Kita mesti biasa lihatkan iklan makanan tambahan di TV serta di majalah dan surat khabar yang mampu membuatkan seseorang itu bertambah bijak terutamanya untuk kanak-kanak dan juga pelajar sekolah. Kita pun apa lagi mesti terdetik perasaan nak beli kerana fikir mesti akan menjadi semakin pandai selepas mengamalkan ini. Tapi, betul ke berkesan makanan suplemen ini? Mari kita baca pandangan pakar, Dr. Rusyainie Ramli mengenai hal ini.

Menerusi perkongsiaannya di Facebook, makanan, jus atau pil suplemen ini sama sekali tidak membantu meningkatkan tahap kepintaran seseorang itu dan ianya hanyalah satu penipuan semata.

Dr.Rusyainie juga telah menulis di statusnya dan memberi penjelasan yang padat mengenai hal ini.

 

PIL BAGI ANAK JADI MALAIKAT?

Cikgu-cikgu, saya sebagai mama nak minta tolong. Walaupun cikgu-cikgu di sekolah anak-anak saya tak jual produk nak bagi budak jadi malaikat, saya harap sangat cikgu-cikgu lain jangan lah tergolong dalam bani pil macam ni. Atau pun jangan benarkan bani suplemen minda ni jejakkan kaki pun ke sekolah.

Kebanyakan cikgu-cikgu yang saya kenal dan rapat tidak begini. Mereka pentingkan etika. Tapi kerana ada segelintir yang tamak haloba, habis terpalit nama cikgu-cikgu yang profesional.

Mama macam saya menghantar anak ke sekolah dengan harapan cikgu-cikgu bantu saya mendidik dan mengajar anak-anak saya bab pelajaran. Saya ni walaupun kerja profesional, tapi kalau tengok silibus anak-anak, saya pun boleh menangis. Memang mencabar betul tahap kehendak sistem pendidikan sekarang. Hanya cikgu-cikgu saja yang boleh tunjuk ajar yang betul supaya anak-anak saya mendapat ilmu seperti yang sepatutnya dan menjawab peperiksaan dengan baik.

IKLAN

Cikgu-cikgu, bukan semua mama mampu nak keluarkan duit nak beli produk macam ni. Mahal tu cikgu. Memang lah cikgu tak paksa, tapi kalau dah namanya yang menjual tu cikgu, mama mana-mana pun akan senang terpengaruh dan terpedaya.

Sedangkan jauh di sudut hati, cikgu-cikgu sendiri mengetahui yang tiada kejayaan itu datang bergolek, atau terbang melayang kalau tidak diiringi dengan usaha yang tidak mengenal jemu dan penat, sokongan dari mama dan papa itu, dan doa kepada Allah SWT. Saya seperti mama lain pun, mengharapkan cikgu-cikgu lah sumber rujukan anak-anak untuk mencapai kejayaan dalam bidang akademik.

Saya minta maaf dari lubuk jiwa saya yang paling dalam. Saya sedar akan kekurangan dan kelemahan saya sebagai mama dalam membentuk sahsiah anak-anak sendiri sehinggakan cikgu-cikgu terpaksa menyuruh anak-anak saya mengambil pil minda ni. Alasan cikgu-cikgu, supaya anak-anak saya jadi lebih baik kelakuannya dan perangainya. Tapi cikgu-cikgu mesti menyedari yang produk yang begini mana mungkin boleh mengubah anak-anak saya menjadi taat dan patuh. Tak mungkin. Nak memperbaikinya mesti datang dari kita sama-sama untuk membimbing mereka.

Cikgu-cikgu, apa juga bahan yang ada dalam suplemen tu takkan sama dengan makanan yang saya sediakan untuk anak-anak. KKM dah siapkan garis panduan untuk pemakanan sihat dengan menggunakan makanan sebenar. Allah dah kurniakan gigi, mulut, lelangit, lidah semua tu untuk manusia menggigit dan mengunyah makanan. Bukan setakat telan terus untuk khasiat macam pesakit yang lumpuh. Itu namanya kufur nikmat tu ya cikgu-cikgu.

IKLAN

Duit dalam poket mama lain mungkin tak setebal mana. Duit belanja dapur cukup-cukup nak bagi makan pada anak-anak yang ada. Kalau cikgu-cikgu nak mama tu belikan produk konon magik ni, manalah nak korek duit lagi. Baik mama tu dapatkan makanan sebenar, satu keluarga boleh hadapnya.

Cikgu-cikgu tolonglah saya dan mama-mama lain di luar sana dengan bersama-sama membentuk anak-anak kami menjadi insan. Bukan senang nak memanusiakan manusia. Anak-anak ini amanah Allah SWT dan saya tak mampu nak tunaikan tanggungjawab ni seorang. Cikgu-cikgulah tempat kami meminta bantuan. Tapi yang nyata, cikgu-cikgu ya, produk begini memang layaknya ke tong sampah saja. Bukan ke mulut anak-anak kami.

Terima kasih cikgu-cikgu.

Dr. Rusyainie Ramli

IKLAN

Mama yang tidak mungkin akan sempurna.

Dr.Amalina Bakri juga telah tampil bagi menjawab persoalan ini. Beliau juga menerangkan bahawa dirinya tidak mengambil sebarang makanan tambahan pun untuk cemerlang dalam akademiknya sebaliknya hanyalah memerlukan usaha yang gigih untuk berjaya.

Kepada pelajar dan ibu bapa di luar sana, Saya selalu ditanyakan soalan mengenai pengambilan suplemen untuk otak. Tak perlu pun sebenarnya ‘pil minda’. Jika anda mahu jadi bijak, anda perlu belajar dan bekerja keras. Makan suplemen tidak akan menjadikan anda seorang ‘Einstein’. Anda boleh dapat nutrisi yang lengkap daripada pengambilan harian anda daripada buah dan sayuran segar contohnya kismis segar, bukan yang telah diproses dalam bentuk pil dan juga diet yang seimbang. Saya sememangnya tidak mengambil suplemen untuk diri sendiri. Segalanya datang daripada usaha anda sendiri untuk mencapai kejayaan.

Untuk memberitahu anda perkara sebenar, saya telah dilamar oleh syarikat yang mengeluarkan ‘kismis minda’ dan lain-lain lagi pada suatu masa dahulu selepas keputusan SPM  17 A1 saya diumumkan.  Mereka menawarkan saya wang untuk saya menjadi duta produk tersebut. Saya menolak secara baik kerana saya memang tidak mengamalkannya. Anda tak perlukan benda sebegitu untuk menjadi bijak.

Yang ikhlas,

Amalina.

Tampil #1 on top dengan fashion muslimah terkini di HIJABISTA!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI