Semua manusia di dunia ini mengimpikan untuk masuk ke syurga, biar apa pun amalan kita di dunia hanya satu impian untuk masuk ke jannah. Syurga diciptakan oleh Allah bagi memberi balasan yang baik kepada hamba-hambaNya yang sentiasa berusaha dalam mencari reda Allah.

Syurga adalah satu tempat yang penuh kesejahteraan, kesenangan, kenikmatan, kebahagiaan serta kemuliaan. Mereka yang masuk ke dalam syurga akan kekal abadi di dalamnya. Ada 8 pintu yang membenarkan amalan kita untuk kita menjadi ahli syurga.

Firman Allah di dalam Surah Furqan ayat 16: Mereka beroleh di dalam Syurga itu apa yang mereka kehendaki, mereka pula kekal di dalamnya. Balasan yang demikian adalah satu janji yang dijamin oleh Tuhanmu, lagi yang dipohonkan dan dituntut (dalam doa masing-masing).

Tenang dalam setiap ujian Allah

Allah menyediakan nikmat yang sungguh besar bagi mereka yang sentiasa menjaga iman dan mengerjakan amal soleh. Kenikmatan itu bukan sahaja mereka akan dapat di syurga bahkan di dunia lagi mereka akan menikmatinya dengan jiwa yang tenang dalam setiap ujian Allah.

Para alim ulamak membahaskan nama-nama pintu syurga yang disediakan oleh Allah seperti mana yang terdapat dalam hadis nabi. Sabda baginda Rasulullah: Dalam syurga itu ada lapan pintu. – [HR Bukhari 3257].

Namun bagaimanakah cara kita untuk masuk ke lapan pintu syurga, dan ini Lapan pintu syurga yang diimpikan:

1. Pintu Solat

Ia di sediakan bagi mereka yang sentiasa mengerjakan ibadah solat termasuklah solat fardu dan solat-solat sunat.

2. Pintu Jihad

Ia disediakan kepada mereka yang berjihad di jalan Allah bagi menegakkan kalimah Allah.

IKLAN

3. Pintu Ar-Rayyan

Ia disediakan kepada mereka yang suka berpuasa sama ada puasa wajib dan juga puasa-puasa sunat.

4. Pintu Sedekah

Ia disediakan kepada mereka yang suka bersedekah kepada mereka yang memerlukan tanpa mengira waktu. Bulan ramadan ini peluang kita untuk memasuki syurga pintu sedekah.

Keempat-empat pintu yang di sebutkan di atas berdasarkan sabda Baginda Rasulullah: Sesiapa yang menginfaqkan sepasang dari hartanya (iaitu berjumlah dua seperti jika ia penternak kambing maka ia menginfaqkan dua ekor kambing) di jalan Allah, maka dia akan dipanggil dari pintu-pintu syurga; (lalu dikatakan kepadanya): “Wahai hamba Allah, inilah kebaikan (dari apa yang kamu amalkan).

Maka barang siapa dari kalangan ahli solat dia akan dipanggil dari pintu solat dan barang siapa dari kalangan ahli jihad dia akan dipanggil dari pintu jihad dan barang siapa dari kalangan ahli puasa dia akan dipanggil dari pintu Ar-Rayyan dan barang siapa dari kalangan ahli sedekah dia akan dipanggil dari pintu sedekah”.

IKLAN

Lantas Abu Bakar: “Demi ayah dan ibuku (sebagai tebusan) untukmu wahai Rasulullah, jika seseorang dipanggil diantara pintu-pintu yang ada, iaitu sebuah kepastian, namun apakah mungkin seseorang akan dipanggil dari semua pintu?” Baginda Rasulullah menjawab: “Benar, dan aku berharap kamu termasuk diantara mereka.” – [ HR Bukhari 1764].

5. Pintu Aiman (pintu paling kanan)

Ia disediakan kepada umat islam yang tidak dihisab amalannya. Mereka yang di sebutkan Allah golongan kanan yang mana golongan kanan kebiasaanya berkat. Jika kita lihat dalam hadis-hadis nabi maka nabi menyukai belah kanan dan akan memulakan belah kanan dahulu. Firman Allah didalam Surah Al-Waqiah ayat 8: Iaitu puak pihak kanan, alangkah bahagianya keadaan puak pihak kanan itu.

Sabda Rasulullah: Lalu dikatakan, “Wahai Muhammad, masukkanlah dari umatmu orang yang tidak ada hisab bagi mereka ke babul aiman (pintu paling kanan) dari salah satu pintu syurga, mereka bersama dengan manusia pada selain pintu itu.” – [HR Bukhari 4343].

6. Pintu menahan marah dan memaafkan manusia

Ia disediakan kepada mereka yang dapat mengawal kemarahan, emosi dan tidak mengikut hawa nafsu. Pintu ini juga disediakan kepada mereka yang dapat memaafkan orang lain dengan penuh keikhlasan.

IKLAN

Sabda Rasulullah: Sungguh Allah memiliki satu pintu di dalam syurga yang tidak ada orang yang memasukinya kecuali orang yang memaafkan suatu kezaliman. – [HR Ahmad 6908].

7. Pintu orang menyebut La Haula Wala Quata illa Billah

Ia disediakan kepada orang yang selalu mengerjakan ibadah taubat dan sentiasa beristighfar kepada Allah. Sabda Rasulullah: “Mahukah aku tunjukkan kepadamu satu pintu daripada pintu-pintu syurga?” Jawabku:Tentu. Baginda bersabda: “La Haula Wala Quata illa Billah (Tidak ada daya dan upaya kecuali milik Allah).” – [HR Tarmizi 3505].

8. Pintu hormat ibu bapa

Ia disediakan kepada mereka yang sentiasa mengasihani, menghormati dan membantu ibubapa dalam apa jua keadaan mereka.

Sabda Rasulullah: Ibu bapa (orang tua) merupakan pintu tengah syurga, maka jagalah kedua ibubapa kamu atau tinggalkan. [HR Ibn Majah 3653]

Maka seharusnya kita merebut peluang yang ada di Bulan Ramadan untuk sentiasa melayakkan diri untuk masuk ke dalam syurga Allah dengan amal ibadah penuh keikhlasan kepadaNya. Perkara yang paling kita risau ialah di mana pintu-pintu syurga tidak memanggil nama kita tetapi yang akan memanggil adalah pintu-pintu neraka. Nauzubillah.

Tampil #1 on top dengan fashion muslimah terkini di HIJABISTA!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI