. Penentuan menasabkan anak juga mestilah dalam tempoh perkahwinan bagi tujuan menjaga keturunan (Hifz Nasl).
Justeru, hukum mencantumkan benih yang dikeluarkan sebelum akad nikah dan kemudian dibuat persenyawaan dalam tempoh perkahwinan adalah haram.
MEMELIHARA KETURUNAN (HIFS NASL)
Pengharaman pengeluaran oosit sebelum berkahwin ini juga bertepatan dengan maqasid syariah dalam menjaga keturunan.
Salah satu tujuan perkahwinan adalah untuk menjaga keturunan. Parameter untuk menentukan pengesahan nasab anak yang lahir adalah berlaku persetubuhan dalam perkahwinan yang sah berdasarkan hadis daripada Aisyah R.Anha Rasulullah SAW bersabda:
الوَلَدُ لِلْفِرَاشِ وَلِلْعَاهِرِ الحَجَرُ
Maksudnya: Nasab anak kepada perkahwinan yang sah manakala bagi penzina itu hukuman rejam. Riwayat al-Bukhari (6749)
Oleh yang demikian, menjaga keturunan adalah dengan cara melalui hubungan seksual yang halal setelah terlafaznya akad nikah.
SANGKAAN YANG BELUM BERLAKU
Alasan membekukan ovum kerana lambat kahwin dan risau akan mengalami menopaus adalah perkara sangkaan yang belum berlaku. Dalam hal ini para ulama menjelaskan sesuatu syariat tidak boleh dibina di atas perkara sangkaan semata-mata. Antaranya Sheikh Ibn ‘Asyur menjelaskan:
فعلمنا أن البناء على الأوهام مرفوض في الشريعة إلا عند الضرورة، فقضينا بأن الأوهام غير صالحة لأن تكون مقاصد شرعية
Maksudnya:”Maka kita telah mengetahui bahawa syariat yang terbina dengan jalan sangkaan adalah ditolak dan tidak diterima melainkan dalam keadaan darurat, maka kita menghukumkan bahawa sangkaan itu tidak boleh dijadikan sebagai tujuan syarak (maqasid syariah).”
Oleh yang demikian, perkara sangkaan tidak boleh dijadikan hujah syarak mahupun alasan untuk membenarkan mengeluarkan ovum sebelum akad nikah.
FATWA-FATWA BERKAITAN BENIH (OVUM/SPERMA)
Muzakarah Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada tahun 2003 dan 1981 berkaitan isu mencantumkan benih dan bank mani:
HUKUM MENCANTUMKAN BENIH
*Hukum mencantumkan benih yang dikeluarkan sebelum akad nikah dan kemudiannya dibuat pencantuman dalam tempoh perkahwinan yang sah adalah haram.
*Hukum mencantumkan benih yang diambil dan dicantumkan dalam tempoh perkahwinan yang sah adalah harus.
BERKENAAN BANK AIR MANI:
*Mengadakan bank air mani adalah haram.
*Sekiranya bank air mani telah sedia wujud maka kerajaan hendaklah bertindak untuk menghapuskannya.
*Permanian beradas yang dilakukan kepada manusia adalah haram kecuali jika air mani daripada suami didapati secara muhtaram/ terhormat (yang diluluskan oleh syarak), dibenarkan oleh Islam.
*Penglibatan doktor pakar atau mana-mana pihak yang berkaitan dengan bank air mani adalah haram.
KESIMPULAN:
Setelah meneliti hujah yang dibentangkan, mengeluarkan air mani dengan sengaja adalah dilarang. Sementara, hukum benih yang dikeluarkan sebelum akad nikah dan kemudiannya akan dicantumkan dalam tempoh perkahwinan adalah haram.
Hal ini kerana menjaga keturunan adalah dengan cara melalui hubungan seksual yang halal setelah terlafaznya akad nikah. Bahkan alasan lambat kahwin dengan menjangkakan pada masa hadapan yang bukan dalam kadar pengetahuan kita adalah alasan yang tidak boleh diterima oleh syarak.
Penghijrahan selebriti jelita, Diana Amir memang benar-benar memberi inspirasi kepada semua. Kini tampil berniqab, niat ibu kepada tiga orang cahaya mata ini tidak lain tidak bukan hanyalah untuk mendapatkan keredaan Allah sahaja.
Mengambil keputusan berhijab membuatkan Diana memahami bahawa kematian sangat hampir dengan dirinya, apatah lagi mengenakan niqab adalah satu perkara yang tidak terlintas di kotak fikiran selama ini.
Menurut Diana, dia tidak berniat untuk membuat penampilan di kaca TV, malah nekad ucapkan selamat tinggal dunia seni. Jelasnya dia mahu lebih fokus dengan dirinya sahaja.
“Saya nak berhenti daripada muncul di khalayak ramai. Saya nak fokus pada diri saya, nak fokus pada betul-betul ikhlaskan diri saya mencari agama kerana Allah.
“Saya rasa ini satu fasa untuk saya, untuk diri saya nak dekatkan diri pada Allah SWT. Jadi saya cuma mengharapkan semua orang doakanlah. Maksudnya, saya mahu berada dalam kalangan muslimat sahaja.
“Bagaimanapun yang pentingnya saya tidak melanggar syarak dan yang paling penting sekali hati saya melakukan apa-apa sahaja bukan hanya berniqab tapi ibadah yang lain ikhlas lillahi ta’ala dan semoga mendapat rahmat Allah,” ujar pelakon Strawberi Cinta itu.
Mati itu pasti, saat itu yang menjadi rahsia agar kita sentiasa bersedia menghadap Ilahi. Menginsafi bahawa masa muda akan meninggalkan kita, selebriti ini akui kita juga akan dijemput bila-bila masa sahaja.
“Agaknya sebelum ini saya fikir hidup lama lagi. Saya fikir kematian itu lama lagi. Saya muda lagi. Yang penting saya buat baik. Namun sebenarnya mati itu yang paling dekat dengan kita.
“Bila saya faham hakikat yang kita ini akan mati juga satu hari nanti dan betapa sayangnya Rasulullah SAW pada kita semua, sebab itulah hati saya yang rasa amat memberontak dahulu boleh berubah sekelip mata.
“Saya terus rasa nak pakai tudung, tak nak buka lagi. Saya terus nak baiki diri,” tegasnya.
Ditanya mengenai perjalanan untuk istiqamah, Diana menjelaskan bahawa kita haruslah mencari hikmah dalam setiap tindakan yang dilakukan agar segalanya terasa dipermudahkan olehNya.
“Perjalanan untuk istiqamah itu saya rasa paling penting untuk semua orang adalah dia. Kalau niat dia kerana Allah, insyaAllah pastinya kita berjalan kepada Allah, Allah akan ‘berlari’ nak membantu kita. Nak dekatkan diri kita kepada Allah SWT.
“Jadi, saya rasa kita sebagai hamba Allah yang banyak kekurangan ini haruslah bersangka baik dengan Allah. Jadi apa saja yang kita buat, kita kena cari apa kebaikan di sebaliknya.
“Kalau kita dapat yang buruk-buruk, kita akan rasa susah. Kita akan rasa banyak cabarannya. Tapi kalau kita nak istiqamah, cari apa hikmahnya yang kita akan dapat. Itu akan mudahkannya. InsyaAllah,” kata Diana.
Safi Youth Gold Rania memperkenalkan Fasha Sandha sebagai wajah baharu menerusi kempen Semarakkan Seri Keremajaan yang meraikan keyakinan, kekuatan dalaman dan kecantikan wanita Malaysia.