Zumba antara aktiviti kecergasan yang banyak memberi kebaikan pada tubuh badan. Bukan hanya di luar negara, malah masyarakat Malaysia sudah mula melihat aktiviti zumba ini sebagai salah satu cara untuk menjadikan tubuh badan cergas dan sihat.

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang zumba, kami menemu-bual Danial Aiman ataupun Zin Dani, jurulatih zumba yang memiliki pengalaman luas dalam dunia zumba.

  1. Terlebih dahulu, boleh perkenalkan diri anda?

Saya Muhammad Danial Aiman dikenali sebagai Zin Dani. Seorang jurulatih zumba dan telah mengambil sijil zumba pada tahun 2016. Saya memiliki pengalaman mengajar zumba di beberapa pusat gimnasium di sekitar Shah Alam seperti Anytime Fitness Plaza Shah Alam, Anytime Fitness Bukit Jelutong, Fitworx, Fitness Project Seksyen 16 dan lain-lain lagi.

  1. Apakah perkara utama yang harus dilakukan sebelum kita melakukan aktiviti zumba?

Antara perkara yang harus diambil kira sebelum memulakan aktiviti zumba adalah:

-Pastikan anda menyediakan pakaian yang betul seperti sepasang kasut sukan yang sesuai dan selesa.

-Membawa air minum untuk menghilangkan rasa dahaga dan menjadikan badan bertenaga.

-Pastikan anda juga mengalas perut sekurang-kurangnya dengan makan roti dan bukan mengambil makanan yang terlalu berat.

-Pastikan juga anda hadir ke kelas dengan aura dan fikiran yang positif. Sebagai jurulatih zumba, saya sangat mementingkan ‘energy’ di dalam kelas.

IKLAN

3. Boleh anda terangkan kelebihan Zumba?

Jujurnya, zumba memiliki banyak kelebihan. Antaranya adalah:

-Kita dapat mengeluarkan peluh. Secara tidak langsung ia menjadikan tubuh badan lebih segar.

-Ia juga dapat menurunkan berat badan dengan efektif jika cara dan rejim yang dilakukan betul dan bekualiti.

IKLAN

-Selain itu, kelas zumba juga boleh dijadikan tempat untuk kita menghilangkan tekanan! ‘You know, just dance the night away!.’ 

-Jika anda seorang yang suka lakukan latihan kardio dan bosan dengan mengunakan mesin kardio, anda bolehlah masuk ke kelas zumba sebagai alternatif lain. Zumba merupakan salah satu latihan kardio yang baik. 

-Tidak bernokhtah di situ sahaja, aktiviti zumba juga dikenali sebagai aktiviti ‘active recovery’. Dari perspektif yang berbeza, zumba juga dapat menambahkan kenalan dan sangat bagus untuk ‘networking’.

  1. Kebiasaannya, berapa lamakah durasi yang terbaik untuk melakukan zumba?

Berdasarkan pengalaman saya, aktiviti zumba ini boleh dilakukan dalam durasi satu jam sahaja tetapi tidak salah untuk anda melakukan lebih dari satu jam. Apa yang penting, ia haruslah mengikut kemampuan masing-masing.

IKLAN
“Tiada diskriminasi di dalam komuniti zumba. Kami menerima semua orang dari pelbagai latar belakang, dengan hati dan tangan yang terbuka. Anda juga tidak perlu risau dan malu jika anda tidak pandai menari! Keep this in mind, ini bukan kelas menari,ini adalah kelas zumba!”- Zin Dani
  1. Selain menghadirkan diri ke kelas zumba, boleh anda kongsikan lokasi lain yang sesuai untuk berzumba?

Selain di dalam kelas, zumba boleh dilakukan di taman permainan serta tempat yang lapang kerana aktiviti zumba ini mempunyai pergerakan yang banyak. Jadi pastikan anda tidak terlanggar atau mengganggu laluan orang sekeliling.

Oh ya! Di rumah juga boleh melakukan zumba! Apatah lagi dengan keadaan pandemik Covid-19 yang merisaukan sekarang ini, saya kira di rumah ialah tempat paling sesuai untuk melakukan zumba. Tambahan pula dengan perkembangan teknologi yang semakin pesat, ramai jurulatih melakukan kelas zumba secara virtual!  Anda hanya memerlukan internet yang stabil, komputer riba mahupun telefon bimbit. Mudah bukan?

  1. Untuk mengelakkan sebarang kecelakaan berlaku, apakah perkara utama yang harus diambil berat semasa atau sebelum melakukan zumba? 

Seperti yang dibicarakan tadi, pakailah pakaian sukan yang betul seperti kasut yang sesuai dan membuat pergerakan mengikut kemampuan anda. Jujurnya, aktiviti zumba ini tiada istilah betul ataupun salah. Asalkan anda bergerak dan berpeluh, ia sudah memadai. Apa yang penting, anda enjoy di kelas di dalam kelas!

  1. Bagi mereka yang memiliki berat badan yang besar, ataupun faktor usia yang sudah lewat, adakah mereka sesuai melakukan Zumba?

Semestinya tiada masalah langsung! Zumba tiada limitasi pada umur! Zumba tidak mengira usia serta tidak memandang berat. Dalam kata mudahnya, tiada diskriminasi di dalam komuniti zumba. Kami menerima semua orang dari pelbagai latar belakang, dengan hati dan tangan yang terbuka. Anda juga tidak perlu risau dan malu jika anda tidak pandai menari! Keep this in mind, ini bukan kelas menari, ini adalah kelas zumba!

Ceria dan bertenaga. Situasi ketika Zin Dani (baju hijau) sedang mengajar zumba di Anytime Fitness Bukit Jelutong.
  1. Bolehkah Zumba dilakukan pada waktu malam? Apakah waktu-waktu lain yang sesuai untuk melakukan zumba? 

Kebiasaannya pada waktu pagi, petang dan juga malam. Tiada masalah jika ingin lakukan pada waktu malam. Tetapi usahlah berzumba pada jam dua mahupun tiga pagi. Untuk bersenam, ia tiada masa yang betul dan salah. Tapi pastikan waktu itu tidak menggangu waktu tidur atau waktu kerja anda. Pilihan itu di tangan anda!

  1. Pendapat anda sendiri mengenai sikap keterbukaan masyarakat Malaysia terhadap zumba?

Pada pendapat saya, penerimaan zumba di Malaysia amat baik. Contohnya, ada juga syarikat korporat yang mengambil saya untuk mengajar zumba di pejabat mereka. Sudah terang lagi bersuluh, ini menunjukkan masyarakat dapat menerima aktiviti zumba ini. Tuntasnya,untuk mengatakan bahawa masyarakat kita benar-benar memahami definisi zumba, saya kira tidaklah sepenuhnya, terutamanya golongan lelaki. Jadi saya ingin tekankan bahawa zumba itu bukan lah untuk wanita sahaja malah ia untuk semua jantina.

  1. Nasihat anda kepada mereka tentang zumba.

Nasihat saya usahlah takut dan jangan malu untuk mencuba dan menghadiri kelas masuk zumba. Percayalah, sekali masuk, pasti anda ingin datang lagi!

Tampil #1 on top dengan fashion muslimah terkini di HIJABISTA!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI