Sebagai seorang Muslim, tahukah kita kenapa berselawat itu amat ditekankan dalam kehidupan seharian? Mungkin ada yang tak perasan, kita sebenarnya berselawat dalam setiap kali solat (ketika bacaan tahiyat) serta setiap kali memulakan dan mengakhiri doa. Selain itu, kita digalakkan untuk berselawat pada bila-bila waktu di luar solat dan apabila nama Baginda disebutkan.
7 Kepentingan Selawat Yang Ramai Terlepas Pandang
1. Ia Adalah Perintah Allah
Anjuran untuk berselawat adalah sesuatu yang dirakamkan di dalam Al-Quran. Dalam surah Al-Ahzab ayat 56, Allah berfirman yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah S.W.T. dan para Malaikat-Nya berselawat kepada Nabi. Maka, wahai mereka yang beriman berselawatlah kamu kepadanya dan ucaplah salam penghormatan kepadanya dengan sebaik selawat dan salam.”
Sedangkan Allah serta para malaikatNya juga sentiasa melahirkan rasa hormat dan kasih sayang kepada baginda, apatah lagi kita sebagai hamba yang serba kekurangan ini.
Oleh sebab itu, berselawat ke atas Rasulullah adalah salah satu cara kita menurut perintah Allah di samping mengingati segala jasa baginda dalam memperjuangkan Islam serta peribadinya yang unggul.
2. Allah Membalas Selawat HambaNya
Walaupun berselawat nampak mudah, namun fadhilatnya besar sekali bagi mukmin yang melaziminya. Allah mengasihi hambaNya yang sentiasa meletakkan Rasulullah di dalam hati.
Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda : “Sesiapa berselawat kepadaku sekali selawat, maka Allah akan berselawat ke atasnya sepuluh kali.” [HR Muslim]
Jika kita berzikir dan berselawat dengan memohon supaya Allah melimpahkan kemuliaan, kehormatan, dan kepujian kepada Nabi Muhammad, Allah pula membalas selawat kita dengan cara menurunkan rahmat, berkat serta kemuliaan kepada kita.
3. Membuang Kerisauan
Selawat adalah jaminan terpelihara dan terselamatnya kita daripada segala apa yang mendukacitakan dan membimbangkan dari perkara dunia dan akhirat. Seperti yang disebutkan dalam sebuah Hadis Tirmizi, Imam Ahmad, dan Hakim:
Dari Ubai bin Ka’ab, r.a. katanya:
“Ya Rasulullah! Aku banyak menggunakan masa berdoa, memohon rahmat untuk diriku, sekarang aku hendak untukkan masa berselawat bagi tuan maka sebanyak mana yang elok aku untukkan?” Baginda s.a.w., menjawab: “Sekadar mana yang engkau suka”; Aku berkata: “Aku hendak untukkan sesuku dari masaku”; Baginda s.a.w., bersabda: “Sekadar mana yang engkau suka, dan jika engkau lebihkan lagi, maka itu lebih baik untukmu”;
Aku berkata: “Kalau begitu aku untukkan setengah dari masaku” Baginda s.a.w bersabda: “Suka hatimulah dan jika engkau lebihkan lagi, maka itu lebih baik untukmu”;
Aku berkata: “Kalau demikian, aku untukkan dua pertiga dari masaku” Baginda s.a.w., bersabda: “Suka hatimulah, dan jika engkau lebihkan lagi, maka itu lebih baik – untukmu”;
Aku berkata:
“(Kalau begitu) aku jadikan masa berdoaku semuanya untuk berselawat kepada tuan”; Baginda s.a.w., bersabda: “Jika demikian, terpeliharalah dan terselamatlah engkau dari apa yang mendukacitakan dan membimbangkanmu, sama ada perkara dunia mahu pun perkara akhirat dan diampunkan dosamu …”
4. Diampunkan Dosa
Allah amat menyenangi hambaNya yang sentiasa mengingati Nabi Muhammad serta menghidupkan sunnahnya dalam kehidupan seharian. Allah turut menjanjikan pengampunan dosa bagi hambaNya yang rajin berselawat kepada Rasulullah.
Dari Anas bin Malik r.a. berkata Rasulullah s.a.w. telah bersabda : “Barangsiapa yang berselawat kepadaku satu kali, maka Allah berselawat kepadanya sepuluh kali dan akan dihapuskan daripadanya dosa dan diangkat baginya sepuluh darjat.” [HR An-Nasaie]
Sebagai seorang hamba, kita tidak pernah terlepas dari melakukan kekhilafan. Oleh itu, berselawat boleh membantu kita menghapuskan dosa-dosa.
5. Rasulullah Membalas Ucapan Salam
Walaupun kita tidak pernah bertemu dengan Rasulullah, seorang mukmin sejati perlu menghidupkan rasa kerinduan terhadap Nabi sama seperti Nabi yang sentiasa kasih akan kita iaitu umat selepas zamannya.
Selawat merupakan cara istimewa buat umat Nabi Muhammad menyampaikan kata salam dan doa kepada Baginda. Setiap selawat yang dialunkan akan dikirimkan ke Rasulullah melalui malaikat. Rasulullah pula membalas ucapan salam tersebut.
Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda; “Tiada seseorang pun yang memberikan salam kepadaku (setelah kewafatanku), melainkan Allah mengembalikan rohku sehinggalah aku dapat menjawab salam orang itu.” [HR Abu Daud dan Ahmad, Riyadus Solihin]
6. Meraih Syafaat Daripada Rasulullah Di Akhirat
Selain mengamalkan sunnah dalam rutin harian serta menteladani pekertinya yang mulia, berselawat kepada baginda juga dituntut terutamanya pada hari Jumaat. Ini kerana Rasulullah lebih dekat dengan hambaNya yang sentiasa berselawat untuknya.
Daripada Abu Aus bin Aus RA bahawa Rasulullah SAW bersabda : Sesungguhnya di antara hari yang paling mulia bagi kamu semua ialah hari Jumaat, oleh yang demikian hendaklah kamu semua memperbanyakkan membaca selawat kepadaku pada hari itu, kerana sesungguhnya ucapan selawat kamu semua akan ditunjukkan kepadaku (pada hari kiamat nanti). [HR Abu Daud]
7. Doa Mudah Terkabul
Allah juga menyalurkan banyak cara supaya doa lebih mudah diterima, dan salah satunya adalah dengan memperbanyakkan berselawat ke atas Nabi Muhammad.
Ali bin Abi Talib r.a berkata : “Doa seseorang itu terdinding (terhalang) sehinggalah dia berselawat ke atas Rasulullah dan ahli keluarganya.” [HR Imam Ath-Thabrani]
Hidupkan Sunnah!
Lafaz bacaan selawat yang paling ringkas yang sesuai dengan dalil-dalil yang sahih adalah:
Maksudnya: Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad dan ke atas keluarganya.
Semoga usaha kita mengingati Rasulullah dengan sentiasa mengalunkan selawat dapat mendekatkan diri kita bersama dengan Nabi Muhammad kelak serta turut mendapat rahmat daripada Allah.
Islam merupakan agama yang amat menitikberatkan adab-adab dalam berkomunikasi sesama manusia sama ada Islam dan bukan Islam. Untuk itu, di antara sebab Allah SWT mengutuskan Nabi Muhammad SAW adalah untuk menyempurnakan atau mengajarkan akhlak kepada sekalian manusia.
Maksudnya: “Sesungguhnya tidak aku diutuskan melainkan untuk menyempurnakan kebaikan akhlak.” [Riwayat Ahmad (8952)][Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menilai hadis ini sebagai sahih dan sanadnya kuat]
Tambahan pula, bersalaman ketika bertemu termasuk di dalam adab-adab Islam dan akhlak yang terpuji. Ini kerana, ia menggambarkan sifat cinta dan kasih sayang di antara yang bersalaman.
Photo by -kevin-malik from Pexels.
Berdasarkan soalan di atas, terdapat sebuah hadis yang menunjukkan kelebihan perbuatan bersalaman adalah:
Daripada al-Bara’ berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Tidaklah ada dua orang muslim itu apabila bertemu, lalu bersalamanan, melainkan akan diampunkan dosa keduanya sebelum mereka berpisah.” [Riwayat Ahmad (18547)]
Hadis di atas ini juga diriwayatkan oleh Imam Abu Daud, Imam al-Tirmizi dan juga Imam Ibn Majah di dalam sunan mereka. Adapun berkaitan hukum hadis di atas, di sini dinukilkan beberapa pandangan para ulama:
Imam Abu Daud (275 H) mendiamkan (tidak menghukum) hukum hadis tersebut di dalam sunannya dan jika Imam Abu Daud tidak menyatakan hukum pada sesebuah hadis di dalam sunannya maka ia menunjukkan bahawa hadis tersebut adalah soleh (baik dari sudut matan dan sanadnya).
*Imam al-Tirmizi (279 H) menilai hadis di atas sebagai hasan gharib.
*Imam Ibn al-Mulaqqin (804 H) menghukum hadis al-Bara’ sebagai hasan.
*Imam al-Suyuthi (911 H) menyatakan bahawa hadis ini adalah sahih.
*Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menilai hadis di atas sebagai sahih li ghairihi.
Melihat kepada beberapa pandangan ahli ilmu di atas, cenderung kepada pandangan yang menyatakan hadis ini adalah hasan dengan sokongan bagi hadis tersebut. Ini juga merupakan amalan para sahabat Nabi SAW.
Ini berdasarkan kepada sebuah hadis yang sahih:
Daripada Qatadah RA, beliau berkata kepada Anas bin Malik RA:
Maksudnya: “Adakah terdapat perbuatan bersalaman dalam kalangan sahabat Nabi SAW?.” Jawab Anas: “Ya.” [Riwayat al-Bukhari (6263)]
Photo by ketut-subiyanto from Pexels.
Selain itu, Imam Ibn Batthal menyatakan bersalaman merupakan satu kebaikan menurut kebanyakan ulama. Imam al-Nawawi juga menyatakan bahawa bersalaman merupakan sunnah yang disepakati ketika bertemu.
Perbuatan ini juga telah dinaskan oleh kebanyakan para ahli feqah bahawa bersalaman adalah sunnah dengan berdalilkan kepada sejumlah khabar-khabar yang sahih dan juga hasan.
KESIMPULANNYA:
Hadis berkaitan kelebihan bersalaman merupakan hadis yang hasan sebagaimana yang dinyatakan di atas. Tambahan pula, amalan ini telah wujud di zaman Rasulullah SAW lagi sebagaimana yang diceritakan oleh para sahabat Baginda SAW. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kekuatan untuk dalam mengamalkan serta menyebarkan sunnah Nabi SAW. Amin.
Sebelum mengatakan bahawa benar-benar sudah bersedia untuk berkahwin, ketahui serba sedikit tentang cinta dari kisah Ali bin Abu Thalib dan Fatimah Az- Zahra.
Sebuah kisah yang datangnya dari puteri Rasulullah, Fatimah Az-Zahra, dan Ali Bin Abi Talib, pintu hati Ali ‘diusik’ buat pertama kali saat Fatimah mengubati luka ayahnya, Muhammad SAW yang luka parah kerana berperang.
Dari situ, dia bertekad untuk melamar puteri Nabi. Lantas dengan tekun dia mengumpul wang untuk membeli mahar untuk menyunting Fatimah. Malangnya belum cukup wang Ali untuk mahar, sahabat Nabi, Abu Bakar sudah pun melamar Fatimah.
Gambar sekadar hiasan.
Hancur hati Ali, namun dia sedar diri kerana saingannya punya kualiti Iman dan Islam yang jauh lebih tinggi dari dirinya. Walau dikenal sebagai pahlawan Islam yang gagah berani, Ali dikenali sebagai orang yang miskin. Hidupnya dihabiskan untuk berdakwah di jalan Allah.
KEYAKINAN KEMBALI BERSINAR
Namun seakan mendung berarak lalu, keyakinan Ali kembali menyinar tatkala Fatimah menolak lamaran Abu Bakar. Namun sekali lagi keceriaan Ali hanya sementara apabila Umar bin Khatab meminang Fatimah. Ali hanya mampu pasrah kerana saingannya bukan calang-calang orang. Tapi takdir kembali berpihak kepadanya. Umar mengalami nasib serupa dengan Abu Bakar.
Tapi saat itu Ali belum berani untuk melamar Fatimah. Dia sedar dia hanya pemuda miskin. Bahkan harta yang dia miliki hanya ada satu set baju besi. Kepada Abu Bakar As-Siddiq, Ali mengatakan, “Wahai Abu Bakar, anda telah membuat hatiku goncang yang sebelumnya tenang. Anda telah mengingatkan sesuatu yang sudah kulupakan. Demi Allah, aku memang menghendaki Fatimah, tetapi yang menjadi penghalang satu-satunya bagiku ialah kerana aku tidak mempunyai apa-apa.”
Abu Bakar terharu dan mengatakan, “Wahai Ali, janganlah engkau berkata seperti itu. Bagi Allah dan Rasul-Nya, dunia dan seisinya ini hanyalah ibarat debu-debu bertaburan belaka!”
Mendengar jawaban Abu Bakar, kepercayaan diri Ali kembali muncul untuk melamar gadis pujaannya saat teman-temannya sudah mendorong agar Ali berani melamar Fatimah.
gambar sekadar hiasan.
Dengan ragu-ragu dia menghadap Rasulullah. Dari hadis riwayat Ummu Salamah diceritakan bagaimana proses lamaran tersebut.
“Ketika itu kulihat wajah Rasulullah nampak berseri-seri. Sambil tersenyum baginda berkata kepada Ali bin Abi Talib, ‘Wahai Ali, apakah engkau mempunyai suatu bekal mas kawin?”
“Demi Allah,” jawab Ali bin Abi Talib dengan terus terang, “Engkau sendiri mengetahui bagaimana keadaanku, tak ada sesuatu tentang diriku yang tidak engkau ketahui. Aku tidak mempunyai apa-apa selain sebuah baju besi, sebilah pedang dan seekor unta.”
“Tentang pedangmu itu, engkau tetap memerlukannya untuk meneruskan perjuangan di jalan Allah. Dan untamu itu engkau juga perlu untuk keperluan mengambil air bagi keluargamu dan juga engkau memerlukannya dalam perjalanan jauh. Oleh kerana itu, aku hendak menikahkan engkau hanya atas dasar mas kawin sebuah baju besi sahaja. Aku menerima barang itu dari tanganmu. Wahai Ali, engkau wajib bergembira, sebab Allah sebenarnya sudah lebih dahulu menikahkan engkau di langit sebelum aku menikahkan engkau di bumi”. Demikianlah riwayat yang diceritakan Ummu Salamah r.a.
IJAB KABUL
Setelah segala-galanya siap, dengan perasaan puas dan hati gembira, dan disaksikan oleh para sahabat, Rasulullah mengucapkan kata-kata ijab kabul pernikahan puterinya.
“Bahawa sanya Allah SWT memerintahkan aku supaya menikahkan engkau Fatimah atas mas kawin 400 dirham (nilai sebuah baju besi). Mudah-mudahan engkau dapat menerima hal itu.”
Gambar sekadar hiasan.
Maka berkahwinlah Ali dengan Fatimah. Perkahwinan mereka penuh dengan hikmah walau diharungi kemiskinan. Bahkan disebutkan Rasulullah sangat terharu melihat tangan Fatimah yang kasar kerana menepung gandum untuk membantu suaminya.
Islam memandang perkahwinan sebagai sesuatu yang mulia. Mereka yang berkahwin dianggap sebagai telah menjalankan ibadah. Bahkan dalam hadis juga ada menyebutkan bahawa berkahwin itu menyempurnakan sebahagian agama.
Doa untuk mendapat kebaikan di dunia dan diakhirat ini seringkali kita lupa baca walaupun ia sebenarnya ialah doa yang ringkas dan muda untuk diingat. Banyak faedah yang boleh kita miliki apabila membaca doa ini.
Sebagai umat Islam, kita sering diingatkan untuk sentiasa berdoa mendapat keredhaan-Nya supaya proses perjalanan kita di dunia dan juga di akhirat akan berjalan lancar dan mudah. Ramai yang alpa tentang kesibukan di dunia sehinggakan terlupa untuk menyimpan pahala bagi hari akhirat kelak. Maka dengan itu, marilah kita bersama-sama amalkan doa pendek ini yang banyak mnafaatnya kepada kita semua. Semoga Allah S.W.T merahmati kita semua. InsyaAllah!
Ini adalah doa yang paling banyak dibacakan oleh Nabi sebagaimana yang disebutkan oleh sahabat Nabi, Anas bin Malik. Sudah tentu ianya doa yang sangat penting, agung dan mencakupi makna yang besar sekali sehingga Nabi berdoa banyak kali dengan doa ini.
Doa ini ringkas tapi meluas maknanya. Mencakupi aspek keduniaan dan akhirat serta perlindungan daripada azab api neraka. Inilah permintaan yang teragung daripada seorang hamba kepada Tuhannya. Doa ini uga menunjukkan fiqh dalam berdoa menurut para ulama’ iaitu berdoa dengan doa yang ringkas tetapi mencakupi makna yang meluas di dunia dan akhirat. Sudah tentu doa-doa yang ma’thur (yang datang dari Al-Quran dan As-Sunnah) mempunyai kelebihan ini.
Perkataan “Al-Hasanah” secara literalnya bermaksud kebaikan. Sebahagian ulama’ mengatakan hasanah di dalam doa ini bermaksud kenikmatan. Maka yang terkandung dalam doa ini ialah segala nikmat yang baik di dunia dan akhirat bagi orang-orang yang beriman.
Kata Imam An-Nawawi dalam Al-Azkar, dibolehkan bagi wanita yang haidh untuk berdoa dengan doa ini (dan doa daripada Al-Quran yang lainnya) dengan niat untuk berdoa bukan untuk membaca Al-Quran.
Imam An-Nawawi dalam Al-Azkar juga menyebutkan bahawa digalakkan juga membaca doa ini pada takbir yang ke 4 dalam solat jenazah menurut pandangan sebahagian ulama’ Mazhab Syafie.
Semoga kita dapat meluangkan sedikit masa kita untuk mengamalkan sentiasa doa ini dan diberi kesempatan untuk mendapat manfaat daripadanya. Moga kita lebih bersemangat untuk mengamalkan doa ini khususnya di tempat yang mustajab seperti ketika sujud dalam solat dan sebagainya.
Memang nampak sedap sangat acar buah Tengku Ampuan Pahang ni. Kombinasi bahan-bahan dan warna semula jadi acar menjadi pembangkit selera!Memang selayaknya Paduka Baginda memenangi...